Kerajaan  Gelabah  Dengan  Masalah Perubatan Anwar
(Government’s Insecurity  Over Anwar’s Medical  Treatment)

Timbalan perdana  menteri  Abdullah  Ahmad Badawi (AAB) merasa  terpanggil  untuk   campur tangan dalam  kisah terkini   yang dihadapi oleh Anwar  Ibrahim.  Hospital  Kuala Lumpur telah  memberitahu  Anwar  betapa dia  perlu  menjalani pembedahan, jika enggan  harus  bersedia   menghadapi akibahnya.  Jabatan  penjara  risau  dengan  kos  sebanyak  RM60,000  (tidak termasuk subsidi  kerajaan yang   dibelanjakan)  untuk  menyediakan  bilik wad Kelas  Satu di  HKL  itu. Sebagai  perbandingan  seseorang  pegawai  tinggi  kerajaan  apabila  makan  tengah hari di hotel  Kelas  Satu  (lima bintang-penterjemah) berbelanja  sedikit  rendah   daripada kos harian  memasukkan  Anwar di  hospital. Sedangkan ada  satu  kisah  songlapan urusan  ‘bond antarabangsa’  yang  melibatkan   beberapa  orang  pegawai tinggi kerajaan  yang bernilai  US$5 bilion  dollar.

Kerajaan  telah memberikan taklimat kepada   para  diplomat termasuk satu perjumpaan  yang membabitkan  menteri kesihatan Chua  Jui Meng yang disertai oleh 14orang doctor pakar yang kebanyakannya tidak  pun  tahu-menahu   atau  pakar   dalam  penyakit  yang  dihidapi  oleh Anwar. Kehadiran  semua pakar   itu adalah  bertujuan untuk  menyokong  segala  kenyataan kerajaan. Kenyataan Paklah menyerlahkan  adanya  perikemanusiaan  terhadap  Anwar.  Kini,   terpulang kepada  Dato Seri  Anwar  untuk  membuat  pemilihan  layanan  perubatan  yang  macam mana  yang  Anwar  mahukan. Inilah  yang Paklah nyatakan  kepada  ahli  UMNO . Namun demikian,  lagi kerap dia dan  rakan-rakan  kabinetnya membuka  mulut  mengenai  perkara  ini, lagi kerap  pula  mereka  tidak  dipercayai.

Masalah  Anwar  menjadikan kerajaan sentiasa  goyang.  Pemimpin  UMNO,  terutama sekali  mereka dalam kerajaan, mesti berbincang  hal itu, seolah-olah  memberi keyakinan diri betapa mereka sudah  melakukan  sesuatu  yang betul.  Sebaliknya  mereka  telah  terperangkap di satu sudut yang menghenyak diri  sendiri.  Inilah  yang memaksa  mereka membuat keputusan yang menyulitkan mereka akhirnya.  Keadaan  penyakit  yang ditanggungi Anwar  memang  merupakan  sesuatu yang  serius.  Kini, dia  mengenakan  pengekang  leher  untuk  meredakan kesakitan yang  menghunjam  lehernya.  Dia bergerak  dengan kerusi roda. Sekarang,  kerajaan mahu  menghantarnya kembali ke  penjara  Sungai Buloh,  melainkan  dia bersetuju  menjalani  pembedahan  yang berkemungkinan besar  menyebabkan dia  menjadi  lumpuh.  Jika  dia tidak  bersetuju juga,  dia terpaksa  menanggung risiko  dan tanggungjawab apa yang  terjadi  kepada diri sendiri akhirnya.

Malangnya,  kerajaan tidak menyedari betapa  perkara  itu  bukannya   semudah yang  dianggapi. Kerajaan  mahu  terus  menonjolkan isu Dato Seri  Anwar  ini.  Kerajaan bertindak  meneruskan  lima lagi  tuduhan  berkaitan  salah laku dan korupsi  terhadap Dato Seri  Anwar. Kes  itu  sepatutnya  dibuka semula  hari Sabtu lalu tetapi  tertangguh  kerana  dia menanggung  kesakitan yang amat  sangat.  Dia terpaksa disorong  dalam kerusi  roda ketika mahkamah duduk dengan  selesa.  Rakyat  akan  membuat  perbandingan dengan  keadaan dia  mula-mula hadir di  mahkamah.  Secara lahiriah  ia berjaya mengalihkan tumpuan daripada  dirinya  kepada penyakit yang  menyiksa. Sekarang,  tumpuan beralih kepadanya semula.

Mungkin  juga ini semua  sengaja  diada-adakan. Jumlah  manusia  yang bersimpati dan menyokong beliau  sudah pun bertambah berlipat kali  ganda. Bukannya  disebabkan fahaman politik  tetapi  kerana  perasaan kemanusiaan. Setiap kali  kerajaan bertindak untuk  mendera beliau, setiap kali  itulah kerajaan kehilangan sokongannya.  Kerana  itu  pemimpin  UMNO kerap menyebut  nama  Anwar  setiap kali mereka bertemu rakyat  marhaen. Dalam politik Malaysia hari ini, hanya satu  perkara yang diberikan  tumpuan:  Konfrontasi  Mahathir-Anwar.  Yang lain jatuh di tangga nombor   dua.

Kerana  itu  kerajaan  menilai  masalah Dato Seri Anwar  dari  kaca mata politik sambil meniru pendekatan  tindakan yang beliau  pilih.   Cuma  ada  satu  perbezaannya:  Anwar  sudah nekad  menanggung risiko tindakannya. Kerajaan tidak punyai  pilihan lagi selain  menjadikannya  isu  politik  juga.  Setakat  ini, tindakan  kerajaan  itu  menghala ke  jalan  buntu   Dato’ Seri Anwar  menerima hakikatnya  betapa  dia  boleh terus  lumpuh  ataupun  cacat  anggota, dan  memilih  satu bentuk peperangan yang berkemungkinan besar menjatuhkan    Mahathir  dan  kerajaannya.    Setiap  kali Anwar diganyang, setiap kali itulah dia bertindak balas  dalam percaturan  ketahanan diri dan kebijaksanaan  berpolitik   yang menyerlahkan siapa  yang menang dan siapa pula  yang  kecundang. Menteri-menteri kabinet  dan  juga  pemimpin  UMNO terlalu takut  untuk  kehilangan  kedudukan  mereka sedangkan rakyat marhaen  percaya  Dato Seri  Anwar  adalah seorang  pemimpin yang  tidak pernah  gerun  berjuang  sehingga  sanggup berkorban   nyawa.

Inilah  yang membuatkan UMNO bergelut  dengan  tali-temali  kesyaitanan  yang  menghantuinya. (Tali kesyaitanan memang sudah bergelut dan mengaburkan minda ahli UMNO sehingga sukar menolak kemahuan Mahathir dan menyifatkan diktator tua yang sewel itu sebagai Tuhan mereka justeru mereka melebihkan ketaatan terhadapnya berbanding dengan ketaatan kepada Allah s.w.t.~webmaster) Pemilihan  jawatankuasa bahagian UMNO kini, berkemungkinan besar  diwarnai  oleh lebih ramai penyokong Anwar  daripada    yang pernah  dilihat  di waktu  yang silam.  Episod Fauzi Abdul  Rahman  di  Kuantan,  membuktikan  lebih  ramai  lagi  penyokong Anwar  dalam  UMNO  yang  sanggup  berkorban dan  menyerlahkan  nekad  mereka. Kesannya  memang  amat  membahayakan  sehingga  setiausaha  agung  UMNO, Tan  Sri  Khalil  Yaakob  mungkin  terpaksa melepaskan  jawatan.  Perdana  Menteri kini  dikatakan sedang berura-ura melantik  seorang MP  yang   diiktiraf  penyokong  Anwar  untuk  menjadi  anggota  kabinet. UMNO  tidak akan dapat  melayari   gelora  politik  kalau-kalau  sesuatu musibah  mengenai Insan Yang Mesti Dimusnahkan  Dengan Apa Cara  Jua itu.   Inilah  getaran  kerunsingan yang sedang  bergegar  dalam UMNO.


-MGG   Pillai-
pillai@mgg.pc.my
Ahad, 29  April,2001.

Terjemahan MT