Seorang Anwarista  Dan   Pemilihan  UMNO
(An  Anwarista  Skews The UMNO  Elections)

MGG Pillai


UMNO sedang menggelabah kerana berhadapan dengan kemungkinan  munculnya satu  pilihanraya  kecil  yang tidak  diingininya. Kalau terpaksa juga, besar kemungkinan  ia  akan kecundang. Ketua  UMNO Bahagian  Kuantan,  Dato’  Fauzi  Abdul  Rahman, tidak dapat mempertahankan   jawatannya  kerana  20  cawangan  dalam  bahagian itu  tidak  mahu  mencalonkannya;  dia  hanya  mendapat  sembilan  pencalonan.  Dia telah  membuat  lapuran  polis terhadap  Setiausaha  Agung  UMNO dan  mantan  menteri  besar,  Khalil  Yaacob kerana  salah  guna kuasa, sambil  mendakwa  adanya  satu  konspirasi  untuk  menjatuhkannya dengan  menggunakan  wang sogokan.  Fauzi meletakkan jawatannya  sebagai seorang ahli  dewan undangan  negeri  bahagian Beserah, Pahang.   Perdana  Menteri Dr. Mahathir Mohamad berkata bahawa  “perkara itu  tidak  lojik” kerana  yang  melantiknya  ialah  rakyat  dan  bukannya  UMNO.  Dato Fauzi  mempunyai  pendapat  yang berlainan  pula:  dia telah  dilantik  dengan  tiket  Barisan  Nasional, dan  kalau partinya  mahu menolaknya, dia  mestilah meletakkan  jawatan.   UMNO  tentunya  tidak  senang  hati  apabila  seorang  wakil  rakyatnya  melepaskan  jawatan  berasaskan  prinsip.  Dia  juga  bertegas  bahawa  dia boleh  terus  bergelumang  dengan  politik  UMNO  dan di  waktu  yang  sama   menjadi  sahabat  kepada   Anwar  Ibrahim. Malangnya  UMNO  berpendirian kalau presiden parti  menganggap  seseorang  itu  musuhnya, orang  itu  mesti  dimusuhi  juga.

Inilah  gara-gara  persahabatan yang  lama dengan  Anwar  Ibrahim yang  kini  menyulitkan  kedudukan Fauzi.  Sepatutnya  dia  dilantik menjadi   menteri besar  ketika  Khalil  Yaacob  beralih ke Kuala  Lumpur.  Dia  diketepikan  di  saat akhir  dan  dititahkan  keluar   dari  perkarangan istana  sebelum  bermulanya   pertabalan  Adnan Yaakub  sebaik sahaja selesai  pemilu 1999  dulu. Persengketaan antara  Khalil  Yaacob dan Fauzi  bukannya  satu  perkara  baru. Dia sepatutnya  tidak bertanding  pada  pemilu   1999  dulu, kalaulah tidak  ada  desakan  kuat  dalam  UMNO  dan  juga  wujudnya  pengaruh  PAS  yang  semakin  berbisa di  negeri itu.  Tetapi, Barisan Nasional menang besar   dengan  majoriti kerusi  yang  lebih  banyak walaupun  sokongan  akar  umbi semakin  ketara  berkurangan dan memberikan satu  isyarat sindiran   kepada  BN. Walaupun  menang,  Fauzi  telah  sengaja  dipinggirkan  dan  kumpulan Anwaristas dipencilkan lagi.  Kalau  boleh  UMNO  mahu  menghakiskan  pengaruh  Anwarista   di kalangan  akar umbinya dan  usaha  itu dilancarkan  dalam  pemilihan  jawatankuasa  cawangan  dan bahagian  parti.


Memang  mudah, secara putar belit  atas  kertas,  untuk  mengenepikan  mereka semua  dalam pilihan  bahagian.  Untuk  mempastikan  pemimpin  tertinggi   UMNO  tidak  dicabar,  para  calon  mestilah  menerima  pencalonan minima  untuk  bertanding dalam  sesuatu  jawatan  penting  itu. Sistem  ini  meneguhkan  kedudukan  para  pemimpin  tetapi  inilah  juga  yang  membuatkan  mereka kurang  selamat, selepas  pemilu  1999 dulu. Apabila  system  ini  mahu  dihapuskan tahun  lalu   ketika para  perwakilan  UMNO bersidang bulan  November  dulu, para  perwakilan  tidak  pula  bersetuju.  Akar  umbi  UMNO  sudah  naik berang  dan  bersekongkol   mencabar  pemimpin  UMNO  memimpin  parti  tanpa  sokongan  mereka. Inilah  sistem  yang  menghantui  UMNO.  Perletakkan  jawatan  Fauzi  membuatkan  UMNO   pincang. Sama  ada  pemimpin  suka  ataupun tidak insan  yang  para  pemimpin  UMNO  mahu pinggirkan  dalam   pemilihan  kali  ini,  menjadi  insan  yang  perlu  diperhatikan.  Para  pemimpin UMNO pada  mulanya  beranggapan bahawa  pemimpin  yang  tergolong  sebagai  Anwarista dan yang  dipinggirkan  tidak  berani  untuk  mencabar  mereka  secara  terbuka.   Apabila  Fauzi  menunjukkan  belang  mereka  tentu  sekali  UMNO  takut  dengan  kemungkinan ada  pihak  lain  yang  akan  mengikutnya.  Kerana  itu,  semua  pemilihan yang  akan  dilaksanakan di peringkat bahagian    mulai esok  tidak  akan  menggoncangkan  suasana  yang  sedia  ada. Kumpulan  Anwaristas  tidak  akan  diperlekehkan lagi dan  sudah  tentu  mereka  akan  terus  mengorak langkah untuk terus  berjuang  hingga sampai  ke  persidangan tahunan  nanti.


Orang Melayu  memang  tidak  suka  bertelagah, kerana itu dia sanggup bersabar  sebelum bertindak untuk berbalah.  Mengikut  tradisi  feudal Melayu,  mencabar seorang pemimpin feudal  adalah  serupa  dengan  menderhaka. Kerana  itu  dia mesti menangani keadaan  penderaan itu  tanpa  menyerlahkan suasana  ketenangan  yang  hanya  akan  berubah  apabila  tahap kesabaran   sudah  disanggah. Selalunya, kesan tindakannya  itu memang  amat menakutkan. Bukan  sembarangan  sebab,   dunia  menggunakan  perkataan  ‘amok’ itu  dalam khazanah  bahasanya. Keadaan tenang  yang  dipaparkan memberikan satu  ilusi  kepada  sesiapa  yang mempercayai  bahawa Dr.  Mahathir   Mohamad  sedang  berkuasa  penuh  ke  atas  parti.  Ketika  persidangan pada  November dulu,  dia terpaksa meminta  para  perwakilan bertepuk   tangan  kepada  beberapa   perkara  yang  dicakapkan.  Itupun  satu  sambutan  dingin  yang  tidak  disangka-sangka. Pada  kali  ini,  kemarahan dan  perkiraan  akan  menjadi  semakin  tinggi.  Cara   para  perwakilan  bertindak  membahaskan ucapan  amanatnya  nanti  akan  menentukan  berapa  lama    dia   akan  memegang  kuasa  lagi . Pertaruhan  sudah  mula  disusun:  ada  yang  bertaruh  RM200,000 berasaskan  dia  tidak lagi  menjadi  Perdana Menteri  pada  Ogos  ini;  ada  pula  bertaruh  RM50,000 yang dia  akan  melepaskan  jawatan  dan menjadi longlai   sebelum  Julai. Tidak  ada  satu  mamat  pun  yang mempercayainya lagi betapa  dia  akan  melepaskan  jawatan  pada  2004 nanti.

Kini,  Mahathir  menghadapi  tekanan  yang lebih hebat  lagi oleh  keingkaran  Fauzi.  Para  pemimpin  UMNO  sudah  dipencilkan oleh  para  penyokong parti dan  juga  masyarakat  negara  ini sehinggakan  mereka  terpaksa  membayar  fulus  untuk  mendapatkan himpunan  manusia  menyambut  kedatangan  Wira  Dunia  Ketiga  ketika  beliau  turun di  Kampung  Mulia. Apa  yang  keluar  dari mulutnya  tidak berkesan  lagi melainkan kata-katanya  itu  diulang-ulang   sebagai  satu  penekanan oleh timbalan  perdana  menteri. Para  penyokongnya adalah  mereka  yang mengharapkan  keuntungan  kewangan  dan  mereka  yang  akan  menjadi  bahan  makanan serigala  lapar  sebaik sahaja  dia diterajang keluar. Lagi  lama  dia bertahan pada  jawatannya, lagi  teruk  tekanan yang dihadapi oleh  UMNO  dan  Barisan  Nasional serta  parti  komponennya. Pada  satu  ketika  dulu  akar  umbi  UMNO mahukan  dia  keluar  bersama menteri  kewangan, Daim Zainuddin. Kini, tidak  lagi. Mereka  menuntut  agar  timbalan  perdana   menteri  dan  juga  menteri  penerangan  turut keluar  sama. Kalaulah  Barisan Nasional  menang  lagi  tetapi  dengan angka majoriti yang  kecil ataupun kalah,  para  pemimpin  UMNO  di  Kuala  Lumpur  sudah  tentu akan  menjadi  parah.  UMNO  memang  sudah lemah  di peringkat negeri sejak lama dulu lagi.  Pengaruh  PAS  di  Pahang  memang sudah naik  melonjak  dan  berkemungkinan  akan menang besar  kali ini.  Seorang bekas  exco Pahang  sudah   pun  menubuhkan cawangan PAS di  Ampang Jaya.   Di peringkat  awalan  di  menjangka  sokongan  yang  kecil  sahaja,  yang  datang  berjumlah  ratusan banyaknya.  Pada  pemilu 1999  dulu  dia  berkempen  untuk   PAS.  Kali  ini  di Beserah, dia akan  melakukan  perkara  yang  sama. Memang teruklah  UMNO kali  ini nampaknya.

-MGG Pillai-

 

Terjemahan MT