Menteri Kesihatan Dan  Pesakitnya
(The Health  Minister  And The  Prisoner)


Menteri Kesihatan, Dato’ Chua  Jui  Meng naik berang  kerana  kemelut  pembedahan  mantan  perdana  menteri  Anwar  Ibrahim  telah mempersoalkan  kecanggihan  kemudahan  perubatan  Malaysia yang “bertaraf  dunia”.  Dia   memang  tidak  ragu  akan  keunggulan  kemudahan  yang ada.  Cuma, ketika dia  perlu  menjalani  pembedahan  ‘cardiac-bypass’,  dia  telah  membuat  pilihan utama  untuk dibedah  di  sebuah hospital  terkemuka   10,000 batu jauhnya. Tetapi, apabila  kontroversi  melibatkan   kesihatan  Anwar Ibrahim  menjadi  hangat   dia  telah  diarahkan  membatalkan  hasratnya  itu  dan  merelakan dirinya  dibedah di  Institut  Jantung Negara.  Kalaulah  dia  begitu  yakin  dengan  kualiti  khidmat perubatan  dan  kesihatan   Malaysia   ini  kenapakah  Chua membuat  pilihan  pertama  untuk  mendapatkan  rawatan  peribadi di  luar  negara?  Apakah  menjadi  satu  keajaiban apabila insan yang mahu dihapuskan  oleh  kerajaan  mempunyai  keraguan  mengenai  pembedahan  yang akan  dialaminya?   Tambah  pula  apabila pembedahan  yang  begitu  berbahaya kepada  keselamatan nyawa  itu  belum  pun lagi terdapat di negara  ini  dan mesti  dilaksanakan  dalam keadaan  yang tergesa-gesa?


Pakar endoskopik  Belanda, Dr.  Thomas  Hoogland yang mengamalkan kerjayanya di  Jarman, telah  tiba   untuk  memeriksa Dato Seri Anwar setelah  berlakunya pelbagai perbalahan remeh-temeh antara  kerajaan dengan Anwar.  Dia  telah  memeriksa Anwar  dan  mencadangkan  agar  beliau  menjalani pembedahan  yang  hanya boleh diperdapatkan  di seberang laut.  Pihak hospital Kuala  Lumpur bersetuju, tetapi menyatakan bahawa  kemudahan  pembedahan boleh  disediakan  di  negara  ini   dengan  ‘meminjam’  alat-alat  pembedahan  daripada beberapa  hospital  di  negara  ini.  Kalau ada  peralatan  lain yang  diperlukan,  bolehlah  Dr.  Hoogland  membawanya  daripada  luar  negara  secara  pinjaman  juga. Dengan  lain  perkataan  cadangan itu  adalah  bertujuan  mewujudkan satu  bilik  pembedahan  bertaraf  sementara. Menteri Chua  naik  berang apabila  Dr.  Hoogland menyatakan bahawa pakar  pelali  (anesthetists)  di  negara  ini tidak mempunyai  pengalaman dalam kaedah  mikroskopik.  Seseorang pesakit  akan  menerima risiko besar  seandainya  pakar   pelali tidak  mempunyai  pengalaman yang wajar. Dato' Seri  Anwar  bertegas  dengan pendirian beliau. Adakah sesiapa  lagi yang  beranggapan bahawa cadangan prosedur  kerajaan mewujudkan  bilik  pembedahan sementara itu merupakan  suatu  langkah bijak  untuk melegakan sesiapa  sahaja  yang akan  dibedah  di situ? Inilah  sebabnya   keadaan bercelaru  berlanjutan  lagi.


Keadaan semacam ini  melakonkan  kembali suasana  pertelingkahan  antara  Perdana Menteri  dengan  seorang Banduan,  yang  bermula  pada  satu  malam musibah  pada bulan September 1998.  Ketika itu Dr. Mahathir   telah  memecat  Anwar  Ibrahim  dengan   penuh  keaiban sebagai  timbalan  perdana  menteri. Dia telah dikenakan  tuduhan rasuah dan berkelakuan  kurang berakhlak dan  dipenjarakan selama  15 tahun  hasil satu perbicaraan yang penuh  kontroversi.  Kerajaan  telah  mengedarkan  secara  senyap-senyap  satu  kaset  video  menuduh Anwar  Ibrahim  berkelakuan  sumbang  dengan  orang yang tidak  dikenali. Itulah kerja  jijik yang tidak  beretika  yang  sanggup  dilakukan  oleh  Perdana Menteri  sehinggakan dia rela menayangkan video    lakonan  jijik  itu  kepada  pegawai tinggi tentera Malaysia   dan  diplomat, yang tidak ramai  pun  mempercayainya.  Pita video itu diedarkan  ke seluruh  negara secara  diam-diam dan dengan niat  yang amat jijik sekali. Kumpulan  Anwaristas bertindak-balas dengan  VCD  urusan  mereka  pula dengan   mengedarkan  terbitan  Australian  Broadcasting Corporation  mengenai   kes  pengadilan  Anwar  Ibrahim sehinggakan  sekurang-kurangnya 5000,000   salinan  sudah  terjual.


Yang menjadi  isu utama sekarang ialah keadaan kesihatan Anwar yang  semakin teruk  dan  bagaimana  penyakit  belakang yang  mengancam nyawa itu  boleh dirawat.  Anwar  masih berdegil dengan pendapatnya sambil kerajaan turut  bersikap  tidak acuh dan sengaja  mahu  berdendam dan  bergaduh.  Kerajaan cuba  mengubah haluan dengan  menggembar-gemburkan   betapa  Anwar  diberikan  layanan istimewa  yang tidak  pernah diberikan kepada banduan  lain. Memang benar kenyataan  itu  kerana  Anwar memang  menerima  layanan  yang baik. Kabinet  memang  ada membincangkan  setiap  permintaannya. Menteri  kesihatan  telah dicuit agar  membangkitkan  isu  semangat nasionalisme Anwar. Beberapa  pembantu  timbalan  perdana  menteri ada  terlibat   membincangkan  keadaan  tempat   tinggalnya di  Sungai Buluh dengan  pihak  berkuasa  penjara. Akhbar  New Sunday  times (01April 01)  hari ini elah  melaporkan betapa  satu  pasukan TV  RTM  telah  melawat bilik  hospital  beliau  dan mendapati betapa  dia  menerima layanan  istimewa yang tidak pernah dinikmati  oleh mana-mana  banduan di  negara ini. Jikalau  segala pemberitaan  itu  bertujuan   mendedahkan bentuk  layanan  yang  diberikan, makanya  kerajaan  harus  memberikan  penjelasan  kenapakah  peraturan  kerajaan  diperlekehkan  untuk  memberikan  kemudahan  itu  kepada  seorang banduan. (Kalaulah pemberitaan itu  satu  lelucon bertepatan April 1 yakni ‘April Fool Day’,  sudah  tentu  ia  akan mempalitkan  taik  ke  muka  pihak  kerajaan).


Dato  Sri Anwar sedang  menguasai keadaan sebenarnya.  Dia menguasai  keadaan  itu secara  remote  daripada  bilik penjara.  Musuh  ketatnya  Dr. Mahathir  Mohamed, sedang terpenjara  disebabkan Anwar  Ibrahim,  dan  bukan sebaliknya. Sebenarnya  Mahathir yang   terpaksa  meneliti  setiap  langkahnya. Dia  tidak mampu  bergerak   bebas kerana takut terserempak dengan kumpulan  Anwaristas. Dia  amat  gerun berucap di khalayak  ramai kerana takut  diejek dan  diaibkan. Kini  dia  tidak punya pilihan lain  dalam  menjalankan  tugas  menjelajah  negara untuk  melenyapkan   pengaruh  Anwar  di  peringkat  cawangan dan  bahagian  UMNO  yang sibuk bersidang. Bayangan Anwar Ibrahim sentiasa sahaja  menghantuinya. Kerana  itu  dia terpaksa  mengupah  agar  orang  datang  mengerumuni  majlis  yang  dihadirinya. Kini  dia menjadi  gelabah  lagi  apabila Dato Fauzi  Abdul  Rahman, di  Pahang  menerima hanya  sembilan  pencalonan  dan bukannya  20 untuk  membolehkannya  layak  bertanding  bagi  jawatan  ketua   bahagian  Kuantan.


Fauzi  memberitahu  adanya komplot untuk  menjatuhkannya.  Ia  berputik kerana  kedegilan menjauhkan   dirinya daripada Dato  Seri  Anwar  Ibrahim sedangkan orang  lain  melakukannya. Fauzi  menuduh  mantan menteri besar  yang kini menjadi  menteri penerangan  dan  setiausaha agung  UMNO, Khalil  Yaakob,  dengan tuduhan salah  guna kuasa.   Dia  telah  meletakkan  jawatannya  sebagai  wakil  rakyat   yang   memaksa  dilangsungkan  satu  pilihanraya   kecil sedangkan  kerajaan  sedang  mencungap untuk menghadapi upacara semacam  itu.

Perdana menteri   mengarahkan dilaksanakan  satu  siasatan  kerana  dia  terpaksa  bertindak  begitu  walaupun  perkara  itu  akan  menjerut dia lagi.   Inilah  satu  hayunan  maut  pihak  Anwaristas.   Seorang   apparacik  (petugas totok)  telah  memberitahu  saya  semalam untuk  bersedia  menerima banyak  lagi kejutan  seperti  itu apabila  pemilihan jawatankuasa di  peringkat bahagian  selesai  sebelum April berakhir nanti.


Tidak  kiralah  apa  lagi  yang   akan  berlaku. UMNO  sudah   pun  dijerut oleh kemungkinan  adanya  pilihanraya kecil.  Tidak  kiralah  juga  kalau UMNO   menerima perletakan  jawatan Fauzi itu. Apa  pun  yang  terjadi  UMNO  sudah  dijerut  oleh  keadaan  yang  besar  kemungkinannya  terpaksa menjeruk  Mahathir  agar  bersara  lebih  awal  daripada  yang diidamkannya.  Khalil Yaakob  pun sudah  menjadi  bahan jeruk-menjeruk  juga. Perdana  Menteri  dijangka tiba di Gua  Musang  pada 7  April. Inilah  kubu kuat seorang serigala Kelantan.  Ketibaan Mahathir  di situ  memberikan  kiasan  siapakah  yang   dibayangkannya  patut menggantikan  beliau  seandainya jeruk  yang disediakan  untuknya menjadi  pekasam. Dulu, dia tidak mampu mendesak  Majlis Tertinggi  UMNO  untuk  memilih  Tengku Razaleigh  menggantikan Anwar  Ibrahim sebagai  timbalan  perdana  menteri. Mereka bertegas  agar   pilihan  dibuat daripada  salah   seorang naib  presiden  parti. Terlantiklah  Abdullah  Ahmad Badawi  dan lantikan  itu  terpaksa diterima juga walaupun  pahit  rasanya.  New  Sunday  Times turut  berpendapat  bahawa kehadiran Mahathir  di Gua  Musang  nanti adalah  lebih  daripada   satu kebetulan.   Lagi  kerap  Menteri Chua  Jui  Meng  menyakat  Anwar  Ibrahim, lebih  kerap  lagi  sakatan itu  terpalit kepada  Perdana Menteri. Kedua  mereka  sedang  kesakitan yang  amat  sangat, seorang  sakit kerana  kecederaan  badannya, seorang  lagi kerana  musibah politiknya.


-MGG  Pillai-

Terjemahan MT 2.4.01