Mahathir  Layak Menerima Kekebalan
(MGG:  Mahathir  Deserves  Immunity)

Artikel  asal  ada  di Chiaroscuro (Malaysiakini 2.4.2001)


Selama 20 tahun memegang tampuk  kuasa  sebagai  Perdana  Menteri, dia  memang  telah melaksanakan  pelbagai  tugas  yang  boleh dipuji. Suaranya lantang  mempertahankan  hak dunia  ketiga dan berani  menjulang  martabat  negaranya  di mata  dunia. Dia telah diterima sebagai seorang negarawan sedangkan itu bukannya  calang-calang penghormatan.  Demikianlah semua penghormatan  itu  yang sepatutnya  dikalongkan  pada  nama   peribadinya seandainya  beliau  telah  bersara  dengan  megah  lima tahun yang lalu. Malangnya, semua jolokan itu  sudah terlepas juga. Semua  itu  gugur  gara-gara  ketaksuban beliau menghina dan  memusnahkan mantan timbalan perdana menteri, Anwar  Ibrahim.

Mahathir diperlekehkan kini sebagai  seorang ahli politik yang remeh-temeh dan pendendam  sehinggakan  semakin  berkurangan  manusia, termasuk mereka yang menganggotai  kabinetnya  dan keahlian parti  UMNO yang  bersedia mendengar tutur katanya.   Dia  terpaksa  berbelanja  besar  untuk  mengumpulkan manusia  sebagai  bukti  dia masih lagi  popular  di  kalangan  rakyat  jelata. Minggu  lalu  dia  melawat  Gombak dan akhbar  telah  menggembar-gemburkan  betapa  10,000 manusia berhimpun untuk  meraikannya. Malaysiakini  telah  melapurkan betapa pelajar  maktab TAR  telah dibayar  RM10 setiap seorang untuk menghadirkan diri. Berita  yang  sama diterima juga  untuk  mendapatkan  penyertaan  kanak-kanak sekolah  peringkat menengah untuk  turut  serta.


Apakah  perlunya  Mahathir  membuat  semua ini  kalau tidak  ada  sesiapa yang menandinginya. Himpunan manusia yang ramai bukanlah satu ukuran untuk  membuktikan bahawa dia mempunyai hubungan mesra dengan rakyat  jelata. Inilah unsur  yang kurang sihat  kerana dia cuba menandingi  jumlah  rakyat marhaen yang berkumpul  di upacara  tajaan  parti pembangkang. Sepatutnya  dia  mengkaji setiap suasana  itu laksana seorang   negarawan  bukannya  menggapai politik yang haprak  sambil  cuba  terus  berlagak. Inilah yang membuatkan dia terus  mengigau  yang mengganggu beliau untuk  tidur  nyenyak.

Banyak kenyataan Mahathir yang menggambarkan ciri-ciri politik kepartian  sedangkan dia harus menumpukan kepada martabat kenegaraan. Dia   meneliti setiap tindakan  pihak pembangkang termasuk mereka yang tidak bersetuju  dengannya  sebagai musuh negara sedangkan itu  bukan perkara sebenarnya kerana tak mungkin mereka  itu bersifat  demikian. Tidak  ada sebab  kenapa pertimbangan diri sudah mula menjauhi dirinya sehinggakan dia sudah semakin  kehilangan  pengaruh untuk  berkuasa. Pernah  di satu  wawancara dia menjawab  satu soalan betapa dia tidak peduli  apa yang akan dicatatkan  oleh  sejarah mengenainya. Pada  waktu itu dia sudah  mencalonkan dirinya  untuk dilonggokkan dalam himpunan daki-daki sejarah sahaja.

Segala tindakan Mahathir yang lalu, kini muncul  semula laksana hantu.  Bukankah  beliau  yang  mendabik dada memaksa   parlimen  dan dewan undangan  negeri  yang dikuasai Barisan Nasional  melaksanakan  pindaan  melucutkan  hak kekebalan raja-raja?  Saya  menentangnya  ketika itu seperti juga  saya  menentang sebarang  usaha kini  untuk  mendera  beliau  kerana  tindakannya semua  itu, dan  menganggapnya  sebaris  dengan  Presiden Suharto di Indonesia dan  Presiden  Estrada  di Filipina.


Tuduhan Tidak Berasas


Mahathir berada di puncak kegemilangan dengan   penuh nafsu  kerana  rakyat  yang  membiarkan dia  lama di  situ.  Dia   melaksanakan tugasnya  dengan rakus  kerana rakyat membenarkanya tanpa sanggup berdengus. Kini rakyat  mahukan  darah dan bulu hidungnya; di saat-saat dia sudah ternyata  semakin  menggelonsor untuk tersungkur. Kini rakyat  mahu membetulkan kepincangan diri dengan  bagak  dengan cara mencemuh  beliau  sebagai  penyangak.


Sebagai seorang ketua kepada sebuah  kerajaan, sepatutnya dia dibekalkan dengan  tangkal kekebalan. Kewajaran berpolitik, yang kerap diputuskan  atas desakan kesempitan masa tidak menyerlahkan  akal budi  yang  unggul setiap kali sasaran  kemarahan itu  lenyap  begitu  sahaja. Perkara ini tentu sekali telah disedari oleh Mahathir masa kini.  Malangnya adalah  sesuatu yang janggal kalau diwujudkan  satu sistem betapa raja dan  sultan  dinafikan hak kekebalan, sedangkan hak itu diberikan kepada  seorang perdana menteri.

Kalau raja-raja telah dinafikan kekebalan itu, adalah sukar untuk beliau memiliki hak yang sama.  Dengan lain perkataan  Mahathir  kini sedang terkangkang dalam  satu jurang dalam  yang  dia  sendiri rancang. Apatah  lagi  kalau dia  masih  berdegil mencampuri kerenah politik UMNO di  Kelantan, yang melalak mengatakan cadangan meminda perlembagaan negeri  untuk menyeragamkan inti patinya  dengan perlembagaan pusat adalah sesuatu  yang bersalahan.


Adalah sesuatu yang penting apabila ketua negara  dan  kerajaan  tidak  melengah-lengahkan  tugas  memimpin untuk  kepentingan  negara. Termasuklah tugas  yang  mungkin  memenjarakan rakyat  marhaen walaupun   bukannya  perkara  mudah untuk melaksanakan tugas   semacam itu.  Tetapi, sebagaimana   yang kita lihat dalam kes Anwar  dulu, mahkamah Malaysia tidak  pula mempunyai fahaman  semacam itu. Inilah yang  dihadapi  oleh  Mahathir  dan  terus  menghantuinya.

Kekuasaan yang  lama dinikmati memang mudah memabukkan.  Tetapi, negara memang  ada  sistem perundangan untuk  menambat  dan  mengimbang. Di Malaysia  sistem  inilah yang  telah dihancurkan tanpa banyak  soal  dan  sesiapa  yang sanggup  mencabarnya.  Contohnya  ialah  penghakiman  yang kini  mengaibkan negara  apabila  rakyat  biasa  mendapatkan  pampasan  RM100 juta  ataupun  lebih  lagi dalam tuntutan  rugi  terhadap  institusi separa kerajaan seperti stesen TV.

Yang  Kemas Dan Kematu

Segala tindakan  melulu yang  dilaksanakan dulu  sudah  menjadi  semacam satu  pengunci  yang kemas  yang  tidak membolehkan sesuatu   yang terkunci untuk  lepas  keluar darinya. Selalunya  orang  yang  berfikiran mudah  menggigil menjadi kematu kerana terasa  betapa hinanya   apabila ada ketua  kerajaan  dan  negara  dihadapkan ke mahkamah  laksana seorang penjenayah.
Masalah Barisan  Nasional dan  UMNO menjadi  bercela di  Pahang apabila Sultan negeri   itu  dihadapkan ke  mahkamah khas  berkaitan satu urusan  tanah yang  dipertikaikan.  Kes  telah dibuang begitu  saja namun suasana  yang sudah tercemar dibuatnya; menyebabkan   kemasukan PAS  dalam arena politik negeri menjadi  lebih  mudah  lagi.

Inilah   jadinya  nanti  apabila  Perdana  Menteri  dikehendaki  bertanggungjawab  ke atas  setiap  tindakannya. Kita seharusnya  melihat   sejarah  negara  ini lebih  ke  hadapan  daripada  apa  yang  ada di  depan  mata. Situasi  yang  terdedah  kini menunjukkan kita  rakyat  Malaysia  telah  berjalan meraba-raba ketika tidur  selama setengah  abad  kemerdekaan  negara,  dan  kini  tiba-tiba  merasa bersalah  dan  mahu  memperbetulkan kesilapan  yang ada.  Ini  adalah  satu fahaman yang  silap.  Dr.  Mahathir  tentu  setuju   dalam hal ini, seperti  juga  dia  akan  bersetuju  betapa dia tersilap  dalam  melakukan  pindaan  kepada  perlembagaan  yang  menafikan hak raja dan  sultan kepada  tangkal kekebalan.


Apabila institusi  negara  dicemari  martabatnya, sistem  kenegaraan pun merudum sama. Selama  20  tahun  berkuasa,  Dr. Mahathir  mempunyai  banyak peranan  untuk   menjawab  kenapa.  Namun,  semua  itu tidak  mampu  dilakukannya  tanpa  kerelaan   kita. Sistem  perundangan yang  dicabulnya  adalah bukan  cerita baru; betapa keadaan sedang diperbetulkan tidak  semestinya  membebaskan para  hakim  yang terlibat  dalam pencabulan itu  terlepas daripada pengadilan. Kiasan cerita  mengenai  tertidur sambil berjalan meraba-raba tidak  melibatkan  segelintir ahli masyarakat  tertentu sahaja.


Kekebalan kepada  ketua  kerajaan dan negara adalah  satu  hadiah yang  kecil untuk  menentukan  keselamatan  negara. Kalau  dicetuskan  juga  kisah  tanggungjawaban ia mesti  dipertikaikan  kepada  orang  lain  juga. Tetapi  itu  adalah soalan  yang  perlu  difikirkan oleh  seorang  manusia bernama Dr.  Mahathir  dan  tidak  semestinya  oleh perdana Menteri  Mahathir. Dia  perlu  bertaubat  secepat  mungkin. Inilah  yang nanti menjadi satu tragedi persendirian dan tidak semestinya membabitkan  negara. Malangnya  ini  adalah sesuatu  yang   tidak  dapat dielakkan.





Menjatuhkan air muka


Saya  tidak  sanggup  menerima cadangan bahawa satu  contoh  perlu dilakar  untuk menghalang  orang lain  melakukan  kebajingan yang serupa. Ini adalah   sesuatu yang saya  anggap tidak ikhlas.  Hukum bunuh  tidak pernah  menghalang orang lain melakukan pembunuhan, tidak  juga  penghapusan hukuman itu  menjamin berkurangnnya pembunuhan. Mewujudkan lebih banyak lagi  hukum perundangan tidak bermakna jenayah  akan berkurangan. Sikap tidak  perihatin kepada keadaan  sekeliling yang  membuat  seseorang  itu hidup  dengan  pemikiran berbeza daripada  orang lain.


Dalam  perjalanan sejarah, ramai  pemimpin yang  pintar  berlakon; jatuh juga tersungkur dan terpinggir. Tetapi,  itu  tidak bermakna  semua  orang yang mempunyai  perwatakan  seperti  itu  akan turut menerima nasib  yang  serupa. Kalau kita  perteguhkan  institusi kita yang ada,  dan  kurang  jalan meraba ketika tidur, dan  laksanakan hak demokrasi  kita, segala  kebajingan  itu dapat  disekat tanpa menggunakan  sebarang  unsur perundangan. Apa  yang berlaku  di Malaysia  setakat ini adalah  tanggungjawab  kita  dan merupakan gambaran kebajingan kita juga. Menghukum  perdana  menteri  agar  dia  bertanggungjawab  ke atas  semua  kebajingan itu  tidak  akan  menyelesaikan  suasana  yang  sudah  pun mencemarkan maruah negara.


Hak   kekebalan  mesti merupakan   sesuatu  yang  mutlak. Bagaimana cara  ia  dikuatkuasakan adalah cerita lain  pula. Yang   menyulitkan  perkara  ini  ialah keengganan  kerajaan  membincangkan  perkara-perkara  penting  secara  tidak formal  supaya  dapat  dicapai satu titik  persetujuan  untuk  mengheningkan keadaan. Sebarang cadangan menuduh Mahathir  bertanggungjawab adalah satu  laungan  terhadap  peribadinya.  Ada  banyak cara lagi  untuk menangani perkara  ini  tanpa  menggadaikan  maruah dan martabat  negara. Itu sebabnya tindakan  terhadap perkara ini, seharusnya tidak diperpanjangkan lagi, lebih dari  yang  ada.



-MGGPillai-

terjemahan MT