Penangan  Internet  Di Malaysia
(The Internet  Wags The  Media  Dog In Malaysia)

Ketika  rakyat marhaen bangkit  dalam ‘Kebangkitan Tienanmen’, seluruh dunia  mengikutinya  melalui mesin faks. Di Indonesia,  kejatuhan  Presiden Suharto  telah  dipermudahkan  oleh  emel.   Di Filipina sistem pesan-memesan yang disediakan oleh telefon mudah alih telah menyatukan  rakyat jelata  berhimpun  di  Manila  untuk memaksa Presiden Estrada  melepaskan jawatannya. Di  Malaysia, peranan semua  alat komunikasi  itu  sudah diambil alih  oleh internet  pula.

Internet (Net) telah  menjadi satu kuasa  politik kerana sokongan kerajaan Dr.  Mahathir Mohamad  terhadap  MSC (Multimedia Super Corridor: Lebuh raya Multimedia),  sebuah  Lembah  Silikon Asian yang keluasannya  sebanyak 650 kilometer persegi  adalah lebih besar daripada Pulau Singapura.  Pihak parti   pembangkang, dan mereka yang mempunyai pendapat berbeza dengan kerajaan, telah  menyesuaikan diri dengan teknologi  baru  ini laksana  itek yang  dilepaskan ke air. Mereka telah menyerap  pengetahuan  IT  dan menyebarkan  pengalaman  dan  pesanan melalui dunia siber.

Ironinya, keghairahan  mereka itu telah  dipermudahkan  oleh iltizam kerajaan  yang  tidak  pun mengenakan  sebarang hambatan dalam urusan dunia siber. Malahan di waktu yang sama pada 1996 itu, saya  memulakan  satu kumpulan siber untuk  bertukar fikiran  dalam  dunia politik yang diberi nama  ‘Sang Kancil’. Saya  memang merupakan  penulis  yang ‘disekat’ daripada   menyumbang  kepada   akhbar  perdana  yang dikuasai  oleh kerajaan  Malaysia  kerana  pandangan  saya  menjadi   bahan igauan kepada mereka yang  berkuasa.  Namun,  nukilan  saya  masih tersiar   seperti biasa  dalam akhbar-akhbar  Melayu  yang bukan bertaraf  perdana.  Memanglah tidak  ada sebarang pengharaman kepada penulisan  saya  itu,  namun saya telah diberitahu sejelas-jelasnya bahawa tulisan  saya  itu  tidak  diterima oleh  media  perdana.

Sejurus selepas saya lancarkan Sang  Kancil, seorang  peniaga  telah mengenakan  tuntutan ganti rugi dan  menuntut RM100 juta  (bersamaan $US 40juta, kini sekitar  $25 US  juta  sahaja).  Mahkamah  Agong Malaysia (disebut di sini dengan panggilan  Mahkamah Persekutuan)  akan  mengadili kes saya  minggu  hadapan  (April 9)  untuk  mengenepikan penghakiman  dalam
satu  lagi  kes  tuntutan  libel,  berasaskan   sikap   Ketua Hakim yang ternyata  ‘bias’  (sikap berpihak-sebelah)

Kini,  Sang  Kancil merupakan satu  forum perbincangan yang sungguh popular mengenai  suasana politik Malaysia dengan  jumlah  penyumbang yang sudah pun mencecah  2,200 orang. Artikel saya  daripada forum ini  muncul dalam sekurang-kurangnya 30 lagi laman web di Malaysia. Nukilan saya  dalam Bahasa Inggeris diterjemahkan dalam Bahasa Melayu  dan disiarkan dalam bentuk Rumi dan Jawi. Ia   diedarkan pula  ke pelusuk negara tidak kira  betapa  jauh ceruknya.  Insan perseorangan telah  menterjemah  dan  mengagihkan  secara sukarela sebagai satu  usaha  kemasyarakatan gamaknya.

Di  tahap  awalannya selama  dua  tahun, Sang  Kancil  bernafas  sederhana dengan beberapa   ratusan  keahlian  sahaja. Ia bergerak  secara  bersahaja semata-mata   dengan komen harian saya mengenai suasana  politik.  Tetapi pada September  1998,  seluruh  senario berubah  rupa.   Perdana  Menteri Mahathir baru sahaja memecat  timbalan  perdana menteri, Anwar  Ibrahim dengan menangkap dan menuduhnya berkelakuan sumbang dan bersikap rasuah. Ketua Polis Negara  telah  turut  memainkan  peranan  utama dengan menghayun beberapa  pukulan karate untuk menghenyak  beliau.  Mahkamah telah  menghukum Anwar  dipenjarakan selama 15  tahun. Inilah  satu tindakan mahkamah   yang  dianggap  oleh  majoriti  rakyat  marhaen sebagai satu vendata  untuk membalas   dendam  sahaja.

Para penyokong Anwar bertindak berpiket di jalan raya dalam  satu konfrontasi politik  yang akhirnya menjadikan Dr. Mahathir  bertukar laksana seekor itik yang tempang.  Mereka  telah  dirangsang oleh    kemudahan  internet. Ratusan  laman Web telah muncul untuk  memberikan sokongan  kepada  tokoh politik yang diaibkan dengan  tahanan itu  sambil  semua  telunjuk  sumpah
seranah dihalakan  kepada Dr.  Mahathir   dan  kerajaannya.  Kerajaan tidak pun berbuat  apa-apa, ia sudah  pun berjanji  sebelum itu untuk tidak melakukan  sebarang penapisan. Cuma ia tersilap  langkah  kerana  tidak bertindak  membuka  laman Web sendiri  untuk memerangi   kebanjiran internet rakyat  marhaen.

Oleh  kerana  rakyat marhaen  ketandusan  maklumat   sahih  mengenai krisis politik, mereka telah bergantung harap mendapatkannya di Laman Web. Sang Kancil berjaya  menyumbang satu bentuk maklumat  yang  mengimbangi segala cerita mengenai keadaan  yang berlaku. Tetapi,  satu  akhbar siber yang diberi nama ‘Malaysiakini’  muncul tahun  lalu untuk mencetuskan perubahan yang besar. Akhbar itu  bermula dengan bantuan  modal daripada satu kumpulan  kebebasan akhbar  antarabangsa,  membolehkannya  membuka laman web dalam   Bahasa Inggeris  dan  Melayu.  Kerana  kekurangan  modal  yang besar,   kelahirannya  jelas  tercungap   dan  lesu.  Tidak  lama kemudian, muncul  pula  Agenda Malaysia, satu  lagi  usaha  yang  kekurangan   modal yang  cepat  ketandusan  peluru  untuk  terus  bernyawa  dan terpaksa ditutup  dulu  sebelum  diusahakan semula baru-baru ini. Ada   juga  akhbar siber  lain seperti  saksi.com. Mereka  ini   memberikan pemberitaan alternatif kepada  berita yang diusahakan   oleh  akhbar perdana.

Ketua  pengarang Malaysiakini, Steven  Gan  telah memberitahu  mengenai  usaha penerokaannya: “Kami  masih lagi berperanan  laksana koboi. Kami mempunyai sekitar  lapan  orang   wartawan berbanding  ratusan yang  digaji oleh  akhbar   perdana. Namun,  kami diadili kerana  kewibawaan  laman Web yang   memberikan  berita  yang  tidak  mampu  disiarkan  oleh   akhbar utama.”  Ironinya,  kebanyakan  berita   ‘eksklusif ‘ Malaysiakini  adalah berita  yang dibakul-sampahkan  oleh  akhbar   perdana.

Pelancaran akhbar  on line  (talian siber)  yang  bebas  mencetuskan  satu kesan yang  sungguh  mengejut. Jumlah  pengedaran (penjualan)  akhbar perdana jatuh   merudum. Sebahagian  besar  fenomena  ini adalah disebabkan pemboikotan para  penyokong Anwar. Lapuran  di  internet  semakin diminati dan  para  pembaca   mencetaknya  pula  untuk  diagih-agihkan. Ratusan ribu salinan  difaks  dan  diposkan  merata  negara sambil menyanggah  pemberitaan cetakan perdana.

Gan berkata bahawa  internet  telah mencabar monopoli kerajaan  ke atas ‘kebenaran’ dengan berkesan  sekali  sehinggakan akhbar yang dikuasai  oleh kerajaan    termasuk  radio  dan TV   menyedari  betapa  pemberitaan dan citarasa  propaganda  kerajaan sudah semakin diperlekehkan.

Setelah   memperlekehkan cabaran  Net  untuk  satu  ketika  yang  lama, tiba-tiba  kerajaan mula  bertindak  secara   tergopoh-gopoh, bulan  yang lalu. Kerajaan  telah  memulakan  satu  kempen terhadap  Malaysiakini dan Gan,  menuduh  mereka  menerima  dana  asing  yang  berpunca  daripada pelabur  kaya raya, George Soros.  Selama berminggu, rakyat  marhaen dan juga beberapa laman  web telah dihenyak  dengan putar belit  itu, dengan menyogok bahan   propaganda yang palsu sehinggakan pada penghujung  kempen jijik  itu ‘Malaysiakini’  menjadi   perkataan  manis di hujung  bibir manusia.  Jumlah capaian harian sebanyak 100,000 sebelum itu  berlipat kali ganda peningkatannya sehingga  mencetuskan sokongan baru  untuk memulakan pengiklanan  yang  menarik.

Tan  Sri Ghazali  Shafie, bekas  Menteri    luar negara,  yang pernah memberikan  perkhidmatan  yang cemerlang dan unggul kepada kerajaan termasuk satu  ketika  untuk  menjinakkan  wartawan, telah berpendapat bahawa kerajaan  telah tersilap sasarannya: “Kerajaan  telah mengabaikan kuasa internet  kerana menunggu  lama-lama. Kini,  kerajaan  cuba  memperbaiki
kelemahannya dan  sudah   pasti  kalah dalam usaha peperangannya.”

Internet sudah  pun  menjadi  satu peralatan  penting  dalam perjalanan mencapai  kebebasan  persuratkhabaran. Kerajaan  telah  menjerut  akhbar dan majalah  dengan  menekan  para  penerbit  untuk  mendapatkan  lessen rasmi  setiap  tahun dan  mempunyai  kuasa  dan selera untuk  menggantung lesen  itu seandainya muncul berita yang tidak menyenangkannya.  Kerajaan
mahu berperanan besar dalam   mengaturkan  cara parti politik  pembangkang menyibarkan  maklumat   mereka. Kerana  itu,  parti pembangkang hanya dibenarkan menjual  penerbitan  mereka  kepada  ahli-ahli  sahaja.   Tetapi PAS  menyanggah  kerajaan dan melanggari peraturan  terhadap penerbitan akhbar dengan  menerbitkan HARAKAH, sebanyak lima kali seminggu.  Kerajaan bertindak mengurangkannya sebanyak  dua kali seminggu dan kini menjadikan penjualan  setakat  dua  kali  setiap bulan.

Walaupun HARAKAH  merupakan akhbar sebuah   parti politik,  ia  kini sudah diberikan   penghormatan yang besar kerana pemberitaannya.  Terbitan dalaman yang menggunakan Bahasa Inggeris yang setakat 16  muka  surat sahaja  itu  dimuatkan  dengan  pandangan dan  nukilan mengenai suasana Malaysia dan menjadikannya  satu  akhbar yang paling diminati  di Malaysia. Editor  bahasa  Inggeris, P.K.  Mohamed  Koya, berkata dia cuba menyediakan  satu  akhbar  yang  memberi tumpuan  kepada isu-isu terutama sekali  yang bersangkut-paut   dengan  Malaysia.

Itulah  dia sebuah   akhbar  keIslaman  yang  baik suntingannya dan  yang   telah  menjaminkan  pengedaran  semasa sebanyak 300,000; tiga kali  ganda dalam  masa tiga  tahun.  Di  sebalik  segala  hambatan  seperti   pencetak yang  mahukan pembayaran  dulu sebelum  mencetaknya dan  kesukaran menukar pencetak  selalu,  yang  juga  memerlukan  lessen  khas  untuk  berbuat begitu,  Harakah  berjaya  untuk terus  maju.  Pencetaknya  telah diheret bersama  penerbitnya  setiap kali  syarat  penerbitan  dilanggari dan inilah yang  menjadi salah satu  penghambat  yang  mengecilkan hati.

Oleh kerana  sentiasa ditekan, PAS  dan  parti  pembangkang  yang lain telah pun  mewujudkan laman  Web masing-masing. Satu kelompongan dalam perundangan  memberikan ruang  kepada  penerbitan akhbar internet  dan laman-laman Web tanpa keperluan  mendapatkan  lessen.  PAS  mempunyai  dua laman  web  yang  amat  diminati oleh  para   pembaca sehingga  mencatatkan capaian (hits)  sebanyak  100,000 setiap  hari.  Di  samping  itu,  ada beberapa  lagi  laman  web  yang  aktif memberikan sokongan kepada  Anwar yang  masih  terpenjara.

Sebagai  perbandingan, semua  akhbar    perdana  dipunyai  oleh   pihak yang  memihak  kepada  Barisan Nasional  yang  telah   memerintah  negara sejak 1955.  Semua   akhbar itu sedang  tercungap  kerana  kekurangan pengedarannya. Pengedaran  New Straits  Times yang  pada  kemuncak keseronokannya dulu  mencapai 200,000setiap hari kini sudah  menurun  ke bawah 100,000 sahaja.  The Star  masih  mampu  meraih  keuntungan  dengan pengedaran  yang  dua kali ganda  daripada  NST.   Akbar The  Sun,   yang kini  dimiliki   oleh  tuan punya  yang  baru  dengan modal tambahan telah mempelajari  pengalaman  akhbar-akhbar siber, dan  mula merobah  cara pemberitaannya  sehinggakan  mampu  menjadi  akhbar berbahasa Inggeris yang  kedua  paling  diminati.

Tetapi,  tuan punya  dan pemilik yang terbaru  itu  sedang merasakan  tekanan pihak  berkuasa  dan  bertindak  untuk  mengalah. Ada  desas-desus  betapa   ‘The Sun’ mungkin  akan  dijual dan ada  yang  mengatakan bahawa  bekas ketua   pengarang  NST  dulu  yang   akan  menjadi  pemiliknya  yang baru. Berita ini  masih  belum  dapat  diperakukan. Akhbar  itu    sudah   mula
kehilangan arahnya  dan  semakin cepat menuju ke  kancah  kemalapannya.

Yang lebih  penting lagi,  akhbar internet  telah merangsang  akhbar-akhbar perdana  untuk  memperbaharui   hidangan berita mereka.  Walaupun ini sedang  diusahakan,  nampaknya kejayaan  yang   diimpikan   itu  akan memakan masa juga.  Namun, beberapa  penulisan dalam  ruangan  khas  yang diterbitkan kini mungkin sudah  mampu  dijadikan  bahan  untuk menyingkirkan
para   penulis artikel  itu  pada satu  masa  yang  lalu.

Gan  telah  merumuskan fenomena  ini   dengan  jelas sekali. “Monopoli kerajaan  terhadap  kebenaran sudah pun tercabar. Kerajaan sudah berlagak laksana  seekor anjing (miang) di  musim   mengawan,  yang menggigit dan menyalak  tanpa  keruan kepada sesiapa  yang  menyalahkannya.  Namun tidak ada  sesiapa yang  mempedulikannya  kerana  mereka menyedari  bahawa  tidak ada  kebenaran  di   sebalik  kenyataan   kerajaan  itu.” Cabaran  internet  di  Malaysia  sudah  merupakan pendapat  rasmi  negara, dan telah  berjaya mendesak  kerajaan    memperakukan bahawa  memang  banyak kepelbagaian dalam sesuatu  kebenaran itu daripada  yang termampu diputarbelitkan oleh kerajaan.


-MGG  Pillai-
Khamis, 5 April,2001......

Terjemahan MT