Mulut   Tabuh  Dapat  Disumbat,  Mulut  Orang……?
(For Whom The  Bells  Toll)_



Ketua    UMNO   Bahagian  Kuantan, Dato Fauzi  Abdul  Rahman,  telah  menyindir   para  pemimpin  UMNO begitu  hebat  sekali  sehinggakan  BPR  melawat  pejabat   syarikat   kerjasama   yang  dipengerusikan  oleh   timbalan    pengerusi  UMNO   Kuantan,  Dato’  Faizal   Abdullah  dan  mengambil  beberapa  dokumen  yang ada  kaitan  dengan  lapuran  tahunan yang  terkini.  Tidak   ada   sebarang  petanda  yang  akan  mengaitkannya  kepada  sebarang salah laku,  tetapi  ia   tentunya  bertujuan  kepada  sesuatu.  Dokumen  yang selalu  diambil  oleh  BPR  memang   jarang sangat   dipulangkan dan  kerap  menyebabkan  sesuatu  organisasi  itu  menjadi  pincang.   Mungkin   ini  bertujuan   memesongkan  perhatian  daripada  masalah  utama:  tuduhan Dato  Fauzi  bahawa  Setiausaha  Agong  UMNO,  merangkap  menteri  penerangan  telah  menyalahgunakan  kekayaan  negara.  Inilah  yang   membuatkan para  pemimpin  UMNO  gelabah  kini dan perkara  itu  tidak  dibincangkan  lagi  secara  terbuka.  Satu  siasatan dalaman  sudah  pun direncana,  pihak  polis dan BPR  pula  bertindak  secara  sambil lewa.


Perkara  semacam  ini  memang sudah dijangka.  Perhatikan  sahaja  puluhan lapuran polis   terhadap  ahli  kabinet yang  dibuat  oleh mantan  timbalan  perdana menteri  Dato’ Seri Anwar  Ibrahim dan  para penyokongnya.  Tidak ada satu  pun  yang  dikaji  secara  serius. Seolah-olah  ia  sudah  menjadi  satu dasar  kerajaan bahawa  kalau  ada  pun   menteri  kabinet yang  perlu  dijahanamkan  ialah  Dato’  Seri  Anwar Ibrahim.  Sikap  ini  adalah  didorong kepada   ketakutan  terhadap  kesan politik  yang  mungkin  terserlah  darinya. Secara   persendirian,  mereka  di  dalam kabinet itu   memang bersetuju  seandainya  penyiasatan dibenarkan  sehinggalah  ke penghujungnya,  sudah  tentu  akan  wujud  satu  barisan   panjang  di luar  penjara  Sungai  Buluh   di  mana ramai  lagi insan  yang  akan  masuk untuk  bersama-sama menemani banduan  terhormat  yang sedia  ada di  situ.  Lapuran  polis  mengenai  para  menteri  dan  pegawai  tinggi  yang  korup  sudah  menjadikan   Dato  Seri  Anwar  seorang tokoh  politik  yang  mampu  meraih  sokongan  terhadap Anwar  yang  dianggap  bersih  itu.  Lapuran  Dato’ Fauzi  kini  menyanggah  tahap  etika  pemimpin   UMNO   yang  ada.  Kedudukan Dato’  Fauzi yang bersahabat  rapat  dengan  Dato’ Seri  Anwar  membuatkan perkara  itu   lebih   menarik  lagi.


Perdana  Menteri  memang  sudah  terperangkap  dengan  kemelut  ini.  Tan Sri  Khalil  dan Dato’ Fauzi berkahwin  dengan wanita yang  merupakan  adik-beradik  tiri.  Mereka  memang rapat dan saling membantu. Keduanya    mempunyai   sokongan yang  kuat  di kalangan UMNO  Kuantan.  Semua  itu terungkai  oleh sebab  kisah  Anwar.  Dato’ Fauzi  memang  tidak  pernah  berselindung  mengenai persahabatannya  dengan  Anwar. Dialah   di  antara  yang mula-mula  berada  di  rumah  beliau  di  Bukit Damansara  selepas   beliau  dipecat  daripada  UMNO  dan  kerajaan  pada  September  1998.  Namun,  pada  pandangan  para  pemimpin  UMNO, para  penyokong   Anwar  dalam  parti,  terutamanya  dalam  kerajaan mestilah dihumbankan  secara  sistematik. Sikap  inilah yang membawa padah  kini.  Dalam  hal  ini  apa   yang  akan  terjadi  kepada Dato’ Fauzi tidak dikira penting  lagi.  Seperti  juga  dalam suasana  politik  dan budaya,  apa  yang  terjadi  kepada  sahabatnya  yang  terpenjara  itu.


UMNO   memberitahu  dunia betapa  ia  menghormati   undang-undang yang  ada. Tetapi  undang-undang itu  bukannya  untuk  menyiasat   segala  kerakusan  mereka,  Cuma  untuk  musuh  para  pemimpin  sahaja. Menteri  hal  ehwal  dalam negeri Abdullah  Ahmad  Badawi, sepatutnya  telah  mengarahkan  polis,  bukannya  jawatankuasa  disiplin UMNO,  untuk  menyiasat  segala  tuduhan Dato’ Fauzi.   Yang  tercabar  sekarang ialah  martabat  UMNO dan  juga  kerajaan.  Keadaan  ini  telah  ditangani  dalam  keadaan  panik dengan  keyakinan  perkara  ini  dapat  diselesaikan  seandainya  akhbar  perdana tidak  melaporkan  berita seterusnya . Soalnya  sekarang,  hak  UMNO  memegang mohor  ketuanan  Melayu  itu  sudah  pun  dicabar  di gelanggang politik  dan  budaya.    Setiap  tindakan  yang dilaksanakan oleh   pemimpin  UMNO   memperteguhkan kepercayaan  bahawa   masa  kegemilangan  UMNO  itu  sudah  tinggal di  lembaran  sejarah  sahaja.  Kegemilangannya  sebagai  tonggak  pergerakan nasional  Melayu  sudah   pun  merudum  ke  tahap sebuah parti  politik  biasa sahaja. Segala  kesilapan  yang  dilaksanakan  oleh  para  pemimpinnya  yang  lalu kini  datang menghantuinya.

Sememangnya,  cabaran besar kepada  UMNO  ialah apa  yang akan  terjadi   apabila  sesiapa  sahaja  yang  akan   menjadi  perdana menteri.  Mengikut  keadaan  yang ada, jawatan  itu  adalah  merupakan  hak  Abdullah  Ahmad  Badawi, kalau mengikut logiknya.  Tetapi,  iklim  politik  yang sedia  ada meyakinkan Abdullah   tidak  mempunyai  kemampuan    memperbetulkan  segala  kerosakan  yang  telah  mencemari akar  umbi  parti. Sebagai  seorang  timbalan  perdana  menteri dia  telah  menjadi  terlampau  angkuh  untuk  menyatupadukan kembali  kumpulan  yang sudah  bersengketa. Apatah  lagi  setelah  persengketaan  di  kalangan  para  pemimpin  UMNO  sudah  menjadi sengit  secara   terbuka. Hubungan  di  antara  Perdana  Menteri  dan  menteri kewangan  beliau  sudah semakin   genting dan dijangka akan  meledak  tidak  lama lagi. Yang  membuatkan  perkara  ini lebih tegang  ialah  peristiwa  penyelamatan  KWSP dan  KWAP terhadap kemelut TimeDotCom dan  juga  tindakan  kerajaan  membeli balik  saham  Tajudin  Ramli dalam  proses  penyelamatan MAS,  dulu.


Saya  telah  diberitahu  akan  kisah  perjumpaan  rahsia yang dihadiri oleh  orang lain  juga di mana  Dr. Mahathir  menyoal Tun Daim  mengenai  kisah penyelamatan  dua  syarikat  itu. Perdana  Menteri  bertanyakan  mengenai  pendedahan dana  KWSP   dalam ‘syarikat  peribadi’  TimeDotCom  itu.     Abdul  Daim  tidak ingat  akan angka-angka yang  terbabit,  mungkin  dia ‘terlupa’ di waktu  itu, dan Dr.  Mahathir  mahukan  jawapannya  dalam masa  seminggu.  Tempoh yang  diberikan  itu  sudah  lama berlalu,  jawapan  yang dinantikan  itu  belum  diberikan   lagi. Mungkin ini  caranya  mereka berdua  membincangkan  perkara-perkara   bersangkutan  negara. Memang tidak  ada yang  ganjil  dalam  perkara begitu.  Tetapi, saya  ada  mendengar  rintihan  Abdul   Daim kepada  para   pembantunya:  dulu   dia  menemui ketuanya  itu  sekadar  lima hingga enam kali  dalam  sehari,  tetapi kini  cuma  sekali  dalam enam  hingga  tujuh  hari.  Perdana  Menteri  mungkin  sudah  semakin  sedar betapa  banyak  perkara  yang  membabitkan  namanya  sudah  menjahanamkan martabatnya  juga. Inilah  bahananya: dulu  dia  menghabiskan masa  yang  banyak  untuk   merencana bagaimana mahu  memusnahkan  musuhnya, sedangkan  orang-orang yang  rapat dengannya  menghabiskan  masa  yang  banyak   untuk  memusnahkannya. Kepada  Dr. Mahathir  Mohammad inilah  Dilema  Melayu,  namanya.

-MGG  Pillai-
Sabtu  7  April, 2001.

Terjemahan MT