Gajah Putih  Saman  Lim Kit Siang
(White  Elephant Port  To Sue  Lim  Kit  Siang For  Saying So)



Lembaga  Pelabuhan  Miri   yang berharga  RM350  juta sudah  naik  berang.  Pelabuhan  yang kini  dianggap  sebagai  satu  gajah putih  itu, seperti  banyak  projek  lain juga,  dibina  hanya  untuk  memberitahu  dunia  bahawa  ia memang sudah  pun  terbina.  Itulah  juga  yang  berlaku kepada  Pelabuhan  Kuantan,  sebuah  projek gajah  putih  lagi  yang  diwujudkan  sekitar  1970-an untuk  membolehkan  beberapa orang  kroni  menjadi  kaya raya.  Kalau pun ia  berguna  dan  dapat  berurusan,  bererti  ia  hanya satu  kebetulan.  Kita  sedar apa  yang  berlaku  kepada  projek  Empangan  Hidro Bakun,  yang  menjadi  lambang  kegagalan Tan Sri  Dato’ Paduka Dr. Ting  Pek Khing  dan syarikat  hartanahnya,  Ekran  Berhad yang meraih   RM800  juta.  Kini   dia  diberikan kontrak lagi  bernilai  sekitar RM  150  juta  untuk  kerja-kerja  tambahan  markas  tentera  laut di  Sabah. Ekran  menyatakan  kontrak  itu  adalah  untuk  kerja utama pengkalan  laut  itu;  tetapi  ia  berbohong  sebenarnya. Lagipun  kalaulah  pengkalan lautan  Sepangar  itu yang lengkap  dengan  kemudahan  untuk  kapal selam   yang  tercanggih  boleh  dibina dengan harga yang kurang dari kos  membina pelabuhan  Miri, tentu  sekali ia memberi petanda  bahawa  sampan  pun tidak akan mampu mendarat  di  pengkalan  itu dengan selamat.    Pengkalan laut  itu  sebenarnya akan berharga lebih  daripada  RM1 bilion. Itu pun merupakan  satu  perkiraan  yang  masih  belum lengkap lagi.


Beberapa  kontrak  seperti  ini  difaraidkan kepada  para  kroni  pihak  yang  berkuasa  selalunya  tanpa  sebarang tender  dan penyeliaan  yang  sempurna. Kalaulah  Pelabuhan  Miri telah  dibina  oleh para  pemborong yang dipilih secara saringan  dan bukannya  secara pilihan tertutup,  memang  tidak  perlu  Encik Lim Kit Siang   membuat  tuduhan  bahawa  ia  sudah  merupakan  satu  projek  gajah  putih. Timbalan  Ketua  menteri  Sarawak  berkata pelabuhan itu  dapat digunakan  kalau  kelodak  selut  dan  lumpur  yang  mendap  di  situ  dapat  dialihkan  dan   kalau ada air secukupnya  di pelabuhan  itu. Seperti juga  Majlis Pelabuhan  Miri, dia  beranggapan sebaik  sahaja siap dibina,  pelabuhan  itu  sesuai dijadikan  satu  pelabuhan  dengan  begitu  senang  sahaja  dan  segala kapal  boleh    berlabuh  di situ tanpa  memikirkan segala  kepincangan  yang  ada.


Lembaga  Pelabuhan  Miri  telah  mengugut  untuk  mengeluarkan  saman  terhadap Encik Lim  kerana libel. Dia telah  menggelarkan pelabuhan itu  sebagai  satu gajah putih.  Mereka beranggapan  walaupun  pelabuhan  itu  tidak  boleh digunakan  sekarang, ia  tidak  semestinya menjadi   satu  gajah  putih.  Encik  Lim  tentu  sedar  bahawa  gajah  putih hanya  wujud  di Thailand.    Pengerusi Pelabuhan,  Edwin Dundang  berkata  dengan  memberikan label  gajah  putih  kepada  pelabuhan itu “Encik Lim  telah  menjejaskan  reputasi  pelabuhan   dan menyebabkan  pelabuhan  kerugian  perniagaan yang bernilai   berjuta  ringgit.  Alangkah  menarik  perkara  ini  kerana  saya  fikirkan  pelabuhan  itu  kerugian berjuta  ringgit  kerana  ia  tidak ada  guna langsung.  Ia  tidak  boleh digunakan  kerana  itu  ia   menjadi  satu  gajah  putih.

Pihak MPA seharusnya mengemukakan  tindakan  mahkamah kerana fitnah terhadap En. Lim, dan  juga  akhbar  yang menyiarkan  berita  yang  ditandatanganinya  yang   menggelarkan pelabuhan itu satu  gajah  putih. Encik  Dundang   telah  menyatakan  bahawa  kenyataan  Lim  Kit Siang itu sesuatu  yang “memesongkan, tidak betul dan  berniat  jahat…..satu  penipuan  yang  tidak berasas  dan sengaja   menggembar-gemburkan.”  Lagipun,   projek  itu  bernilai  RM 250  juta  dan bukannya  RM350  juta.  “Projek  itu belum siap  lagi,” katanya.  “kami masih  perlu  mengorek  dan  mendalamkan lagi sungai  (Baram).”  Itu  sebabnya dia  bertegas,  “  kita tidak  pun mencapai  sasaran  urusniaga kita.”



Timbalan  Ketua  Menteri  Sarawak  Tan  Seri Dato’ George Chan,  berkata projek  itu  berharga  RAM 149  juta  sahaja,  tetapi   kerja-kerja   mendalamkan  memerlukan  tambahan RM100  juta lagi.  Tetapi, En.  Lim  menyentuh  berita    lamanweb  kerajaan  negeri yang  menyebut    RM 287  juta.  Kalaulah  sungai  itu  terpaksa  dikorek lagi, proses  mendapan  akan  menjadikan   tempat  itu  tidak  boleh  digunakan  walaupun pelabuhan  itu dibuka semula.    Kenapakah tapak  pelabuhan  itu  tidak  dipilih  di kawasan yang  dalam  sebagai   pelabuhan?  Lagipun, kalau pelabuhan itu  belum  bersedia  lagi  bagaimana pula  ia  boleh  berurus-niaga? Bagaimana caranya  MPA mendapatkan lebih  banyak  bisnes  daripada   syarikat  perkapalan sedangkan  kapal  mereka   tidak boleh berlabuh  di  sana?   Mengikut  taksiran  saya pelabuhan  itu   masih  belum berfungsi  lagi  seperti  yang  sepatutnya.  Apakah  ini satu  fitnah?


Satu   ketika  dulu  saya  pernah  membuat  kiasan  mengenai insan yang tak-reti-bikin-ampangan,  Tan  Sri  Dato’  Paduka  Dr. Ting  Pek  Khing, yang  memang  tidak  berduit  untuk  membina  empangan  Bakun  itu. Dia  telah menyaman saya  bernilai  RM100   juta.  Ketika  dia  sibuk  menyaman  itu,   projek  yang  dimulakannya   itu  menjadi  kantul  termasuklah  pihak  pengurusan  projek.  Kerja-kerja  pembikinan  empangan  itu  diagih-agihkannya  kepada  beberapa  syarikat kepunyaannya.  Tentulah  projek itu  jatuh  lingkup. Pengkalan tentera  laut  yang difaraid   kepadanya  pun   akan  menerima  nasib  yang  sama. Saya  akan  menjadi  manusia  yang  paling  terperanjat  dalam  dunia  ini  kalaulah dia mampu  melaksanakan tugas  itu  dengan  cemerlang.  Nampaknya  pasaran saham  pun  mempunyai  pendirian  yang  serupa  juga.


Lihat  sahajalah  kepada  beberapa  projek  di  Langkawi.   Pusat  pameran  Mahsuri  memerlukan  pembaikan tahunan  yang  harganya  lebih  tinggi lagi  daripada harga  membinanya  pada  1980-an  dulu.  Kejijikan  ini  bukan  setakat itu  sahaja.   Saham  syarikat  Ekran satu  ketika dulu  mencecah  RM85 (Lapan Puluh  Lima Ringgit)  sesaham  di  Bursa  Saham  Kuala Lumpur. Kini, ia  didagangkan  dengan  harga  53  (lima  puluh  tiga) sen sahaja.**  Berita  kerja-kerja  kontrak  pengkalan tentera  laut  dan  sabkontrak  Bakun yang  diberikan  kepadanya  tidak  mampu  menyekat  harga  saham syarikatnya  daripada  terus   merudum. Pihak  MPA  menggertak  Encik  Lim  Kit Siang  dengan  tujuan  menakutkan  pihak  lain  yang  berniat  menyoalnya.  Pilihanraya umum  peringkat  negeri Sarawak  sudah  pun  hampir  tiba.  Kemelut  Suqui  dan  lenyapnya   bank  yang  dipunyai  oleh  perseorangan Cina  di  negeri  itu  sudah  pun  menjadi  isu  hangat.  Kisah Pelabuhan Miri  kini  menjadi  satu  lagi  isu  yang  akan  menghantui  Barisan  Nasional.  Satu  tindakan  guaman  berkaitan  dengan fitnah akan menyekat  kisah  Pelabuhan  Miri itu daripada  dibincangkan  secara  terbuka.  Tetapi, usaha itu  pun  akan  kantul juga.


-MGG  Pillai-
Ahad  8  April,2001.
** Catatan  Penterjemah:

Saya  pernah  menyoal  berapa banyakkah saham  kepunyaan  kroni  ulung perdana  menteri ini yang dibeli  oleh  Tabung Haji, Tabung  Angkatan  Tentera, KWSP,  KWAP  dan beberapa  lagi  institusi  dana  yang  menggunakan  dan  mengumpulkan wang orang Melayu  dan  rakyat marhaen  yang lain untuk  membeli  saham Ting Tauke  Batang  Penyapu  ini  dengan harga  tinggi  dulu?  Itukah  sebabnya  Tabung  Haji  tidak  pernah  mengumumkan pegangan saham  dengan  harga   beliannya  selama  ini?   -MT-