Antara  Impian  Dan  Kenyataan
(Mahathir’s  OPP3: Dream  or  Reality?)


Ketika  Perdana  Menteri  Mahathir  membentangkan Rangka Rancangan  Jangka  Panjang Ketiga  (RRJP3)  untuk  tempoh  2001 -  2010,  saya  terimbau  zaman  persekolahan  dulu.  Ia  mengingatkan  saya  satu  pertandingan  menulis  essei  di  mana  segala  usaha  untuk  menonjolkan  segala   idea terbaik,  yang  disaluti  dengan  perkataan  yang  menarik.  Begitulah  dalam pembentangan  RRJP3  itu, Mahathir  telah  menggunakan segala kepintarannya  namun  ia  tidak mampu  menunjukkan  kenyataan,  kerana  rencana  itu  begitu  jauh daripada segala  kenyataan  hidup  yang  juga  kejam  seperti  yang  terdapat  dalam  dunia  politik Malaysia.


Memang amat terserlah, perbezaan di antara kata-kata  yang  digunakan  dengan  kenyataan yang  sebenarnya.  Belum  pun  Mahathir dapat  memulakan  ucapan pembentangannya  di  parlimen,  majlis  itu  telah  didahului  oleh  satu  pertikaman  lidah  di antara beliau  dengan   pihak  pembangkang yang    membuat  protes kerana  buku rencana yang  begitu penting  itu  diagihkan kepada  ahli  parlimen   hanya  satu hari  sebelumnya.  Tindakan  itu sekaligus  menafikan   masa  yang  selesa  untuk  para   MP (ahli parlimen)   membaca  dan  memahaminya  untuk  dijadikan  bekalan apabila   turut   serta  dalam   satu  perdebatan  yang  bermakna.  Kemudiannya  sambil  mencuba  membentangkan  rencananya  itu  dengan  segala  warna keindahan  kata-kata,  Mahathir  turut  mengeluarkan  sindiran  tajam terhadap  pembangkang  yang  pasti  menjamin  tambahan kebencian  kepada   keaiban  yang  diberikannya.

Mahathir menuduh  pembangkang sengaja    mencetuskan  pergaduhan  kaum  dan rusuhan jalanan  serta berusaha  menggulingkan  kerajaan.  Dia  juga  mengungkitkan  penglibatan pembangkang  yang berkonspirasi  dengan  musuh  asing  dan  kisah Anwar  yang  sengaja berlakon  mengenai  penyakit  tulang belakangnya.  Semua ini  adalah  tidak benar dan tidak  adil.


Pertembungan  antara  kata-kata  dan kenyataan memang  terserlah  di  seluruh  rencana  RRJP3  itu, memberikan  bayangan  betapa  itu  semua  hanya merupakan  satu  senarai panjang  yang  penuh  angan-angan dan dilakar oleh  kumpulan  pemikir, tanpa mengambil kira   kenyataan  politik negara.  Keikhlasan  sebenar Mahathir  ternyata amat  terserlah  sekali  disebabkan   sejarah   pentadbirannya  yang  sungguh  buruk. Apatah  lagi dengan   segala  retorika   yang  diulang-ulang  laksana  rakaman daripada sebuah  buku  teks   yang  memperteguhkan  anggapan  betapa  semua  itu  adalah  satu  urutan  propaganda yang bertujuan  menonjolkan  populariti  Barisan  Nasional   yang  palsu. Di  sebalik  semua  itu terselindung satu  niat  politik  yang  tidak  mempunyai  sebarang  niat ataupun  upaya politik  untuk  melaksanakan segala yang diimpikan.

Dalam  RRPJ3  itu, Mahathir  memang  telah memberikan   penekanan  kepada  perpaduan  negara  dan  keharmonian bangsa  sebagai  satu  pra syarat   kepada hasratnya  membawa  negara  mengharungi  segala  cabaran  yang  perlu ditangani  pada  dekad  yang akan  datang,  tetapi semua  tindakannya  setakat  ini  merupakan sesuatu yang amat bertentangan  dengan idealismenya.  Disebabkan  kerakusan  dan  nafsu-nafsinya  Malaysia  kini  berada di satu  jurang   perpecahan yang  sungguh  berbahaya.  Walaupun  dia  kerap  mendendangkan    irama  keharmonian  kaum  dan  kewujudan   Bangsa  Malaysia,  Mahathir   sebenarnya menghabiskan  banyak  masa    menghidupkan  segala  sentimen  perkauman yang  sudah  lama dilupakan itu  untuk  melaga-lagakan sesuatu  kaum  dengan  kaum  yang  lain.    Sambil dia melaungkan perpaduan  negara,  dia  terus  menyekat  segala  gerakan  politik pembangkang   yang  sah  dengan  kuasa tekanan  yang berbahaya. Usianya  untuk  terus  mendera  pemimin  populis Anwar  Ibrahim memang  satu  tindakan  yang  zalim, yang begitu  tidak adil dan begitu   menjijikkan rakyat  marhaen  sehingga  mencetuskan  satu  kesedaran  betapa  negara ini  sudah berpecah  belah  ke  arah  jurang  yang sukar   untuk  dipulihkan.

Penyakit  yang  menghantui  negara sekarang  ini  ialah  korupsi  yang berleluasa  dan  kronisme, penyalahgunaan  wang  rakyat, sistem perundangan  yang menjerut kehidupan  dan  penghakisan  institusi   demokratik  termasuklah  parlimen,  penghakiman, jabatan ketua peguam negara, polis,  BPR, suruhanjaya  pilihanraya,  perkhidmatan  awam, badan-badan  berkanun    dan banyak   lagi.  Inilah  dia semua  jenis penyakit  yang  akan  diubati  oleh  Barisan  Alternatif seperti  yang mereka  ikrarkan  dalam  perjuangan  politik mereka.  Inilah  juga  penyakitnya  yang  telah melunturkan  keyakinan  para  pelabur,  sehingga menghenyak   keadaan ekonomi  negara.


Kegagalan  Mahathir  memperbetulkan  sebarang isu  yang  mendasari  RRJP3   itu sebenarnya  telah  menjadikan  rencana meganya  itu  satu  dokumen  yang  tidak  perlu  diberikan satu  perhatian yang serius. Kalaulah  Mahahtir  mengharapkan  satu sambutan  yang  hangat  daripada  rakyat marhaen terhadap   rencana  meganya  itu, yang  kini  disebutnya  sebaik  Dasar  Wawasan nasional,  tentu  sekali  dia  sedar  kini  betapa  BSKL  (Bursa  Saham  Kuala  Lumpur)   merudum dengan  gelagat  terjun bebas  yang  tidak  pernah  berlaku  seperti itu  sebelum  ini.  Mahathir  tentunya  telah  gagal  meyakinkan  masyarakat  awam  yang  melabur.

Semakin  jelas  kini, bertentangan  kepada  rumusan  asas RRJP3  itu,  keseluruhan perancangannya  adalah  berasaskan   tiang perpaduan kebangsaan   yang  rapuh  dan pentadbiran  negara  yang  korup. Fenomena  ini  sudah  cukup  untuk  menghumban  angan-angan RRJP3   itu  ke  kancah  kegagalan.

Di  samping  itu,  kita  mahu berlaku  adil kepada  para pelakar  RRJP3  itu yang  telah  bertindak bijak  menganalisa segala perubahan  fundamental  yang mewarnai  persekitaran ekonomi  negara  yang dirangsang    oleh  globalisasi dan  teknologi  maklumat  dan komunikasi (ICT: Information and Communication Technology). Sebenarnya  istilah  ini  sudah  semakin  lumrah  di dalam  buku  teks ekonomi  masa kini.  Kumpulan  yang  menyediakan  RRJP3  itu  telah  mengenal dengan tepatnya  bahawa kepentingan  meraih  pengetahuan  adalah  kunci  kepada  keupayaan  untuk  menyerap  persekitaran ekonomi (yang  merupakan satu  perkara biasa  sahaja). Namun,  teori  yang  betul tidak selalunya  berakhir dengan  perencanaan yang  berkesan.

Terdapat  satu kepincangan  utama  dalam RRJP3  itu,  selain  daripada rumusan  haprak mengenai  pencapaian perpaduan  dan harmoni. Kepincangan besar  ini  menunjukkan adanya kesedaran  terhadap  kesilapan  besar  kerajaan BN seperti  yang  telah  dilakukannya  pada masa lalu dan  juga yang sedang  wujud kini. Sesuatu  rancangan yang  baik  mesti  bermula  dengan  satu taksiran   yang  tepat  mengenai  kesilapan  yang telah berlaku.  Itu  sebabnya  RRJP3 tidak  membawa sebarang  makna  yang  menyenangkan.


Beberapa  kesilapan  besar   pemerintahan kerajaan  BN   di  masa  lalu,  kini  dan  yang  akan  dilakukannya   dalam  masa  terdekat  adalah:


a)  Pembaziran  dana  rakyat  secara besar-besaran untuk  membiayai  pelbagai  projek  mega yang memberikan  jolokan  prestij  seperti  Menara kembar  Petronas,  Bandaraya  Putrajaya, KLIA,  Ampangan  bakun  dsbg.  Pembaziran ke arah  projek  mega  yang tidak  memberikan  justifikasi ekonomi menghakiskan  kekayaan  negara. Malahan ia  telah memesongkan   apa  yang sepatutnya usaha  kerajaan  dalam  meningkatkan  tahap pendidikan  rakyat  jelata, kepentingan  menumpukan  usaha  terhadap   penyelidikan  dan  pembangunan  dalam institusi  kita dan  industri  yang ada, kerana kedua–dua   institusi  ini  amat  diperlukan  untuk  membawa  perubahan  kepada ekonomi kita  dalam  usaha  menghadapi cabaran  yang  dicetuskan  oleh  persekitaran  ekonomi   yang baru.

b)  Lonjakan  mendadak  permodalan para  kroni  melalui  salah guna  tindakan afirmatif (hak keistimewaan  Melayu)  yang bermula  dengan   Dasar  Ekonomi  Baru yang  kemudiannya  ditukarkan  dengan  Dasar  Pembangunan  Kebangsaan  dan  kini  diberi nama  Dasar Wawasan  Nasional.  Semua salah guna  kuasa  ini telah  membiakkan korupsi yang  berleluasa  yang  menghakiskan  kekayaan  negara,  sambil  menurunkan semangat  saingan  dalam ekonomi  kita  dengan cara   mengenepikan  proses  tender  terbuka  yang saksama. Begitu    juga halnya  dengan  penyekatan  terhadap   pengstrukturan korporat   dengan  cara menyelamatkan   para  kroni  yang lemah  dan  haprak, dengan melaksanakan  campur tangan  politik yang  mencemarkan  nama baik  system perbankan negara dan  sekaligus  melunturkan  keyakinan  pelabur disebabkan  pemerintahan  yang  tidak cekap.

c)  Terdapat  strategi  yang  salah  dalam  pembangunan ICT seperti  yang  berlaku  kepada   pembangunan  MSC (Multimedia Koridor Raya).  Berbilion  ringgit telah   dihamburkan  untuk  membina bangunan  yang   berbentuk  mega lengkap  dengan  lebuh raya  yang canggih, sedangkan  tenaga  sumber manusia dalam pembangunan  itu masih  lagi  di tahap  permulaan  dan  asas sahaja.

Kecuaian memberikan  tumpuan utama kepada  peningkatan dan perkembangan  tahap pembelajaran  secara  amnya dan  latihan  tenaga  manusia agar celik IT   kini  menyerlahkan  betapa  ia sudah  menjadi  satu  hambatan besar dalam  pencapaian sasaran  ICT .


d)  Amalan  kerajaan  memihak kepada   kumpulan  para  kroni  atas nama  keistimewaan  dasar  afirmatif telah  mengecewakan  niat  asal  dasar itu,  yang  sebenarnya  bertujuan memperbaiki   tahap  ekonomi  seluruh masyarakat  Bumiputera.  Kesannya, sebahagian  besar  masyarakat luar bandar yang majoritinya  adalah masyarakat Bumiputera   tidak  merasakan kenikmatan    kemajuan  ekonomi negara.


Adalah  tidak  sukar  melihatkan betapa  kebanyakan  kesilapan  perancangan  ekonomi  negara  itu  dapat  dielakkan  seandainya  lebih  banyak ruang   penyesuaian  ekonomi  diterima-pakai  dalam  proses membuat  keputusan  dulu.  Namun, gelagat  keagungan UMNO  masa  yang  lalu   telah  menghapuskan  sebarang  usaha  pengimbangtara  dalam  sistem   demokrasi  negara.  Penumpuan  kuasa  di  tangan  hanya  seorang  manusia, beserta  nafsu  nafis para  kroni  yang  tidak  ada hadnya,  telah  mencemar dan  menjejaskan  ekonomi  kita sehingga mencekik  pernafasan kita  semua  melainkan segelintir  para   manusia  yang  rakus ini.


Walaupun  dipaparkan  segala  janji-janji  manis dalam  RRJP3  itu,  tidak ada sebarang asas  untuk  dipercayai  akan  berlakunya  satu  perubahan dasar  yang bermakna  dalam  pucuk  kepimpinan  BN. Ini  semakin  terserlah apabila munculnya   pelbagai  proses  penyelamatan bersifat ‘bailout’   para  kroni  dan  usaha menghidupkan  kembali  projek  empangan hairdo  Bakun  kepada  skala  asalnya walaupun   tujuan  utamanya  untuk  membekalkan tenaga ke tanah   Semenanjung sudah dibatalkan.  Tanpa  sebarang penukaran dasar  yang asas  daripada  pucuk  kepimpinan  kerajaan, RRJP3  tidak  akan  membawa sebarang  makna.


-Kim  Quek-

Terjemahan MT
9.4.01