Menggenggam Angin Menangkap Asap
(The Turning  Of  The  Tables)
Oleh:    Harun  Rashid

April 5, 2001


Perdana  Menteri  telah menyeronokkan  ahli-ahli  parlimen  dengan  wawasan  masa-depannya  dan  segala  impian  mengenai projek  besar  yang berdana   mega (walaupun masih  samar  entah  mana puncanya). Mereka  menunjukkan  keghairahan  seolah-olah  sungguh  berminat kerana  dua  sebab  yang  sungguh  bermakna. Mereka  sedar  betapa  hanya  dia  seorang    mempunyai  kuasa    membuat  keputusan  siapa   yang  akan dicalonkan  di  daerah   mereka  pada  pemilu  yang  akan  berulang.  Pilihannya  itu    memang  mampu  menang,  kerana  cara yang digunakan   menjaminkan  kejayaan, tidak  kiralah kalau  cara itu  ada  kena  mengena dengan  bantuan  syaitan.


Tetapi  kini, perdana menteri   tidak  mudah  melihat  wajah-wajah  biasa  yang  mudah  mengampu  dan  memuji-muja serta  menjulang  namanya  seperti  zaman dulu kala. Satu  haruman  pewangi   terbaru  sudah  lama  di udara  untuk  dihidu.  Lunas  sudah  mengejutkan  golongan yang  lama tertidur  kaku,  dan kini  seorang   jaguh  dari Pahang  sudah  pun  berani  menyegarkan  pihak   pembangkang  dengan  caranya  menghentak  meja  untuk  menuntut  bicara.


Lunas sudah  mengejutkan  betapa  kemenangan yang  dijanjikan  hanyalah  satu  impian kosong  dan betapa  kemenangan pertandingan pilihanraya  yang  dijamin  oleh  panji-panji BN  hanya  akan  tinggal  janji-janji  sahaja. Inilah  yang  menumpulkan  segala bisa  yang  ada kepada segala ugutan  lama. Kalaupun  perdana  menteri   mengulanginya  sekali  lagi sebagai  mencuba, ia  hanya  menjadi bahan  ketawa  yang  akan  menyindirnya  sahaja.


Kini,  jaguh    Pahang  sudah pun  menyingkap  penjuru  khemah untuk  membolehkan orang   luar  mendapat ilham dengan  menjengah. Inilah  yang menyentap  haruman baru  hasil   keringat   yang  dicetuskan oleh  reaksi  gelabah  yang  menakutkan. Penangan  ugutan  untuk  meletakkan  jawatan  kini  mempunyai  nilai   yang  lebih lumayan dan  berharga  berbanding janji  kosong  untuk dicalonkan  semula. BN  memang   takut  berulangnya  lagi kemelut Lunas. Apa lagi  dengan  kemunculan pilihanraya  Sarawak  yang  semakin  menyerlahkan  tentangan  yang  ganas. Inilah  yang mendesak satu  formula  membayar   imbuhan  agar  pihak  yang tidak  senang  disogokkan  wang. Sedangkan si  penerima sedar itulah imbuhan  untuk  kekal  bertenang  agar kerusi  yang  ada  tidak ditendang.


Perdana  Menteri  sedang dihantui oleh  sekumpulan  wajah-wajah  manusia  yang  bakal  kalah pertandingan   pilihanraya, kecuali  mereka  melompat keluar    memasuki  parti  lawannya. Tetapi  sebelum  melaksanakan  aksi  itu, mereka  mahu  memerah  sekitar beberapa  juta  ringgit  dulu dengan  membuat  ugutan   meletakkan  jawatan. Inilah  yang  memungkinkan berlakunya  pilihanraya  kecil yang  sudah  pasti  menyenakkan  keadaan. Kini, semakin diulang-ulang  keputusan  ramai   untuk  memilih  kembali  pemimpin  haprak  yang  lama agar  terus  berkuasa.  Namun, pendedahan  betapa  dahsyatnya tipu muslihat ketika  pemilu dulu  membuatkan luntur  usaha   itu.  Selama ini  mereka sudah  mabuk  dengan  keangkuhan bahawa   kemewahan yang  mereka  nikmati  hanya  mampu terhakis dengan  tindakan  rusuhan jalanan. Kini, anggapan  itu  sudah  menjadi  satu  jangkaan  semata-mata. Jebat Moden   daripada  Pahang  telah  menyebabkan  Majlis Tertinggi bersidang secara kecemasan. Terpinggirlah   helah  persidangan perpaduan. Tindakan Si  Jebat  dianggap  lebih  bermuslihat  dan  lebih  membahayakan.


Kumpulan  yang   berkonspirasi kini  sedar   perlunya  dana  yang   banyak  lagi, sedangkan dana  yang  banyak memang  amat  culas  untuk dicari. Tembok yang keras semakin rapuh  disebabkan  peparit  yang  runtuh.  Inilah  masanya  yang  memerlukan  kepimpinan  yang  menyerlah,  sedangkan  kepimpinan yang  ada sudah semakin  parah.


Pelakon tua  di  persada  mengarahkan  telunjuknya di  atas  pentas.  Dengan  suara   yang ketara dibuat-buat dia berkata:   “Lihatlah, nun  di  sana!  Sudah sedia  menanti apanamaaa….  syurga  dunia  masa depan   kita.” Inilah  rangkapan  suara  lakonan  yang  diulang-ulang  menyerang kotak  pemikiran  sesiapa  yang  kunjung  bertandang.  Inilah  harapan   impian  yang  tidak  ada  penghujungnya. Kini  mereka sedar  semua  itu  adalah omongan  belaka dan kini  mahu  meraih sedikit keuntungan  daripada  pohon  tua  yang  semakin  condong  untuk  melata.


Semua mata  sedang  tertumpu  melihatkan  gelagat  Jebat  yang  cuba  mencetuskan  bunga silat   dari  tepian gelanggang. Harapan  mewah  masih  samar  lagi, namun  potensi  pertaruhan  untuk  imbuhan memang serba  mungkin;  di  situ, di  sana  dan di   mana  jua.  Kini, seorang  bekas Menteri  Besar  sedang hidup gusar, Esok  lusa  siapa  pula  yang  akan  terkena penyakit   yang  serupa. Semakin  ramai  yang  mempunyai  tanggapan  yang  sama. Semakin ramai  yang  sedar  betapa  semua  ini  adalah  gara-gara kebajingan seorang dictator  tua.

-Harun Rashid-

Terjemahan MT

Nota webmaster: Apabila membaca tulisan penulis kali ini saya teringatkan cerita rakyat mengenai seorang raja yang suka dipuja-puji dan diampu. Tentu anda masih ingat cerita bagaimana seorang 'pengampu' mengenakan pakaian termahal kepada raja dan kununnya kerana terlalu cantik pakaian itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Maka raja yang bodoh itu pun mempercayai kata-kata pengampu itu dan berlagak sakan dengann 'pakaian mahal' yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar di depan sekelian pembesar dan rakyat. Namun dalam pesta yang melibatkan kehadiran raja yang berpakaian hebat dan mahal dengan rakyat itu, ada yang terperasan bahawa sebenarnya raja itu bertelanjang bulat tanpa seurat benang, walau raja cuba meyakinkan kesemua hadirin itu adalah pakaian termahalnya. Dan apabila menyedari teguran itu, raja tersebut terfikir kembali bahawa adalah benar beliau bertelanjang bulat tanpa pakaian. Cerita rakyat ini didendangkan sewaktu saya masih kecil oleh ibu apabila larut malam untuk menidurkan saya. Saya percaya anda pernah membaca cerita ini yang dibukukan dan ianya memang bertepatan dengan RRPJ3 yang diilhamkan oleh diktator sewel yang semakin gila itu!!~webmaster