Menyorok  Di  sebalik  Keselamatan  Negara
(Hiding  Under  The  Skirt  Of national  Security)


Menteri    Hal Ehwal  Dalam  Negeri, Abdullah  Ahmad  Badawi, tidak  sedar  rupanya,  bahawa  para  pemimpin  Keadilan  telah ditangkap  di bawah  undang-undang  zalim   ISA  (Internal Security  Act:  Akta  Keselamatan  Dalam Negeri).   Beberapa  jam  kemudiannya,  Ketua  Polis Negara, Norian Mai  telah  memperakukannya.


Pemimpin PRM (Parti Rakyat  Malaysia)  Dr.  Syed  Husin  Ali, berkata,  Perdana  Menteri, Dr. Mahathir  Mohamad, telah  mengeluarkan  arahan  penangkapan itu.  Tetapi  semalam,   timbalan  menteri  dalam negeri,  Zainal  Abidin  Zainal  memberitahu  betapa  kementeriannya  memang  menyedari  perkara itu..


Seandainya  keselamatan  negara  telah  tergugat,  dan mencetuskan  suasana yang bercelaru,  seperti  yang terserlah  kini,   bererti  kerajaan  yang wujud tidak lagi  mampu   menguasai  keadaan.  Ini  memperakukan  apa  yang  kita  memang sudah  lama  tahu. Ini  menunjukkan pihak  pentadbiran  sedang  berkecamuk   sesama  sendiri,  tanpa  berupaya  bertindak  bila  diperlukan dan  sengaja  tuduh-menuduh  dan  menjadi  takut  untuk  bertanggungjawab.  Kalaulah penangkapan   itu  berasas, tindakan  kerajaan  tidak  pun  mengukuhkan gelagat  itu.


Siapakah    yang  ditahan  itu?  Tujuh sudah  pun  diperakukan, sedangkan  lapan lagi  masih  merupakan  satu  berita  angin  sahaja.  Ahli Keadilan  yang  dianggap  aktivis    itu  merupakan  orang  yang  kerap  dituduh  dan  disyaki setiap  kali  kerajaan   melanyak  rakyat  marhaen,  kerana  mereka rapat dengan  mantan  timbalan perdana  menteri  Anwar   Ibrahim.  Mereka  itu  semua  memang  menonjol dalam  perkumpulan  Keadilan, samada  dalam  urusan  organisasinya  ataupun  kehadiran  dan   pembabitan  peribadi.



Longgokan Senjata


Norian berkata  mereka yang ditahan  terbabit dalam satu  perancangan untuk  menggulingkan  kerajaan  secara militan dan polis  telah  menjumpai  satu  longgokan  pelancar  roket, bom  Molotov dan beberapa  jenis peralatan  revolusi  yang  lain. Lima   puluh  ribu manusia  mungkin  berkemampuan menghadirkan diri mereka  untuk  mengingati  ulang tahun  “Black 14’ ataupun  GELITA 14  kerana pada  14 April  1999  pemimpin   unggul  Keadilan,  Anwar, telah  dihukum  kerana  korupsi  dan  salah  guna  kuasa.


Satu  kumpulan  kecil  di  kalangan  ini telah  merancang  untuk  mempergunakan   himpunan  rakyat  itu  untuk  merampas  kuasa, kata  beliau. Keselamatan  negara  sedang terancam. Pegawai  polis  terpaksa  menyiasat  perkara  ini. Sesiapa yang  berura-ura  menumbangkan  kerajaan akan  menerima padahnya.

Tetapi, apabila  kumpulan Al-Ma'unah  merompak senjata  daripada   kem tentera  di  Gerik   sembilan  bulan  yang  lalu,  para  pemimpin  kumpulan  itu  dikenakan  tuduhan  menderhaka.  Kalaulah  tohmahan Norian terhadap  pemimpin  Keadilan  itu berasas, mereka  sepatutnya  ditangkap di bawah hukuman  semasa  dan bukannya  di  bawah ISA, dan dibawa  ke mahkamah  untuk dikenakan  tuduhan.    ISA  pernah digunakan terhadap  Anwar kerana itu  rakyat marhaen menganggapnya  dengan  penuh   kejijikan.  Nampaknya  ISA  itu  digunakan  terhadap  musuh ketat    politik Barisan Nasional  dan  bukannya  terhadap  musuh  negara.


Anggapan  ini  semakin menyerlah  apabila Abdullah Badawi   yang juga  merupakan timbalan   perdana  menteri  adalah  menteri yang  mesti  diberitahu  dulu  setiap kali hukuman  ISA  itu  mahu  dipergunakan,  tetapi  tidak  pun  mahu bertanggungjawab  terhadap   perkara  itu.   Seandainya keselamatan  negara  terancam, seperti  yang  diwar-warkan sekarang, Abdullah  sepatutnya bertindak  memberitahu  parlimen  akan  ancaman    ini
dan bertindak  dengan  tegas  menanganinya.  Sepatutnya  dia  menonjolkan ketokohannya  sebagai seorang  pemimpin  dan  meyakinkan  rakyat  Malaysia, walaupun dia  pernah berjanji  untuk tidak  mempergunakan  ISA  itu   dia terpaksa juga  menggunakannya  kerana  ancaman  yang serius.


Sebaliknya  dia  berdalih, dan membiarkan  timbalan  menteri beliau  memberitahu  dunia  betapa  dia  mengetahui  perkara  itu  semuanya.  Inilah  yang  menyerlahkan  kerja mengelat itu. Sedikit sangat manusia   yang  saya soal  perkara  ini  sejak dua  hari yang  lalu  mempercayai  cerita  kerajaan.  Kebanyakan  mereka  menganggapnya  sebagai  satu  tindakan  untuk menghapuskan   ketokohan  pemimpin   unggul  Keadilan  yang  sedang  terpenjara  itu  daripada  terus  kekal  di kalangan pengikutnya   dalam  UMNO.




Yang  Pahit


Ramai  merasakan bahawa  semua  penangkapan  itu  tidak  mempunyai  hubung kait  dengan  keselamatan  negara,  Cuma  mempunyai  kaitannya  dengan  keselamatan  UMNO.  Ini tidak bererti segala tuduhan serius  dalam ISA itu  boleh  diperlekehkan. Cuma terdapat  persepsi  yang  berbeza.  Kalau berasas,  bererti  kerajaan  sudah kehilangan sokongan  rakyat marhaen; jika  tidak,  kerajaan  layak  menerima  balingan telor tembelang  sahaja.


Ahli-ahli Keadilan telah diajak  berkumpul  di pejabat  Suhakam untuk  menyerahkan satu petisyen.  Memandangkan  keadaan  perpecahan orang Melayu, satu  himpunan  manusia yang  ramai  memang boleh  dijangkakan. Kerajaan  menganggap ini sebagai satu cabaran  yang   sebenarnya  memang begitu dan telah menggunakan ISA untuk  menyekatnya. Malahan,  Zainal Abidin yang  memecahkan tembelang kerajaan:  tak payahlah  berkumpul ramai-ramai  untuk  menyerahkan  petisyen, “seorang  dua sudah  memadai,” katanya.


Tetapi, masa  terjadinya   semua  ini  memang amat bertepatan   sekali. Tempoh  tahanan  selama 60 hari di bawah  ISA  akan berakhir  sebelum  Perhimpunan Tahunan  UMNO  pada  bulan Jun  nanti.  Kerajaan sedang diasak satu dilemma  di  mana  UMNO  akan  tersungkur  tidak kiralah  kalau mereka itu  semua  dibebaskan  ataupun ditahan selama  dua tahun mengikut  peraturan Akta  itu.


Adalah  penting, untuk  mengekalkan keamanan  seperti biasa,  Abdullah bertindak   memberitahu  Parlimen, dan  meyakinkan  rakyat marhaen betapa  persepsi  yang  mencetuskan penangkapan  itu adalah tidak  benar.  Kalau  dia  gagal  melakukan  perkara  ini, Abdullah  seharusnya  tidak boleh  terkejut  kalau  orang  Melayu  berpaling tadah  dan  menghumbankan  UMNO sama sekali.



-MGG  Pillai-
Chiaroscuro  12.4.01.
Terjemahan MT 13.4.01