ISA   Yang  Zalim
(ISA  -  Terror   Incarnate)
By   Munawar   Anees



Penangkapan  terbaru di  bawah  undang-undang  zalim Akta Keselamatan  Dalam  Negeri  (ISA: Internal Security  Act)   telah   menjentik  ingatan  terhadap  penculikan  yang  kejam  oleh  polis  Malaysia yang  membawa  kesan  kesiksaan  yang  terus  ditanggung oleh  keluarga  kami.

Pada   14  September, 1998 yang  lalu,  seramai  antara  10-12  anggota  polis  telah menyerang  rumah  kediaman  saya.  Disaksikan  oleh  isteri  yang menangis  dan  meraung, kumpulan bajingan  ini telah  menculik saya  untuk  diperusukkan  sebagai  orang  tahanan, berpindah-randah  di  beberapa tempat sorokan  yang diketahui  dan tidak diketahui   selama  126 hari  berikutnya.  Dunia luar   mengetahui   kehilangan  saya  itu  yang merupakan satu  konspirasi  yang didalangi  oleh  Mahathir, hanya setelah  Amnesty  International  mengisytiharkan saya sebagai seorang ‘prisoner  of conscience’ ( banduan  teraniaya). Kemudian   itu, International  PEN  telah  mengiktiraf  saya  sebagai  seorang  penulis  dalam penjara.

Media Malaysia  yang  perhambakan   oleh  Mahathir  mengambil  pendirian  diam  membisu  ataupun  menyebarkan   maklumat  songsang mengenai  kehilangan  saya  itu. Isteri  saya, Nadia  telah  sengaja  diberikan maklumat  songsang dengan  cara  mengugut   dan  mendera beliau  dan  sebarang  usahanya   untuk  mendapatkan khidmat  seorang   peguam   melindungi  hak  asasi saya  telah  sengaja  diperlekehkan  oleh  polis.   Mereka  menyudikan  seorang  bernama Yaqub  Karim  (untuk  menjadi  peguam  saya) yang sanggup  mengenepikan  etika professional  amalan  guaman  dengan  ganjaran  haprak  yang  diberi  oleh  polis  Malaysia.

Serangan  yang dilakukan  pada  satu  pagi  Isnin   itu  adalah  hasil  daripada  satu  arahan langsung daripada    Mahathir sebagai   Menteri  Hal Ehwal Dalam Negeri. Kerana  itu,  saya berpendirian  menuduhnya  sebagai  bajingan  yang bertanggungjawab  atas  segala  jenayah  kejam  terhadap  diri saya  dan  keluarga. Tidak  ada  sebarang  lindungan di bawah  sebarang   perlembagaan, sama ada  berbentuk perundangan  ataupun  kewartawanan,  yang  boleh  membebaskannya  daripada  bertanggungjawab mengakibatkan  beban  trauma yang    kami tanggungi sekeluarga. Inilah azab yang kami  tanggungi kesan  perlakuan  jenayah  yang dicetuskan  oleh  penculikan  ke atas saya  itu.

Penahanan  berpanjangan   oleh  samseng-samseng  Mahathir telah  mengajar  saya  bagaimana  rasanya  seseorang  itu dipisahkan  secara  paksa  daripada isteri  dan  anak-anaknya. Betapa tertekannya apabila  digeledah  dan  diculik,  tidak dibenarkan  membuat  sebarang panggilan telefon, digari,  ditutup  mata, dibogelkan, diangkut dalam  satu  sangkar  haiwan, dibotakkan kepala, disoal-selidik secara  berterusan,  diaibkan, disuntik dengan  dadah, tidak dibenarkan tidur  ketika sampai  waktunya, dan  didera secara fisikal. Bayangkan  apa  rasanya  apabila  diancam,  diperas-ugut,  didera  oleh  para  peguam  polis, dikasari dengan  kejamnya  sehingga  sanggup  membuat  pengakuan  palsu, dimasukkan  ke hospital disebabkan  penyakit  jantung, dan diberi  layanan  sebagai  seorang  pesakit  psikiatri  yang mempunyai simptom  ‘Stockholm  syndrome’ .

Waktu  makan  ketika ditahan  bererti satu ritual  untuk terus  hidup, setakat  menu  yang berupa  nasi basi  dan lauk ayam dengan bekalan 12 jenis ubatan  setiap  hari.  Saya  telah didera  selama empat  bulan  dengan  tangan  yang  digari  sepenuh  masa  dan terpaut  kepada  katil  saya  di hospital,  sedangkan  pergerakan  saya sentiasa diawasi oleh  warder  penjara.

Sejak itu,  keupayaan  untuk  bercakap,  membaca, dan menulis  masih  memerlukan  masa  untuk  pulih  seperti  sediakala.  Hilang-ingatan  sering  melanda.  Saya  hidup  hanya dalam bentuk  cairan sahaja  di  mana  kecenderungan  membunuh  diri  sering  menghantui  perasaan,  tekanan  dan  kekecewaan   kerap  melanda  diselang-seli  oleh  perasaan  marah, dan  kebencian  yang  tidak  ada  taranya. Walaupun  dua tahun sudah  berlalu sejak  saya  mendapatkan  semalam  kebebasan diri, saya  masih menanggung  pelbagai tekanan  jiwa.  Apa lagi  kalau  diambil  kira  keaiban yang ditanggungi  dua  orang  anak-anak saya  yang  tidak  berdosa,  gara-gara  kezaliman  Mahathir.


Saya  dan  juga  Nadia  merasa  begitu  tertekan  apabila  mengetahui  Mahathir  sekali  lagi  menggunakan  kekejaman  ISA  terhadap  musuh  politiknya.   Inilah  bukti  adanya  kemuflisan moral di  mana peralatan  negara  yang  sama  digunakan  untuk  memajukan   nafsu-nafsi  satu  kumpulan  politik  yang sungguh  korup. Pasukan  polis  Malaysia,  institusi  penghakiman dan  media  massa  sedang  melakonkan  gelagat  menghalalkan  kezaliman  dan  penekanan  terhadap  pembangkang. Sedangkan  Mahathir  sendiri terlalu kerap  menunjukkan  kelakuan   yang  sudah  terkeluar daripada  gelagat  orang  yang siuman.


Di  waktu  yang sama  dan sebagai  mengekalkan  perangainya  yang  tidak bermoral  dan tidak  bertaqwa,  Mahathir  telah  membuat  beberapa  tuduhan  tertentu  terhadap  orang tahanan ISA  itu tanpa  sebarang  bukti.  Inilah  yang  menjentik  ingatan lama  betapa  dia   telah  sengaja  membuat  tohmahan  dan  kenyataan  yang  berunsur  fitnah  terhadap  saya  selepas  dia  mengarahkan  agar  saya  diculik.   Seperti yang  pernah  saya  alami,  bolehlah  dirumuskan  lebih  awal  lagi,  betapa polis  Malaysia  dengan sekongkolan  pihak  penghakiman, akan menyediakan  segala  bukti  palsu  untuk  mengenakan  semua  tahanan ISA  terbaru  itu. Walaupun  demikian, naungan  ganas  Mahathir akan terus  menjadi   penghalang  untuk  menyerlahkan  betapa sebarang  kenyataan  yang diperolehi ketika  seseorang  itu didera dan  dipaksa  adalah  dikira  tidak  sah.  Sebenarnya  Mahathir  mempunyai tanggungjawab  besar  untuk  mendedahkan  segala  “bukti   kukuh”  terhadap  saya  yang  begitu kerap  digembar-gemburkan  dua  tahun  lalu. Dia  tidak  mempunyai   sebarang  bukti  itu.  Tetapi   apakah dia ambil  pusing  kisah  itu?
Walaupun  bebanan  penderaan  di  Malaysia  semakin diperhebatkan,  semangat  rakyat  marhaen nampaknya  semakin berubah. Sudah semakin  terserlah ketahanan  usaha  untuk  menegakkan  hak asasi   individu. Nadia  pernah  menceritakan  kepada  saya  pengalamannya  satu  ketika  dulu  ketika  kehabisan wang  dan terpaksa  menjaga dua  orang  anak yang  masih  kecil  di  negara  orang.   Dia  telah  menanggung  kesengsaraan  selama 126  hari  sambil  merasakan betapa  pahitnya  melihatkan orang-orang yang  dianggap  sahabat  dan kawan  pada satu  ketika  dulu  bertukar  perangai  menjadi tukang tengok sahaja. Memang amat  sukar  untuk  beliau hidup  sambil  menjadi  bahan  penelitian  pihak polis  sedangkan  di  waktu  yang   sama  dia dihantui  perasaan ketakutan  kalau-kalau musibah  melanda salah  seorang ahli keluarganya.  Dia  terpaksa  memberanikan  diri  mengharungi  segala  bahaya   itu  termasuk  serangan fisikal  oleh   seorang  bajingan  polis  yang sentiasa mengekorinya.   Dia merana  kerana  diserang sehingga  menerima  luka  di tangan  dan  kakinya.  Dia telah  menunjukkan keberanian  yang menakjubkan,  kebijaksanaan  dan  keyakinan  diri  ketika  mengharungi  suasana   kelam itu  yang mencengkamnya  dalam satu  episod  penderaan  diri  yang  sungguh  menyedihkan. Satu  bulan  sebelum  saya  dibebaskan, Nadia telah menguruskan pemergian  anak kami  Aisha  dan Omran  ke  Paris  dengan  iringan  abangnya  yang  datang  daripada  Paris  menjenguk  mereka. Selama satu  bulan  pula  dia hidup  bersendirian,  dinafikan hak  ditemankan  oleh  suaminya  dan  anak-anak   yang masih  kecil lagi.


Kerana itu, bolehlah dikatakan  sesuatu  yang  melegakan  juga  apabila  isteri-isteri  para  tahanan  ISA  itu  bertindak  secara  berpadu  mendesak  agar  orang  kesayangan  mereka  dibebaskan. Sungguh  menggalakkan  sekali  melihatkan  mereka  berupaya  melakar  jaringan  yang  berkesan  bukan  sahaja  antara  mereka yang  terbabit tetapi  dengan  beberapa  NGO  (kumpulan  bukan  kerajaan)  yang  aktif  memperjuangkan  hak  asasi   manusia di  Malaysia. Satu  ketika  dulu, Nadia  tidak  pun  menerima  kemudahan  seperti  ini.  Berbeza   dengan apa yang sedang dialami oleh  tahanan  terbaru  ini  saya  tidak  pun  mempunyai  sebarang  maklumat ataupun pengalaman  terdahulu  dalam berinteraksi  dengan  orang-orang yang  mendera saya.  Rayuan  saya  dari  segi  perundangan  terhadap apa yang  dikatakan “kesalahan”  dan “hukuman”  itu   masih  lagi  sengaja  diperlekehkan  oleh  pihak  polis  dan  penghakiman  yang saling  bersekongkolan, di  Kuala  Lumpur.


Media  massa  telah  melaporkan  betapa  Suhakam telah  mengutuk penangkapan ISA  terbaru  itu  dan  mendesak agar  mereka dibebaskan dengan   segera.  Saya  melihat  ini  semua  sebagai satu lelucon yang  zalim.   Suhakam pernah    memaklumkan  kepada  peguam saya  Mr.  Manjeet  Singh  Dhillon,  penerimaan bantahan  saya  (bertarikh  28 Julai, 2000)    terhadap  penculikan,  penahanan, penyiksaan dan kekejaman  yang  berikutnya;  Suruhanjaya  itu  tidak  pun pernah membuat  sebarang pengumuman terbuka,  ataupun menasihatkan   pendirian mereka  mengenai  beberapa  isu  yang  dibangkitkan  itu.   Bantahan saya  kepada  Suruhanjaya  itu disokong oleh satu  salinan Akuan Berkanun  yang pertama-kali  dibuat  di  Malaysia yang merakamkan satu dokumentasi  peristiwa   yang lengkap. Dengan  itu  saya  lebih  cenderung  mempercayai bahawa  gelagat  Suhakam  dengan  kenyataan  terbarunya  itu  tidak  lebih daripada  satu  bentuk  gimik  untuk  hubungan  raya sahaja  bagi   kepentingan    kerajaan  Mahathir. Abdullah  Badawi  sebagai  timbalan  kepada  Mahathir secara  tanpa  disedarinya  telah  memperakukan  mainan songlapan  ini  ketika mengumumkan  betapa dia  memang  menjangkakan munculnya  satu  kenyataan serupa  itu  daripada  Suruhanjaya  berkenaan.


Walaupun  Malaysia sedang  dimendungi   penganiayaan  terhadap  hak asasi  manusia setiap  hari, kami  masih  menaruh  harapan  akan berlakunya perubahan. Satu  perubahan  mendapatkan   kebebasan, kemudahan bersuara dengan  bebasnya, dan kebebasan untuk  berhimpun  secara  aman.  Kami  semakin yakin  betapa masanya  sudah  semakin  tiba untuk   rakyat  marhaen  di  Malaysia  menganggotai  satu  masyarakat  sejagat  di  mana keadilan  bukan  sahaja  sesuatu  yang  dihormati  tetapi  sesuatu  yang  dipelihara dengan semangat  juang  yang kental dan berani..


-Dr.  Munawar  A. Anees-
13.4.2001