Mata-mata Yang  Lebam  Mata
(A  black eye  for  the  police)


Kerajaan meraung  di bawah  kolong. Polis yang bertegas  menafikan sebarang permit  menggertak rakyat marhaen  agar tidak  turut  serta.   Mereka  yang berkumpul  di hadapan  pejabat Suhakam di  Kuala Lumpur untuk  mengiringi  para  pemimpin  pembangkang  menyerahkan  memorandum,   mahu  ditangkap  semuanya  dan  dikenakan  hukuman  melanggar  undang-undang.

Namun, Keadilan bertegas  mahukan 50,000 orang  menghadirkan  diri  mereka berhimpun  secara  aman..

Inilah yang  membuatkan  kerajaan  terpinga-pinga.  Baru  sangat  enam  orang  dari  antara  20  pemimpin  Keadilan, yang  menaja  perhimpunan itu,  telah  ditangkap  termasuk  seorang  aktivis dan  dikenakan  tindakan ISA. Secara  senyap-senyap  kerajaan  mendirikan  pusat komunikasi  untuk  pasukan tentera  dan  polis  di  beberapa  tempat di   Kuala  Lumpur dan  Petaling Jaya. Semua  itu telah ditanggalkan  sebaik  sahaja   perhimpunan  aman  itu bersurai secara  aman  juga.

Timbalan  ketua  polis  Kuala  Lumpur  berkata  sekitar  400 anggota  polis  telah  bersedia menguasai  1,500  rakyat marhaen  yang berhimpun  secara aman; BBC  dan  CNN melapurkan  jumlah rakyat  mencecah  3,000  orang. Dengan  lain perkataan,  terdapat  seorang anggota  polis mengawal  setiap  empat peserta yang datang  berhimpun kalau  anda percaya  dengan hitungan rasmi;  ataupun satu-setiap-lapan,  mengikut  hitungan  orang  lain.  Jumlah sebenar yang  muncul  mungkin merupakan purata  antara  dua angka itu.

Sanggahan Politik  Yang Bergema.

Apakah  pentingnya  angka 1,500  ataupun 3,000  itu?  Setiap adanya   himpunan rakyat  seperti  ini,  kerajaan  mahu  mengaku menang dengan  menyatakan  hanya  300  orang  sahaja  yang  datang.   Kalau  angka  itu  lebih  lagi ia   menandakan kerajaan  memang menghadapi sedikit  masalah.   Kalau jumlah  berganda  lima hingga  sepuluh  kali bererti  gema politik sedang  melanda  yang  membuatkan  kerajaan  melutut  tak  tentu  hala  dan semakin  hampir  kehilangan  wibawa.

Itu  sebabnya  akhbar  perdana  berbahasa Inggeris  melenyapkan  angka  taksiran  timbalan   ketua  polis  itu. Laporan  yang mereka  buat  memberi andaian  bahawa  pembangkang  tidak berjaya  menarik  himpunan rakyat.  Tidak  ada pemimpin kerajaan  yang  bercakap  mengenai  demonstrasi  itu.  Polis  berkata  mereka hairan juga himpunan berjalan dengan  aman. Kisah  perhimpunan  tidak  mendapatkan  permit  sudah  pun  dilupakan.  Pihak  polis mesti  memberikan  penjelasan  kenapakah  selepas  melihatkan kekuatan  tayangan  kuasa rakyat ini, mereka  tiba-tiba diam kematu?.

Dulu, semua  orang kata  bahaya  perhimpunan  itu  sungguh  serius  Kenapa  pula  Perdana Menteri Dr. Mahathir  dan timbalannya  Abdullah  Ahmad  Badawi menghilangkan  diri  daripada  ibukota dan  bercakap  mengenai  ugutan  keselamatan secara bersahaja. Di manakah  perginya  Ketua  Polis  Negara  Norian Mai  ketika  itu, sedangkan dia amat gemar menonjolkan muka  selepas berlakunya tembak-menembak oleh pihak polis kerana  mahu  menyerikan  majlis  menumpang  nama waima  sehiris.

Kalau  gema kuat  sonik  menghunjam  angkasa,  pintu dan tingkap bergegar sampai  ke bingkai, jendela kaca  pecah berderai,  bangunan  bergoncang, penghuninya  mula bimbang dan manusia terasakan  getaran berulang.  Begitulah yang   menghantui  kerajaan  Mahathir  pada  Sabtu  yang  lalu. Tidak siapa  percaya  pihak  pembangkang  mampu  menarik 50,000 manusia berkumpul di ibukota  walaupun  para  penaja   sudah  pun  ditangkap untuk dipenjara.

Keberanian  Yang  Terserlah

Perhimpunan Sabtu  itu  bukannya  satu   usaha  meneguhkan  kedegilan  Anwar  Ibrahim dan tidak  juga  sebagai  menyokong  penghantaran memorandum  pembangkang. Ia  sebetulnya   merupakan  penonjolan  satu  keberanian  rakyat  marhaen  untuk  menggugat kerajaan. Inilah  kejayaannya.  Kerajaan  berkata   ia  sedang  menghadapi  satu  krisis.  Benarkah  kelentongan  itu?  Kalau  itu  dikatakan  satu  krisis,  kenapa pula  pihak polis merasa  lega  dan ceria  bahawa  himpunan rakyat itu  berlangsung dengan  aman sentosa?  Kenapa  pula  pada  tahap awal  dulu  polis mengatakan  perhimpunan  itu akan menjadi huru-hara? Seperti  yang  telah berlangsung  nampak sangat  betapa gelabahnya  pihak yang  berkuasa.

Apabila amaran diberikan agar rakyat  tidak  turut  serta dan  mengaitkan kemungkinan tercetusnya  peristiwa  di  Dataran  Merdeka  ketika Anwar  Ibrahim hampir ditangkap dan  dituduh  di  bawah  ISA pada 1998  dulu,  para  penaja  menang   dengan anjuran  mereka. Apatah  lagi  apabila  lebih  50,000  manusia  datang  tertumpu  entah  dari mana  datangnya  semua  itu, untuk satu  tujuan  yang  dianggap tidak begitu serius  perjuangannya, takkanlah mereka  sengaja berkumpul  bersantai melulu  di dini  Sabtu. Mereka  yang  muncul  itu telah  menyerlahkan satu perkara genting, jumlah  yang  berhimpun dan  bukannya  persepsi  kenapa  berhimpun  sudah  menjadi   isu  yang penting.

Keberanian  pembangkang menunjukkan  keberaniannya, bukannya  kali  pertama  yang membuatkan  polis terpaksa bersiap sedia.  Ia  memperakukan satu  persepsi betapa  polis tidak akan sudi   bertindak  apabila peraturan dan  undang-undang  itu  sudah  ditolak. Dalam  penentangan biji-biji  mata  kedua  pihak  yang  bersengketa, terkelip juga  mereka akhirnya  sehinggakan  ugutan polis  itu  terlonglai  jua.  Mereka  sudah  kehilangan bisa  setelah  menangkap tujuh pemimpin  di bawah undang-undang  zalim  ISA.

Apa  yang  telah terjadi memang  menakutkan hati.  Setiap  tindakan  Keadilan  memang  mengundang pembabitan  orang besar-besar. Inilah yang sedang  menggugat  dunia  politik  Malaysia.  UMNO  yang   menerajui  kerajaan  memang amat  takutkan pengaruh Keadilan, bukannya pengaruh  PAS. Kerana  itu  pemimpin  Keadilan menjadi sasaran   untuk  direputkan.  Gelagat  kotor  ini  sengaja dilakukan secara bersahaja  dan kejam  sekali  supaya  semua  orang  faham akan tujuannya.  UMNO  mahu  menumpaskan  secara  pukulan maut ataupun  secara  menggunakan  hukum  perundangan  sebanyak  mungkin  pemimpin Keadilan supaya  mereka  ini  tersingkir daripada menjadi calon pada  pemilu  yang  akan  mendatang.  Ini merupakan satu tindakan yang amat berbahaya  yang  meningkatkan  suhu  politik semasa.  Terlalu  banyak tujuan yang  terselindung sebalik  tuduhan  yang dihimpunkan ke atas  pemimpin  Keadilan  itu  daripada  tuduhan  mereka melanggari  undang-undang negara.

UMNO sudah pun kehilangan  martabat  kepimpinan  bangsanya selepas  presiden  parti  Mahathir, mengaibkan  Anwar   yang membuatkan orang Melayu mengalihkan  sokongan mereka.  Anjakan  sokongan Melayu berpolitik tidak diengsotkan secara automatis kepada  Pas tetapi ia lebih  cenderung  memihak kepada Keadilan.

Itu  sebabnya  persidangan  perpaduan  Melayu  tidak  boleh  dilangsungkan  mengikut  selera  asal  UMNO.  Apabila Keadilan  menolak perbincangan  perpaduan  itu,  ia  menjadi  satu  perkara kecil sahaja. Inilah  yang  disedari  oleh  PAS  sehingga  meletakkan  pelbagai syarat  yang UMNO tidak   mampu  tunaikan. PAS mengambil  sikap  bertahan  yang  bijaksana.  Kini, Kuala Lumpur sedar  betapa dua  negeri yang  majoritinya  90 persen   penduduk  Melayu  tidak  pun  ambil pusing  terhadap  perpaduan  Melayu . Cuma  menumpukan  perhatian kepada  ketuanan  politik Melayu  UMNO dan PAS  memandang perpaduan  Melayu  dengan kaca mata politik  sahaja. Kedua-dua  parti  ini  tidak ingin  melihatkan  Keadilan  bangkit  dengan  segala  kekuatannya.

Apabila kuasa  politik  dilepaskan untuk  mencengkam  Keadilan, yang  dimandatkan  mengambil alih budaya sokongan   Melayu  yang  terlepas oleh  UMNO,  kerakusan  UMNO  itu  kini  sudah  pun  mengaibkannya  lebih  teruk  lagi.  Wajah  martabat  UMNO  adalah layak  untuk  dijadikan sasaran  telur  tembelang sahaja. Keadilan sudah  pun berjaya  kini  mempamerkan  betapa ia  berjaya  menarik  sokongan  muda-mudi Melayu  (tanpa kelibat Erra Fazira- penterjemah)  menjulang satu  perjuangan  yang masih samar  lakarannya  tetapi  mampu  meraih  sokongan  yang  hebat-hebat belaka.  Inilah kumpulan yang  tidak dapat dijinakkan  oleh pasukan  polis  pada  Sabtu  yang   berlalu.  Sehinggakan polis sendiri secara kiasannya  sudah  diberikan pukulan ghaib  yang  melebamkan  matanya.  Tunggulah, lebih banyak lebam melebam yang  akan datang lagi.


-MGG  Pillai-

Terjemahan MT