ISA Sebagai Alatan  Mudah Bila Disanggah
(ISA  a handy tool  when  under siege)


(Artikel asal  Bahasa Inggeris ada di Malaysiakini)

Tidak  perlu  sesiapa   merasa terkejut  apabila  kerajaan  Mahathir  sekali  lagi menggunakan undang-undang  kejam  ISA (Internal  Security  Act: Akta  Keselamatan Dalam Negeri)  yang  memberi  kuasa  menahan  tanpa  perbicaraan  terhadap  para  pembangkangnya dan pengkritik.  Kali  ini azab   itu  dihalakan kepada  pemimpin  Keadilan  yang  diketuai  oleh  Dr,  Wan  Azizah  Wan  Ismail, isteri  kepada   mantan  timbalan  perdana  menteri  Anwar  Ibrahim.


Di Malaysia, sejak  40  tahun  yang  lalu,  politikus  pembangkang,  pengkritik social dan para  aktivis  kerap dihantui  pedang zalim  yang  bersifat  undang-undang  ISA yang sentiasa digantung di atas  kepala.


Soalnya  sekarang: kenapa kini,  diasak semua individu ini yang memang rapat  dengan Anwar dan  Kempen  Bebaskan Anwar  (Free Anwar Campaign: FAC) itu?


Kali  terakhir  satu  tindakan  mengganyang  pemimpin  pembangkang, pengkritik  dan   aktivis  yang dilakukan  oleh  kerajaan Mahathir  dengan menggunakan  ISA ialah  pada Oktober 1987,  dalam satu gerakan  yang diberi  nama ‘Operasi Lalang’. Ketika  itu  lebih satu  ratus pemimpin  pembangkang,  aktivis sosial  dan ramai lagi telah ditangkap, dan  ramai  yang  ditahan tanpa sebarang perbicaraan selama dua hingga tiga  tahun.

Di waktu  itu,  UMNO  yang  merupakan  parti  yang  dominan  dalam  kerajaan  koalisi  Barisan  Nasional  (BN),  telah  berpecah  dua  disebabkan  persinggitan  antara   Mahathir  dan  Tengku  Razaleigh  Hiamzah, bekas  menteri  kewangannya.

Orang  yang   kuat  mencemuh  Mahathir  ketika  itu  termasuklah  Tunku  Abdul  Rahman  Putra  Al-Haj dan  Hussein  Onn, perdana  menteri pertama  dan ketiga  negara  ini.

Rantaian  korporat  UMNO  ketika  itu  didedahkan  jua dan dicabar  di  mahkamah  terbuka. Mahathir  terkepung  dan  disanggah  ketika  itu. ‘Operasi  Lalang’  merupakan  jalan keluar  untuk beliau  bernafas  lega dan   untuk melencongkan  perhatian ramai  terhadap  masalah yang  mengepongnya dan  UMNO.



Pendarahan  Muncul  Semula


Penangkapan terhadap  beberapa  tenaga  muda  dalam  pucuk  kepimpinan  Keadilan tentunya  sudah  lama  dirancang oleh  Mahathir  sejak  berakhirnya  pemilu  November  1999 dulu. Walaupun  Keadilan baru sahaja  berusia   tujuh bulan, ia mampu  memenangi beberapa  kerusi  parlimen dan dewan undangan  negeri-negeri  dan  ramai  lagi  calon-calonnya  yang  kalah  dengan  margin undi  yang  kecil  (kepada  undi tipu  dan  undi  hantu – penterjemah).


Yang lebih  penting lagi, ialah pada  pilihanraya  kecil Lunas,  Kedah,  akhir tahun  yang berlalu, Keadilan menang  dengan  undi  majoriti  yang sungguh  bermakna  kerana  ia berlaku  di  negeri  kelahiran  Mahathir  sendiri.  Inilah  yang menghantui  tidurnya dan  menambahkan duka  gestapo  UMNO.


Malahan, turut penting  juga  kalau pun tidak sama  tarafnya, ialah  pilihanraya  kecil  bagi kerusi  parlimen  di Negeri Sembilan  beberapa   bulan  sebelum  itu.  Walaupun calon Keadilan kalah (kepada  undi  tipu  dan undi hantu  juga – penterjemah),  dia berjaya  melunturkan  undi majoriti  Barisan  Nasional yang sudah  lama  bertapak kuat  di  kawasan  itu  selama dua  setengah  dekad  yang  lalu.


Yang  lebih  memeranjatkan  koalisi  pemerintahan Mahathir, calon  Keadilan  telah  memperolehi  lebih  banyak  undi  pos  daripada calon  Barisan  Nasional .   Ini  merupakan  satu  fenomena baru  dalam sejarah  pemilu  sejak  1955.  Itulah  tahunnya  pemilu  mula-mula dilaksanakan  di Malaya, dua  tahun  sebelum  negara mencapai  kemerdekaannya. Undi-undi  pos itu  datangnya  daripada  ahli  angkatan  tentera.


Dengan  lain  perkataan, keresahan  rakyat  terhadap  Mahathir dan  pemerintahannya,  terutama  lelaki disebabkan  ‘Anwar Saga’ semakin  membuak  walaupun pemerintahannya, dan  media  yang  taat  setia  menggila  terhadapnya,  berkelentong dengan  segala propaganda  untuk  menjinakkan  mereka.


Semua   ini menjadi beban tambahan kepada  UMNO  yang belum  pun pulih daripada   masalah  kehilangan  sokongan  orang Melayu  sejak  pemilu  November 1999 dulu,  kepada  PAS  dan  Keadilan.


Dari  segi kewibawaan politik  dan  sokongannya,  nampaknya  pendarahan  mula menjelma, apatah lagi dengan meluasnya  barah  politik wang  yang  membaham  tulang  dan  sumsum kepartian, di  sebalik segala  lakonan  setiap  ahli UMNO  yang  berlagak  persis   malaikat  jelmaan  yang  bersih lagi bersih  dan putih  lagi  putih  itu.



Keceriaan Dan  Hiburan


Untuk  memahami  sepenuhnya  keseluruhan  penyakit  yang  mengingati  UMNO,  seseorang     hanya  perlu   memikirkan  gelagat  desperado  yang  ditunjukkan  oleh  Mahathir  dalam  menaja perundingan  perpaduan  Melayu  dengan  PAS.

Fikirkan  juga  keadaan  yang  menghantui Pergerakan  Pemuda  UMNO,  di mana  pemimpinnya  lari  lintang   pukang daripada  meneruskan  agenda berdebat  secara  terbuka  setelah dicabar oleh  saingannya di dalam PAS. Bagaimana pula  kisahnya  dengan  ledakan  yang  dilontar  kepada   setiausaha  agung  Khalil  Yaakob  oleh  wakil  rakyat  DUN Beserah  Fauzi  Abdul  Rahman.


UMNO  pusat  tidak akan dapat bertahan, apabila  yang  terbaik itu  kekurangan  iltizam  dan  yang terkutuk  bergelumang  dengan  kerakusan. Inilah  sebuah  parti  di mana seorang manusia  yang tamak  haloba  dianggap  lebih penting  dan  mulia berbanding  99 orang  lain  yang mungkin masih  mempunyai  prinsip  dan  ketaqwaan pada  diri  mereka

Bukan sahaja orang  Melayu  yang  kerap  dileter  oleh  Mahathir  kerana tidak bersyukur,  seolah-olah  Malaysia  dan segala kekayaannya  adalah  khazanah  warisan  bapaknya yang diagih-agihkannya.  Malahan  juga  orang  Cina    sejak kebelakangan ini  menjadi tersentuh  perasaan  disebabkan  tuduhan  melulu  diktator  tua  itu.


Dengan segala  latar belakang  inilah  kita mampu memahami  kenapa penangkapan minggu yang  lalu  menggunakan  ISA  sebagai  peluru   berpandu.  Keadaan  semakin perit  disebabkan  ekonomi  merudum yang  semakin  menekan,  kemarahan  rakyat  terhadap  cara  saham  MAS  diskandalkan  dan  bertambahnya  keresahan  para  pekerja  disebabkan  cara  dana  KWSP  (EPF: Employees  Provident  Fund) dihamburkan   untuk  menyelamatkan  syarikat  swasta   yang merengkok  dihenyak  pasaran.  Semua  ini  menghantui kuasa  yang  memerintah  secara amat tertekan.



Kisah  kekalahan kerajaan Kuomintang yang  kehilangan kuasa  di Taiwan  selepas  memerintah  lebih  50 tahun,  kecundangnya  PRI  di Mexico  selepas berkuasa selama  71  tahun, kisah  pelarian  Fujimori  yang  hampir terbungkus  di  Peru dan  melarikan diri  ke  Jepun,  pengaiban ‘kawan-lamo’  Robert  Mugabe  di  Zimbabwe,  kejatuhan  Milosevic dengan penuh  keaiban, sudah  tentu  tidak   menjadi punca  ceria dan  hiburan  kepada    beberapa  pemimpin  di  Malaysia.






Jenayah  Dahsyat  Sedahsyatnya.


Apabila ISA digunakan  untuk  menekan mereka  yang membantah,  yang menjadi mangsa pertama ialah ‘kebenaran’   Pembohongan  yang pertama  keluar daripada mulut  Timbalan  Perdana  Menteri  Abdullah Ahmad   Badawi   yang mengatakan penangkapan di bawah  ISA  adalah  semata-mata satu  tindakan  polis  yang   tidak ada kena  mengena  dengan  kerajaan. .

Kalaulah  mereka percaya  dengan pembohongan  ini,  tentulah  mereka tidak serius  dalam perkara  ini   semuanya. Seandainya  kerajaan  tidak  ada  kena  mengena  dengan  penangkapan   itu,  kenapakah  perdana menteri  dan   timbalannya  bercakap tanpa henti  akan  perkara itu  untuk  memberikan  sokongan kepadanya?


Kalaulah  penangkapan di bawah ISA  dilaksanakan  untuk  menyekat  tercetusnya  huru-hara  seperti  yang  disebut oleh  Mahathir, Abdullah  dan  Ketua  Polis Negara (KPN:IGP),  tentu  kita  terfikir  juga  kenapakah  tindakan  yang  sama tidak  digunakan  terhadap  pasukan  polis  yang  sejak  tahun  kebelakangan ini  telah menjadi begitu  buas   dan  ganas  terhadap  rakyat  marhaen  sehingga  begitu  galak  dan bersikap gatal-tangan menarik picu  senjata  terhadap orang yang  disyaki  melakukan  jenayah.


Kenapakah  himpunan  rakyat  marhaen tidak boleh  berjalan  dengan aman damai sehingga  polis  masuk  campur  dengan  menggunakan  agen  tukang kecoh  untuk  mengganggunya?    Berapa banyak negara  di  dunia  ini  yang  masih mengharamkan  himpunan  rakyat  secara  aman  dan perbarisannya?  Orang  Palestine  melakukan himpunan rakyat  itu  sehingga  mereka ditembak dan digugat  oleh   orang Israel. Jiran negara  Asean  kita,  Filipina,  membenarkan  perhimpunan  aman  rakyatnya tanpa  sebarang  huru-hara,  kerana pihak polis  yang tidak boleh  dimanipulasi  oleh  kuasa  politik.


Apakah  salahnya  ribuan  rakyat  Malaysia  berkumpul  untuk  menghantar  satu  memorandum  kepada Suhakam?


Adalah  satu  ironi  yang zalim  kalau  usaha menyerahkan  memorandum kepada  Suhakam boleh berkesudahan  dengan penangkapan  di bawah ISA. Apa  lagi  selepas  ini?  Penangkapan  dengan  undang-undang  ISA  adalah  satu  tamparan   hebat    kepada  Suhakam,  menjatuhkan  martabatnya  dan  merosakkan  kewibawannya  yang  sebenar.  Semua  ahli Suhakam  yang  punya  maruah  diri  sepatutnya  meletakkan  jawatan  mereka sebagai  satu  tanda protes  terhadap  Mahathir.



Kalau  mereka yang  ditahan   itu  tidak  diberikan  hak asasi mereka  untuk  dihadapkan  ke mahkamah  terbuka  untuk  diadili,  menunjukkan   bahawa  ISA  adalah satu  senjata  berbisa  yang amat berguna  kepada pemerintah  yang  zalim dan penakut. Usahlah  terkejut  kalau kita mendengar  tidak berapa   hari  lagi  ada di kalangan orang yang  ditahan  itu  membuat  ‘pengakuan’   betapa mereka telah  melakukan  jenayah yang sungguh  serius  terhadap  keselamatan  negara  dan blah, blah, blah, blah  adanya…….




-Fan  Yew  Teng-
16/4/2001