KEKAYAAN MENTERI KABINET MALAYSIA
(How  Rich  Are Malaysian Cabinet  Ministers?)

Pada  13  April 2001,The New Straits Times  telah  menyiarkan  di muka depan akhbar  kisah  kekayaan  menteri kabinet  Thailand. Apa  yang menarik  saya ialah kisah itu  tersiar  dulu  dan  diceduk  daripada  Bangkok  Post.  Di  akhbar asing  itu ada  cerita   menyeluruh mengenai kisah  kekayaan  ini.  Seperti  juga  di  Malaysia,  menteri kabinet  Thailand dan pegawai  tinggi  perkhidmatan  awam  dimestikan  mengisytiharkan harta  mereka.  Berbeza  dengan  amalan  di  sini, pengisytiharan  itu mesti  diumumkan  secara terbuka;  membolehkan  akhbar  di  sana  membincangkannya.

Perdana  Menteri  Thai,  Mr.  Thaksin Shinawatra,  memang kaya  kerana  dia adalah  seorang usahawan  berwibawa  selama  ini,  telah mengalihkan  kekayaannya  kepada  anaknya yang  kini  merupakan orang  terkaya  di Thailand.  Tetapi, harta  yang  diisytiharkan  oleh menteri-menteri kabinet  Thailand  berjumlah  24 bilion    (sekitar  RM2 bilion) merupakan  hanya secubit kekayaan  seorang ahli  kabinet  Malaysia yang bersamaan  dengan  anggaran kekayaan  seorang  menteri  lain  dan  beberapa  pasang menteri  yang  lain  pula.

Pada  dasarnya  para  menteri kabinet  Malaysia  menjadi  kaya  raya  ketika  memegang  tampuk  kuasa; dan bagaimana semua  itu  mereka lakukan  tanpa dianggap  korup  adalah  disebabkan  mereka tidak  pernah  ditangkap dan didakwa  kerana korup.  Tanyalah  Badan  Pencegah Rasuah.  Hampir  semua  menteri   kabinet  telah  disiasat bagaimana mereka mempunyai harta  berbukit  lebih  daripada  keupayaan  mereka, tetapi  kuasa  mendakwa  kerakusan  itu  terletak  kepada  Jabatan  Ketua  Hakim Negara,  yang  enggan menjalankan  tugas  pendakwaan  yang  sepatutnya.  Ketua  Hakim  Negara  beranggapan bahawa  yang  korup adalah  golongan  pembantu  rendah  am (office-boy), kerani, posmen  dan anggota  polis. Yang  lain  dianggap tidak korup secara  rasminya.

Malahan, adalah dianggap  satu  penghormatan  kalau seseorang  itu disiasat  oleh BPR.  Para  menteri  kerap   mendabik  dada memberi  kiasan betapa  bersihnya  mereka  semua. Semua  itu  tidak  mempunyai  sebarang   makna.  Kerap  sangat  BPR  menyatakan mereka bukannya  bersih  sangat dalam  menimbun harta,  tetapi  Jabatan Ketua Hakim Negara  tidak  pernah berminat  mendakwa mereka seperti tidak berminatnya  mereka  memberikan  alasannya. BPR  sudah  kehilangan  wibawa untuk bebas  menguatkuasakan  peranannya  sambil penyakit  rasuah  dan  korupsi  di kalangan  pegawai  kerajaan  terus  mencanak   naiknya.

BPR  pernah menyiasat  kerja-kerja  menimbun  harta  di kalangan pegawai tinggi  kerajaan. Tentu  sekali  Perdana Menteri  terkejut  beruk  mengetahui  betapa  lebih  50 pegawai tinggi dalam perkhidmatan awam, polis dan tentera   mempunyai  asset  terkumpul  yang  setara  dengan asset kepunyaan  kabinet  Thailand  yang ada.

Salah seorang daripada  pegawai tinggi ini mempunyai  asetnya  yang  ketika disiasat   bernilai  RM22  juta  telah  naik meningkat  RM27  juta  setelah BPR selesai berbual-bual  mesra  dengannya. Ini bukan  kes  perseorangan  sahaja. Ramai  kakitangan  BPR  percaya, ketua mereka  tidak dilanjutkan  perkhidmatannya  dan  tempatnya  digantikan  oleh  seorang  pegawai tinggi  polis, untuk  mengepalai  institusi  itu  pertama  kali  sejak  berdekad  lamanya.  Perlantikan  ini  berlaku  kerana  ramai  pegawai polis  yang  tidak puas hati  apabila beberapa  orang  pegawai  mereka  telah  dipanggil  untuk  menjelaskan bagaimana mereka boleh jadi kaya  raya  menimbun  harta. Kata mereka, kekayaan  pegawai polis  adalah  hasil pelaburan  bijak bistari  di  pasaran  saham, urusan hartanah, dan kepintaran penasihat pelaburan. Kerana  itu  ketua  BPR  tersebut  terpaksa digantikan  kerana  dia  terlalu suka  menghidu  taman larangan.

Satu   ketika  dulu  Tun Sardon Jubir,  seorang  orang kuat UMNO  yang  menjadi gabenor  Pulau  Pinang  telah  menceritakan  kepada saya  kisah kenapa dia  bersara sebelum  dia betul-betul  mempunyai  niat  untuk  melakukannya. Beliau   adalah  seorang  politikus  yang pintar tetapi  merupakan  seorang ahli  kabinet yang bersahaja  dan  tidak berapa  bersungguh  sebagai seorang  pentadbir.  Dialah  orangnya  yang  mengangkat  Tan Sri Musa  Hitam ,  yang  kemudiannya  menjadi timbalan  perdana  menteri  yang  mencederakan  kerjaya  politiknya  sendiri, untuk  menjadi  setiausaha  politiknya.  Selepas  itu  dia  angkat  pula  Dato’ Mohamed Rahmat  (Setiausaha Agong BN) sebagai pengganti  Musa pada 1960-an  dulu. Tun  Sardon  telah  bertahan  apabila  ada  tekanan hebat  daripada parti  agar dia melepaskan jawatannya.  Tetapi  apabila bahagiannya  menyuruh  beliau  bersara “kerana  anda  sudah  terlalu  lama membalun harta, kini giliran  kami  pula,” dia naik  berang dan  terus bersara.

Kini, menteri kabinet  terus  mahu  berkuasa kerana  kekayaan  yang  dapat  mereka bukitkan.  Seorang  menteri  kabinet mempunyai  harta  bernilai US200  million dollar, yang  kini sudah   melonjak  naik  menjadi US250 million selepas  dua  kali  bertemu bual dengan BPR.  Seorang  menteri  lagi begitu  kaya melalui  politik sehingga membolehkan  anak  lelakinya  mendapatkan   pinjaman  bank  sekitar  RM1.2 bilion  untuk mengembangkan  perniagaannya. Seorang  bekas  menteri memiliki 17  buah  kereta  yang bernilai  RM6  juta. Dua   menteri  yang  masih  bertugas  mempunyai  Porsche  bernilai  hampir RM2  juta.    Selain  itu  ada  dua  orang  menteri  yang  membuka perniagaan   makanan, satu di  Brickfields dan  satu  lagi  di Subang  Jaya.

Kita perlu bincangkan  pula  kisah  beberapa  menteri besar  dan  ketua  menteri.  Ada  di  kalangan mereka  yang   mempunyai harta  yang  lebih  tinggi  nilainya  dari  asset  terkumpul  yang diisytiharkan  oleh para  menteri kabinet Thailand.  Dua  orang membalun sebanyak  RM5000 juta  ketika  menjadi menteri besar dulu. Ada  seorang lagi  yang  mempunyai  lima  kali lebih  besar daripada  harta  sebanyak itu.  Kebanyakan  menteri besar BN  dan ketua  menteri  tidak  mampu  menjelaskan  bagaimana  menjadi kaya  raya  kalau  dilakukan  tekanan terhadap   mereka.   Tetapi  itu  semua  bukannya  satu  kerunsingan  untuk mereka.  Satu  ketika  dulu Anwar  Ibrahim  telah  membuat  laporan  mengenai  kerja-kerja bajingan  para  menteri  ini  kepada  polis.  Satu tindakan berkesan belum pun dilaksanakan.

Bagaimanakah  semua bajingan ini mampu  membalun harta  untuk  menjadi  kaya  raya? Inilah  bahananya apabila    mereka memegang  jawatan  yang  terlalu  lama, selalunya  di kementerian  yang  sama.  Apabila orang  berpangkat  tidak  ditukar-tukarkan selalu,  korupsi  pun  naik menanah sehingga mudah  untuk  disapu.  Apabila  pemimpin  BN  bertegas mahu  terus berkuasa lebih daripada  sepuluh  tahun,  mereka  adalah calon  terbaik  untuk korupsi.  Orang  yang  paling  berprinsip  pun mudah  mengalah dan  terliur  seleranya  apabila  dirasuk  dengan  dugaan tawaran dan  pujuk  rayu  setiap hari dan setiap  waktu. Malahan, saya sanggup  berdebat betapa  korupsi  itu dianggap sesuatu  yang biasa  kalau  ia dibalas  dengan  satu jentera pemerintahan  yang  berwibawa.

Tetapi   bukan  itu  caranya. Rakyat  marhaen  tidak akan membuat  aduan  mengenai korupsi dan salah guna  kuasa  kalau  apa  yang dijanji  ditunaikan  secara cepat  dan berkesan. Di sinilah  masalahnya. Korupsi  mendahului  setiap  permintaan untuk  perkhidmatan. Inilah  yang   mencetuskan  kemarahan  yang mudah meluap dan sukar ditekap.   Betapa pun  kerajaan  berusaha  menafikannya,  pengaiban  yang  ditimpakan  ke  atas Dato’ Seri  Anwar  telah  mencetuskan percikan  bunga-api kepada  kemarahan  yang  semakin  meluap  itu. Inilah  yang menonjolkan  himpunan segala  bentuk  korupsi  yang  bersifat  kecil-kecilan,   birokrasi yang  sambil lewa, keangkuhan politik  mengada-ngada sehingga  semua itu   terhimpun  menggunung tingginya menjadi satu gelombang rintihan rakyat  marhaen.  Secara  tiba-tiba,    kekayaan  yang   dibalun  oleh  wakil rakyat  yang sepatutnya  menjadi hamba abdi  rakyat  menonjol  laksana  bisul dan  menjadi  isu  yang  relevan  kepada  semua.

Di antara  masyarakat  politikus,  yang paling  terkaya  mempunyai  asset  bernilai  RM50 bilion  banyaknya. Ini  adalah bersamaan  dengan  simpanan  matawang asing  negara. Jelas,  si karun  ini  adalah yang paling  terkaya  di  Malaysia. Dia  menguasai  40 persen  saham-sham di BSKL  sehingga  membolehkan  salah seorang balacinya  mengambil alih semua  saham Malaysia yang  tersimpan di pasaran Singapore  CLOB. Dia juga  menguasai  sehingga 75 persen saham  yang ada  dalam agensi kerajaan. KLSE  kini  lengang  longlai  kerana  semakin  ramai   pelabur  sudah  sedar  betapa  mereka  tidak lagi  mahu  terbabit  dengan tipu helah  si bajingan bersifat Al Karun dan  Jin  Afrit..  Itu sebabnya  harga  saham terus  turun menjunam laksana  air terjun.

Laksana   kilat  dia  pernah  muncul  menegakkan satu  empayar  perniagaan  yang  dibantu  oleh  kerajaan  dan kini  sedang  menggugat ekonomi  negara  terus  mencungap dan  dihambat mudharat  laksana ikan yang lama terkapai di darat.  MP  PAS, Mohammed  Sabu  pernah secara  sinis  menggambarkan orang  ini  laksana  si  pendek ala  Napoleon  yang  berkumis tebal. Seperti Perdana Menteri  dia  menjadi   kaya  raya  setelah  menjadi  menteri  kabinet  dengan  meniru  gelagat  Al  Qarun ketika  masih  bertugas rasmi. Tetapi,  dia  pandai    menggunakan  banyak  proksi.  Tidak  banyak  yang boleh  digunakan untuk  menekan hasil  nafsu-nafsinya,  seperti sukarnya  menekan penyamun  yang  lain.

Kehadiran  Al  Karun  dalam kabinet  inilah  yang  merupakan salah satu  sebab kenapa Perdana  Menteri dikecam  hebat. Banyak  kerja-kerja  jijik  melibatkan  kerajaan  yang  tidak dirujukkannya  dulu  kepada   Perdana  Menteri.   Untuk  meredakan kemarahan rakyat  yang  semakin celupar  mengenai harta  karun  ini  semuanya,  adalah wajah  didedahkan  segala  asset  dan  harta  yang  ada  pada  semua  menteri kabinet  Malaysia  seperti  yang  dilaksanakan  di  Thailand. Tetapi,  masalahnya  takkan  Perdana Menteri sanggup  membincangkan perkara  itu  semuanya.

-MGG  Pillai-

Terjemahan MT
16.4.2001