Klon Dr. M
(Dr. M’s Boys - In the name of their father)
(Artikel asal ada di freeMalaysia.com)
Mukhriz, Mokhzani dan Mirzan tidaklah boleh digolongkan dengan Tommy, Bambang, dan Sigit - memang belum layak lagi diberikan taraf itu. Marina dan Melinda pula memang jauh lagi sebelum boleh disebariskan dengan Tutut dan Titiek.
Kalau kita ketepikan Marina dan Melinda dulu, anak-anak lelaki Mahathir itu memang boleh dianggap semacam ada satu pertalian persaudaraan dengan anak-anak Suharto yang sungguh pelahap. Sememangnya, kalau tidak kerana merudumnya keadaan ekonomi Asian yang mencetuskan krisis kewangan, keluarga Perdana Menteri Mahathir memang hampir mengembang (laksana bunga taik ayam - penterjemah) dalam dunia korporat mereka. Itulah juga pengalaman Keluarga Suharto satu dekad terdahulu daripada itu. “Klon ini” seperti mana mereka dikenali di kalangan masyarakat korporat di KL memang sudah mempunyai jangkauan yang luas di beberapa sektor penting dalam dunia ekonomi Malaysia dan hampir menguasai tahap dominasi dalam beberapa sektor yang amat diminati oleh bapa mereka.
Sememangnya, klon-klon Mahathir diakui lebih cerdik dan lebih tinggi tahap pelajaran mereka berbanding anak-anak Suharto, walaupun dari segi naungan politik mereka bolehlah dikatakan setara. Dari segi ketuanan korporat itu mereka memang jauh terkebelakang daripada tahap pencapaian anak-anak Suharto, bukan disebabkan ayah mereka menghalang pembabitan secara gelojoh dalam arena perniagaan suku-sakat, para juak dan kroni. (Sebenarnya banyak dalil yang boleh dikemukakan untuk menolak beberapa alasan yang dikemukakan oleh kumpulan aplojis Mahathir dan pakar propaganda yang diupah untuk kerja-kerja itu). Para klon itu nampak seolah-olah tidak gelojoh kerana terdapatnya banyak hambatan institusi dan kekangan politik yang berbeza dengan keadaan di Indonesia. Hambatan inilah yang telah menyekat kemaraan nafsu-nafsi para klon itu untuk naik memuncak ke tahap pelahap dan gelojoh yang amat memualkan
Yang pertama, terdapat perbezaan di antara budaya, iklim politik, suasana perkauman dan evolusi ekonomi di Indonesia dengan ciri-ciri yang sama di Malaysia. Oleh kerana terdapatnya sebab-sebab yang saling kait- mengait yang berbelit dan kompleks, makanya negara yang nombor empat terbesar jumlah penduduknya di dunia ini mempunyai sedikit sahaja kesamaannya dengan Malaysia, walaupun kesamaan dengan bahasa kebangsaannya dan agama Islamnya memang wujud seiringan. Itulah juga sebab-sebabnya kenapa Indonesia yang begitu menarik kepelbagaiannya selama ini kekal di bawah naungan politik hanya dua orang tokoh sahaja - Sukarno dan Suharto. Dominasi yang menonjol ini akhirnya membuka ruang kepada anak-anak Suharto yang direstui oleh seorang bapa yang dianggap laksana seorang Raja Jawa untuk bergelumang dengan kekayaan hasil bumi negaranya dan kemewahan korporat yang tersedia ada.
Sebaliknya di Malaysia, era pra-Mahathir dan tahap awal permulaan kepimpinan Mahathir sudah pasti tidak boleh menerima kemunculan satu dinasti keluarga seperti yang berlaku kepada keluarga Suharto di Indonesia. Kewujudan UMNO, sebagai sebuah institusi - dan bukannya orang perseorangan yang diberikan status pendewaan oleh masyarakat sekelilingnya – yang ditonjolkan semasa pasca kemerdekaan Malaysia sebagai satu keluarga politik Melayu yang amat besar. Inilah keluarganya yang mendapatkan kemerdekaan daripada British. Itulah parti politik, seperti yang dipantakkan ke telinga majority Melayu secara berulang selama ini, yang berwibawa memelihara dominasi politik, menjana kegiatan ekonomi dan menjamin stability social negara.
Inilah ikrar orang Melayu yang membolehkan UMNO membesar menjadi satu kompak social dengan beberapa lagi parti yang berasaskan perkauman untuk mewujudkan kerajaan koalisi (dua sahaja) Malaysia sejak 1957, Perikatan dan Barisan nasional. Parti minoriti bukan-Melayu secara amnya telah menerima sokongan UMNO secara bertahap untuk mewarisi keistimewaan etnik, keagamaan dan perniagaan sebagai satu ganjaran kestabilan dan sokongan terhadap status quo politik mereka. Dengan lain perkataan, Malaysia muncul dengan satu bentuk demokrasi yang tersendiri, di mana wujud satu system pengimbangtara dalam aktiviti perkauman di tahap bawahan tetapi yang merupakan sesuatu yang amat terpencil dan berkurangan dalam urusan kerajaannya.
Tetapi di Indonesia, model kesultanan Jawa dan budaya Keraton telah dipindahkan kepada kerajaan dan ditumpukan kepada orang kuat yang menerajui kerajaan itu. Kehendak kumpulan yang memerintah adalah satu tugas untuk rakyat jelata. Apa yang diimpikan adalah merupakan tugas mereka sendirian untuk memuaskannya, mengikut ruang lingkup perbatasan tertentu, semestinya. Namun, tradisi awalan UMNO dulu menumpukan kerja-kerja terhadap memperkayakan dan meneguhkan parti sebagai tanggungjawab utama dan misi kepimpinan, dan bukannya ke arah membesarkan tembolok perdana menteri, keluarganya dan para juak dan kroni.
Tidak seorang pun di kalangan tiga perdana menteri terawal Malaysia yang pernah hidup mewah-mewahan laksana maharajah, walaupun mereka lahir daripada kalangan golongan ningrat dan istana. Tunku Abdul Rahman, selalu dikagumi oleh peminatnya dan diberikan layanan yang menyeronokannya. Tetapi, dia telah menyumbang dan mengorbankan sebahagian besar hartanya untuk menyokong perjuangan UMNO ketika parti itu sedang merangkak ketiadaan dana untuk bernafas lega. Tidak juga dia ambil kira sangat kalau UMNO menerima bantuan dan derma daripada peniaga Cina yang kaya raya yang kebanyakannya merupakan ahli Malaysian Chinese Association (MCA).
Penggantinya Tun Abdul Razak, menghembuskan nafas terakhir ketika masih memegang kuasa, sebelum anak-anaknya membesar untuk menjadi satu kuasa politik dan korporat. Kerana itu tidak ada seorang pun yang layak menggantikan bapa mereka ataupun mampu mempengaruhi siapa yang sepatutnya menggantikan bapa mereka. Begitu juga dengan Tun Hussein Onn. Keadaan kesihatan yang tergugat menyebabkan beliau bersara dan sekali lagi anak-anaknya belum cukup berpengaruh untuk menuntut jawatannya.
Keadaan ini tidak sama apabila tiba giliran Dr. MAHATHIR YANG KINI MERUPAKAN PERDANA MENTERI YANG PALING LAMA DI Asia. Dia sudah berada di puncak kuasa terlalu lama (20 tahun lamanya). Anak-anaknya (Klon-klon) sudah pun membesar; berakal baligh dan layak menikmati syurga kroni ciptaan bapanya. Sepanjang kekuasaannya Mahathir telah mencengkam kuasa menyeluruhi masyarakat niaga, media dan penghakiman negara, sehinggakan tidak mudah menafikan kemasukan Klon-klon Mahathir itu untuk turut mempertahankan kota politik yang disaluti keangkuhan korporat ciptaan bapa mereka. Akhirnya, tidak ada sesuatu pun yang boleh dinafikan kepada apa sahaja yang mereka impikan.
FreeMalaysia memang tidak menafikan bahawa di tahap awalan kuasanya, Dr. M telah mencuba berkongsi cita-cita partinya untuk mendapatkan kebebasan kewangan yang bebas daripada pengaruh luar yang mungkin menggugat dominasi politik. Sebagai contoh, gelagat para Sultan dan ahli keluarga terdekat hidup bermewah dan penuh dengan segala pembaziran telah menjentik perasaan Mahathir yang beberapa tahun kemudiannya, menjadikan satu misi khasnya sebagai seorang perdana menteri untuk membogelkan masyarakat raja-raja itu daripada kemewahan kekayaan, kuasa dan kemuliaan.
Dr. M mungkin juga merasa tertekan betapa dia terpaksa bergantung kepada tauke-tauke Cina untuk menyumbang kepada tabung perjuangan UMNO, seperti yang mereka lakukan di zaman pra-Mahathir. Harus diingatkan juga di sini, tabung perjuangan UMNO itu pada satu ketika dulu merupakan satu tabung kecilan sahaja sebelum terciptanya budaya politik wang yang menyerlah ketika Dr. M mula berkuasa.
Apakan daya? Peniaga Melayu belum lagi menonjol untuk menyediakan kewangan yang diperlukan oleh UMNO yang mempunyai satu jentera politik yang semakin laju gerakannya kerana mahu keluar daripada pergantungan parti terhadap jasa baik tauke-tauke dan hartawan kaum lain. Maklumlah setiap kali ada sogokan bantuan yang masuk, panjang pula tali penambat yang mahukan sesuatu darinya.
Usaha memperbaiki keadaan telah diasaskan oleh Tun Razak dalam Dasar Ekonomi Baru dan dasar pemerintahan itu diteruskan oleh pemerintahan Hussein Onn. Tetapi, perjalanan dasar meningkatkan ekonomi Melayu itu didapati terlalu lembap untuk menceriakan Dr. M yang semakin tidak sabar yang selama ini memang pun memendam perasaan mahukan satu dasar ekonomi yang lebih agresif lagi. Tidak kiralah kalau dasar yang baru itu akan menumpukan kekayaan ke tempat tertentu sahaja. Apabila dia menjadi Perdana Menteri pada 1981, itulah yang dilaksanakannya. Dia merombak DEB itu dengan satu rencana suntikan pembaharuan seolah menggunakan enjin turbo kepada kereta lama. Ketika itu dia menjemput Tun Daim Zainuddin, seorang ‘kawan-lamo’ yang pintar merencana dan memutar-belit apa sahaja yang masih belum berpintal. Dilancarkannya beberapa projek mega yang diagih-agihkan kepada para sahabat, kroni dan juaknya sekali.
FreeMalaysia telah pun menerbitkan satu penilaian prestasi program industri berat ciptaan Dr. M dan masa depannya yang malap. Masa depan semua industri itu memang tidak menggiurkan. Memang tidak dapat dinafikan betapa Dr. M dan Daim telah memberi ruang yang menonjol kepada kemunculan beberapa taikun (hartawan) melayu korporat untuk menyerlah di bahagian teratas masyarakat niaga Malaysia - untuk segala kebaikannya ataupun sebaliknya, selalunya untuk yang buruk-buruk belaka. Akhirnya UMNO di bawah naungan Dr. M telah berupaya membebaskan diri daripada pengaruh tukang bayar dan tukang sogok, semua itu dengan ihsan tanpa sedar para pembayar cukai kerana wang mereka itu semuanya yang dibalun untuk membiayai projek yang dianjurkan oleh kerajaan.
Di sini terwujudlah satu kejanggalannya. Di bahagian teratas ekonomi Malaysia, perniagaan dan politik menjadi ‘satu’ sehingga sukar untuk membuat perbezaannya. Tentunya ia memberi kesan yang sungguh menyenakkan. Tidak lama kemudian semakin terserlah hakikat betapa sukarnya bersaing di tahap atasan ini tanpa membayar kos yang tinggi dalam bentuk menyokong orang lain yang hidup bernafas dalam jaringan korporat-politik Mahathir. Kesannya menjadikan persaingan niaga itu sesuatu yang tidak menguntungkan - melainkan terus bergantung harap kepada kontrak besar-besar yang memerlukan sogokan besar-besar kepada para kroni untuk menentukan kejayaan.
Apabila sudah tergari kepada keistimewaan korporat dan kewangan bentuk ini yang telah dianugerahkan itu, adalah sukar untuk menyelinapkan diri kerana system sogokan itu sudah menjadi satu budaya yang menopang amalan kerja untuk terus berjaya.
Memang mudah dicam jenis manusia yang sanggup bertahan. Mereka itu mudah dilihat berbondong-bondong untuk dirakamkan gambarnya di lapangan terbang, menghantar ataupun menyambut Dr. M dalam lawatan beliau ke luar negara - tidak kiralah kalau mereka menganggotai rombongan lawatan Dr. M itu ataupun sengaja muncul di situ sebagai pak pacak sahaja. Mereka berlumba-lumba untuk mendapatkan peluang menyumbang terhadap salah satu majlis social Dr. M ataupun mencari helah agar beliau sanggup menjadi penumpang dalam jet korporat mereka. Mereka sanggup menaja satu ataupun lebih lagi projek kesayangan Dr. M ataupun Maharaninya, dan mereka sanggup melabur secara menggila dalam salah satu projek perindustrian pilihan Mahathir.
Kebanyakan manusia pelahap jenis ini mula-mula mendekati Dr. M dengan cara berjinak-jinak dengan klon-klon Mahathir sehinggalah mereka pun diterima masuk dalam istilah 'klik' dan kroni. Bajingan yang lebih pintar telah mula memancing perhatian klon-klon Mahathir itu ketika mereka masih di zaman persekolahan lagi dan sebelum mereka menjejakkan kaki di ambang dunia korporat. Inilah yang diaksanakan oleh ‘Uncle Ananda’.
Memang jelas, formula DEB terutama sekali yang diputarbelitkan oleh Dr. M tidak pun berjaya mencetuskan keberkesanan perjalanan ekonomi yang menyumbang kepada kekuatannya secara berpanjangan. Bandingkanlah ketahanan Singapura ketika dilanda krisis yang sama dengan Malaysia. Secara keseluruhannya, pertumbuhan DEB yang disabotaj dengan tipu helah Mahathir telah memperkayakan para kroni beliau dan juga sekongkolan Daim. Secara berdikit, sasaran utama program ekonomi itu menjadi hanya satu tiang penyokong kepada satu usaha menegakkan dinasti politik Mahathir & Co.
Lupakanlah ciptaan Mahathir yang disebut “Wawasan 2020” yang diwarnai rancangan perindustrian yang menyeluruh. Itulah satu fatamorgana yang mengikut definisi awalannya tidak pun akan tercapai kerana berasaskan satu rencana ekonomi yang rapuh yang diilhamkan oleh Dr. M. Tetapi, tidak ada sesiapa yang berani memberitahu beliau betapa Cyberjaya’ adalah satu rancangan haprak yang orang perlekehkan dengan jolokan ‘Cyberjello’. Ataupun Proton adalah satu impian kosong seperti juga Perwaja dan Bakun yang merupakan projek orang yang bertaraf baghal sahaja.
KTK10 ………bersambung …..