WAWASAN MAHATHIR YANG KABUR
(Mahathir’s  Faded Vision  - What  Would a Malaysia  Without  Mahathir be?

Oleh:     Dr. Khoo Boo  Teik

Benarkah Asiaweek sengaja  memilih  gambar  Perdana  Menteri  Dr. Mahathir yang  sudah  ganyut   supaya  dia  kelihatan  semacam  seorang  badut.? Betulkah, Badan  Bertindak  Melayu   ditubuhkan secara terburu-buru  untuk membantu Mahathir mengganyang para seteru,  tetapi  menyerang  kepimpinannya pula kerana    menjadi  keliru?  Benarkah  Presiden  PAS memang enggan duduk  selama lima minit bersama Mahathir  untuk membincangkan perpaduan  Melayu?  Apakah    setiausaha  politik  Mahathir, Dasuki Ahamad begitu tertekan untuk  mengekalkan warisan  ketuanya  sehingga   mendesak  universiti tempatan  menganjurkan  kurus   mengenai  pemikirannya? Kalau dikaji  dari sudut  lain apakah  semua ini pertanda  berakhirnya  kuasa Mahathir?

Undur  ataupun hegemony?

Sememangnya,  ‘seawal mana’   tidak boleh dijadikan soalan    untuk    membayangkan  pengunduran  Mahathir daripada  pentas  dunia  politik, bila sahaja ia akan  menjelma.  Julai yang akan  menjelma membawa isyarat bahawa Mahathir  akan berkuasa sebagai  perdana  menteri dua  puluh tahun  lamanya.

Namun,  tidak  ramai  orang  yang  yakin  Mahathir  akan  berundur secara  sukarela.  Ramai yang mengharapkan dia berbuat  begitu, tetapi hampir semua manusia  itu berfikiran tidak  ada   apa-apa dan tidak ada sesiapa  yang boleh  memaksanya berundur   segera.

Perkara begini bukannya sesuatu yang pelik. Mahathir mempunyai rekod ketahanan berpolitik  yang dianggap  satu legenda. Kedegilannya untuk  terus  berkuasa menjadi begitu  mengancam  sehinggakan tidak ada sesiapa dalam partinya, diluar kumpulan  kliknya  ataupun  di luar negara,  yang  berpendapat   bahawa  Mahathir  akan  berbuat  apa saja selain berkuasa sehingga tidak  bernyawa.

Barisan Alternatif  (BA)  sebagai contohnya,  berazam   menggantikan  Barisan  Nasional (BN)  sebagai pemerintah.  Namun tidak ada  seorang  pun  pemimpin BA, yang  kita lihat pernah mengemukakan  pendapatnya  apakah yang sebenarnya sedang menghantui rakyat  Malaysia  yang  tertekan:   “Apakah  yang jadi kepada  Malaysia tanpa Mahathir?”

Kelemahan  untuk berfikir secara berani,   yang  berunsur  semacam takdir politik, kalau boleh diungkapkan begitu,    akan hanya  membawa usul balik ke asal;  seolah-olah  cabaran Tengku  Razaleigh  Hamzah terhadapnya  tidak  pernah  berlaku,  UMNO tidak pernah berpecah, Anwar  Ibrahim tidak pernah diaibkan dan ‘Reformasi’ hanyalah  satu ciptaan-siber.

Yang dikatakan hegemoni

(‘hegemony’ ataupun hegemoni  adalah  PENGARUH   ataupun  KEKUASAAN  seseorang  ataupun   sesebuah  negara  ke atas  penduduk sesuatu negara  ataupun  negara-negara lain   -  penterjemah)

Selalunya ia bersifat lebih berkuasa kerana  diperibadikan disebabkan ketahanan  politik  Mahathir  itu  sendiri, hingga  mampu  mengkotak-katikkan  gelagat, dan  penonjolan ataupun kemalapan rakan-rakan   (politik) sekutunya  dan juga orang bawahannya.

Berakhirnya  Era  Mahathir

Kalau  diamati sedalam-dalamnya,  apa  yang  dianggap kemantapan  kuasa Mahathir dan  dominasinya terhadap system politik itu  sebenarnya bersifat satu ilusi belaka.   Tanda-tanda alur  keretakan  dalam dominasi itu  sudah semakin ketara.

Di kalangan UMNO,   akar  umbinya di  Johor telah  mengemukakan  kritikan  yang penuh  jeritan  dan bisikan  menuduh Mahathir sebagai  penyebab  kepada   kemalapan  parti. Inilah  yang  mencuitkan rasa gerun  di kalangan pemimpin  yang  memegang jawatan dalam parti dan yang terpaksa bertanding  lagi tahun  ini.

Di  luar  UMNO, dia  menerima kritikan daripada  masyarakat Melayu,  kakitangan awam, para pelajar dan pendidik  yang tidak pun ambil pusing kepada seruannya  agar orang  Melayu bersatu. Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu (GPMS)   sebuah persatuan  picisan  di mana  Mahathir  adalah penaungnya mengambil sikap pro-Mahathir, sedangkan  para  pemimpin  pelajar yang  pro-pembangkang telah  menyapu bersih pengundian  pemimpin  pelajar   di kampus.

Sebenarnya,  era  Mahathir  sudah pun  berlalu. Cuma menunggukan  bunyi  tangisan dan raungan,  jeritan dan sorakan yang  sudah  pasti  akan  dilaung-laungkan  sebaik  sahaja manusia  ini  pergi.

Era Mahathir  itu  luput  antara   tempoh  krisis kewangan yang bermula Julai 1997 dan  krisis  politik pengaiban Anwar  pada  September 1998.   Hanya  pemulihan  ekonomi yang   tentatif dan  palsu  dan kemenangan BN pada pemilu 1999 yang penuh kepuraan  masih mengekalkan  fiksyen  kepada lanjutan  kuasanya itu.

Yang  Disebut  Mahathirisma

Apakah sebenarnya  ‘Era  Mahathir”  itu?

Kalau kita menoleh  ke belakang, itulah masanya  ambisi liar  digembar-gemburkan  dalam  mengasaskan  program industri berat negara ciptaan  Mahathir.  Ambisi  itu  dirangsang oleh nasionalisme  Melayu* (in adalah satu kepalsuan hasil  putaran minda – penterjemah)  dan modal  kapitalisme Malaysia yang  dijodohkan  untuk mencerna Malaysia Incorporated (Malaysia Inc.)   dan  penswastaan.

Awal mula era ini telah dirangsang dengan tenaga  padu  “2M”  memang sungguh gah  bunyinya:  “Mereformasikan Birokrasi!!!  Memodenkan ekonomi!!!  Merobah Orang  Melayu!!!

Tiang semangat  perjuangan  ini  dirangka  berteraskan   ‘penyerapan  nilai-nilai ajaran Islam.’ Macam  mana pun  memang ada nilai-nilai yang  menonjolkan pembelajaran,  menganjurkan jimat-cermat dan  tenaga kerja  yang  berwibawa;  unsur-unsur  budaya  kerja  orang Timur.  Mahathir amat berminat menerapkan semua  itu   di kalangan masyarakat  Malaysia.

Sasaran  utama  ialah penciptaan sebuah  negara  yang bersatu, ‘Bangsa Malaysia’, yang akan berketuakan Melayu Baru;  satu  kumpulan   kapitalis  Melayu dan  golongan  profesional’ yang berupaya  menguasai pasaran sejagat.

Apa Yang Ada Sekarang

Kini tidak ada sesiapa  yang berminat menyentuh konsep bersih, cekap dan  amanah **yang merupakan inisiatif pentadbiran   Mahathir  ataupun  peraturan berjimat-cermat  anjuran Daim Zainuddin ketika beliau mula-mula menjadi menteri.   Sebaliknya,  yang hangat dibincangkan ialah  ‘bailout’ penyelamatan,  kronisme, dan   putaran-semula penswastaan  ataupun ‘memilik-negarakan-semula’.  Kesannya  ialah  kejutan yang bertali  arus   yang disogokkan kepada  rakyat marhaen  apabila  tercetusnya episod  yang membabitkan IWK, MAS, PUTRA, STAR, BAKUN  HEP, dan Time DotCom.

Penerapan nilai-nilai Islam  pernah  dihidangkan  secara menarik dalam bentuk liberal dan kod universal.  Kini, ia seolah-olah lompong  apabila diambil kira segala kiasan  yang tercetus daripada   pembangkang  yang  berunsur Islam dan yang terkuat setakat  ini.

Ada satu  ketikanya  dulu  apabila Mahathir mahu menggerakkan sebuah  negara yang disuntik adunan  synergistic membabitkan    kepimpinan yang berwawasan  dan pergerakan yang  popular.   Sekarang  ini sebarang rujukan  kepada slogan yang dianggap usang itu akan mencetuskan kemarahan. “Kepimpinan Melalui Teladan”, mudah  dicemuh orang sedangkan  pergerakan yang paling popular  memang berbentuk anti regim  Mahathir.

Mahathir  tidak  mampu  menjanjikan apa-apa lagi selain  satu  laungan yang berulang  agar dipertahankan  hak keistimewaan orang  Melayu, kedaulatan  raja-raja  Melayu mengikut perlembagaan,  dan  Islam..

Sejak  UMNO  dihenyak  oleh kekalahan dan aib pada pemilu    November 1999,  Mahathir berkelakuan seolah-olah   dia cuba mengimbau  kekalahan dirinya pada pemilu 1969 dulu.  Anjuran   purba  beliau  mengenai  ‘Bangsa Malaysia’  sudah semakin tenggelam oleh  laungan   berpuak-puak terkini  mengenai ‘Perpadauan Melayu’.

Apakah ada petanda lain bahawa wawasan Mahathirisma sudah semakin  tidak bermaya?

………….bersambung

Terjemahan MT