Dr. M-Daim:   Merajuknya  Seorang Napoleon?

(Dr. M-Daim:  Napoleon gone apart?)

Desas desus  telah menunjukkan  realitinya.   Perdana  Menteri  Dr. Mahathir  Mohamed, telah mengesahkan menteri kewangan, Daim Zainuddin,  telah pun mengambil dua  bulan cuti sejak dua  minggu  yang  lalu. Namun dia menafikan  desas desus   kedua betapa Daim sudah pun  meletakkan  jawatannya. Mahathir menuduh  orang  lain  kerana  menyebabkan ini semua, tetapi  lagi  galak dia dan kerajaan bertindak secara rahsia dan menggunakan  peraturan, tanpa  mengambil kira martabat Parlimen; kebenaran yang terselindung  di sebalik semua  desas-desus  itu semakin  menyerlahkan kebenarannya.

Apabila  Mahathir menjelaskan Daim tidak akan  menghadiri   sidang kabinet ataupun  mesyuarat UMNO ketika bercuti itu tetapi  akan berada di pejabatnya di Perbendaharaan  untuk membuat  kerja-kerja  biasa, tentu sekali ini  menunjukkan  ada sesuatu  yang tidak  kena. Dia  bercuti sedangkan dia tidak pula melepaskan kerjanya. Dari tarikh  mulanya percutian itu  seorang pemangku menteri mengambil-alih  tugasnya.  Kenapa pula  dia ada di tempat kerja? Ketika desas-desus  ini bergoncang begitu kencang kenapakah Dr. Mahathir menunggu  selama seminggu  untuk mengumumkannya? Kenapakah penting  sangat  percutian  itu sehinggakan dia tidak menghadiri mesyuarat UMNO?

Desas desus  di ibukota   menyatakan Daim  telah menyerahkan  surat  perletakan jawatan.  Dia     meminta   Mahathir  membubuh  tarikh  tamat kerja  sesuka hatinya  dan  memberitahu  dia  mahu bercuti  selama dua bulan  dulu. Dengan lain  perkataan Daim  telah melepaskan  beban itu kepada Perdana Menteri. Berita angin mengenai   apa sebenarnya  berlaku  telah  diperakui  oleh pegawai tinggi kerajaan yang sepatutnya tahu menahu  apa yang sepatutnya telah berlaku;  memberikan  petanda benarnya perkara itu. Apabila  Dr. Mahathir cuba berahsia dalam mengumumkan  percutian Daim  itu,  ia  mencetuskan lebih  banyak soalan  daripada  jawapannya.

Daim memang sedang teruk ditekan,  oleh kabinet,  kerajaan, UMNO dan juga Parlimen.   Cara  kerajaan  menyelamatkan  pemegang  utama  saham  MAS, Tajuddin  Ramli  merupakan sesuatu yang dipaksakan ke  atas kabinet  yang  memberikan persetujuan  secara ‘fait accompli  (satu  peristiwa berlalu  yang dibincangkan).  

Dr. Mahathir  menjadi  berang apabila dana EPF (KWSP)  telah digunakan  untuk menyelamatkan, mengikut  perkataannya sendiri, “sebuah  syarikat swasta”.   Itulah  status TimeDotCom   yang sebenarnya. Dia telah  bertanya Daim berapa tanggungan EPF dalam perkara itu. Daim mempunyai kuasa  mengawal  secara terus ataupun  melalui    proksi,  sekitar 60 persen saham-saham yang  tersenarai di BSKL.  Setiap  kali kerajaan  mengswastakan   asset  kerajaan proses  penswastaan itu  dikaitkan kepada   kroninya atau pun anak-didiknya.

Berpisah  Haluan  

UMNO  telah  mendesak satu penyata perakaunan  akan semua asetnya  selepas terkuburnya UMNO (asal)  pada 1987 dulu,  and setelah syarikat pelaburannya  ditutup. Sebagai Bendahari UMNO Daim tidak pernah  mengemukakan  akaun  terperinci   pelaburan  UMNO  itu. Dalam beberapa  mesyuarat  Majlis Tertinggi  UMNO, tekanan semakin  galak diarahkan kepadanya  sehinggakan dia  ponteng mesyuarat  itu  untuk menyediakan penyata akaun menunjukkan betapa besarnya kerugian yang ditanggung selama  ini. Adalah  tidak logic membuat andaian bahawa akaun  pelaburan    UMNO sedang  sihat  bugar  sedangkan  syarikat  persendirian  kebanyakannya sudah hampir di bibir kancah  kemuflisan.

Malahan,   MP  PAS   Mohamed  Sabu  pernah  bercakap dengan penuh kiasan  menghenyak Daim  di   Parlimen.  Mohamed Sabu semakin berani bersuara lantang, sejak  bilangan wakil pembangkang sudah bertambah sekarang.  Dalam  satu sessi parlimen  Mohd Sabu  telah mengemukakan soalan  siapa  gerangannya “wanita bernama Josephine”.  Dia adalah  CEO (Ketua  Eksekutif)  sebuah  bank (mungkinkah  Bank  Perikatan MGG?  -  penterjemah)   dan telah diberikan  satu  kontrak  menyediakan komputer  kepada hospital kerajaan bernilai RM1,000 juta (satu billion): dan  apakah benar  Joesphine  ini  mempunyai  seorang “Napoleon”  yang berbadan sontot  dan bermisai kontot?  Mohd. Sabu selalu dikritik oleh akhbar perdana, menunjukkan ada udang di sebalik batu   sindirannya.

Perkara ini  tidak dilaporkan  oleh media perdana tetapi menjadi bahan jenaka di    ceramah-ceramah merata  negara.  Rakyat  marhaen  mempercayainya. Begitu  juga  di  kalangan  pegawai kerajaan.  Mereka memang tidak  suka Daim berada dalam  kabinet:  kalau diperlukan  juga, dia seharusnya tidak diamanahkan portfolio kewangan dan menyelia dasar ekonomi  di jabatan  perdana menteri.

Nampaknya,  Dr. Mahathir  sudah   pun mempercayai  perkara ini:  dia telah melantik  dua orang untuk  menjadi penasihat-khas ekonomi .  Seorang ialah Ali Abul  Hassan Sulaiman bekas  Gabenor  Bank Negara,  dan Nor  Mohamed Yakcop.   Apakah perlunya  dua  penasihat  ini  sedangkan  Daim masih merupakan  penasihat  ekonomi  kepada kerajaan?   Ini  hanya  satu  desas-desus  lagi betapa  Dr. Mahathir dan Daim  sudah  melakar  haluan sendirian  untuk berpisah  arah. Mereka  sudah tidak   sebulu   lagi.  

Akhirnya   nanti semua ini akan  menjadi  satu  pertembungan kerana mereka berdua memang degil orangnya. Inilah bahana riak dengan kegemilangan yang  silam -  betapa segala yang mereka lakukan  dulu  semuanya  betul  belaka.  Mereka telah perlekehkan  nasihat IMF,   memikirkan formula  mereka  adalah lebih berguna, lantas mencubanya, dengan  pelbagai dasar  dan teori mengikut acuan sendiri.   Kecundang adalah hasilnya.  

Ternyata wujudnya  terlalu banyak  kepentingan peribadi dalam segala  kemalapan daripada bonanza ekonomi  dan  kewangan  dulu.  Di situlah  bermulanya  segala   kesilapan itu. Apabila kerajaan  semakin angkuh untuk bersikap otokratik, semakin cuailah  cara pengurusan  kewangan negara itu jadinya. Segala projek mega yang dibina untuk bermegah  sebagai sebuah negara yang maju, kini  menghukum  rakyat  jelata untuk terus  menanggung malu.

Ketiadaan   Kawalan  dan  Perimbangan

Malaysia hampir lemas kerana hutang,   kebanyakannya disebabkan dasar pemerintahan  yang  sumbang dan kecundang.  Sistem perbankan memang bercelaru.  Kalaulah  Danamodal dan  Danaharta  tidak  diwujudkan  untuk  mengambilalih   hutang  yang  tidak berbayar, bank-bank negara  ini  sudah  lama  ranap  dan  lingkup seperti  yang  berlaku di Amerika Syarikat ketika   “Great Crash  of 1929”     dulu. 

Bagaimana pun  kita menelitinya, Malaysia sedang menghampiri  jurang  kemuflisan itu  Keadaan  menjadi lebih  buruk apabila desas-desas yang bertiup kencang  akhirnya menjadi kebenaran  yang terang. Kerajaan sedang  wujud tanpa sesiapa yang melakukan  kawalan dan   imbangannya.  Malahan kerajaan tidakpun  memberi penghormatan kepada  Parlimen seolah-olah tidak lagi yakin kepadanya.    Kerajaan berlagak sebagai pihak yang serba-tahu dan  tidak ada sesiapa  yang boleh mencabar  semua  itu.  Begitulah sikapnya satu ketika  dulu. Kini keadaan perubahan  akan  menukar  semua  itu.

Persaraan Daim adalah sesuatu  yang tidak  boleh  dielakkan.  UMNO telah  menganggapnya sebagai seorang  bijaksana  yang  banyak dosanya dan  Mahathir adalah ketuanya. Sebagai seorang  ahli majlis tertinggi yang tidak pun perlu diundi  dan  diberikan  pula jawatan  Bendahari,  dia  mempunyai kuasa yang  tidak  ada tolok bandingannya  lagi. Dia  sudah dicabar kini. Dia dituduh  kerana  putar-belitnya  merencana apa  yang sudah  pun  berlaku  kepada  timbalan perdana menteri yang teraib dan  terpenjara. Gelagatnya   memihak sesiapa  yang  berkemungkinan  menjadi bakal perdana menteri  mencetuskan  banyak  bantahan  sehinggakan menjadi satu pertaruhan yang  selamat  betapa sesiapa yang  disokongnya  itu  tidak akan berjaya  meragut   impiannya.

Tetapi, apabila semua ini tidak diperjelaskan secara  terbuka  setiap kali ia tercetus, krisis   mengejut   seperti yang  berlaku  kini berkaitan dengan  percutian Daim  dan apakah  dia akan meletakkan jawatannya  pasti    menyebabkan  tercetusnya    kekeliruan.  Tetapi,  ada satu desas-desus yang  semakin jelas  kebenarannya:  Tidak lama  lagi,  Dr. Mahathir  akan  menjadi  menteri  kewangan.   Satu  kuda  hitam  yang  namanya tidak akan saya  sebutkan  sekarang, akan menjadi penasihat  ekonomi dan akhirnya  menjadi  menteri  kewangan  pula.  

Apakah ini yang dikatakan berita angin?   Mungkin ia, mungkin tidak!

-MGG Pillai-

Jumaat   20 April,2001.

 

Diterjemahkan oleh MT