WAWASAN MAHATHIR YANG KABUR BHG 2
(Mahathir’s Faded Vision   Pt.2)

Oleh:  Dr. Khoo  Boo Teik

Tiada    Ruang   Untuk     Bersenang

Rumusan  yang dibuat mengenai  keghairahan  di  tahap awal era Mahathir  itu dan  kemalapan  penghujungnya  bukan bertujuan  menceriakan  mereka  yang berusaha  mereformasikan   perjalanan politik  Malaysia dan  institusi  awamnya.  Kalau itu  yang berlaku, ia hanya  membawa  makna betapa mereka silap faham ataupun  tersilap menganggar kesan  perubahan yang  mengena masyarakat Malaysia  ketika mengharungi  fasa   kritikal itu.

Perubahan yang berlaku  itu   seragam baiknya ataupun kesederhanaannya.  Keuntungan besar yang diraih oleh segelintir  manusia  membawa  musibah  kepada orang lain  pula.

Dua  sasaran kembar  dalam Dasar Ekonomi  Baru (NEP):   ‘pembasmian  kemiskinan tanpa memilih ras’,  dan  ‘penstrukturan  masyarakat  untuk membasmi kaitan  kaum dengan pekerjaannya’  telah diubah  dengan  mudah   kepada  ‘penstrukturan semula’ untuk memusatkan  kemewahan  di kalangan  peniaga Melayu yang terpilih  di  bawah Malaysia  Inc.,  melibatkan penswastaan  dan  penyertaan  UMNO  dalam dunia  korporat.

Di samping  itu, memang wujud  pertumbuhan  yang  tinggi beberapa tahun lamanya  menyumbang kepada  kemewahan yang ketara. Pada kemuncaknya  di awal 1990-an,   era  Mahathir telah  menyediakan  pelbagai penyelesaian  ekonomi yang dianggap popular terhadap  pelbagai  masalah  tertangguh  mengenai  pendidikan, bahasa dan budaya.

Sememangnya,  hanya rakyat  yang paling  terpinggir dan  segelintir  kumpulan  pekerja  pendatang  yang  tidak  menikmati  kekayaan  yang ada. Ia mencetuskan perasaan  wujudnya  satu masyarakat yang  lebih padu, dan  kebanggaan tentang  keharuman   Malaysia di kalangan negara lain di  dunia.

Ingatan politik memang singkat, apa lagi  setelah  enam tahun berlalu  selepas BN merangkul  kemenangan besar  pada  pemilu 1995  dulu.  Ramai rakyat Malaysia  yang sudah  lupa betapa mereka menyandarkan  harapan mega   menantikan nikmat kemuncak pencapaian  wawasan  2020  ciptaan  Mahathir. 

Penilaian Dalaman

Tanpa sokongan  berpadu  para kroni,  regim Mahathir  mungkin telah  dinyahkan  oleh  krisis  Julai 1997   dan  September  1998 seperti  yang dilaksanakan oleh ledakan  ‘Reformasi di Indonesia’  yang telah melenyapkan Suharto ke lembaran sejarah.

Bermula daripada akhir 1980-an hingga pertengahan 1990-an, Wawasan Mahathir  memang  mempunyai  pandangan  yang  jelas  untuk menilai   masalah masyarakat Malaysia,  sambil mengambil kira  perubahan sejagat dan memilih  satu penyelesaian  yang merenung  ke luar.

Tetapi,  bencana Tenggara Asia, telah menghenyak Mahathir, sekutu politiknya, dan tanggungan korporatnya  untuk  mencetuskan aktiviti ekonomi dengan mengawal aliran modal dalam negara, mengekang kadar tukaran matawang, dan  meningkatkan pengeluaran minyak. Dari  segi  politik pula,  Mahathir telah  memilih  untuk menindas  dan  bergelumang kembali dengan putar belit politik perkaumannya, dan memilih Anwar sebagai  mangsanya.

Kelentongan politik ini  telah  disanggah dengan baiknya  oleh  satu  segmen  penduduk negara  ini  yang  menyokong BA  dan semua  NGO (Kumpulan Bukan Kerajaan) yang bersekutu dengannya  untuk  mewujudkan  satu  benteng ketahanan   terhadap  penghakisan   kerajaan berperlembagaan dan peningkatan politik perkauman.

Walau bagaimana pun, tidak wujud  lagi   perubahan   hala tuju perancangan ekonomi negara  yang  mesti  memainkan peranan  utama  dalam pembentukan semula  masyarakat  Malaysia    seperti  yang pernah dilaksanakan  di awal  perlaksanaan   DEB dulu.

Wawasan  Yang  Menonjol

Memang  benar,   pengurusan  krisis yang dilaksanakan  oleh Mahathir  pada 1998 telah membantu  mengelakkan  bencana- ala-Indonesia  di  Malaysia dan  telah  mampu  memikat masa untuk  pembentukan  rancangan  ekonomi..  Kedegilannya  menyanggah  fundamentalisme pasaran  berkaitan dengan mobiliti  pelaburan   dan pengurus  dana  sejagat memang mempunyai asas  yang penting juga.

Tetapi, kedegilannya itu  digelapi  kecuaiannya  untuk  menghambat  peluang  pra-Julai 1997  yang wujud untuk  membangunkan  keadilan  social  ketika dia masih mempunyai kuasa dan peluang melaksanakannya. Dengan  terlepasnya  peluang itu, dia telah dihenyak masalah untuk  menyelamatkan  beberapa konglomerat  yang  semakin terumbang-ambing,  hampir tenggelam ditelan lautan kemuflisan.  Dia melaksanakan proses pengapungan  dengan  dana  rakyat marhaen tanpa mengenakan  sebarang  denda  kepada  pengemudi korporat yang  sudah  kecundang itu. Segala  tindakannya   menunjukkan betapa Mahathir  telah  terpaut  kepada bajingan korporat  yang telah  dibantunya  untuk melahirkan mereka.

Dengan  ini berakhirlah  rumusan kita  mengenai wawasan  yang menonjol itu.

Wawasan Alternatif

Apakah yang boleh  dikatakan terhadap  kemunculan ‘wawasan alternatif’   dalam hal ehwal ekonomi?  Pendekatan   yang  pilih oleh   parti utama dalam BA;  PAS dan  DAP memberikan   jawapannya.

PAS bercakap  mengenai ‘pembangunan  berunsur  Islam’.  Kerajaannya di Kelantan dan Terengganu  memang  serba kekurangan  disebabkan  sikap  liar  kerajaan  pusat. Harakah  tidak  memberikan  penekanan terhadap   masalah  ekonomi. Kalau  ada pun  penulisan  mengenainya,  selalunya  ia  memaparkan  isu  ‘penderitaan  rakyat  marhaen’.

DAP menonjolkan  iltizamnya terhadap ‘demokratik  sosialisme’. Tetapi  ia  terhad  kepada    pendekatan   ‘skandal dan  korupsi’ yang   memberi penekanan kepada      protes   dan  penentangan  terhadap  pencabulan  ketelusan,  akauntabiliti dan governan tanpa  memberi  penyelesaian  terhadap masalah yang  dicetuskan oleh  kapitalisme  di  dalam negara  dan  di  luar negara.

Pendekatan  yang dipilih  oleh  PAS  dan DAP itu   bukannya  tidak  relevan  tetapi  terlalu  tidak memadai.  Apabila  Manifesto Bersama dan  Perbelanjaan  Rakyat  diberikan     taraf sampingan sahaja,   BA    sememangnya  tidak  mempunyai  rancangan ekonomi  untuk  mereka banggakan.  

Bahaya Yang Ketara

Seandainya  saya  telah  melukiskan gambaran  yang kelam, ia bukannya  bertujuan  memancing perasaan  yang difikirkan belum  merangsang. Ia bertujuan    memberi isyarat awalan  betapa  pengunduran  Mahathir tidak  mencukupi  untuk  mengikis segala  kejijikan  dunia politik Malaysia, terutama sekali yang telah berlaku  sejak tiga tahun  yang  lalu.

Dengan berakhirnya Mahathirisme ia tidak bererti  akan munculnya  fajar baru  yang  menjanjikan keadaan hidup  yang lebih  baik lagi, disebabkan  keadaan  dalaman dan  sejagat    yang  tidak  beransur  pulih.

Di  dalam negara, kita  masih  dihantui   kumpulan ningrat  dari  pelbagai kaum (multi-kaum)   yang ‘masih menguasai  dunia  korporat’ dengan penuh  keangkuhan  tetapi penuh  kecurigaan.

Kumpulan  ningrat  yang  angkuh  ini menganggap bahawa  adalah hak  ‘makbapak’mereka untuk menikmati sumber   semula jadi negara ketika  negara bersenang-lenang, dan  apabila  bencana  mula mencekik suasana, boleh  pula   menukarkan  segala kerugian  persendirian mereka itu  menjadi tanggungan  rakyat marhaen.   Selama  ini  mereka tidak pernah selesa  dengan pasaran global, tidak mampu  menyerlahkan sekelumit  keupayaan untuk bersaing secara global, tetapi  terlalu   bergantung-harap kepada  ‘sambungan’ untuk menyauk  naungan  kerajaan.

Di luar negara,  presiden  Amerika  yang baru, menyerlahkan sikap   berperang. Para  penyebar  semangat  perang  yang juga  dikenali  sebagai  pembentuk dasar  industri  kelengkapan ketenteraan  yang  kompleks ‘ sedang  menyediakan  strategi  yang menonjolkan  senario  ‘Star Wars’ (perang angkasa) di mana  Asia  dikiaskan sebagai laman  kokpit masa depan Amerika  Syarikat.  America telah sengaja menghumbankan Protokol Kyoto  mengenai kehangatan   sejagat. 

Kuasa ekonomi di Timur dan Barat sedang  dihambat   kelembapan ekonomi.  Imperialisme  pasaran global sudah semakin  berkembang.  Kuasa  yang ada  pada   institusi  supra-nasional dan pelbagai perjanjian  multi-lateral  telah   mengecutkan  ruang niaga  negara   yang mempunyai kuasa ekonomi yang  kecil.

Lorong Pembangunan yang Baru

Masyarakat Malaysia kini memerlukan satu  rancangan   pembangunan  yang  baru.

Rancangan pembangunan baru  ini mesti  mengelakkan segala  kesilapan  pembangunan ekonomi nasional yang dulunya bersifat populis dalam retorikanya dan elitis dalam amalannya. (‘populis’di sini harus  dilihat dalam konteks  sesuatu yang ditaja oleh BN-UMNO yang digembar-gemburkan sebagai disenangi oleh rakyat  marhaen - penterjemah).   Rencana   nasionalisme ekonomi  yang sempit itu  telah memberi  penekanan kepada  urusan  niaga  dengan ‘pelaburan  asing, teknologi dan rakan usahasama’  untuk kepentingan  utama  kepada  kumpulan elit tempatan.

Begitulah juga  sukarnya  untuk  menyesuaikan diri kepada pengaruh pasaran global. Mereka yang  memperlekehkan campur tangan kerajaan  tidak akan merasa  puas   dengan  putar belit pasaran itu disebabkan ketiadaan  sebarang rekod kejayaan  dan pencapaian  pasca kolonial  yang  boleh dikatakan  hasil kegiatan pasaran terbuka.

Pasaran terbuka  yang tidak mempunyai  ‘isiperut,  perasaan, jiwa,  kesedaran dan tanah tumpah-darah’,  akan hanya menghambakan  kehidupan, kebebasan dan keceriaan masyarakat yang terbabit dengan pengejaran keuntungan.

Seandainya  diwujudkan juga satu rancangan alternatif itu,  ia tidak akan merupakan cetusan rasa seseorang  ataupun   seorang pemimpin yang dianggap ‘genius’: seperti yang pernah dilaungkan oleh seorang pengampu  yang pintar lompat-melompat betapa  Mahathir adalah “pemberian Tuhan  kepada  Malaysia”.  Rencana  alternatif itu  tidak  juga akan  merupakan satu  cadangan    yang diilhamkan  sebagai  penduaan contoh sejarah  ataupun  rencana yang  ada..

Alternatif  yang  dikemukakan itu  akan merupakan hasil  perjuangan demokrasi  untuk mendapatkan keadilan sosial  yang  mampu melahirkan    kebajikan  jangka panjang  kepada  majoriti rakyat Malaysia dan sesiapa yang menyumbang tenaga kerja  dalam  pembikinannya.

Hanya  inovasi  politik  dan sosial begitu  rupa  yang  akan mengeluarkan kita daripada  keadaan  tertekan sekarang yang menjebak kecelaruan antara    penghujung  wawasan yang menonjol  dan kelompongan satu  wawasan alternatif.

Selagi hambatan itu  kekal bertahan,  bahaya munculnya  semula kemunduran politik itu akan semakin terserlah. Sudah  tentu  gejala  itu akan  dirangkumkan dengan pengunduran Mahathir.

Mengimbau Zaman Silamnya

Mahathir ialah seorang  ‘insan’  yang kompleks, kuat berdendam sehingga sanggup menindas saingannya. Dia telah  kerap menunjukkan kekuatannya    mendera mereka yang kuat menyanggahnya.  

Dalam   1986, dia telah  sengaja memanjangkan NEP.  Pada 1998 dia  melaksanakan kawalan  modal.   Di  waktu lain,  dia merupakan hanya  seorang ahli politik  yang beragama Islam   yang menentang secara terbuka  cadangan   undang-undang yang  mahu  menghukum umat Islam  yang  murtad.

Inilah bentuk keberanian, termasuk bersedia melaksanakan perubahan  kepada   peraturan permainan  apabila  seseorang  itu  diasak  ke dinding, yang membantu  Mahathir terus berkuasa selama ini.

Kini,  Mahathir sudah pun diasak  ke dinding dan  masa terlalu suntuk baginya  sejak ajakannya  untuk membincangkan perpaduan Melayu   tidak pun  dihiraukan.

Selagi Mahathir di  Putra Jaya  disamakan dengan Mahafiraun  sedangkan Anwar  diberikan  sanjungan  harian  bertaraf wirawan  sedangkan beliau  masih  dipenjarakan,  selagi regim ini  membantu  menyelamatkan tokoh  korporat sambil  mendera  kerajaan  PAS  di Terengganu dan rakyatnya, sebarang rayuan  untuk persidangan  perpaduan  Melayu  itu  akan berbaur  satu kepalsuan  yang  menyerupai satu sandiwara.

Tetapi  apakah seruan  Mahathir  untuk mempertahankan orang Melayu terus dianggap satu sandiwara  kalau  ia  tidak  lagi  dikaitkan dengan  orang  yang  dianggap sebagai paling  berdosa terhadap perpecahan  itu?

Mungkinkah  panggilan  yang  sama  apabila diulang  semula selepas  pengunduran  Mahathir  nanti dan dengan  keadaan  ekonomi  yang terus  tertekan,     mempengaruhi  para  pengumpatnya  dan mengizinkan UMNO tanpa  Mahathir  untuk berkuasa semula?

Saya  tidak meramalkan Mahathir  mesti berundur secepat mungkin.   Namun,  tentu dia sudah  memikirkan juga betapa pengunduran lebih awal  daripada jangkaannya  itu dapat menyumbang kepada  perjuangan  UMNO dan juga  perjuangannya  sejak  lebih 50 tahun  lamanya.

Ada antara mereka yang berura-ura membawa  reformasi kepada  Malaysia selepas  1998  dulu  pernah berkata  betapa  Reformasi  itu tidak  akan dapat  diperpanjangkan  melainkan  ia   bergerak melampaui  isu  Anwar.

Sesiapa  yang  memikirkan  akan  masa depan  Malaysia  seharusnya bersiap siaga  memperjuangkan Malaysia   selepas    Mahathir.

-Dr.  Khoo  Boo Teik-

Khamis  19April,2001.

MT Ahad 22 April