LEE KIM YEW : KRONI PENCINTA DESA 

Rahsia di sebalik kejayaan Tan Sri Lee Kim Yew yang menyerlah di dalam dunia korporat Malaysia tidak perlu dipersoalkan lagi. Jalan yang ditempuhinya tidak jauh berbeza dengan yang dilalui oleh teman-teman seangkatannya – bermula dengan episod terpenting memikat hati orang yang paling berkuasa di Malaysia, Perdana Mentari Dr. Mahathir Mohamad, dengan menonjolkan sirinya sebagai seorang yang mampu untuk menghidupkan segala projek mega ala Mahathir, yang sering menjadi bahan ketawa ramai itu.

Tidak sukar untuk menyenaraikan  semua projek yang dimaksudkan itu :- 

Para pembaca sudah tentu dapat membuat kesimpulan di sini. Setiap kali Dr. M dan orang-orangnya melayani nafsu besar mereka, seringkali juga rakyat yang terpaksa menanggung bebannya.

Country Heights milik Lee tidak pula menonjolkan ciri-ciri gah seperti yang lain. Diperhatikan di sini Lee telah mengambil sikap berhati-hati dengan mengorak langkah secara sederhana. Berbanding dengan kebanyakan teman-teman seangkatannya yang lebih cenderung untuk terus melabur di dalam projek-projek besar dan skim-skim pembangunan yang berisiko, Lee memutuskan untuk melibatkan diri di dalam perniagaan yang menjadikan golongan-golongan yang agak berkemampuan sebagai sasaran. Dengan kata lain, beliau telah berfikir semasak-masaknya sebelum membuat sebarang percaturan. Bagi tujuan tersebut beliau telah menawarkan satu gaya kehidupan baru dengan ciri-ciri ala desa yang bakal diperluaskan ke serata ceruk Semenanjung Malaysia.

Namun projek Country Heights yang dijalankan pada tahun 1985 itu tidak membuahkan hasil yang boleh dibanggakan oleh Lee. Beberapa tahun berikutnya beliau memperkenalkan pula satu slogan yang berbunyi “Pencarian Berterusan Ke Arah Kehidupan Yang Lebih Baik” sebagai motto kumpulan syarikatnya itu. Hakikatnya , slogan yang berbunyi “Pencarian Berterusan Untuk Terus Bernyawa” mungkin lebih sesuai pada masa itu. Begitulah gambaran kemuraman pasaran hartanah Malaysia semasa negara sedang menghadapi zaman kemelesetan ekonominya yang pertama selepas merdeka.

Jangan kita tersalah membuat anggapan. Ramai yang menyangka bahawa Lee, yang berumur 44 tahun ketika itu, memulakan langkah yang pertama di dalam bidang perniagaan melalui Country Heights. Sebenarnya beliau telah melalui pengalaman kerja yang lebih mengecewakan sebelum itu.

Sebaik sahaja menamatkan persekolahan pada awal tahun 70an, Lee telah cuba menceburi beberapa jenis perniagaan. Semua itu telah menjadikan beliau sebagai seorang anak muda yang sanggup berbuat apa sahaja, yakin pada kebolehannya sendiri dan menyimpan cita-cita untuk mengumpul kekayaan. Baru-baru ini beliau memberitahu Singapore Business Times tentang jenis-jenis perniagaan yang dijalankannya merangkumi semua bidang dari membekalkan ubat-ubatan dan peralatan perubatan sehinggalah kepada barang-barang antik dan sistem-sistem pagar automatik. Hasil dari kepelbagaian inilah yang telah menyediakan satu tapak untuk beliau melabur di dalam pasaran hartanah Singapura yang memberangsangkan sepanjang tahun 70an hingga ke awal tahun 80an.

Namun sehingga pertengahan tahun 80an Lee mengambil keputusan untuk meninggalkan bidang pelaburan tersebut dan menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang pembangunan hartanah. Di sini beliau telah menyuntik satu kelainan dengan memperkenalkan konsep perumahan ala Amerika kepada rakyat Malaysia. Sudah pasti beliau cuba mengelak dari menggunakan nama Amerika untuk projek perumahan tersebut. Apatah lagi Dr. Mahathir, yang terkenal dengan kelantangannya mencemuh negara-negara Barat, bakal menjadi pembiaya utama dan penduduk hinggap perumahan itu sendiri. Maka cara yang terbaik adalah dengan menerapkan konsep Malaysia dan memanggilnya sebagai kehidupan ala desa.

Sungguh pun demikian, bermula dari hari pertama lagi Country Heights bagaikan sebuah perkampungan di dalam satu babak filem Hollywood. Di situ terdapat jalan-jalan bertar, rumah dengan kemudahan api dan air dan beberapa buah tandas di bawah satu bumbung, atap-atap genting yang tidak mudah bocor, kelengkapan-kelengkapan hawa dingin dan telefon, tempat letak kenderaan yang luas dan paling ketara sekali tiada ayam-ayam yang berkeliaran. Semua gambaran ini menjadikan Country Heights sebagai sebuah perkampungan Malaysia yang berciri luar biasa sekali.

Walau bagaimanapun pada tahun 1985 Country Heights cuba mencapai sesuatu yang boleh dibanggakan. Untuk tujuan itu, Lee memerlukan banyak kawasan yang luas dengan kemudahan jalan yang menghubungkannya ke Kuala Lumpur (yang kemudian diambil alih oleh Lebuhraya Utara Selatan). Selepas 2 tahun beliau berjaya menemui satu kawasan yang dimiliki oleh teman lama Dr. M, Tan Sri Azman Hashim yang menerajui Kumpulan Arab-Malaysian, sebuah kawasan perladangan getah seluas 162 hektar yang terletak di Hulu Langat di dalam daerah Kajang.

Bersesuaian dengan keadaan Malaysia yang sedang merangkak keluar dari kemelut ekonominya pada masa itu, Country Heights menawarkan harga rumah yang agak murah dengan penjualan yang tidak menggalakkan. Namun keadaan ini pasti akan dapat diatasi juga. Untuk itu Lee sepatutnya berterima kasih kepada Dr. M yang turut memperolehi sebuah rumah persinggahan hujung minggu yang menarik di situ.

Penulis memilih perkataan memperolehi berbanding dengan membeli kerana difahamkan rumah tersebut adalah hadiah daripada Lee dan beberapa rakan Mahathir, sebagaimana  proses penyerahan Awana pada tahun 80an oleh Menteri Kewangan buat kali kedua Daim Zainuddin. Langkah membariskan nama PM sebagai salah seorang bakal penduduk di situ telah berjaya meningkatkan penjualan di hari pelancaran tapak perumahan tersebut. Ramai rakan Dr. M dan golongan-golongan elit korporat Malaysia yang hadir membeli unit-unit kediaman banglo dengan harapan disedari oleh Mahathir..

Sehingga ke hari ini Country Heights tetap mendapat tempat di hati Dr. M, di mana dalam suasana kemelut politik masa kini beliau memilih untuk tinggal di sana bersama-sama isterinya Datin Siti Hasmah Ali walaupun mahligai di Putrajaya telah siap menanti kehadirannya. Tidak salah lagi, keputusan pilihan raya umum yang lalu begitu menghantuinya yang mana beliau tidak pernah termimpi perkara sedemikian akan terjadi semasa memutuskan untuk membina mahligai kemegahan itu.

Secara tidak langsung Lee berjaya memasuki kelompok teman-teman peribadi Dr. M dan seterusnya menjadi sebahagian dari tokoh kroni korporat. (perlantikan abang ipar Dr. M, Datuk Paduka Hashim Mohamed Ali, sebagai  pengerusi Country Heights Holdings Bhd. juga banyak membantu ke arah itu). Hasilnya, pembangunan ala desanya itu telah melangkah ke hadapan dengan projek-projek yang lebih besar dan menyaingi pemaju-pemaju perumahan Malaysia yang lain.

Namun seperti yang berlaku kepada kebanyakan ahli-ahli perniagaan yang terperangkap dengan citarasa tinggi Dr. M, kecenderungan untuk terus melabur di dalam projek-projek mega sama ada di dalam dan luar negara bagi tujuan mengambil hati Dr. M, sering mengatasi kemampuan sebenar mereka. Bagaimana untuk menolak kehendak ataupun hanya satu usulan dari Dr. M? Biasanya mereka terpaksa menurut segala kemahuan beliau dan menyerahkan nasib kepada takdir sambil berharap sesuatu yang buruk tidak akan terjadi ke atas mereka. Jika berlaku juga, mereka berharap Dr. M akan sentiasa mengenang tali persahabatan yang telah terjalin dan tampil ke hadapan membantu mereka menebus kerugian yang ditanggung.

Lee mungkin tidak perlu dipujuk oleh Dr. M untuk membangunkan projek Mines Resort City, yang menelan belanja sebanyak RM2 bilion meliputi hotel-hotel, kursus-kursus golf, pejabat-pejabat, pusat membeli belah, taman permainan, tapak sukan air di bekas lombong terbiar dan dewan pameran serta hotel Palace of Golden Horses yang terletak di pinggiran Kuala Lumpur. Tetapi Dr. M telah menunjukkan  penghargaannya dengan menyediakan banyak peluang untuk menganjurkan forum-forum antarabangsa di tempat Lee itu apabila Malaysia menjadi tuan rumah kepada antaranya Sidang Kemuncak G15, Dialog Tahunan Asia Pasifik ke-4, Sidang Kemuncak Tidak Rasmi Asia, Seminar Lingkaran Pasifik dan Forum APEC.

Seperti menjadi satu tradisi bagi kumpulan kroni korporat Malaysia, Lee mula menceburi bidang-bidang yang di luar kepakarannya di dalam membangunkan bekas tapak perladangan dan perlombongan menjadi bandar-bandar dan pusat-pusat peranginan, seperti bidang pendidikan, perhotelan dan hiburan, serta sektor pembuatan. Malah beliau turut membuat pelaburan yang meluas di negara-negara seperti Mauritius, Afrika Selatan, Amerika Syarikat dan Britain sejak seringkali mengiringi Dr. M di dalam rombongan perdagangan ke luar negara.

Syarikat Country Heights Holdings, seperti yang dialami oleh lain-lain syarikat hartanah Malaysia semasa dan selepas zaman kemelesetan ekonomi, turut mengalami kerugian. Keuntungan bersih yang diperolehi untuk tahun kewangan yang berakhir pada 28hb.Jun, 1999 telah menunjukkan penurunan sebanyak 49% kepada RM8.3juta daripada RM16.4juta pada tahun sebelumnya. Tetapi di dalam kes Country Heights ini, kerugian yang dialaminya hanya seketika apabila pendapatan pada pertengahan tahun itu dilaporkan meningkat kepada RM77.2juta daripada hanya RM5.1juta di dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Tidak dinafikan Country Heights terpaksa berhempas pula untuk menjelaskan beban-beban hutang bagi tahun-tahun berikutnya, salah satunya adalah kepada ahli perniagaan Taiwan Shih Yu Lung. Inilah antara sebab mengapa Country Heights menukarkan pegangan saham sebanyak 42.7% di dalam projek Pusat Pameran London (Excel), yang dijangka siap pada awal tahun 2001, kepada bentuk tunai dan saham di dalam Nusa Pasifik Sdn. Bhd. milik T.Ananda Krishnan, yang merupakan tuan punya Pan Malaysian Sweeps Lottery. Nusa Pasifik dijangka akan membuat permohonan untuk disenaraikan di dalam Bursa Saham Kuala Lumpur. Penyenaraian tersebut akan memudahkan Lee untuk menjual sebahagian atau kesemua pegangan saham beliau di dalam Nusa Pasifik bagi mendapatkan tambahan wang tunai.

Langkah Ananda membantu Lee mungkin menjadi satu petanda buat Lee untuk keluar dari masalahnya dengan selamat. Ataupun mungkin Ananda sendiri mempunyai agenda yang tersembunyi di sebalik penguasaan kepada Excel itu. Adalah tidak mustahil juga jika semua itu tidak lebih dari sifat tolong menolong sesama kroni mereka ataupun arahan dari Dr. M sendiri.

Walau bagaimanapun, terdapat satu perkara yang amat meyakinkan penulis : Lee tidak mungkin akan terhimpit sehingga terpaksa melalui sendiri kehidupan ala desa Malaysia ciptaannya itu. Tidak mungkin dibiarkan ayam-ayam berkeliaran di atas halaman rumputnya yang terjaga dengan rapi.

KTK6