MMM6

Berunding Dengan Penyangak ?

“Pertemuan membincangkan perpaduan Melayu yang dijadualkan hari  ini (19/2/2001) tertangguh tanpa sebarang kepastian. Tiada tarikh baru dicadangkan, sebaliknya cuma pelbagai syarat  baru  yang menjurus ke arah pembatalannya.  Malahan, idea untuk parti politik Melayu berbincang memang dari awal di lingkari ketidaktentuan. Sambil UMNO yang mengilhamkan pertemuan itu bersikap terbuka terhadap  apa saja  cadangan, PAS  pula  timbulkan  kerenah.  Daripada tuntutan  asal  PAS agar perbincangan di perluaskan  meliputi isu perpaduan nasional, Ketua  Dewan Pemuda  PAS, Mahfuz Omar,  pula  lebih cenderung kedua-dua  pihak   tidak  bersemuka. Mungkin  Mahfuz  masih  berasa  sakit  hati  kerana  debatnya dengan  Ketua  Pemuda  Umno,  Datuk  Hishamuddin Hussein, dibatalkan. Dan keadaaannya seolah-olah kepimpinan PAS merelakan keputusan terbaru ini  sebagai  pembalasan.”

Inilah  yang  merupakan perenggan  pertama  dalam  Minda Pengarang  Berita  harian bertarikh 19 Februari, 2001 yang  memberi gambaran  yang jelas  kenapa ‘tertundanya’ pertemuan  yang dikatakan ‘ternanti-nanti’  itu.  Tetapi, dengan membaca  perenggan  pertama ‘Minda  Pengarang’  tidak bererti beliau bersikap  ‘neutral’ ataupun  berkecuali  dalam situasi yang  melibatkan masyarakat Melayu. Tulisannya yang berikut  memang menghentam PAS habis-habisan:

“....Pertanda  positif untuk pertemuan terus terserlah selepas mesyuarat teknikal  yang diketuai  kedua-dua setiausaha   agung  parti, Khalil  Yaakob dan Nasharuddin Mat Isa, 8 Februari lalu. Rupanya, semua  itu hanyalah gambaran  sementara  yang  menerbitkan harapan  palsu  sedangkan  adalah  jelas  kini  PAS memang dari  awal  banyak  berhelah  dan tidak ikhlas. Barangkali  kerana terlalu  kerap  menuduh  pihak  lain bermain wayang, Pas kini terdorong  untuk  mementaskan  sandiwara ciptaan  sendiri. Kesimpulan  boleh dibuat bahawa  parti itu tidak langsung  menyangka  tuntutannya   untuk  membincangkan  kepincangan  sistem  kehakiman, termasuk pendakwaan ke atas Datuk Seri  Anwar  Ibrahim, pencabulan  ke atas demokrasi; kepincangan  ekonomi;  dan peminggiran  kedudukan dan peranan  Islam akan diterima dengan tangan terbuka oleh Umno. Lebih  daripada  itu, Umno menyatakan kesediaan  bermuzakarah dan menerima semua isu yang dibawa parti pembangkang itu tanpa sebarang syarat  agar  perbincangan  mengenai  perpaduan dapat dilaksanakan  dengan telus  dan terbuka.

“ Daripada  mengalu-alukannya, kita melihat PAS tersepit  oleh helah ciptaannya. Keikhlasan dan ketelusan  Umno benar-benar memerangkap mereka. Lantaran itu, Pas mengadakan  pula tiga syarat tambahan  sehari  menjelang  pertemuan sepatutnya diadakan. Ia  dibuat  mereka  dengan  kesedaran bahawa  tuntutan mengembalikan  royalti  minyak kepada  Terenggganu, membenarkan  penerbitan  Harakah dua kali  seminggu  dan Umno  menggugurkan  cadangan  melarang penggunaan  perkataan  Islam  pada parti politik, sebagai sesuatu yang  tidak  akan dipenuhi.  Kita  melihat  pada  ketika  Umno  bersungguh-sungguh mahu  pertemuan itu  diadakan tanpa mengenakan sebarang syarat  atau sekatan, Pas  pula nampak bermati-matian supaya  ia tidak  berlangsung.   PAS pun sedar  bahawa  ia  boleh  membangkitkan  tuntutan  terbarunya itu  ketika  perbincangan  diadakan  tetapi mereka memilih  untuk  tidak berbuat demikian. Inilah belang sebenar PAS – tanpa  ada apa-apa  lagi keraguan.”  

Demikianlah  pendapat  minda  pengarang  Berita Harian  itu keseluruhannya. Cuma dia terlupa  mencatitkan  bahawa tiga  syarat tambahan yang dikemukakan  oleh PAS  itu adalah sebagai ‘denda’  kerana Mahathir  telah membocorkan rahsia  perbincangan awal  kepada orang ramai. Sedangkan  dalam perbincangan awal itu kedua-dua  pihak  bersetuju merahsiakan  rumusan perbincangan  mereka. Tetapi, itulah cara orang  Umno dan akhbar propaganda mereka  bermuslihat. Mereka  mudah mencemuh  parti  pembangkang  dan menyorokkan kebenaran  dalam usha  menonjolkan apa  yang mereka mahu orang lain anggap  sebagai kebenaran.

Apakah penangguhan perundingan  itu sesuatu  yang mengejutkan? Saya  ingin petik pula  tulisan  Awang  Sulung  dalam “Bisik-bisik mingguan” yang tersiar  di Mingguan  Malaysia  Ahad 18 Februari, 2001 (yakni  satu hari sebelum majlis perundingan itu sepatutnya  dilaksanakan):

“Harapan  Melayu”

Sukar untuk  di mengerti, kenapa  setelah tinggal sehari sahaja lagi pertemuan bersejarah penyatuan Melayu UMNO-PAS, tiba-tiba kemungkinan ditangguh atau dibatal pula menjadi sebutan. Adalah terlalu  kecil kiranya PAS  menjadikan  pertemuan jawatankuasa  teknikal kali  kedua belum  diadakan  tetapi tarikh 19 Februari di umumkan sebagai alasan.

“Ini bererti  PAS lebih  utamakan keegoan  parti  daripada  perpaduan Melayu, satu agenda  bangsa yang amat besar ertinya. Datuk  Seri  Dr. Mahathir  sendiri  tidak  berani  membuat sebarang  ulasan kerana  bimbang akan ada  yang tidak puas hati. Tetapi Setiausaha  Agung  PAS  dengan mudah  mengumpamakan  UMNO yang meminang dan Pas  berhak meletakkan  syarat  walaupun sedar  kenyataannya  boleh mengugut  penyatuan. Ini bererti  UMNO terlalu berhati-hati untuk  tidak merosakkan peluang  pertemuan demi  bangsa tetapi Pas di lihat mementingkan  ‘political mileage’.

“Jangan  kecewakan  harapan orang Melayu untuk melihat rekahan bangsa  bertaut  semula. Mereka  tidak harapkan PAS menyertai  BN, jauh  sekali  membubarkan parti  itu.  Apa yang  ingin dilihat  pergeseran politik  seagama menjadi reda. Berpolitik tidak salah tetapi jangan  sampai  hilang  sopan santun bangsa. Tetapi  sejak akhir-akhir  ini, budaya bangsa  terhakis kerana  politik malah telah melampaui  tuntutan  agama.

“PAS  jangan  kecewakan harapan bangsa Melayu.  UMNO telah ‘meminang’ sebagai  bukti  kesungguhan. Kalau PAS  membatalkannya, yang terus berpecah adalah Melayu, yang rugi  adalah bangsa sendiri dan puncanya adalah PAS.”

Tulisan  Awang  Sulung  itu muncul satu hari sebelum perundingan  berjadual itu sepatutnya  dilangsungkan. Bagaimanakah  Awang Sulung  tahu perundingan itu akan dibatalkan?  Apakah benar cerita orang PAS selama  ini betapa  segala  perbualan  para pemimpin PAS memang dipantau  dan dirakamkan oleh pihak  risikan polis  untuk pengetahaun pucuk pimpinan UMNO? Dan  kalau sumber tulisan ini adalah berdasarkan debat  dalaman  orang PAS  bagaiamanakah Mingguan  Malaysia  boleh mengesannya?  

Kalau  kumpulan  Utusan  sudah tahu lebih awal lagi  kemungkinan perundingan  itu dibatalkan  apakah orang UMNO tidak juga  tahu  akan perkara itu? Takkanlah  Pak Subky  Latiff, orang kuat PAS  yang membocorkan  dulu ‘rahsia dalaman’  PAS  kepada bekas anak-anak  buahnya di Utusan?  Kita  mahu rakamkan juga Lidah  Pengarang  Utusan  Melayu pada  19  Februari  itu.

“PAS  Kecewakan  Umat  Melayu”

“Keputusan  di saat-saat  akhir PAS  menangguhkan pertemuan dengan  UMNO yang  sepatutnya  berlangsung hari  ini menimbulkan  kekecewaan  khususnya  kepada masyarakat  Melayu  yang menaruh harapan besar agar perbincangan  kedua-dua  parti  itu dimulakan segera.  PAS tidak  sepatutnya  meminta  pertemuan  itu ditangguhkan kerana ia sama  sekali tidak memenuhi semangat dan doa masyarakat  Melayu  yang  mengharapkan setidak-tidaknya pertemuan itu  berlangsung terlebih dahulu.

“Setelah perkembangan sebelum ini menampakkan  keyakinan  kepada pertemuan yang dilihat  hampir  pasti  menjadi kenyataan. PAS tiba-tiba berundur  ke belakang sambil  meletakkan  begitu  banyak syarat selain memberikan  pelbagai  alasan  untuk kepentingan  politik  sempit  parti  itu.

“Sedangkan para pemimpin  UMNO  termasuk Perdana menteri, Datuk Seri  Dr. Mahathir  Mohamad sejak dari awal  menunjukkan  komitmen termasuk dalam kenyataan-kenyataannya, semata-mata untuk  menjayakan  pertemuan itu demi tuntutan penyatuan Melayu. Setelah  UMNO  memulakan inisiatif  mempelawa PAS menyertai  perbincangan itu dan di ikuti keterbukaan  UMNO  tidak mengenakan sebarang  syarat, penangguhan yang diminta  oleh PAS hanya memperlihatkan ketidakmatangan parti  itu.

“Sebarang tekanan menerusi syarat-syarat keterlaluan yang dikenakan serta taktik menangguhkan  pertemuan tersebut  boleh dirumuskan betapa PAS terlau mencari keuntungan politik. PAS  sengaja  ingin menonjolkan ia sebuah parti  yang baik dengan membawa syarat  yang boleh  memberi keuntungan kepadanya seperti  isu sistem kehakiman, kepincangan ekonomi, mengembalikan semula royalti minyak Terengganu  dan cadangan pengguguran nama Islam pada nama pertubuhan.

“Sebaliknya  jika  permintaan  ini tidak dilayani dan dipenuhi, dengan mudah UMNO hendak dicop parti  yang tidak baik. Pas sendiri sedar beberapa perkara  ini bukan di bawah bidang  kuasa UMNO. Taktik Pas ini hanya akan menjejaskan imej parti itu di kalangan orang Melayu dan umat  Islam. PAS  sebelum  ini boleh mengadakan rundingan dan bekerjasama tanpa syarat dengan DAP, tetapi  tidak mempunyai  semangat  yang sama untuk berunding biarpun dengan parti orang Melayu dengan seislam  yang  lain. Mesejnya  PAS lebih rakus untuk mendapatkan  kuasa dan mahu menjadikan pelawaaan UMNO  ini sebagai  permainan  politik  parti   itu dan jika strategi yang mereka  ambil ini  dianggap satu kemenangan, mereka sebenarnya  silap percaturan.

“Masyarakat  Islam dan orang Melayu rata-ratanya  akan menilai PAS sebagai  parti yang menampilkan  kesombongan politik  dan langsung tidak menunjukkan keikhlasan kepada  penyatuan  ummah.  Yang  pasti, PAS telah  melepaskan kesempatan  terbaik untuk  mencernakan imejnya sebagai parti  yang luhur dan proaktif kepada  perundingan di samping  gagal  membawa simbol penyatuan ummah.

“Maka  dengan perkembangan  terbaru  ini, UMNO  harus memikirkan  semula perlawaannya terhadap Pas kerana UMNO  bukanlah  parti  yang  lemah, sebaliknya masih berada  di tampuk kuasa  politik nasional. UMNO sudah mengambil segala  langkah untuk penyatuan umat  Islam tetapi  untuk apa  lagi  berurusan  dengan pihak  yang  sememangnya menunjukkan keangkuhan, tidak  ikhlas  dan tidak berorientasikan penyatuan sebenar.

Forum Khas  di TV1

Pada  sebelah malam Isnin (19/2/2001)  selepas  Berita Perdana, ada pula  satu forum khas  yang dipengerusikan  oleh Dato’ Jaafar Kamin  yang bersikap ‘berkecuali’ membincangkan perkara  yang sama. Ahli panel  ialah  seorang professor  daripada UNITAR  dan seorang  lagi  daripada  UUM.  Ketika  mendengar hujah-hujaah  yang mereka  sebutkan, saya teringat  kata-kata Wak Amin Sapiro  yang menggelarkan  setengah professor Melayu sebagai  “Professor  Kangkong”.  Di sepanjang  forum  itu  saya  mula  menyoal diri apakah benar  Wak  Amin menggunakan perkataan  ‘kangkong’ ataupun perkataan sebenarnya  ialah ‘kongkang’ ? Tanpa menyebut  universiti di mana salah seorang  professor  itu bertugas, saya berpendapat  memang beliau cuba menonjolkan dirinya tanpa pengetahuan mendalam mengenai isu sebenar  yang dibincangkannya itu. Kalau pendapat kita itu semata-mata  menjadi pita rakaman Utusan  ataupun BH, eloklah duduk sahaja di rumah  daripada  diketawakan   orang. Sepatutnya  apabila seorang  bergelar  professor  keluar  di kaca TV  dia seharusnya mampu mengutarakan hujah-hujah   secara ilmiah kerana itulah yang diharapkan oleh penonton, mencari  jawapan  melalui ilmiah  untuk diseragamkan dengan fikiran orang biasa  di jalanraya. Inilah  hujah yang amat diharapkan oleh rakyat marhaen supaya mereka terdidik untuk menganalisa secara ilmiah  juga akhirnya. Tetapi, kalau kita mahu tampil di cermin TV ataupun corong radio, kita berlagak serupa dengan kongkang di hutan yang saling sahut-menyahut  dan  melaungkan  bunyi  dan  nada yang sama,  eloklah  kaji semula  kaedah  dan pendekatan kita. Sekaligus, ibu-bapa  kepada  anak-anak yang  belajar  di universiti  tempat bertugasnya si professor kongkang itu tadi, dapat menyoal apakah sebenarnya yang dikaji oleh anak mereka kalau para pendidik  universiti itu mempunyai perwatakan  yang serupa  dengan professor  yang mereka lihat  dan ketawakan itu. Apakah  kemungkinannya professsor itu sengaja diambil  secara bidan terjun  untuk  mencukupkan korum sahaja dalam proses kerajaan  memutar minda orang  Melayu? Ataupun sebagai membalas jasanya menulis mengampu UMNO di Utusan?

Kini, bermacam andaian  dan cemohan telah dilemparkan kepada PAS kerana membatalkan  pertemuan itu. Professor Agama Kumpulan Utusan, seorang kelahiran Thailand,  yang jauh  lebih muda  daripada  pucuk pimpinan PAS menganggap tindakan itu tidak baik. Begitu  juga beberapa pendapat yang ditonjolkan oleh TV kepunyaan  UMNO yang mengatakan  kemungkinan  Dato Fadhil Nor terancam oleh kumpulan ‘ekstrim’  yang dikatakan  akan mencabar kepimpinannya  seandainya pertemuan itu tidak dibatalkan. 

Kalau  Langkah  Sentiasa  Sumbang

Dalam penulisan saya  yang lalu, ada saya sebut secara pendek sahaja: tidak salah PAS  dan UMNO bermuzakarah, kerana  itu adalah tuntutan  ajaran Islam. Tetapi, Islam juga menuntut  agar setiap usaha untuk bermuzakarah itu mestilah didorongi  oleh satu nawaitu  yang telus  dan tidak berbelah bagi. Cadangan  agar PAS  dan UMNO bertemu itu, dikatakan sebagai  hasil cadangan yang dikemukakan oleh Prof Dr.Datuk  Ahmad  Fawzi  Mohd. Basri. Tetapi, kenapakah tidak disebut betapa  Tuan Guru Nik Aziz  telah berkali-kali  sebelum itu mencadangkan agar diadakan pertemuan mengenai isu yang sama, dulu-dulu lagi? Malahan, perbincangan  di antara Tuanguru  Nik Aziz dengan Dr. Mahathir  telah pun dirakamkan beberapa  kali  sebelum ini.  Mungkin mereka  membincangkan  masalah pentadbiran Kelantan dengan Kerajaan Pusat, tetapi mereka pernah bertemu secara empat mata dan membincangkan masaalah orang Melayu juga. 

Penonjolan  nama orang UMNO sebagai  pencadang  pertemuan  UMNO-PAS  ini sudah menunjukkan betapa muslihat putaran minda sudah pun bermula. Sebelum isu  pertemuan  Mahathir dengan Fadhil Nor dirancang, perdebatan di antara Ketua Pemuda  UMNO dan PAS  baru  sahaja dibatalkan. Inilah perdebatan   yang digembar-gemburkan oleh  ketua  pemuda UMNO  sehingga menarik minat  media massa sejagat. Majlis yang sepatutnya dipengerusikan oleh professor Diraja  Ungku Aziz  telah dibatalkan  oleh Pemuda UMNO  “setelah memikirkan  kesan perdebatan itu yang  akan memecah-belahkan   lagi  perpaduan orang Melayu.” Itulah  salah satu alasan  yang telah diberikan. Belum  pun sampai satu bulan  pembatalan itu dilakukan, muncul pula  kisah perundingan awal di pihak jawatankuasa teknikal PAS-UMNO. Namun, bukan sedikit rakyat marhaen yang sudah mnejangkakan  perundingan  itu sebagai satu  sandiwara   UMNO sahaja.  

Kini, PAS dicemuh  sebagai  pihak yang mungkir janji dan sengaja  tidak berniat baik  pada tahap awalannya.  Tetapi cuba kita fikirkan dulu masak-masak segala peristiwa  yang  membuatkan PAS  membatalkan perundingan  itu.  Alasan PAS  amat jelas:  “suasana yang tidak  tenteram untuk meneruskan  perundingan adalah menjadi salah satu penyebabnya.”

a)          Sepatuntya  PAS  sedar  di tahap awalan lagi, UMNO memang tidak ikhlas  untuk menjayakan pertemuan di antara Mahathir-Fadhil Nor. Ketidakikhlasan  ini bukan  sahaja muncul  daripada Mahathir, malahan juga beberapa  orang tertentu  dalam UMNO yang mahu Mahathir undur dengan segera.  Satu ketika  dulu Mahathir  menuduh  Anwar dengan pelbagai tuduhan mengatakan dia mempunyai segala bukti  mengenai tingkah laku Anwar  yang dikatakan jijik  itu.

Anwar ditangkap dan didera sebelum dihadapkan ke mahkamah.  Banyak barang bukti yang ditonjolkan oleh Mokhtar Dugong ternyata tidak  benar. Kalau di mahkamah  lain dan di negara  lain, tuduhan itu gugur  semuanya dan Anwar sudah lama dibebaskan.  Bayangkan bangunan yang menjadi  bukti utama masih belum dibina ketika Anwar dikatakan melakukan perbuatan yang tidak senonoh. Bagitu juga  dengan tilam yang diusung setiap  hari, yang  memang  tidak layak dijadikan barang bukti.  Bagaimana  akhirnya   dengan  arahan mahkamah  yang mengeluarkan sapina  kepada Mahathir?  Di sebalik  keegoannya  betapa  dia  bersedia  untuk menghadirkan diri di mahkamah, dia enggan  hadir akhirnya. Sedangkan mahkamah itu adalah satu kandang  badut  pilihan  yang melaksanakan segala arahannya.

Apakah  Mahathir sanggup menghadiri  perundingan di  satu majlis di mana dia akan disanggah  dengan  fakta  yang jelas dengan segala  butir  perundingan itu dirakamkan  dengan rakaman pita dan mungkin  juga di videokan?  Alangkan majlis  yang  dikendalikan oleh orang upahannya dia sendiri  takut  menghadirkan diri, apakah Mahathir berani berunding di tempat  yang berkecuali?

Rakyat marhaen  harus sedar,  ura-ura  perundingan UMNO-PAS   ini adalah satu lakonan  untuk menutup malu kerana terbatalnya debat  mega di antara Hishamuddin Husein   dan Mahfuz Omar.  Semua  orang tahu, Hishamuddin menjadi pemimpin pergerakan pemuda  UMNO  hanya  sebagai ‘default’ dan bukannya dia  benar-benar layak  di tempat itu. Contoh  yang terbaik dalam andaian  ini terletak  kepada dua isu besar: Masalah Suqui  dan  peranan Pemuda UMNO di pilihanraya  kecil Lunas.  Kedua-dua  peristiwa penting ini diserahkan  kepada Abdul Aziz Sikh,  kerana Hishamuddin  memang dianggap tidak berani mengepalai   cabaran seperti itu.  Tahap  bakatnya hanya  terserlah kalau untuk menggantung  bendera  terpanjang Jalur  Gemilang di Tembok Besar  Cina, ataupun mengistiharkan lemang terpanjang di dunia, sirih junjung   terbesar  dunia, kain rentang paling  lebar di dunia.  Itulah tahap  bakat dan keberanian  berpolitik yang ada padanya.

Oleh  kerana ramai veteran UMNO yang merasa tertekan  lebih awal  lagi  sebelum perdebatan  pemimpin  pergerakan pemuda  UMNO-PAS  itu, makanya  Hishamuddin  mengambil jalan pintas  untuk membatalkan saja  perdebatan  itu. Sepatutnya  dia tidak membatalkannya. Hanya memadai dengan perkataan  ‘ditangguhkan’ sehingga satu masa yang lebih sesuai. Tetapi, Hisham telah bertindak pantas kerana dia tahu dia akan tumpas  kalau  perdebatan  itu diteruskan.  Taktik yang digunakan oleh Hishamuddin Hussein itu dijangka mungkin digunakan oleh UMNO terhadap majlis perundingan di antara PAS dan UMNO. Tetapi, PAS memahami dan menjangkanya dengan jitu sehingga bertindak  untuk melakukannya terlebih dulu.

Apakah  secara kebetulan, di waktu  Mahahtir  sebagai  ketua  pemimpin  Barisan Nasional  dan UMNO akan  berunding dengan  pemimpin PAS, suasana  perundingan itu dicemari dengan pelbagai peristiwa  di mana rakyat marhaen didera  dengan pancutan air asid dan pukulan cota  dan sepak terajang  yang dilakukan oleh pihak polis?  Dalam semua tindakan ganas  ini rakyat marhaen tidak pun bersenjata  seperti  yang dilakukan oleh perusuh lain di luar negara. Kenapakah sampai begitu kejam kerajaan Mahathir lakukan terhadap rakyat jelata, sedangkan perbuatan  berdemonstrasi secara aman dibenarkan oleh perlembagaan negara?

Kenapakah   Paklah yang berkuasa  mengawal  pihah   polis  lebih  menekankan demonstrasi  jalanan  adalah budaya  asing yang tidak baik? Bagaimana pula dengan gelagat GPMS   yang  berdemo menyanggah  Asiweek   dan  CNN? Adakah  mereka diberikan  permit polis?

Antara  Perlembagaan Negara Dan  Akta  Polis

Perlembagaan  negara memberi  ruang yang luas  dan jelas untuk rakyat berdemonstrasi aman. Tetapi, pihak polis sepertimana yang diwarisinya daripada penjajah  dulu mempunyai  kuasa menyekat  perhimpunan  aman  itu dengan sekatan permit khas.  Tindakan polis memilih bulu siapa  yang layak menerima permit  menunjukkan  pihak  polis bukan  lagi  melindungi  rakyat  untuk  tidak dianiayai. Malahan, polis sudah menjadi satu institusi  yang diperibadikan  oleh Mahathir untuk menjaga  keselamatan dan kuasanya sahaja. Majoriti  anggota  polis  datangnya  daripada  luar bandar. Satu  ketika  dulu  himpunan rakyat  mengganyang  Mahathir  dilakukan  di ibukota Kuala Lumpur  dan beberapa bandar besar sahaja. Orang  kampung  tidak sedar taktik kotor Mahathir dan  pasukan polis yang menyebelahinya.   Kini, orang  kampung  sudah melihat sendiri cara  polis  menyekat  kebebasan rakyat marhaen.  Di Jalan Kebun dan Banting,  rakyat digodam  sesuka  hari. Ketika  permit diedarkan untuk BA  menyambut  Hari Raya, majlis itu disabotaj dengan pelbagai sekatan yang mengecewakan rakyat marhaen  menjamu selera.

Begitu  juga di Sabak Bernam  dalam satu majlis  yang dihadiri oleh seorang Menteri Besar (Terengganu). Pihak polis tergamak berlagak biadap kerana mengikut  arahan orang atas. Inilah tindakan yang menjatuhkan lagi martabat Khir Toyo  sebagai Menteri Besar Selangor.  Sepatutnya  majlis di mana  orang UMNO membubarkan cawangan mereka untuk menyerahkan borang keahlian  menjadi ahli BA, dibiarkan dulu tanpa sebarang arahan untuk majlis  itu diganggu.  Kalau betul  Khir Toyo berwibawa, bolehlah dia pergi ke kampung yang sama selepas itu untuk berunding  dengan bekas ahli UMNO yang keluar beramai-ramai itu untuk meng ‘umno’ kan mereka  semula.  

Kemudian, peristiwa  di Kulim dan Kubang Pasu dan diikuti  pula dengan penangkapan beberapa pelari marathon Cina  yang mahu menarik minat awam terhadap masalah sekolah Cina Damansara. Mereka pun menghadapi masalah dengan pihak polis. Sehari  sebelum itu rakyat marhaen  berkejar-kejaran dengan pihak polis  di Kuala  Lumpur  kerana  menemani Ezam Mohd. Nor membuat aduan polis  agar  Mokhtar Dugong  melepaskan jawatannya.

Kalau  Mahathir  dan UMNO betul-betul ikhlas  dengan perundingan mereka  bersama PAS, segala gelagat kejijikan perangai pihak polis tidak tercetus. Mereka boleh  mengarahkan polis mengambil sikap berhemah dan berlembut dengan rakyat marhaen agar mereka tidak didera dan  disakat  untuk  disembur  dengan air asid   dan disebat. 

Satu  ketika dulu  kumpulan yang suka berdemonstrasi  di jalanan ialah orang Cina  kumpulan DAP di Kuala  Lumpur. Pemimpin mereka  yang  sering mengetuai  kumpulan  ini ialah Dato Lee Lam Thye. Hampir  semua perhimpunann mereka berjaya dilaksanakan tanpa polis perlu menyembur air asid ataupun mengejar mereka  dengan belantan. Kenapa?  Kerana  ketika  itu pegawai yang bertanggungjawab  dengan risikan ialah Dato’ Zaman Khan.  Beliau kerap berunding dulu dengan Lee Lam Thye  untuk membiarkan mereka berdemo dengan aman dan kemudian bersurai dengan aman. Zaman Khan mampu melakukan semua itu untuk menaikkan nama Lee Lam Thye kerana ketika  itu perdana menteri negara bukannya seorang Malbari tua.  Zaman dan Lam  Thye  bersahabat baik hingga ke hari ini.

b)          Mahahtir  tidak pernah ikhlas merundingkan  halehwal perpaduan Melayu kerana dia  tahu apa yang dikatakan perpecahan Melayu itu tidak wujud. Yang wujud  ialah perpecahan UMNO. Dia juga tahu UMNO berpecah kerana beliau (Mahathir) mengaibkan orang Melayu dengan cara mengaibkan raja-raja dan budaya Melayu. Sudah menjadi asam garam kehidupan Melayu menangani kerenah raja-raja Melayu dengan bersahaja. Mereka tahu, sejak dulu lagi tidak  ada yang boleh diharapkan daripada raja-raja Melayu.  Tetapi atas  dasar kebudayaan Melayu, mereka sanggup  bersabar  dengan kerenah raja-raja itu.  Apabila  Mahathir mengaibkan Anwar Ibrahim  dengan segala tipu muslihat di mahkamah dan penggunaan  pegawai polis  yang mudah dirasuah  serta tipu muslihat bajingan politik seperti  Sanusi Junid, Megat  Junid, Aziz Shamsuddin, RahimTamby Chik, Mohamad  Taib, Ibrahim Ali  dan banyak lagi nama yang mungkin  tidak  perlu dituliskan di sini, orang Melayu sedar  bahawa Mahathir  adalah  pemimpin  Melayu yang  sudah  berhati syaitan. Dia sudah menjadi Raja  segala  penyangak  dalam politik  Melayu.

Dalam  sejarah  tamadun  Melayu, pertalian rakyat dengan raja-raja hanya utuh selagi raja itu masih memegang  kuasa. Apabila raja berperang dan kalah, keseluruhan warga istana dijatuhkan  untuk menjadi hamba  abdi  kepada  raja  yang menang. Permaisuri  raja  yang  kalah dijadikan  isteri  baru  kepada raja  yang menang, ataupun  dia hanya menjadi ketua inang  kepada  gundik-gundik  raja  yang malang.  Rakyat jelata  tetap  menjadi rakyat jelata  walaupun  orang  yang menghuni  istana  sudah bertukar kuasa. Itu sebabnya  dalam  sejarah  Melayu lama, tipu-menipu dan membelot sudah menjadi  satu budaya Melayu. Amok mengamok pun merupakan sebahagian budaya lama itu. Semua budaya jijik  istana  raja-raja  Melayu lama itu sudah pun berulang di zaman Mahathir  berkuasa selepas beliau nyahkan segala kuasa yang ada pada raja-raja Melayu.  

Kekejijikan  Raja  Mahathir

Mahathir  tahu kalau dia berunding  mengenai perpaduan Melayu,  dia akan kalah segala  perdebatan  berasaskan  segala  fakta  yang akan dikemukakan  oleh PAS berdasarkan amalan rejim Mahathir. Apabila  PAS mengenakan syarat  untuk mendapatkan  kembali hak menerbitkan HARAKAH  seperti  dulu, UMNO menjawab  bahawa  PAS  seharusnya tahu perbezaan di antara kuasa  kerajaan  dan kuasa  UMNO. Inilah  satu penipuan  kerana  UMNO mempunyai segala  alat propaganda  yang mampu membuat ulasan  langsung  akan setiap  pergolakan  mengenai perundingan itu. Apabila  PAS mahukan  royalti minyak  diberikan  balik, PAS sebenarnya melakukan sesuatu  yang  mengikut  peluang  yang ada. Kalau PAS  tidak  mengenakan permintaan  ini sebagai pra syarat, sejarah  akan menuduh  pucuk kepimpinan PAS  sebagai cuai. Begitu juga dengan hal Anwar  Ibrahim. PAS berhak  membuat tuntutan  dan semestinya tuntutan  itu diberikan pertimbangan segera,  supaya  Anwar  Ibrahim dialihkan daripada hospital  kepada rumah kediamannya. Bukannya  balik ke penjara. Dia boleh dikenakan  penjara dalam rumah kerana statusnya sebagai  bekas  timbalan perdana menteri. Dia dituduh berdasarkan  bukti  yang tidak sahih dan mengikut Islam  sudah patut dibebaskan. Apabila  dia diracun dan digodam dan sehingga kini mengerang  kesakitan ekoran  ‘episod mata lebam’, dia sepatutnya diperjuangkan  agar ditahan  di rumah sendiri.  Kalau junta tentera Myanmar  boleh mengenakan  tindakan tahanan rumah  kepada pemimpin parti pembangkang, kenapakah Mahathir tidak  boleh  dipengaruhi menggunakan kepala otaknya  untuk  memerintahkan  Anwar  di tahan di rumahnya  sendiri?

PAS  tidak perlu takut dengan pengaruh  UMNO  dan Mahathir. Pengaruh yang disebutkan  itu sebenarnya sudah lama tiada.  Rakyat marhaen sudah mamai dengan  laungan   kekuatan  UMNO  itu. Sebenarnya  UMNO  dan  pemimpin yang di sekeliling Mahathir  sedang syok sedirian memikirkan  UMNO  masih lagi berkuasa.  Di dalam UMNO sendiri sudah berlaku perpecahan  yang besar sehinggakan Mahathir  hanya terpaksa ternanti-nanti sebelum muncul  kumpulan  yang akan menendangnya keluar  daripada  parti. Kini,  kita belum jelas menilai  siapa sebenarnya  yang bertanggunjawab mendera  rakyat  marhaen dengan pancutan air asid dan pukulan rotan dan belantan.  Apakah polis bertindak di atas arahan Mahathir ataupun Paklah? Kalau  arahan  Paklah apakah sebenarnya  tujuan  mendera rakyat itu? Apakah  kumpulan  Paklah sengaja  mahu mencetuskan kucar-kacir  negara  agar  rakyat  terus  bersatu  mengganyang  diktator tua? Apakah Paklah  tidak sedar, kalau Mahathir  ditumbangkan oleh rakyat  marhaen, Paklah pun akan terjerut sama?  

Di dalam  UMNO  masih  terdapat  kumpulan  yang menyembunyikan   kuku mereka  laksana  kucing  yang sedang berundur  ke belakang dan duduk  memerhatikan  tikus  yang sedang  berkeliaran  di depan mata. Hanya menunggukan  waktu  dan ketika  yang  sesuai untuk menerkam  dan mencengkam. Di waktu  yang  sama  terdapat  beberapa kumpulan  besar yang sedang berperang besar secara proksi dengan menguasai wang dan alat propaganda. Mahathir sudah lama sedar perkara ini. Kerana itu  dia memilih  meletakkan  ‘senator’  pilihan  menjadi ahli kabinetnya.  Tetapi orang-orang ini termasuk  mereka  yang menang  pemilu  dulu dengan undi hantu adalah manusia yang  tidak  menerima mandat rakayt  yang sah.

Mahathir  Yang  Terus  Terdesak

Beberapa  isu besar  negara akan membuatkan Mahathir  separuh gila. 

Satu ketika dulu semangat   patriotisme dipasak  saban hari kepada  para anggota  tentera. Itulah amalannya  setiap kali mereka bersiap sedia menjalankan operasi  di hutan belantara.  Inilah kumpulan  yang kini merana hidup mereka kerana  sebahagian mereka kini menjadi ‘pegawai  keselamatan’ satu nama baru kepada nama kerja  yang  sama yang dulu disebut  ‘jaga’ sahaja.  Inilah patriot sebenarnya  yang mempertahankan  negara dan  yang  kini menjadi pemandu teksi, drebar lori panjang  dan  peneroka  rancangan  tanah. Bagaimanakah nasib mereka sebenarnya? Sedarkah semua anak-anak muda akan sejarah bangsa dalam  percaturan sejarah patriotisme itu? Apakah Mahathir  dan Hishamuddin  Hussein  ataupun Khir Toyo pernah terfikirkan sejarah sebenar  semangat patriotisme itu? Kalau Mahathir seorang patriot, sanggupkah dia  menyiarkan  senarai hartanya  sejak dia menjadi  Perdana Menteri? Bolehkah rakyat marhaen mengetahui apa jenis hartanya semua, termasuk yang dipunyai oleh Mak Andehnya?

Kini,  warisan pejuang negara  yang layak digelar patriot itu sedang  hidup laksana rumput di tepi jalan; hidup segan mati tak mahu kerana  punca pendapatan  mereka yang semakin menurun. Harga getah  dan sawit sedang menjerut  diri mereka bukan disebabkan  harga itu turun mendadak hanya semalam, atau pun sebulan  yang lalu ataupun tahun yang lalu.   Harga  komoditi  sudah merudum  sejak akhir  1998 lagi. Apakah perkara  ini tidak menjadi perhatian pihak kerajaan pimpinan  Mahathir?  Tidak,  kerana lebih baik dialihkan   perhatian rakyat marhaen  daripada memikirkan masalah itu dengan mencetuskan pelbagai drama  seperti Isu Al-Maunah, Pulau Layang-layang, Sipadan dan Komander Robotnya, Suqui dan Aziz Sikh  memanjat pagar orang dan  sebagainya. Keangkohan UMNO,  menjangkakan  harga komoditi akan naik semula  seperti  yang berlaku kepada kejatuhan harga minyak petroleum. Ataupun sebahagian besar pemimin UMNO  itu memang  tidak arif  mengenai apa yang  disebut ‘ekonomi negara’ ?  Apakah  yang dibuat oleh Rafidah  selama  empat tahun  dulu ketika cuba menarik pelabur  asing? Kenapakah kini Pakistan  dan India lebih memberi ruang membeli  minyak sawit Indonesia  daripada keluaran kita?

Semua hasil Petronas  dibalun  untuk menolong para kroni yang muflis.  MAS diselamatkan  untuk membolehkan Tajuddin  terlepas daripada bebanan hutang. Begitu juga  denagn  kompeni LRT. Kini, Tajuddin  dikatakan sedang  berusaha membeli perkhidmatan udara  di negara orang.  Orang kampung  terus sesak jua hidupnya dan orang Melayu akan terus tertanya-tanya apakah akan jadi akhirnya?

Semua ini adalah isu yang menghantui  Mahathir  dan para juak yang sedang  memegang  kuasa  secara menipu. Hampir semua mereka  sedar  betapa  mereka menang undi dulu dengan menipu juga laksana yang terdedah di Lunas  baru-baru ini. Inilah semuanya pemimpin  UMNO  yang sedang  bergaya  menjadi wakil rakyat sedangkan mereka sedar kuasa itu adalah bukan dengan mandat rakyat yang sah. Mereka  merampas  kuasa secara lembut  dan berhemah. Sedangkan   mereka merupakan kumpulan penyangak  yang  menyusahkan rakyat jelata.

Orang Melayu secara keseluruhannya harus besyukur  kepada Allah swt. kerana perundingan  antara  Mahathir  dengan PAS  itu terbantut juga. Manusia merancang  Allah menentukannya.  Inilah sebaik mungkin iktibar yang  ada masa kini kerana  yang mahu diajak berunding itu bukannya kepalang besar penyangaknya. Mahathir adalah sebesar-besar raja penyangak dalam tamadun Melayu setakat ini. Mahathir dan UMNO  sengaja tidak mahu perundingan itu dilangsungkan.  Kerana itu UMNO sengaja  menyakitkan hati orang Melayu apabila  mengagihkan peket wang ihsan di Terengganu kepada kaum Cina, sedangkan di perladangan  orang Melayu hidup kelaparan. Usah ditangisi dan disesali kalau perundingan  PAS-UMNO itu tidak akan menjadi. Kalau PAS betul-betul  mewakili segolongan besar orang Melayu, prasyarat perundingan harus diluaskan lagi. Mahathir mesti merombak kabinetnya dulu dan mengeluarkan semua ‘senator’ yang dilantik sebagai menteri kabinetnya itu. 

-Marhaintua-
21.2.2001.