MMM 7

Bila Penyangak Naik Lemak

Seluruh dunia berbincang   mengenai  keadaan ekonomi  yang merudum disebabkan keadaan ekonomi  Amerika  yang  mundur. Perkara ini telah kita tulis lama dulu  lagi kerana  inilah  yang berlaku secara bermusim setiap kali pilihanraya  presiden  Amerika selesai.  Kita  telah menuliskan ingatan  sejak  satu  tahun dulu  lagi, ekonomi Amerika sengaja dipacu  laju  kerana  syarikat  multinasional yang besar-besar mengeluarkan   dana  yang banyak  untuk  menyumbang kepada kedua-dua  calon presiden Republikan  dan Demokrat.  Sebaik  sahaja keputusan  diumumkan, ekonomi akan merudum menunggukan  strategi baru  pihak yang menang kerana inilah  masanya  parti  yang menang  itu ‘membalas  jasa’ syarikat  yang banyak  berkorban kepadanya.  Cara yang  terbaik  untuk  melakukan  proses  ‘terima kasih  daun  keladi’ ini ialah  dengan  membiarkan  satu  gelonsoran  ekonomi  yang  ada  supaya segala putaran  ekonomi  pemerintahan  lama yang masih berminyak  itu turun  lemaknya.

Kita   menjangkakan pada kali  ini  George  W. Bush  akan merangka  satu  program pembetulan  ekonomi  dengan  menggerakkan aktibiti  syarikat besar-besar yang  mengeluarkan  kelengkapan  perang. Ini  adalah  satu taktik yang  amat logik  agar  segala  peluru  lama  yang  tersimpan di stor  tentera akan diganti dengan  yang baru. Barang  gantian  hanya dapat dibawa  masuk apabila   simpanan lama sudah  dikurangkan. Bagaimanakah  caranya? Dengan  menghadiahkan  barang simpanan  lama itu dalam bentuk geran ataupun  dijual  untuk dibayar  secara  ansuran  ataupun  digunakan   sendiri  di medan  pertempuran. Alat   kelengkapan  perang  tidak akan digunakan  kalau tidak ada  peperangan.  Kerana itu, unsur-unsur peperangan  perlu  dianjurkan  selalu agar  ada  sahaja  bahagian  dunia  ini yang berperang  dan memerlukan  kelengkapan  perang  itu.

Itulah   yang  berlaku  ketika  Shah  Iran  membelanjakan  sebahagian  besar hasil minyak dan gas negaranya   untuk menjadikan Iran  “sebuah negara  Islam  yang paling kuat  kelengkapan perangnya di dunia.” Itulah ucapannya  sehinggakan  semua  negara Arab  di Teluk  dan Timur Tengah  menjadi  gelabah  untuk menambahkan pula  kelengkapan  perang  mereka.  Sebaik sahaja  negara Arab termakan dakyah  perang  Shah Iran  itu, usaha  untuk menjatuhkannya  pun dibuat sehinggakan ketika  Ayatollah  Khomeni naik takhta  Presiden Carter ketika  itu sanggup  mencuba  menculik  Shah Iran  yang sedang dalam perjalanan daripada Florida menuju  ke  Kaherah. Penculikan  sudah dirancang  di Amsterdam ketika pesawat Shah Iran  sepatutnya berhenti sekejap  untuk mengisi  minyak. Shah  Iran menerima  isyarat  daripada   ‘orang dalam pentadbiran  Carter’  untuk terus  keluar  secepat  mungkin  daripada  udara  Belanda  dan  meluru  terus  ke Kaherah.  Pesawat  kehabisan  minyak  sebaik sahaja mencecahkan  tayarnya  di landasan.

Kegagalan  Amerika   ‘menyerahkan’  Shah  Iran membuat  mereka  melancarkan ‘Projek  B’ dengan  membuatkan  Iraq  berperang dengan  Iran. Iraq pun   menjadi sekutu  Amerika dan Iran  menjadi  seteru   dunia  barat. Hanya  China dan Russia  menyebelahinya dan Jepun ikut  serta secara selamba dan berahsia.  Tiba-tiba  peperangan   yang banyak  bertumpu  di batasan ke dua  negara menjadi  reda  setelah  beberapa  kapal perang  Iran  tenggelam di Teluk  Parsi  kerana   tembakan  ‘exocet’;  peluru  berpandu  buatan  Peranchis. Satu  gencatan  senajata  tiba-tiba  diusahakan  agar  kedua  negara tidak bertembak-tembakan. Rahsia sebenar   gencatan  itu ialah  kerana seluruh  negara  teluk  yang diketuai  oleh  Arab  Saudi  telah melengkapkan  negara  mereka  dengan  kelengkapan  perang  yang canggih. Bayangkan, Arab Saudi  telah membeli tiga buah AWAC (Advance Warning Aircraft) sebuah  pesawat udara  Boeing  yang lengkap  dengan segala  peralatan elektronik  untuk  menyekat  dan ‘mematikan’  alat   elektronik  pihak  lawan. Semua  negara  Arab  yang kaya  dengan minyak itu membuat  tempahan  yang  berbilion dollar harganya.  Mereka  tidak ambil  pusing  betapa  mereka  tidak  mempunyai  pegawai dan pemandu pewasat  yang terlatih  untuk mengendalikan  semua  kelengkapan itu. Terpaksalah  mereka  impot penerbang  daripada  Pakistan,  Somalia  dan Afrika  Selatan  untuk kerja-kerja  itu.  Ramai  juga  anak Melayu Singapura yang diimpot bagi bahagian  teknikal.  Ada  juga beberapa kerat  anak Melayu Malaysia yang berjaya  menerima  tawaran negara Arab itu, kebanyakannya di bidang  masakan  dan pelayan  meja  makan  sahaja.

Sokongan   padu Amerika  dan  negara  sekutunya  di barat  terhadap  Iraq  telah membuatkan Saddam Husin  naik lemak sehinggakan  dia  mula  merancang mencipta senjata nuklear sendiri. Dia  tersilap langkah  tanpa memikirkan  bahawa  Amerika  menyokongnya  hanya  setakat  untuk berperang  dengan Iran sehingga segala  kelengkapan  perang Amerika yang lama  dapat  digunakan   ataupun  dijual habis.  Program  nuklear  Saddam  lingkup  dalam  masa  sepuluh  minit  diserang  oleh  pesawat  tentera   Israel. Siapakah membantu  Israel kalau bukan  Amerika?  Dari manakah pesawat  itu terbang  kalau bukan  daripada  Turki  dan Itali.  Tetapi,   siapakah yang  menjalankan  bantuan besar  dengan mematikan  segala  peralatan elektronik  Saddam Husin ketika  pesawat Israel  menghampiri  udara  Iraq?  Jawapannya  ialah  Arab  Saudi.

Tapak  nuklear   Iraq yang diperbuat dengan  China dan  bantuan  Jarman Timur, lingkup  dalam masa sepuluh minit sahaja. Dari situ  Saddam  menaruh dendam  kepada   Amerika dan beberapa   negara  Arab  yang membantunya. Amerika  dan Israel tidak dapat melumpuhkan  Iraq selagi  negara Arab  yang  lain tidak membantu  mereka. Lihat bagaimana  sudah empat  presiden  Amerika yang bersara dan bertukar  ganti, Saddam Husin  masih  bernyawa  lagi. Kini,  George  W. Bush  sudah pun menjadi  presiden  dan  meneliti  segala  rancangan  perang Amerika setelah  dia  banyak belajar mengenainya  ketika  bapanya menjadi  presiden dulu.

Alangkah hebatnya  Saddam  Hussin  sehinggakan  lima  presiden  Amerika masih tidak lagi mampu menumbangkannya.  Bukankah  itu juga  yang berlaku  kepada  Fidel  Castro? Tetapi, Fidel Castro  sudah  bertakhta  lebih  lama  lagi. Sejak  John  Kennedy  menjadi  presiden Amerika dan  Kruschov  menjadi  Presiden  Russia dan  Gescard D’estaing menjadi  Presiden Peranchis. Mungkin  untuk  menghapuskan  Iraq  itu   memang   menyulitkan  Amerika  dan  rakan  sekutunya  kerana  Baghdad  terletak  di pendalaman  negara  dan Saddam Hussin  sentiasa berlegar  di beberapa  istana dan kubu  bawah  tanahnya. Tetapi, Cuba hanya  sebuah kepulauan   yang  boleh  diserang dalam masa dua  jam  perjalanan laut   daripada   Florida. Bagaimanakah  Castro mampu menjadi  presiden  paling  lama  di dunia?  

Begitu  jua halnya  dengan  Yassir  Arafat  yang sudah memimpin  orang  Palestin lebih empat puluh tahun lamanya. Israel mampu  menembak  orang Palestin  sesuka  hati, tetapi  Yassir   Arafat  jarang  sangat  diserang hendap? Jawapannya  ialah kerana  manusia  yang bergelar pemimpin  bangsanya  seperti   Castro, Saddam,Yassir Arafat   dan  Ghadaffi  adalah pemimpin yang  sengaja dibiarkan terus  bertakhta   di puncak kuasa  mereka  tanpa  diganggu gugat oleh  kuasa  besar dunia. Cuma pemimpin Afrika seperti  Kabilla, Mobuto Sesi Seiko,  Sarjan  Doe, dan beberapa  pemimpin   di  Chad  dan  Ivory Coast serta  Senegal  yang  mudah  tertembak  dalam rampasan kuasa  di negara mereka.

Alangkah pelik cerita  ini, tetapi  itulah  hakikatnya.  Ada  pemimpin  yang tidak dapat bertahan  lama  kerana  dia naik  lemak  terlalu cepat  dan  sudah difikirkan  tidak berguna  kepada  dunia  barat. Tetapi,  ada pula  pemimpin  yang sengaja  dibiarkan  naik lemak bertahun lamanya  sehinggakan kehidupannya  sudah sampai ke tahap naik minyak. Mereka  terus  dipelihara   dengan segala  lakonan  dan drama  untuk  menentukan  mereka  terus  dapat bernyawa. Jadi, ada dua jenis pemimpin  dunia  yang  bukan  menjadi  ahli kuasa  besar Dunia Pertama. Satu kumpulan dibiarkan naik lemaknya sebelum  ia digulingkan selalunya melalui rampasan kuasa ataupun  peperangan  saudara. Satu kumpulan  lagi   sengaja  dibiarkan terus berkuasa  tanpa  banyak  usaha  untuk menumpaskannya.  Kuncinya terletak  kepada  khazanah  yang  ada  pada negara pemimpin  yang dibiarkan terus  naik minyak itu.

Ghadaffi dan  Saddam  dibiarkan terus  berkuasa  supaya  Amerika terus  dapat  mengawal  harga  turun  naik  minyak.  Di waktu  yang  sama  bekalan  kelengkapan perang boleh  disalurkan oleh Peranchis, Jarman  dan Russia serta   China.  Jepun, China  dan  Korea  boleh  membekalkan  kelengkapan  elektronik  secara  bermonopoli  kerana   dua  negara  ini  sengaja  menyingkirkan  tawaran  negara  orang putih. Itali  boleh memainkan peranannya  sebagai  pembekal  pelbagai  alat elektronik dan mesin  kecil-kecilan  melalui  hubungan sejarah yang lama dengan Libya. Dari  situ  ia berkembang ke  Iraq  melalui  syarikat Arab  yang menjadi proksinya.

Apabila   negara  Arab  sentiasa bercakaran  dan tidak tenteram, sebahagian hasil negara  mereka yakni minyak dan gas  akan digunakan untuk  kelengkapan perang  yang  perlu  diperbaharui  mengikut  kecanggihan  alat elektronik  dan  komputer. Setiap kali dilakukan pertukaran  kelengkapan  itu,  ramai lagi  tenaga  pengajar  daripada  barat  yang diambil dan diberikan gaji  yang lumayan. Ketika  Iraq  dan Iran  berperang,  Dubai  telah membina  sebuah pelabuhan buatan manusia yang terbesar di dunia. Ia mampu menerima kemasukan 75 kapal besar dalam satu  masa. Tujuannya   ialah untuk memberi tempat kepada  kapal-kapal  Amerika  dibaik pulih  seandainya  mengalami kerosakan  dalam peperangan  Iraq-Iran  itu.   Iran  tidak berkata apa-apa ketika  pelabuhan  itu mula  dibina sehingga siap. Dubai pun gembira kerana  kehadiran kapal Amerika  menjamin keselamatannya  terutama  sekali kepada  satu pelantar minyak yang dibina  di pintu masuk Teruk Parsi. Di bahagian  bertentangan di sebelah tebing teluk itu, memang  ada juga  pelantar minyak  yang dipunyai oleh Iran. Pada  malam hari pancaran cahaya api yang membakar gas yang keluar daripada kedua-dua  pelantar  minyak itu memberikan pemandangan yang sungguh indah yang tidak dapat di mana-mana.  Lagipun  pancaran  cahaya lampu itu menjadi pedoman  untuk kapal Iraq  melalui Teluk Parsi sambil mengharungi  garisan perairan antarabangsa di situ.

Semua  kapal  minyak  Iraq dikawal   oleh kapal perang  yang mempunyai   kelengkapan perang  yang canggih.  Tetapi,  Iran mampu  menembak  kapal-kapal besar itu dengan menggunakan  askar  berani mati  yang  menggunakan bot kecil yang berkuasa tinggi. Mereka  menunggu  di perairan  antarabangsa yang sepatutnya  bebas daripada serangan musuh dan  menyerang  kapal Iraq dengan jayanya. Iraq  membalas dendam  dengan menggunakan  ‘Exocet’. Banyak kapal perang Iran  yang dibedilnya  dan pada  satu hari Iraq  telah menyerang pelantar minyak  Iran di ‘pintu-masuk’ Teluk Parsi itu.  Hilanglah  cahaya  api di malam hari yang menerangi kawasan  masuk  ke Teluk Parsi.

Tetapi, Iran bukan bodoh. Ia  melancarkan satu projek menghentam pelantar minyak Dubai dengan alasan; kalau dia tidak dapat menyedut minyak yang ada  di dasar bumi wilayah itu, orang Arab pun turut terpaksa bercuti dulu. Semua  negara Arab  dan  penyokongnya  di barat terpaksa  menjelir lidah lagi. Di waktu yang sama Iran mengeluarkan amaran, mana-mana negara Arab yang menerima kapal-kapal  Amerika untuk diperbaiki  akan dianggap bermusuhan  dengan Iran.  Terbantutlah  usaha kerajaan  Dubai  untuk   memperbaiki kapal perang  Amerika. 

Taktik  Yang  Sama  Di Kepulauan  Melayu

Taktik yang  sama  telah diamalkan  oleh Amerika dan kuasa besar barat   di Asia  terutama  sekali di kawasan   yang satu ketika  dulu mereka gelarkan  sebagai Gugusan kepulauan  Melayu (Malay Archipelago).  Gelaran  itu hanya berubah kerana  orang Melayu  sendiri yang mengubahnya. Lihatlah  buku  sejarah  dan peta lama orang barat. Mereka menulis  dengan megah nama  gugusan pulau-pulau Melayu itu. Cuma, apabila  rantau itu semua  menerima kemerdekaan,  panggilan  lama itu tidak lagi mahu digunakan oleh pemimpin tempatan  sendiri.

Yang disebut sebagai  kepulauan  Melayu itu bermula  daripada  Filipina  dan  menurun  secara satu lengkungan  ke bawah  mendasari  kepulauan  Republik  Indonesia  dan naik ke atas sehingga  mencecah  Segenting Kra. Alangkah besar  dan hebat  rantau itu sehinggakan  Bahasa  Melayu diiktiraf  sebagai  ‘Lingua  Franca’ di rantau  ini.  Ketika kerajaan Melayu  sudah  semakin rapuh dulu pun setiap  bahtera  dan jong  pedagang  yang memasukki perairan  gugusan  kepulauan  Melayu itu mesti mempunyai penterjemah khas  ataupun anak kapal yang  pintar berbahasa  Melayu. Cerita yang baik-baik  mengenai keagongan  orang Melayu sejak zaman pra penjajah dulu boleh didapati dengan membaca tulisan  penulis  Filipina  yang menyingkap  sejarah kehebatan Jose Rizal, seorang anak Melayu beragama Islam yang dijadikan bapa kemerdekaan  Filipina.

Apabila Filipina  mencapai kemerdekaannya pentadbiran negara sudah mirip  pentadbiran  Amerika  dan budaya  hidup pemimpin Filipina  adalah berpaksikan cara hidup orang kaya  yang mempunyai  ladang tebu yang berpuluh ribu hektar luasnya. Inilah  kumpulan   yang  menerajui kerajaan Filipina sehinggalah Marcos  naik  menjadi diktatornya. Amerika membiarkan  segala kekejaman Marcos tanpa  mahu memperbetulkannya kerana  Marcos menyerahkan Teluk Subic sebagai  pengkalan  perang  Angkatan  Armada Amerika.

Demikian juga halnya  di  Indonesia.  Sukarno  dibiarkan  berkuasa lama sehingga beliau  digulingkan  kerana terlalu memihak  kepada fahaman Komunis  yang  dianjurkan  oleh  S.N. Aidid.  Tempatnya digantikan oleh  Suharto dan   bermulalah  satu  era pemerintahan kuku besi yang lebih  tiga dekad  lamanya.  Amerika  tidak  berminat  menyingkirkan  Suharto  kerana  mengambil pendirian  bahawa  Indonesia  ialah  seekor  harimau  yang sedang  tidur.  Kalau  Indonesia  bangkit, ia adalah  sama  dengan kebangkitan semua  negara Arab yang disatukan  semuanya. Indonesia  mempunyai  segala-galanya, baik dari  sumber  hasil  bumi hinggalah  tenaga kerja  yang sanggup  bekerja  keras.  Yang  penting  sekali, Indonesia  ialah  sebuah  negara  Islam  yang  terbesar di dunia.  Membiarkan    kebangkitan  Indonesia bererti memacu  kebangkitan Islamiah  di kepulauan  Indonesia itu  sedangkan usaha  mengembangkan ajaran agama Kristian memang sudah lama dilaksanakan secara pilihan. Apatah lagi  ketika masih muda  dulu sehingga  di tahun-tahun terakhir hidupnya  Ibu Tien  Suharto  diangkat  sebagai  ‘Rahib Agong’  pengembangan  ajaran  Kristian  keseluruhan  Indonesia.  Pada era  Suharto  ramai  panglima Indonesia yang beragama Kristian telah dinaikkan pangkat. Indonesia yang bangkit untuk maju bererti  mengurangkan tenaga buruh kasar   di Malaysia  dan mengurangkan  masalah sosial  di Malaysia. Sekaligus ia memperkuatkan syiar Islam di Indonesia dan melunturkan usaha mengkristiankan  republik itu.

Kebangkitan  Indonesia memang  disekat  secara terancang  oleh semua kuasa besar. Kerana  itu dakwah  anti  Islamiah  sentiasa  dijalankan  secara bersistem juga.  Sehinggakan  apabila   Jusuf   Habibie  naik menggantikan  Suharto, dia sengaja  dimanipulasi  agar  tidak  dapat  bertahan  lama. Kuasa besar  lebih  rela  melihatkan Indonesia  ditadbir  oleh   seorang  kiai  yang  sudah  rabun  matanya. Namun, rakyat  Indonesia   faham  segala  putar belit ini  dan menunggukan  masa  untuk  menyedarkan  rakyat  jelata betapa  mereka  terpaksa  melakonkan  drama mengikut  skrip  yang ditulis  oleh kuasa besar. Salah  satu  cara  memperlekehkan  kuasa  besar itu  ialah dengan menggalakkan  Gus Dur  terus  keluar negara   untuk  menonjolkan  nama  Indonesia. Tetapi, semua  professional  Indonesia  tahu, itu sahaja  caranya  untuk  mereka menjalankan  kerja-kerja  pembersihan terhadap segala kekotoran  yang  menyelimuti  negara  di zaman  Suharto.

Dari  segi  perlembagaan, Gus  Dur  dan parti politik dukungannya mempunyai hanya 18 persen  suara  di Dewan Perundangan  Rakyat. Tetapi,  dia menonjol kerana mainan  politik yang amat kuat  yang  tidak  mahu parti lawannya naik.  Kumpulan  penyangak  di sektor  perdagangan  Indonesia  lebih  selesa berpresidenkan seorang  yang rabun matanya  dan  yang tidak mampu melihat dengan jelas apa lagi membaca segala keterangan  di atas  kertas.  Gus  Dur  akan  dicatat  dalam  sejarah  politik  dunia  sebagai presiden yang terlalu banyak  keluar  negara memandang   apa  yang dia tidak dapat lihat.

Malaysia  Dan  Dilema Bikinan Kuasa  Besar

Antara semua  negara di Tenggara  Asia  (ASEAN)  Malaysia   yang mencapai kemerdekaannya  pada 31.8.1957, sepatutnya  kini merupakan salah sebuah negara terkaya  di dunia  yang  layak diiktiraf  sebagai  ahli kumpulan G-7. Tidak  ada  sebuah negara  lain di dunia ini yang mempunyai  hasil kekayaan  semula jadi  yang begitu  besar  seperti yang  terdapat  di Malaysia. Cuba  kita bandingkan  Malaysia  dengan negara  yang kaya raya  di dunia yang mempunyai  kawasan  yang sama  besarnya  ataupun  bilangan penduduk  yang lebih kurang  sama dengannya  ataupun tahap kemodenan yang sama usia  dengannya. Cuba  perhatikan  Taiwan, yang merupakan sebuah pulau  yang mempunyai  jumlah penduduk lebih kurang  sama  dengan Malaysia tetapi diwujudkan oleh kumpulan  Nasionalis yang  berpisah  dengan tanah besar China. Taiwan  mengimpot hampir semua  keperluannya tetapi mempunyai  simpanan  dana  yang besar  bukan sahaja  di negara sendiri tetapi  di negara  luar.  Kekuatan Taiwan  terletak   kepada sumber  tenaganya hingga  mampu  menguasai  industri  elektronik dunia termasuk  permainan kanak-kanak yang menggunakan elektronik. 

Sekaligus  kita faham berapa  tingginya mutu pendidikan di Taiwan walaupun kelulusan  universitinya masih tidak diiktiraf  di Malaysia. Sawah padi Taiwan  sentiasa digunakan sepenuh maksimum. Penanaman padi diselang-seli dengan ternakan  siput dan ikan serta udang. Bayangkan betapa  agressif dan berkesannya  teknologi pertanian di sebuah kepulauan  yang mempunyai cuaca  bersifat sab-tropika.

Taiwan  mempunyai  media  yang  amat kritikal  terhadap prestasi kerajaan yang memerintah. Kerana  itu kira kerap melihat  pergadohan di dewan parlimen  mereka di antara  parti pemerintah  dan parti pembangkang. Inilah  kesan ketelusan  akhbar  di sana di mana setiap wartawan cuba memaparkan berita  yang berpaksikan ‘investigative reporting’. Kekuatan  terbesar  ekonomi Taiwan terletak  kepada semangat persatuan bekerjasama mereka yang disokong kuat  oleh sistem perbankan negara. Kalau kita lihat akan armada kapal penangkapan ikan Taiwan  di perairan  Arjentina  hingga  ke Lautan Merah, semua kapal itu adalah kepunyaan  koperasi rakyat marhaen Taiwan.

Kita  boleh bandingkan negara  ini dengan Switzerland  sebuah  negara tersepit di tengah-tengah tamadun Eropah.  Kekayaan  warisan  negara itu hanyalah  ‘batu’  dan ‘salji’. Tetapi, di sanalah tersimpannya emas berbungkal  dan harta karun kebanyakan pemimpin negara  sejak manusia mengenal tamadunnya. Lebih  enam puluh peratus  manusia  yang ada di Switserland adalah pendatang dari luar.  Mereka mula-mula  menjadi petugas kepada semua institusi pertubuhan  bangsa sejagat  yang mendahului  PBB. Kini, ramai berada di situ kerana  terdapat  banyak  institusi Bank Dunia dan  cawangan hampir setiap  bank yang besar  di dunia. Kekuatan  terbesar Switzerland  ialah ‘RAHSIA’. Inilah negara yang mempunyai  akta khas  mengenai rahsia  perbankan  yang amat dipercayai oleh semua penyimpan wang di sistem perbankannya.

Tanyalah sesiapa yang lama bertugas  di Switzerland, bagaimana  gelagat pemimpin dunia  yang datang ‘beristirehat’ di Switzerland. Kepakaran orang Switzerland menyimpan  rahsia  membuatkan  ramai  pemimpin politik negara  ini yang suka melakukan  missi perdagangan  ke  Eropah  dan Amerika  dengan melakukan  ‘stopover’ (persinggahan) sehari dua  ke Switzerland. Anda  boleh membuka akaun rahsia di bank Switzerland  di setiap  lobi  hotel lima bintang  di sana. Tidak  perlu pergi ke bank yang besar-besar, memadai  dengan membukanya di cawangan kecil yang terdapat di sebelah  meja penukar wang  hotel sahaja.

Inilah sebabnya setiapkali tertabalnya  kerajaan baru  di negeri-negeri, ada sahaja lawatan perniagaan yang akan ditaja  oleh Menteri Besar yang terbaru ke Eropah. Mereka  ingat rakyat Malaysia  bodoh sangat apa sebenar tujuan lawatan mereka itu. Bukankah Menteri Perindustrian Negara  sentiasa sahaja mengelilingi dunia  untuk menaikkan ekonomi negara? Tidak cukupkah lagi dengan  peranan Pesuruhjaya  Perdangangan  di setiap negara di Eropah itu sehingga  exco  UMNO  pun perlu membuat  missi perdagangan di Eropah. Apakah mereka fikir orang Eropah baru setahun jagung pengalamannya dalam dunia perniagaan? Mampukah  doktor  yang hanya pandai tampal dan cabut gigi berdebat dengan tuanpunya perdagangan  yang sudah lebih  empat ratus  tahun usia perdagangannya? Mampukan seorang bekas jaga get keretapi bercakap mengenai perniagaan global?

Kenapa Malaysia Di Takuk Lama?

Kemajuan sesuatu bangsa itu tidak boleh dinilai  dengan adanya bangunan menara kembar dunia tertinggi di dunia. Tidak juga kerana ia mampu  membuat lapangan terbang yang lebih besar dan lebih murah  daripada  bikinan  negara asing. Tidak juga kerana  ia mampu membuat  bendera negara yang terpanjang di dunia. Ataupun kerana  ia mempunyai seorang pelayar yang telah berani mengelilingi dunia bersaorangan.  Semua  itu bersifat  relatif sahaja. Dunia sejagat tidak menilai kebesaran sesuatu bangsa itu kepada  pembinaan  sesuatu yang relatif.

Sejak Malaysia  menerima kemerdekaannya, Allah telah mengurniakannya dengan pelbagai kemewahan yang boleh membuat orang asing irihati dan menggeleng kepala. Mereka irihati kerana  tidak ada negara lain yang menerima segala kemewahan itu sehinggakan Malaysia mampu menjadi satu negara yagn besar. Tetapi  mereka menggelengkan kepala kepada  kebodohan kepimpinan Malaysia  selama  ini yang tidak tahu menilai  peluang kemewahan yang Allah hamburkan. Ramai orang asing  naik pening memikirkan kenapakah Malaysia  tidak membangun  sehebat  Taiwan  ataupun Switzerland ataupun Singapura? Taiwan  menjadi  hebat  kerana menguasai  industri elektronik kecilan  dunia. Switzerland hebat  kerana menguasai  perkhidmatan perbankan dan percutian  dunia. Singapura  hebat kerana menguasai  industi perkhidmatan pos, perkapalan dan udara  dunia. (Tidak ramai orang yang tahu bahawa sejak berpuluh tahun lamanya Pos Singapura  merupakan ‘hub’ pengagehan  mel dan  bungkusan  dunia yang terbesar).

Malaysia  tidak mampu menjadi sebuah negara yang hebat  kerana otak  rakyat Malaysia sudah dipasak dan dipukau  laksana  seekor gajah yang takutkan rantainya (saya pernah menulis akan fenomena ini dan meminta jasabaik PW  menerbitkannya semula).

Malaysia  hebat hanya  kerana  TV  dan radio Malaysia  mengatakan ianya  hebat. Malaysia  hebat  kerana Mahathir  dan Projek ‘Malaysia-Boleh’ mengatakan Malaysia  hebat. Kita perlu soal dirikan lama-lama dan dalam-dalam, adakah negara  yang saya sebutkan hebat tadi (Taiwan, Singapura  dan Switserland) pernah menaja  satu pasukan penerjun  untuk turun di Khutub Utara  dengan sebuah kereta buatan mereka? Adakah mereka menaja satu pasuakan payung terjun turun di Khutub Selatan?  Jawapannya tidak. Tetapi mereka memang sentiasa mempunyai sekurang-kurangnya dua pasukan (seperti juga Indonesia) yang mendaki Everest setiap tahun. Berapakah hebatkah Malaysia kalau projek LRT yang sepatutnya siap  untuk digunakan oleh Sukan Komanwel masih  lagi terpacak tanpa kesudahannya?

Setiap  kali  UMNO  membuka  mulut di kampung-kampung apakah yang mereka laungkan? (i)  Dulu, Kini dan Selamanya;  (ii)  Umno  itu Kerajaan dan Kerajaan  itu UMNO;  (iii)  Orang Melayu hanya boleh maju melalui UMNO; (iv)  Hanya UMNO yang mampu menjamin ketuanan Melayu dan keutuhan agama Islam. Inilah  cogankata yang dianggap ‘kunci-kata keramat’ yang dipasak kepada otak orang Melayu sejak dua puluh tahun yang lalu. Inilah mainan politik yang berputar di minda orang Melayu. Empat kunci kata ini sebenarnya menjadi penghalang otak orang Melayu yang mahu maju. Dengan lain perkataan, cogankata UMNO merupakan penyedap untuk orang Melayu lalai. Kerana Melayu sudah lalai laksana  orang yang dipukau  makanya mereka terpaku di takuk lama tanpa membangun secara menyeluruh.  Kerana itulah Mahathir   dan  para juak dan sukusakatnya berada  di satu tahap yang selamat  tanpa diganggu gugat oleh kuasa besar.

Apabila rakyat  diajar  dan dipasak mindanya untuk memahami  hanya  UMNO  parti  politik yang menjamin segala tatasusila  hidup yang indah-indah, tentu sekali UMNO  melaksanakan pelbagai usaha  untuk membuktikan bahawa  itulah yang sebenarnya.  Itu sebabnya kita dapati sebahagian besar perbelanjaan negara dicurahkan untuk menegakkan setiap penipuan sehinggakan penipuan  itu menjadi satu ‘ kebenaran’.  Inilah  dasar kerajaan UMNO  di bawah  kepimpinan Mahathir  bin Mohammad. Inilah  propaganda ala Nazi  yang pernah dilaungkan juga oleh Sanusi Junid. Kerana  itu kita dapati Biro Tata Negara (BTN), KEMAS, Persatuan Peladang, GPMS dan banyak lagi agensi lain yang ditaja  dan dibiayai  oleh kerajaan pimpinan UMNO  untuk melakukan kerja-kerja mencanang segala cogankata itu.

Setiap cogankata UMNO  memang disokong  oleh banyak projek kerajaan  yang mahal harganya. Malahan pelancaran majlis perdana  projek itu sahaja memakan  ratusan  ribu ringgit. Contohnya  ialah Projek Rakan Muda. Lebih satu ratus juta ringgit  telah dibelanjakan, tetapi kos pengiklanan sahaja menelan tujuh puluh juta ringgit. Kerana  itu kita kerap terbaca tulisan puja-memuja  oleh orang tertentu  yang menjadi kaya raya melalui pengiklanan sahaja.  Kalau  projek BTN dan KEMAS begitu berkesan untuk memukau pemikiran orang Melayu, bagaimana pula boleh timbul teori Melayu sudah berpecah?

Lain Gendang Lain  Tarinya

BTN  dan KEMAS  dikerah dengan belanja  rakyat marhaen  untuk mencanang bahawa UMNO dibawah  kepimpinan Mahathir Mohamad ialah sebuah parti  yang sungguh proaktif dan amat memikirkan masalah rakyat jelata. Itulah lagu yang kerap digendang  dan didendangkan. Tetapi apa yang sudah jadi akhirnya?  Getah dan Sawit  merudum harganya sejak  tiga setengah tahun yang lalu.  Di waktu  yang  sama, Mahathir, Rafidah Aziz  dan Paklah bersimpang siur mengelilingi dunia  lebih hebat  daripada Ketua Setiausaha Negara Amerika. Apakah kerja mereka sebenarnya?

Kini, harga proton naik lagi, sedangkan seluruh dunia tahu bahawa Proton adalah kereta  basi yang sudah hampir dibuang oleh Mitsubishi. Lihat, Mitsubishi terpaksa menarik semula lebih 95,000 kereta buatannya di seluruh dunia. Yang peliknya, tidak ada satu pun kereta  proton yang dikatakan bermasalah. Orang Melayu diajar agar berbangga dengan Proton dan Produa. Malahan Proton Waja “adalah kereta rekaan anak tempatan’.  Sila buka www.mitsubihsi.com  dan buka bahagian segala model dan produk keluarannya. Anda akan perhatikan apakah Waja  itu betul-betul rekaan anak Malaysia.

Demikianlah cara otak Melayu itu diperam agar tidak menjadi geram. Orang Melayu dianggap oleh  pemimpin UMNO sebagai kilang  memangkah kertas undi sahaja untuk memilih calon undi UMNO di pilihanraya. Inilah tugas sebenar  BTN dan KEMAS.  Tetapi, kalau KEMAS  dan BTN mampu menggembeling fikiran orang Melayu untuk bersatu, tidak ada satu  ekar pun tanah kosong orang Melayu yang terbiar begitu sejak berpuluh tahun yang lalu. Segala  taktik membekukan pemikiran Melayu daripada maju seirama  dengan kemajuan dunia menyebabkan pemimpin Melayu seperti Mahathir sengaja  dijaga  oleh Amerika  agar terus berkuasa tanpa sebarang masalah.  Inilah taktik yang digunakan oleh British, Peranchis dan Jarman terhadap Kamal Ataturk  satu ketika dulu di Turki. Inilah juga puncanya orang Turki diajar  untuk mencampakkan kopiah dan tarbus mereka  dan memilih topi buatan  barat, sedangkan topi itu belum dipastikan asal usul kulitnya. Sekaligus,Turki hingga ke hari ini  menjadi satu negara yang kebingungan sedangkan Barat melihatnya sebagai sebuah benteng  yang berbentuk penampan kemaraan pengaruh Islam untuk berhijrah balik ke rantau yang pernah dikuasainya.

Unsur-unsur  Yang Membuatkan Melayu Jumud

Orang Melayu menjadi kebingungan dan meraba-raba sejak dua puluh tahun lamanya. Pemikiran orang Melayu sudah dipukau begitu cantik sekali dengan segala slogan yang hangat-hangat dan segala projek yang berbentuk mega. Laksana orang bermain kuda-kepang yang terpaksa menunggu berjam lamanya sebelum dia merasakan  ‘kudanya’ itu betul-betul terbang, sedangkan ia hanya kulit dan buluh bikinan manusia yang menyerupai kepala kuda. Bayangkan mainan kuda kepang dengan mainan tarian naga ataupun tarian singa yang betul-betul memerlukan satu kecekapan yang hanya dapat dimantapkan melalui latihan yang berdisiplin. Inilah kiasan yang berlaku kepada orang Melayu yang disogok oleh kepimpinan UMNO dengan ajaran persis mainan kuda kepang.

Kita khayal kerana kepimpinan yang curangdan  bertaraf penyangak. Inilah prestasi orang Melayu pimpinan UMNO yang dilantik menjadi wakil rakyat. Sebaik sahaja mengangkat sumpah menjadi wakil rakyat mereka lupa akan sumpahan mereka itu bahawa mereka adalah “wakil” kepada rakyat. Memang anih kalau difikirkan bagaiman seorang wakil rakyat mudah lupa daratan. Tentu kita ingat akan kisah seorang wakil rakyat yang membawa  wang ke Australia  secara berkilo beratnya. Bagaimana pula dengan kes Haji Waad  yang kemudiannya dibebaskan oleh mahkamah. Kini, ada  satu kes lagi membabitkan wakil ADUN Senaling. Kalau isteri keduanya itu tidak menuntut pembelaan  rakyat marhaen tidak akan mudah mengetahui bagaimana seorang wakil rakyat Senaling boleh mempunyai  tanah yang luas di Lukut. Ini baru  dua kisah ADUN Negeri Sembilan. Belum lagi kisah Menteri Besar  yang dikatakan bukan kepalang besar penyangaknya.

Mahathir pernah  memberikan gelaran ‘penyangak’ (penyangak matawang) kepada George Soros.  Oleh itu tidaklah salah kalau kita katakan hampir semua pemimpin UMNO yang menjadi wakil rakyat adalah penyangak juga.  Sekaligus Mahathir adalah raja segala penyangak Melayu. Keadaan ini berlaku kerana  media tidak menjalankan peranan mereka.

Taiwan  maju kerana setiap kelakuan wakil rakyat diteliti dengan teropong  yang paling besar oleh medianya. Apa juga kelakuan mereka memang diberikan ruang yang besar. Singapura menonjol kerana setiap projek kerajaan mendapat penelitian  yang rapi oleh medianya. Tetapi, di Malaysia pihak medianya adalah bertaraf penyangak jua. Ramai  wartawan Melayu sanggup bersekongkol dengan wakil rakyat atas dasar ‘menjaga periuk nasi.”

Contoh yang terbaik ialah berita TV3 yang mengatakan bahawa PAS  hanya  memberitahu pembatalan perundingan dengan  menyusupkan  surat notis itu ke bawah pintu ofis  Khalil Yaakob. Ini adalah satu pembohongan  besar yang telah dinafikan oleh pegawai Khalil Yaakob sendiri. Kenapakah TV3 tidak pernah mengungkit betapa surat  Mahathir mengajak PAS  berunding itu   dikeluarkannya atas nama seorang perdana menteri dengan beralamat di Putrajaya?  Bukankah itu menepati slogan bahawa UMNO itu Kerajaaan dan Kerajaan itu UMNO?  

Oleh sebab media  Malaysia  terlalu jauh kebelakang  dalam peranan mereka secara professional, itu sebabnya Utusan Melayu hanya mampu mencatatkan keuntungan yang berupa 84% lebih rendah daripada  keuntungan tahun sebelumnya. Itupun selepas  ia menjual tanah secara muslihat politik kepada FELCRA. Tanpa menjual tanah itu, keuntungannya memang  ‘pocik’ (kosong).

Sikap wartawan Melayu membuat laporan  untuk hidup dan mengampu, membuatkan majoriti  Melayu pada keseluruhannya hampir-hampir hidup laksana katak di bawah tempurung. Apa yang disogok oleh TV dan akhbar Melayu itulah dunia pengetahuannya. Mujur, ada internet  dan laman reformasi untuk memberikan ruang berbeza untuk orang Melayu mencapai kebenarannya. Wartawan Melayu  pada keseluruhannya sudah tidak pandai menulis  secara menganalisa sesuatu situasi. Yang  mereka  pandai ialah memfitnah dan mencipta berita bohong. Sila buka ruangan  yang  menyiarkan bahan gosip di Utusan Melayu. Naik jijik dan mual beritanya. Anihnya  penulis gosip itu kerap bercerita mengenai kaabah. Beberapa minggu yang lalu ada seorang penyebar gosip merintih  kerana isteri M. Nasir  enggan memberitahu sama ada dia sedang hamil ataupun tidak. Bagi saya, apabila sesaorang itu hamil, itu adalah rahsia peribadinya yang tidak ada kena mengena dengan prestasi suaminya. Tetapi, cerita semacam itu pun  boleh dijadikan bahan oleh wartawan kelas begini. 

Oleh kerana  kemajuan orang Melayu itu dinilai daripada apa yang dipaparkan oleh media, kita lihat peranan wartawan amat penting dalam kemajuan bangsanya. Begitu juga dengan tahap pemikiran dan tingkah laku wakil rakyat. Mujur juga sistem pentadbiran  negara yang diwarisi oleh PTD (Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik)  adalah berasaskan sistem British. Golongan  ini mempunyai sistem di mana isteri-isteri (mungkin juga termasuk  suami pegawai wanita) pegawai PTD diberikan kursus khas secara beragenda  agar mereka berfikiran  selari dengan  kemajuan  peningkatan  pangkat si suami/isteri. 

Tetapi, saya jarang mendengar  betapa isteri para wakil rakyat menjalani kursus khas  untuk memperbaiki diri mereka. Mungkin kerana mereka sibuk ataupun kerana majlis  yang dikelolakan oleh BTN, Kemas dan Bakti ataupun  tugas mengiringi suami membuatkan mereka  tidak ada kesempatan masa. Tetapi, kalau kita lihat golongan Mak Andeh (pinjam   istilah Wak Amin Sapiro) memang diketahui mereka memainkan peranan yang amat besar  untuk menjadikan suami mereka  hebat sebagai penyangak sahaja. Sila buka majalah yang memaparkan fesyen  orang Melayu dan lihat keadaan rumah wakil  rakyat dan cuba cari cerita siapakah wakil rakyat itu sebelum menjadi wakil rakyat. Bagaimanakah wakil rakyat kita mampu mempunyai segala isi rumah yang berjuta harganya sedangkan sebelum itu wakil itu adalah seorang guru KEMAS  ataupun tukang engsot  pagar keretapi, ataupun ketua kumpulan kompang  dan rebana ubi ?  

Pada kesimpulannya, Mahathir  dapat bertahan begitu lama di tampuk kuasa  kerana dia disenangi oleh kuasa besar kerana berjaya membazirkan wang rakyat untuk membuat projek-projek besar yang menggunakan kepakaran daripada luar [negara Barat]  dan bahan binaan yang mahal-mahal yang diimpot dari negara negara luar saperti Amerika Syarikat, Britain,Peranchis, Itali dan Jarman. Lihat dulu siapakah rakan kongsi perniagaan besar-besar itu? Apa  awalan pada nama yang diberikan oleh ibubapa mereka? Vincent, Danny, Francis, dan ada juga yang sengaja tidak mahu diketahui nama Kristian mereka. Semua itu paspot yang ‘menjamin’ Mahathir tidak diapa-apakan. Tidak kiralah kalau sebulan sekali Mahathir berdiri di sebuah persidangan memperlekehkan Amerika, Peranchis ataupun Jarman.  Ataupun kalau dia mahu mengajar seluruh bangsa Jepun bagaimana memulihkan ekonomi Jepun.

 Yang penting kepada kuasa besar itu ialah Malaysia yang kaya raya  dengan segala hasil bumi yang ada harus membelanjakan wangnya untuk projek gila-gila. Tidak kiralah kalau separuh anak-anak Melayu yang bersekolah di kampung dan desa terpaksa belajar sambil berlapar.  Yang penting kepada kuasa besar itu Mahathir memerintah negara mengikut acuan mereka walaupun Mahathir boleh bersuara lantang bahawa Malaysia  membangun mengikut  acuan seorang malbari. Kemajuan bagi Mahathir  ialah apabila orang Melayu di kampung-kampung sudah tidak bercawat lagi. 

-Marhaintua-
 
22.2.2001