MGG 4301

(Artrikel asal ada dalam Harakah terkini  Keluaran 1-15 Mac,01)

Songlapan Di  Farmasi
(Fleecing At The  Pharmacy)

Menteri  Kesihatan, Dato’ Chua  Jui Menag, baru  kini  mengetahui  mengenai kewujudan ubat jenis  ‘generic’ (yang mudah dibeli secara umum).  Dia berkata  oleh kerana harga ubat-ubatan  semakin tinggi,  meningkat   sehingga 30% lonjakannya,  orang ramai haruslah mendapatkan   ubat  yang  biasa  yang memang  mempunyai sama  tahap mujarabnya. Tetapi, dia tidak pula menyebut  di mana boleh didapat  ubat jenis  itu.  Tanyalah setiap farmasi  di Kuala  Lumpur  dan  juga di bandar-bandar besar, kebanyakan  mereka akan memberitahu  tidak menyimpan  ubat  jenis itu.   Tanyalah   doktor  anda  akan ubat jenis itu  mereka  pun tidak menyimpannya.  Tetapi,  ubat jenis  ‘generic’  ini memang mudah   dibeli  di negara  asing. Malahan  doktor  perubatan  akan  mudah memberi anda membuat pilihan   akan  beberapa  jenama  terpilih   ataupun  ubat  jenis  umum itu.

Tetapi, bukan  begitu  halnya  di Malaysia.  Masyarakat  perubatan  dan juga semua syarikat farmasi memang  tidak menggalakkannya.   Memang terdapat satu kumpulan melobi yang sungguh  hebat  mengenai cara ubat-ubat digunakan di negara  ini.  Kalau para doktor tidak menyimpan ubat  itu, bagaimana anda mampu  menggunakannya. Para  doktor tidak akan menyimpan  ubat-ubat  itu disebabkan  wujudnya  imbohan  yang sungguh lumayan  yang menyebabkan mereka bersikap demikian  sehinggakan sanggup  mengenepikan keperluan  para pesakit  yang memerlukan ubat-ubat seperti  itu.  Bukannya  satu  perkara   yang pelik apabila  syarikat pengeluar  ubat  memberikan  bekalan  dua kali ganda  pada harga yang ditawarkannya. Inilah  yang membuatkan doktor (swasta)  cepat  kaya.

Ubat-ubat  farmasi  memang  berharga lebih tinggi lagi  daripada  ubat kebiasaan di wilayah  ini disebabkan  monopoli  oleh syarikat  yang dikongsisama  oleh anak perdana menteri, Mokhzani  Mahathir dan syarikat  Renong  yang  dikuasai  oleh  menteri kewangan Tun  Abdul Daim  Zainuddin.   Syarikat   pembekal ubat yang lain tidak  mampu mengemukakan tender  harga  melainkan mereka   membayar  komisen melebihi  tiga persen kepada  syarikat  yang dikuasai  oleh Mokhzani. Komisen  semacam  ini yang sepatutnya membuatkan beliau tersengeh di bank kalau tidak  kerana  hutangnya  yang menggunung tingginya.

Kerana inilah  harga  ubat  di  negara  ini akan terus  tinggi.  Pharma Niaga yang dikuasai oleh Renong juga menguruskan  Perpustakaan  Pengawalan Farmasi Kebangsaan (National  Pharmaceutical Control  Library)  sebuah insitusi  yang diswastakan untuk menguji setiap  ubat  yang dibawa masuk untuk dikawal dan  menentukan  jenis yang  boleh dijual  di pasaran  tempatan. Kalaulah perdana menteri  berada  lebih lama  lagi di kerusinya sekarang, tidak lama  lagi anaknya  yang ini akan membalun semua perkhidmatan sokongan  di seluruh  hospital  di negara  ini. Dia sudah pun menguasai Kumpulan Hospital  Pantai.  Walau apa pun yang dijanjikan kerajaan memberi kesaksamaan kepada rakyat di negara  ini, ia  hanya  merupakan  kesaksamaan   kepada  dua kumpulan  yang ini sahajalah.

Harga ubat yang berjenama  meningkat naik terlalu kerap  sangat  seperti  juga kenaikan harga tol yang kini merupakan  sesuatu  beban yang tidak lagi terdaya  dipikul oleh rakyat marhaen. Ubat-ubat  yang biasa pun  seperti  pelega  kesakitan  memang semakin mahal harganya.  ‘Cardiprin’ adalah sejenis ubat berintikan  aspirin untuk menghindarkan kepekatan  darah. Saya kerap memakannya dan harganya di sini ialah RM9  untuk setiap 28 biji. Tetapi saya membelinya  melalui seorang kawan dengan harga A$7 untuk 100 butir. Aspirin  yang serupa  khasiatnya  dengan  Cardiprin,  memang  mudah dibeli di Amerika Syarikat  dengan  harga beberapa  dollar  sahaja  untuk satu botol berisi  500 butir. Satu butir (biji) ubat multi-vitamen yang berjenama dijual  di India dengan harga 14 sen tetapi di negara ini ia berharga RM1.50 (Ingat, in harga satu biji ataupun butir-penterjemah). Pengekangan harga  memang menjadi amalan biasa  di antara farmasi dinegara ini.

Ubat-ubat  yang  membantu  pernafasan seperti penenang tekanan darah  adalah sesuatu yang amat diperlukan untuk membantu sesaorang yang kesesakan  nafasnya. Tetapi, harganya melonjak terlalu cepat sehinggakan ramai yang tidak mampu  membelinya. Saya kini tidak lagi mampu menjalani pemeriksaan doktor secara  berjadual terhadap  jantung saya – saya pernah  menjalani pembedahan injap jantung  13 tahun yang   lalu --  kerana harganya yang terlalu tinggi --  walaupun  pemeriksaan itu dilakukan  di hospital kerajaan. Nasib baik  saya mempunyai seorang doktor  yang bersikap  sebagai seorang sahabat yang kerap  sedia membantu. Dia   memang merupakan seorang  ‘general  physician’ yang terbaik di Kuala   Lumpur.   Kini, kos perubatan  adalah  satu masalah besar  kepada majoriti rakyat marhaen.  Harga  ubat yang tinggi adalah satu bebanan kepada sesiapa yang bukan menjadi  pegawai kerajaan, ataupun  pesara  kerajaan  ataupun  yang mempunyai insuran perubatan  kumpulan.

Apabila  berlakunya kepincangan  kepada sesuatu  sistem  kerajaan  seperti yang telah pun dialami oleh  perkhidmatan  kesihatan  dan perubatan, menteri   kesihatan cuba menenangkan  keadaan dan kemarahan rakyat  yang semakin membuak dengan memberikan cadangan   alternatif   yang dia sendiri tidak akan mengemukakannya. Dia tidak pernah memberi penjelasan kenapa harga ubat-ubat  semakin mendadak naiknya  dan kenapa kita terpaksa membayar dengan harga  yang lebih tinggi  dibandingkan  dengan rakyat di negara lain.  Seorang teman memesan  vitamin secara pukal daripada Amerika  Syarikat sehinggalah dia mengetahui  ubat itu lebih murah  lagi di Singapura.  Jenama yang ini yang memang salah satu  jenama  terkenal  tidak dibenarkan masuk ke negara  ini.

Bermacam jenis putar belit dimainkan dalam  songlapan  pemasaran  ubat-ubat agar kuasa penjualan  ubat itu hanya  dinikmati   oleh syarikat  pilihan  dan kumpulannya untuk menentukan ubat mereka tetap tinggi harganya.  Satu ketika  dulu ada juga semangat berlawan  sebelum dua syarikat  pilihan tidak mengambil alih monopoli pengurusan hospital dan  perkhidmatan   perubatan.  Kini, semangat  berlawan-lawan  itu sudah tidak ada lagi. Memang ada  satu jalan lagi untuk menyelesaikan masalah ini, tetapi ia tidak akan dibenarkan oleh pihak yang berkuasa. Sepatutnya setiap  kali satu jenis  ubat itu ada  di pasaran, ia mestilah disimpan oleh setiap  klinik dan farmasi. Terpulanglah kepada pesakit untuk memilih jenis ubat  yang diminatinya.

Saya  tidak  pernah terpesona  dengan  dakwaan  bahawa  ubat  alternatif atau pun jenis ubat  tradisi (seperti akar kayu)  adalah  tidak berguna  dan berbahaya.  Bahaya ubat itu tidak lebih menandingi  bahaya penyakit yang patut  diubatinya. Kalau boleh saya memang  menjauhkan diri daripada  perubatan  yang dibuat secara   ‘allopathic’ dan mencari  kaedah alternatif sebaik mungkin.  Saya  kerap  mudah  alah kepada ubat  moden itu  dan kini  lebih cenderung mendapatkan  perubatan  secara tradisional.  Saya semakin lega sekarang dan terkejut  dengan jumlah  mereka  yang mempunyai pengalaman yang sama. Saya bernasib baik kerana doktor peribadi saya mempunyai  pemikiran  yang terbuka dan dia sentiasa bersedia membantu  untuk menolong  pesakitnya mendapatkan perubatan yang selesa.  Dia tidak pernah  ambil pusing apakah perubatan itu jenis moden ataupun tradisi.

Tetapi, ini bukannya satu opsyen  kepada  orang ramai. Mereka terpaksa bergantung kepada ubat yang  mesti dibeli. Apatah lagi ubat itu mahal dan para doktor  tidak mampu membekalkannya. Inilah yang kerap berlaku di hospital kerajaan  dan menyebabkan mereka terjerut membeli  ubat  berjenama  yang berharga  tinggi. Kalau kerajaan mahu menyelesaikan masalah ini (mana mungkin) kerajaan mesti  bertindak mengurangkan harga kos  perubatan. Dato  Chua boleh  melalak mengenai penggunaan  ubat  ‘generic’ yang lebih murah itu. Tetapi selagi  kementeriannya  sengaja  liat  untuk bertindak mengikut ragam dua syarikat yang monopoli industri  itu, tidak  ada  perubahan yang  boleh diharapkan. Terpaksalah kita membuat perkiraan sendiri laksana seorang yang hampir ditelan oleh seekor ular sawa berlawan dengannya sehinggalah dia lumat  dikerjakan oleh ular itu.

-MGG Pilai-

Catatan Penterjemah: Kerja-kerja  songlapan di institusi  kerajaan melibatkan kementerian kesihatan memang telah berjalan lama. Seperti  yang pernah kita bincangkan dulu lagi,  inilah sebabnya segala  bentuk makjun  yang telah lama digunakan oleh datuk nenek orang Melayu dianggap tidak sesuai di zaman moden  kerana pemerintahan acuan Mahathir Mohammad mengatakan makjun dan akar kayu itu semuanya berbahaya kepada orang Melayu.  –MT-