TAG 048

Menggigit  Kuasa  Yang Menggugat 
(Shaking  the  Party  Grip  On  Power)

 Lorien   Holland/ Kuala  Lumpur Issue  Cover  dated  March 1, 2001

Sikap  menuduh  Perdana  Menteri  Mahathir  Mohamad  kerana kronisme dan otokratik adalah amalan biasa parti pembangkang  di Malaysia. Tetapi, pada Februari 4  yang lalu, kumpulan manusia  yang berhimpun di Kuala  Lumpur dengan  disertai  oleh 3,000 ahli parti   yang memerintah, tentu membuat  para  politikus bangkit  membeliakkan mata.

“Apa  yang telah terjadi membawa makna yang besar sekali,”  kata  Mohamad  Ezam Nor, ketua  pemuda  Keadilan. “memang amat  jarang untuk   melihatkan  orang-orang daripada partinya  yang  keluar berhimpun beramai-ramai untuk mengganyangnya.”

Memang  jelas,  Mahathir  sudah merasakan dirinya tergugat. Satu ketika dulu, beberapa teman-temannya dalam UMNO  yang mengetuai  kerajaan  koalisi yang memerintah, hampir-hampir  berjaya  menyingkirkannya   pada  1987. Sebelas tahun kemudiannya, dia telah dihantui   protes  jalanan,  satu parti  yang sudah berpecah belah dan cemuhan daripada  dunia  luar   kerana tindakannya  memecat  Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam dua  episod ini dia  telah bertegas menentang  mereka  dan menang. Tetapi, keadaan sudah berubah. Serangan  yang menggitinya yang sudah pun berusia  75 tahun itu, bukannya datang daripada  saingan fisikal. Yang   lebih menekan  ialah kemungkinan  pihak pembangkang  mampu memecahkan  benteng  monopoli kuasa yang telah dipegang oleh kerajaan yang sedang  memerintah  sejak 1957, dan memenangi  pilihan raya  umum pada 2004. Mahathir  sedang digigit  oleh bisikan  desas-desus  yang bertiup bertali arus di kalangan  para  pemimpin   kanan   parti bahawa dia sudah  dihambat  oleh pihak lawan dan tidak  lagi layak memegang  kuasa  untuk  bertahan.

“Belum pernah kuasa itu dicabar  begitu hebat seperti  sekarang  ini,” kata Patricia Martinez, seorang   fellow penyelidik kanan   mengenai   kajian  ugama   dan budaya  di Universiti  Malaya.  “Selama  ini UMNO  sudah  biasa  dengan  sokongan  rakyat marhaen. Kini,  sudah muncul pendapat  yang pelbagai, sehinggakan  mereka  tersasar  ke arah  mana yang perlu dituju.”

Ibrahim Ali, peneraju   himpunan Februari 4 dulu yang berlangsung di  Putra World Trade Centre (PWTC)  Kuala Lumpur;  telah bijak  memanipulasi keresahan  akar umbi parti untuk menggerakkan semangat   agar  orang Melayu bersatu  dan  membantu  UMNO bangkit kembali menyanggah  parti pembangkang yang semakin  kuat  berjuang. Ibrahim memang terkenal dengan  gelagat  memihak  kepada   pencabar  Mahathir  pada 1987 dulu, tetapi kali ini  dia dikatakan telah mendapatkan restu Mahathir terlebih dulu untuk melaungkan suara  jagoannya  di bawah satu panji-panji baru.  Tertubuhlah satu  badan  yang bernama Badan  Bertindak  Melayu (BBM)  ataupun dalam bahasa Matsalleh:   Malay  Action Front (MAF).

Hanya  dua  pemidato  daripada  jumlah  sedozen  yang berdiri di khalayak ramai yang bercakap  mengenai ugutan yang dicetuskan oleh   masyarakat  Cina. Pemidato yang  lain telah memilih  untuk menghiburkan  hati  manusia   yang berhimpun  untuk  terus mengutuk dan mencemuh pucuk  kepimpinan parti.  Kebanyakan pemidato ini adalah bekas selebriti UMNO ataupun  pemimpin pencen  yang telah  dipinggirkan. Mereka bercakap mengenai kepimpinan parti  yang telah  menyimpang daripada semangat  perjuangan  parti. Mereka mahu  Umno membasmikan  rasuah  dan  kronisme.  Mahathir  telah menerima banyak kutukan dan diminta  membersihkan kabinetnya. Yang  paling  menonjol  ialah  cara kerajaan membeli balik saham MAS daripada  seorang korporat  dengan  harganya dua kali ganda daripada  harga  pasaran.  Inilah  yang  diserang  bertubi-kali oleh pihak pembangkang sedangkan kerajaan diam membisu mengenainya.

Apabila   berakhir  sahaja  himpunan  itu Ibrahim  Ali masih bertegas bahawa usahanya itu adalah untuk memperteguhkan  kepimpinan parti dan bukannya untuk  menyanggahnya. Dia telah memberitahu REVIEW:  “Kumpulan kami adalah laksana cili pedas. Rasanya pedas, tetapi tanpanya makanan kita  menjadi tawar.  Pihak   pembangkang  sedang mengambil peluang  daripada  keadaan tawar-hambar ini, kerana itu kami mahu kerajaan bangkit menyelesaikan perkara  ini.  Mereka  mungkin mempunyai alasan (mengenai MAS) tetapi alasan itu belum dijelaskan lagi dan kerana  itu pembangkang  masih lagi memperlekehkan kerajaan.

Namun, ramai para analis mula menyoal apakah sudah  muncul  satu agenda  tersurat  untuk melumpuhkan Mahathir  daripada dalam parti  itu sendiri.  “Kalau   kata-kata itu tadi telah diucapkan oleh  pihak pembangkang, para pemidato itu sudah  pasti  dituduh di bawah  akta  hasutan  dan lebih teruk lagi,:  kata   Harakah, akhbar  PAS yang kini menjadi ketua  parti pembangkang.  “Apa  yang cuba  dilakukan oleh BBM tidaklah begitu serius  apabila dibandingkan dengan apa yang telah dilakukannya. Secara terbuka dan sah, mereka  telah  mencabar  Mahathir  yang sedang  memegang kuasa.”

Mahathir telah  membuat  rumusan  yang  sama. Seramai  47 ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO  telah  bersidang secara tertutup  selama dua  Mengikut  tiga  orang ahli MT  yang hadir, tidak siapa  pun yang bercakap untuk  berpihak  kepada  BBM, walaupun Ibrahim Ali pernah menyatakan dia  menerima sokongan  lebih daripada 10   ahli MT  sebelum persidangan dimulakan.

UMNO  Yang  Semakin  Lumpuh

Di satu kenyataannya  selepas  itu, Mahathir ada berkata betapa BBM telah mencetuskan satu  suasana  seperti sebuah parti  yang  membangkang.  “Saya memang tidak faham perkara ini. Pada mulanya mereka berjumpa  dengan saya, mereka kata mahu menganjurkan perhimpunan ini untuk   menyatukan  orang  Melayu,” kata  beliau.

Yang  lebih penting lagi, himpunan itu tidak mampu  menyatupadukan   orang UMNO  untuk mendapatkan kembali sokongan yang hilang.  Sebaliknya, Mahathir telah bertindak untuk memeram BBM  itu dengan  menghentikan sokongan  UMNO  terhadapnya  dan menentukan tidak ada permit  (polis) dibenarkan kepada  mereka. BBM  telah menerima  jemputan untuk mengadakan perhimpunan itu di 18  lokasi  seluruh Malaysia dan telah merancangkan  satu ceramah  jalanan untuk mendekati rakyat  marhaen.

Ramai  pemimpin  UMNO  beranggapan bahawa tindakan Ibrahim Ali itu sengaja mengeruhkan suasana. “Kebanyakan isu yang mereka  bangkitkan adalah perkara  yang menghantui kami juga. Apabila  Ibrahim Ali mendedahkan perkara ini, ia menyulitkan  usaha kami menyelesaikannya. Ia akan menyulitkan kedudukan Ibrahim Ali juga,”  kata seorang veteran UMNO.

“Seolah-olah ada  satu keadaan  lumpuh  sehinggakan  tidak ada sesiapa yang berani bangun dan memberitahu beliau (Mahathir) untuk mengundurkan diri kerana  suara  protes di akar-umbi semakin kuat gemanya setiap hari,”  kata beliau lagi.

Berbeza  dengan kegagalan UMNO untuk bertindak, parti pembangkang yang selama ini tidak pernah dapat termimpi  memenangi pemilu sehinggalah  Mahathir mengnyahkan Anwar, sedang mara ke hadapan  dengan kuat  dan hebat. Setakat ini, kemuncak kehebatan  mereka berlaku apabila  mereka memenangi pilihanraya kecil DUN Lunas pada November  lalu. Inilah kerusi yang merupakan kubu kuat kerajaan  sejak  tercapainya kemerdekaan.  Sejak BBM menghenyak Mahathir dan masalah  UMNO, pihak pembangkang telah melancarkan empat perhimpunan rakyat mendesak  agar Mahathir mundur. Satu perhimpunan itu telah dilangsungkan  di kawasan pilihanraya  Mahathir  pada  Februari 14 yang disertai oleh ribuan  manusia. Polis  pencegah  rusuhan telah menggunakan  gas dan air (berasid-penterjemah) untuk  melemahkan  manusia yang berhimpun itu.

Isu-isu penting  yang memb uatkan  orang  lari daripada UMNO adalah  peranan Islam, ketidaktelusan  kerajaan dan dasar diskriminasi positif di mana cara  orang Melayu dibantu itu  telah lihat sebagai cara memperkayakan  orang yang sudah kaya raya seperti peniaga  Melayu berlebih-lebihan daripada   Melayu marhaen. Mahathir menentang tuduhan itu dan memberi amaran bahawa usaha  pembentukan   sebuah negara Islam akan memecahkan jurang  perbezaan di antara tiga  kaum yang besar  di negara  ini.

Namun demikian, mengikut   sumber  daripada UMNO sendiri, lebih setengah pengundi Melayu telah pun berpindah ke khemah pembangkang. Daripada jumlah keseluruhan pengundi yang ada 40% pengundi India  masih lagi bertahan  dengan  parti BN sedangkan  pengundi cina masih belum dapat  ditentukan kesetiaannya.

Terdapat  27%  pengundi cina di kalangan penduduk negara ini. Kuasa mengundi mereka akan menentukan  nasib kerajaan yang sedang  memerintah. Apatah lagi apabila  kuasa undi Melayu sudah berpecah-pecah. Mahathir tidak berusaha mendapatkan undi orang Cina kerana kerap sangat  memperlekehkan mereka.

“Trik  yang paling  tua  dalam buku tipu muslihat  ialah menyerang  orang Cina untuk mendapatkan balik simpati orang Melayu. Tetapi,  itu adalah trik lama dengan congak politik yang usang,” kata  Kua  Kia Soon, pengetua New Era College di Kuala Lumpur. Kua pernah menjadi Ahli parlimen parti pembangkang.

Untuk terus  memancing undi orang Melayu UMNO kini cuba memujuk PAS  untuk berunding mengenai  “Perpaduan Melayu” dan telah memainkan isu menawarkan jawatan kabinet kepada PAS  sekiranya  ia menyertai Barisan  Nasional.  Tetapi, pihak pembangkang sedang menentangnya   sambil berjanji menghormati budaya cina  dan  menjanjikan pembikinan banyak sekolah Cina  lagi. “Kami nampak betapa  sokongan akar umbi  yang sudah bertukar, tetapi kami tidak mampu membincangkan isu yang hangat ini tanpa  menaikkan marahnya.” Demikian pendapat seorang veteran UMNO  yang menyedari betapa UMNO sudah tersedak. “Kalau kita telah lama berkuasa kita perlu mencari tenaga  muda, tetapi sebarang usaha ke arah ini akan dianggap sebagai menentang  Mahathir.”

Mahathir telah berkata  dia tidak   mahu bertanding lagi  pada 2004. Tetapi masih ada tiga tahun lagi dan dia masih lagi samar-samar dengan  ketegasan untuk menyerahkan  kuasa yang ada padanya. Dalam satu pertemuan  dengan  para peniaga British dia  telah menolak berita angin mengenai persaraannya. Dia telah berkata  bahawa  ini masanya untuk bertenang  dan  memberikan tumpuan  kepada  kemajuan negara.

Dari perhitungan  rasmi, dia  memang nyata  mempunyai mandat  yang  jelas kerana parti komponen BN  menikmati  dua pertiga  majoriti  dalam parlimen.  Suasana perbalahan pucuk pimpinan parti tidaklah setara dengan keadaan pada 1987 dulu  di mana dia menang pertandingan  kepimpinan parti.  Ada satu  konsensus politik   yang beranggapan bahawa Mahathir mendapat sokongan  penuh daripada tiga  tokoh penting   dalam parti: Timbalan Perdana Menteri dan Calon Pengganti  Presiden  UMNO  Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Kewangan  Tun Abdul Daim dan  Menteri  Pertahanan  Najib Razak. Satu ketika dulu orang menganggap Abdullah  tidak mampu bertahan, rupanya bukan begitu pula.

Baru-baru ini Mahathir  telah  bertegas menyatakan bahawa UMNO  dan  parti komponen BN akan menang lagi di pemilu  yang mendatang walaupun dengan majoriti  yang berkurangan. Namun, kesetiaan  akar umbi parti masih lagi samar-samar sahaja.  Di Malaysia bukan ada sebarang  pilihan pendapat  (opinion polls) dan pemilihan di bahagian akan bermula  pada bulan April. Ketika  itu  akar umbi UMNO akan memilih para perwakilan  untuk menghadiri persidangan  tahunan UMNO dan mereka  akan menjadi perhatian  pucuk pimpinan parti. Mengikut  seorang ahli MT, hampir semua pemegang jawatan ketua bahagian   akan dicabar dan kecenderungan   politik pemenang  itu nanti  akan menunjukkan apakah Ibrahim Ali mempunyai ramalan  yang tepat dalam memberi amaran kepada  pucuk pimpinan parti.

Secara teori, perwakilan  di  persidangan tahunan UMNO  boleh menaruh undi tidak percaya kepada kepimpinan yang akan menghumbankan  Mahathir  dari pucuk pimpinan parti. Tetapi, persidangan tahunan itu adalah satu lakonan sandiwara  yang sungguh hebat sehinggakan usaha  undi tidak percaya itu tidak mungkin akan berjaya. Begitu  juga  dengan segala himpunan dan protes  jalanan  seperti  yang terdapat di Filipina  dan Indonesia yang mampu  menggulingkan Joseph Estrada dan hampir juga menumbangkan  Abdurrahman Wahid.

“Saya fikir  keadaan sudah banyak berubah, rakyat marhaen akan sedia menunggukan pemilu  yang lagi satu,” kata  seorang  veteran UMNO, sebagai satu amaran  yang sudah pasti mencuit  perasaan takut  di kalangan  penyokong  UMNO.

“Waktu itu barulah  PAS, Keadilan dan DAP (parti pembangkang Cina)  akan membentuk  satu kerajaan baru di negara  ini. Akan wujud  seorang  timbalan perdana menteri Cina. PAS akan bersetuju melaksanakan  undang-undang  Islam hanya  di negeri  yang ramai penduduk Islamnya dan itu sahaja.”

Terjemahan MT