Bagaimana Kemenangan Zainur Zakaria Akan Memberi Kesan Kepada Keputusan Penghakiman Anwar Ibrahim?

Dari : FAC

Pada 30 November 1998, Hakim S. Augustine Paul telah mendakwa peguam Anwar Ibrahim, Zainur Zakaria, kerana menghina mahkamah dan menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara ke atasnya selepas memutuskan bahawa permohonan Anwar untuk tidak membenarkan dua Timbalan Pendakwaraya Kanan terlibat sama di dalam perbicaraan rasuah yang berkaitan itu sebagai tidak berasas.

Permohonan tersebut adalah berdasarkan kepada satu pengakuan mengikut undang-undang yang dibuat oleh peguam Manjeet Singh Dhillon bertarikh 9 November 1998 dan sepucuk surat yang ditulisnya kepada Peguam Negara bertarikh 12 Oktober 1998 yang mendakwa bahawa Timbalan Pendakwaraya Kanan Datuk Abdul Ghani Patail dan Datuk Azahar Mohamad membuat ugutan kepada pelanggannya, Datuk  S. Nallakaruppan, dan memintanya untuk mereka-reka bahan bukti terhadap Anwar.

Pada 27 Jun 2001, dalam satu langkah yang memeranjatkan seluruh negara, Mahkamah Persekutuan Malaysia membebaskan peguam Zainur Zakaria dari dakwaan menghina mahkamah. Ketiga-tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Hakim Steve Shim, dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Abdul Malek Ahmad dan Haidar Mohd. Noor, menulis penghakiman yang berasingan bagi membenarkan rayuan Zainur.

Kedengaran sorakan dan tepukan bergemuruh dari galeri awam yang penuh sesak selepas setiap kali penghakiman itu dibacakan. Pada penghujung sessi mahkamah, isteri Zainur, Lily Hanem Ahmad, rakan-rakan dan peguam-peguam yang lain bergegas mendapatkan Zainur dan mengucapkan tahniah sebaik sahaja beliau berjalan keluar dari kandang orang salah.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana tuduhan terhadap apa yang saya pertahankan telah dapat disangkalkan dengan jelas sekali. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada peguam saya, para penyokong dan para hakim yang telah menjalankan tanggungjawab mereka,” Zainur berkata.

Hakim Shim berkata di dalam 24 muka surat penghakimannya ringkasan prosedur yang digunakan oleh Hakim Paul dalam menyebut kes Zainur telah menyebabkan “ketidakadilan kepada Zainur. Untuk hanya bergantung kepada dokumen-dokumen, tanpa lain-lain lagi, merupakan suatu budibicara yang tidak bijak.”

“Adalah tidak munasabah buat seseorang untuk dihantar ke penjara kecuali ia telah diberikan peluang untuk menjawab tuduhan yang dikenakan ke atasnya.” Hakim Shim juga menjelaskan bahawa adalah wajar buat Anwar untuk membuat pengaduan tentang percubaan Abdul Ghani meminta Nallakaruppan mereka-reka bahan bukti terhadapnya. “ Tiada sebarang penyalahgunaan proses mahkamah yang melemahkan pihak berkuasa dan /atau kewibawaan perbicaraan yang berlangsung.”

“Melihat dengan lebih tepat lagi kepada gambaran dari sudut pandangannya dan hakikat bahawa pada tempoh masa yang penting, beliau belum lagi didakwa dengan sebarang penglibatan seksual bersama wanita-wanita lain, selain dari pertuduhan yang dibuat oleh Ummi Hafilda Ali yang Anwar mempunyai hubungan sulit dengan kakak iparnya Shamsidar Taharin, saya merasakan bahawa pengaduannya itu menjadi wajar kerana adanya prima facie (mempunyai bukti yang mencukupi untuk membuktikan sesuatu).” Hakim Shim berkata.

Beliau berkata penelitian yang terperinci tentang surat Ummi hanya mendedahkan penglibatan Nallakaruppan di dalam hubungan yang dikatakan terjalin di antara Anwar dan Shamsidar. Hakim Shim menjelaskan bahawa Abdul Ghani sepatutnya sudah dapat menjawab persoalan mengapa Nallakaruppan telah diminta untuk memberikan bukti tentang apa yang dikatakan penglibatan Anwar bersama wanita-wanita lain tetapi beliau bukan sahaja tidak dipanggil sebagai saksi malah beliau tidak pun memfailkan affidavit sebagai maklumbalas kepada affidavit yang menyokong Anwar .

Beliau menambah bahawa bahkan Manjeet Singh juga tidak dipanggil untuk memberikan bukti tentang kesimpulan yang dibuatnya berkaitan dua Timbalan Pendakwaraya kanan. Hakim Shim juga berkata hakim yang menjalankan perbicaraan tersebut telah gagal untuk mempertimbangkan bahawa Zainur tidak boleh “memberikan amaran kepada Manjeet Singh sebagaimana kesimpulannya yang  menampakkan kebodohan itu” berdasarkan kepada pertuduhan yang dibuat oleh Ummi sedangkan Anwar, dalam perbicaraan kesnya, telah menafikan yang beliau mempunyai hubungan sulit di luar ikatan perkahwinannya.

Beliau berkata tiada sebarang penjelasan mengapa Abdul Ghani telah berfikir tentang perlunya untuk mendapatkan kerjasama dari Nallakruppan, dengan menambah : “Oleh kerana ini tidak dibuat, kita telah ditinggalkan dengan satu kedudukan yang tidak menyenangkan untuk menyoal akan motif atau motif-motif Abdul Ghani itu.”

“Memandangkan kepada keadaan, Hakim Paul dengan jelas telah tersalah membuat tanggapan dengan pandangannya itu.” katanya. Beliau menambah bahawa sokongan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan terhadap pandangan itu pada 5 September tahun lalu menunjukkan bahawa “ianya telah tercemar dengan tanggapan salah yang sama.”

SOALAN YANG KINI DITANYA OLEH SEMUA ORANG ADALAH, BAGAIMANA INI AKAN MEMBERI KESAN KEPADA KEPUTUSAN PENGHAKIMAN ANWAR IBRAHIM? TIDAKKAH INI KINI MENJADIKAN KES TERHADAP ANWAR ITU ROSAK SAMA SEKALI?


Terjemahan : SPAR 09

Jumlah pembaca:orang