AGENDA
REFORMASI: ANTARA IDEALISME DAN KENYATAAN
Reformasi,
pembaharuan atau islah adalah satu usaha untuk memperbaharui kehidupan sosial sesebuah
negara yang sudah tidak lagi selaras dengan kehendak rakyat massa. Dalam konteks di
Malaysia apakah kita sebenarnya memerlukan satu gerakan pembaharuan itu, kenapa kita
memerlukannya, mengapa kita harus menyertainya, bagaimana kita harus menanganinya dan
adakah kita dapat merealisasikannya ke alam nyata? Inilah beberapa soalan yang bermain di
kepala kita bila kita membicarakan gerakan reformasi di negara ini.
Tulisan ini bukanlah
berdasarkan satu kajian yang mendalam, tetapi kita telah memerhatikan gerakan reformasi
ini tercetus di negara ini sejak tertangkapnya mantan Timbalan Perdana Menteri, DS Anwar
Ibrahim pada penghujung tahun 1998. Sejak itu laungan reformasi bergema di seluruh negara
hinggalah ke saat ini. Satu soalan lain, bolehkah kita katakan DS Anwar Ibrahim bapa
kepada gerakan reformasi di Malaysia?
Abdullah Munsyi
telah pun memulakan gerakan reformasi dalam bidang kewartawanan di alam Melayu ini, tetapi
penobatan Abdullah mendapat tentangan hebat di kalangan sarjana khususnya yang mirip ke
arah cita-cita Islam. Prof. Syed Mohd Naquib adalah di antara tokoh yang menolak Abdullah
Munsyi sebagai pembaharu di bidang berkenaan. Sebenarnya Islamlah yang memperbaharukan
masyarakat Melayu di sini. Islam telah memperkenalkan abjad Arab di mana sebelum itu
orang-orang Melayu belum lagi mengenal tulisan. AlQuranlah yang menjadikan orang Melayu
pandai membaca, bukanlah tulisan roman dan alat cetak yang diperkenalkan oleh penjajah
Inggeris di negara ini. Sebelum kedatangan alat cetak, orang Melayu sudah pandai membaca
dan menulis, cuma bezanya mereka menggunakan abjad Arab, manakala penjajah Inggeris
memperkenalkan abjad rumi yang dikenal
sekarang ini.
Kembali kepada
persoalan asal, apakah kita dapat menerima Umno sebagai pemula gerakan pembaharuan
sehingga dapat memerdekakan negara ini dari penjajah British? Apakah ketokohan Dato’ Onn
dapat diterima sebagai bapa reformasi Malaysia dalam bidang politik? Persoalan ini pun
memerlukan satu kajian mendalam untuk melihat apakah benar tokoh-tokoh itu membawa pembaharuan.
Namun apa yang dapat kita perhatikan bahawa kemerdekaan kita itu bukanlah satu perubahan
total, tetapi ia berlaku lewat rundingan-rundingan yang tidak pun menumpahkan darah. Dasar
penjajah, samada dari aspek perundangan atau pentadbirannya, falsafah dan hala tuju negara
tetap tidak berubah. Dengan demikian kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu tidaklah membawa
apa-apa makna kepada kehidupan
sosial di negara ini selain kita memerhatikan pucuk pimpinan bertukar tangan.
Jika begitu apakah
Burhanuddin Helmi, atau Prof. Zulkifli Muhammad dapat kita terima sebagai tokoh reformasi
kita? Memang kedua-duanya ada membawa pembaharuan pemikiran di alam Melayu ini, tetapi
terpulanglah kepada ahli-ahli sejarah dan cendekiawan sains politik untuk menilai
sumbangan mereka, kerana waktu mereka telah berlalu dan kita tentu sukar untuk membuat
penilaian tanpa kajian yang mendalam.
Antara tokoh
penting yang lain ialah Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang kedua.
Tetapi Allahyarham Tun telah pun dinobatkan sebagai Bapa Pembangunan.
Tokoh selanjutnya
adalah Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim dan Haji Abdul Hadi Awang. Memang Mahathir Mohamad
ada membawa sedikit sebanyak perubahan dalam kehidupan sosial di negara ini. Negara
berubah dari negara pertanian ke negara industri walau pun belum sepenuhnya.
Sekurang-kurangnya Malaysia terkenal dengan kereta Protonnya. Tetapi Mahathir, di samping
membawa idea-idea baru ke dalam pentadbiran dan struktur pembangunan negara, beliau juga
banyak membawa contoh-contoh yang tidak baik. Kerakusannya untuk menjadikan Malaysia
terkenal menyebabkan dia
berbelanja sebegitu boros sehingga hutang negara melebihi 30 billion (rujuk balik
ucapan-ucapan MP Kemaman di Dewan Rakyat). Dia juga mengamalkan dasar kronisme, di mana
suku sakat dan anak beranak lebih diutamakan dalam pengagihan kekayaan negara. Gejala
rasuah bermaharaja lela dalam semua bidang ekonomi, politik dan pentadbiran. Dia amat
benci akan musuh-musuh politiknya
sehingga sanggup membunuh dan memenjarakan mereka
Dengan demikian Mahathir tidak dapat diterima sebagai tokoh reformis bagi negara
ini. Keburukannya telah menghapuskan segala kebaikan dan jasa-jasanya. Ia akan dikenang
sebagai tokoh politik yang paling jijik di zamannya.
Ustaz Haji Abdul
Hadi Awang adalah seorang tokoh ulama Pas yang disegani
buat masa ini. Kemunculan beliau di persada arena dakwah dan politik Islam di awal
dekad lapan puluhan memperlihatkan kemampuan beliau menarik minat anak-anak muda kita
kembali kepada ajaran Islam yang murni. Di awal kemunculannya masyarakat khususnya
golongan muda sudah pun terikut-ikut dengan arus budaya kuning, budaya lepak, ketagihan
dadah, muzik rock dan berbagai lagi gejala sosial yang menyebabkan umat Islam menjadi
lemah akidah dan lemah ibadahnya. Fahaman politik yang mengatakan agama tidak boleh
dicampurkan dengan politik sedang menular dengan hebatnya di kalangan orang Melayu.
Rata-rata orang Melayu yang kurang pendidikan agamanya menerima fahaman itu dalam
kehidupan beragama dan berpolitik dalam negara ini. Kebangkitan Ustaz Abdul Hadi telah
berjaya membenteras fahaman ini, dan umat Islam kembali memahami ajaran Islam dengan lebih
baik, walau pun fahaman yang menyatukan politik dan agama ini amat dimusuhi oleh Umno dan
kerajaan Barisan Nasional. Bahkan Amanat Hadi menjadi senjata bagi Umno/BN untuk
memerangkap Pas pada setiap kali munculnya isu perpecahan dan kafir mengkafir dalam
masyarakat Melayu.
Tetapi apakah kita
dapat menobatkan Haji Abdul Hadi Awang sebagai tokoh reformis bangsa Melayu abad ini, ini
adalah satu persoalan yang tidak dapat diputuskan oleh rencana pendek yang tidak pun
berdasarkan kajian ini. Walau bagaimana pun beliau sekurang-kurangnya telah berjaya
mengembalikan fahaman Islam yang tidak memisahkan di antara politik dan agama di negara
ini, sekaligus menjinakkan anak-anak muda dengan penghayatan Islam sejati di samping
menghampiri perjuangan Islam kalau pun tidak menyertainya yang dipimpin oleh Pas, ABIM,
Arqam dan Tabligh di samping pertubuhan-pertubuhan lain. Lewat ceramah-ceramah dan
kuliahnya anak-anak muda kita juga telah pun mengenal perjuangan Islam yang dibawa oleh
Ikhwanul Muslimin di Mesir dan Sudan, Jamiat Al Islami di Pakistan dan lain-lain. AlBanna
sudah pun menjadi sebutan sehingga kini. Al Maududi mulai dikenal oleh orang Melayu.
Sememangnya perubahan yang ketara telah kelihatan sejak kemunculan Haji Abdul Hadi Awang
dalam masyarakat Islam di Malaysia. Pun begitu kita tidaklah berani untuk mengatakan
bahawa beliau adalah tokoh reformis bangsa Melayu kini. Terpulanglah kepada kaum
cendekiawan untuk membuat penilaian dan penentuan.
Tokoh terakhir yang
kita bicarakan di sini adalah DS Anwar Ibrahim, seorang tokoh yang tidak perlu
diperkenalkan lagi khususnya kepada pencinta reformasi dan keadilan di negara ini. Memang
DS Anwar secara rasminya memulakan gerakan reformasi di sini. Tetapi apakah beliau boleh
dipanggil bapa reformasi Malaysia? Kita terpaksa melihat kepada perjuangannya dan kesannya
kepada rakyat Malaysia kini terhadap gerakan yang dipimpinnya itu. Sebenarnya DS Anwar
telah lama memulakan pembaharuan terhadap rakyat Malaysia samada dari segi politik mahupun
pemikiran. Ia telah lama memulakannya sejak dari beliau memimpin ABIM lagi. Tetapi ABIM
adalah sebuah pertubuhan non partisan, justeru itu politik bukanlah menjadi sasarannya. Ia
terlibat secara aktif dalam politik setelah Mahathir sendiri mempelawanya bergiat dalam
Umno dan kerajaan. Bagaimanapun percubaan Anwar untuk mengadakan Islah dalam Umno dan
kerajaan akhirnya membawa beliau ke penjara, lalu beliau memulakan gerakan reformasi yang
bergema sekarang ini di seluruh pelusuk negara.
Gerakan reformasi
ini mendapat sambutan bukan kerana faktor Anwar semata, tetapi ia lebih didorong oleh
banyak faktor lain seperti kegagalan dasar-dasar ekonomi dan politik Mahathir sendiri.
Pengagihan ekonomi yang tidak stabil, keadilan yang tidak pernah wujud, kezaliman yang
berleluasa terutama kepada penentang-penentang kerajaan, rasuah dan penyelewengan serta
penyalahgunaan kuasa dan sebagainya yang membarah dalam pentadbiran Mahathir menyebabkan
gerakan reformasi dan apa sahaja pakatan pembangkang mendapat sambutan hangat dari rakyat
negara ini.
Walaupun Anwar gagal
melaksanakan misi pembaharuannya, terutama membaiki Umno dan kerajaan dari dalam, tetapi
perjuangannya diteruskan oleh sekumpulan anak muda yang cekal dan berani menghadapi apa
sahaja cabaran termasuk dipenjara di bawah ISA. Dengan demikian bolehkah kita menerima DS
Anwar sebagai bapa reformasi Malaysia?
Tentu banyak
kriteria yang diperlukan untuk mengatakan DS Anwar sedemikian. Tetapi apa yang jelas Anwar
telah mencetuskan satu gerakan sosial yang sehingga kini masih terus berjalan untuk
mencari keadilan yang kian terhakis di negara ini, dihakis oleh Mahathir dan
kuncu-kuncunya. Amatlah malang bila kita mendengar suara-suara sumbang yang masih memuji
Mahathir dan kuncu-kuncunya, kerana telah jelas penyimpangan yang dilakukannya yang
membelakangi keadilan undang-undang dan rakyat negara ini. Amatlah malang bagi mereka yang
masih berpaut dengan kuasa yang ada pada Mahathir kerana pengkhianatan yang dilakukannya
terhadap bangsa, agama dan negara .
Kembali kepada dua
soalan terakhir di permulaan rencana ini, iaitu mengapakah kita harus menyertai gerakan
reformasi dan dapatkah kita merealisasikannya ke alam nyata di negara kita ini? Ataukah
gerakan reformasi hanyalah ideal di alam pemikiran dan khayalan kita, sedang kenyataannya
entah di mana!. Penulis sependapat dengan Hasan AlBanna
bahawa tiap gerakan pembaharuan itu mestilah dimulai dengan gerakan pembaharuan
pemikiran terlebih dahulu. Setelah idea pembaharuan itu diterima di sudut pemikiran,
barulah langkah-langkah tertentu diambil untuk menterjemahkannya
ke alam nyata atau realiti. Barangkali semua kita sudah mengerti mengapa kita perlu
menyertai gerakan reformasi? Satu-satu gerakan tidak dapat dilaksanakan seorang diri. Jadi
setiap kita harus memainkan peranannya setakat yang termampu untuk menjayakan gerakan
tersebut. Keperluan kepada reformasi atau pembaharuan adalah jelas. Negara kita kini di
ambang kehancuran jika kita tidak mengubahnya. Hutang luar yang tinggi, keadilan yang
musnah, yang tidak bersalah dihukum, yang bersalah dilepaskan, rasuah bermaharajalela,
bahkan ketidakadilan sosial terlihat di mana-mana di bawah regim Mahathir dan Barisan
Nasional. Jika
dibiarkan mungkin satu hari negara kita tergadai akibat hutang yang tidak mampu dibayar
lagi. Oleh itu gerakan reformasi adalah perlu demi untuk menyelamatkan negara yang kita
cintai.
Dapatkah kita
merealisasikan cita-cita itu ke alam nyata? Ia tidaklah mustahil. Tetapi ia juga tidak
mudah, memandangkan BN menguasai seluruh jentera penerangan seperti TV dan akhbar arus
perdana, mereka mempunyai wang yang banyak untuk membeli undi, mereka berkuasa dan boleh
memenjarakan kita tanpa alasan, bahkan mereka boleh memusnahkan sama sekali gerakan
reformasi ini!
Sebab itu semua kita
perlu bekerja keras demi masa depan agama, negara dan keturunan kita. Kita boleh jika kita
yakin boleh, satu Anwar ditangkap, seribu Anwar akan muncul, itulah kata-kata keramat
DSAI. Kita mestilah saling mempercayai antara satu sama lain, jujur, ikhlas dan
sebagainya. Kita mestilah mewujudkan barisan pembangkang yang kuat sehingga mampu
mengambil alih teraju negara.
Gerakan reformasi
akan berjaya jika kita semua jujur dan istiqamah dalam perjuangan.
Semangat sahaja yang
berkobar-kobar tanpa pengisian akan menyebabkan gerakan ini berkubur tanpa nisan. Sebab
itu kita perlu mantapkan barisan kita, kita perlukan ceramah, usrah, kuliah dan sebagainya
yang dapat meningkatkan pemikiran kita dan menyebarkannya kepada rakyat massa betapa
reformasi adalah perlu untuk setiap insan di bumi Malaysia ini. Insya-Allah dengan
sokongan rakyat massa, gerakan ini akan berjaya. Insya-Allah.
Alkundangi,
11.7.2001
Jumlah
pembaca:orang