Hakim bekas peguam: Calon BN boleh hilang kelayakan

LIKAS, 14 Julai (Hrkh) - Calon BN, Dato' Yong Teck Lee kini menghadapi tindakan mahkamah untuk menghilangkan kelayakan beliau sebagai calon dalam pilihan raya kecil Likas.

Ini berikutan dari Hakim Mahkamah Tinggi Sabah, Richard Malanjun yang membenarkan beliau bertanding sebagai calon dalam pilihan raya kecil ini didapati mempunyai kaitan dengan beliau.

Hakim Richard didapati menjadi peguam kepada Dato' Yong ketika beliau menghadapi dakwaan jenayah pada tahun 1995 lalu ekoran penyertaan beliau dalam satu perhimpunan haram.

Pada ketika itu, Hakim Richard Malanjun bersama peguam Christopher Fernando adalah peguam Dato' Yong. Christopher Fernando adalah salah seorang peguam Anwar Ibrahim.

Menurut sumber bilik gerakan Keadilan, mereka akan memfailkan tindakan segera ke mahkamah yang lebih tinggi untuk mempertikaikan kesahihan penghakiman Hakim Richard Malanjun itu berikutan hubungan peribadinya dengan Dato' Yong.

Menurut sumber itu, sepatutnya hakim berkenaan tidak menjadi hakim kepada permohonan Dato' Yong untuk menangguhkan keputusan Hakim Pilihanraya, Dato' Mohamad Kamil Awang sebelum ini yang telah mendapati Dato' Yong terlibat dalam kes pengundi hantu dalam pilihan raya Likas sebelum ini.

Ini kerana, hakim berkenaan mempunyai kepentingan peribadi apabila mempunyai hubungan dengan Dato' Yong.

Hakim Dato' Kamil sebelum ini telah memutuskan pilihan raya Likas sebelum ini tidak sah kerana terdapatnya pengundi hantu dalam senarai pemilih yang digunakan ketika pilihan raya itu berjalan.

Dalam pilihan raya ini, calon Keadilan seorang peguam, Christina Liew akan berdepan dengan Dato’ Yong Teck Lee dari BN, Dr Chong Eng Leong dari PBS dan seorang calon bebas, Joshua Kong.