Apa Beza Antara Warga negara Dengan Status Penduduk Tetap |
Warga asing yang mendapat status "Penduduk Tetap" bagi rakyat marhaen yang kurang arif dengan perkara ini. Terutama jentera kerajaan di peringkat kampung seperti Ketua Kampung, JKKK dan lain-lain. Penulis yakin ada ketua kampung dan pengerusi JKKK tidak tahu langsung beza antara warga negara dengan status warga asing yang diberikan taraf "penduduk tetap". Kerana IC yang dipegang oleh warga asing yang berstatus "penduduk tetap" itu serupa saja dengan IC rakyat warga negara ini. Pasti mereka yang tidak teliti terhadap butiran dalam IC sama ada yang pemegangnya itu warga asing berstatus penduduk tetap atau warga negara sebenar, tentu mereka akan terus memberikan perakuan/sokongan dan sebagainya.
Sebagai contoh, pada satu hari penulis menaiki bas dari Kota Kinabalu ke Papar di Sabah, satu operasi Polis untuk mengesan warga asing/PTI yang menumpang dalam bas. Jadi bas yang penulis naiki itu turut ditahan polis dan semua penumpang diminta mengeluarkan IC masing-masing, termasuk penulis tetapi tidak pun diperiksa secara teliti. Di sini kita tergambar bagaimana tidak seriusnya polis membuat pemeriksaan untuk benar-benar mengesan PTI dan warga asing yang berkeliaran di sana-sini di seluruh pelusuk Sabah.
Penulis juga difahamkan bahawa seorang warga asing datang ke pejabat kerajaan di Kota Kinabalu, kerana hendak mendapatkan permit atau lesen, dengan membawa ICnya yang berstatus penduduk tetap. Apakah dengan dokumen serupa itu mereka boleh mendapatkan hak-hak seperti permit, sijil kebenaran, tauliah atau lesen sama ada untuk membuka perniagaan, mendapatkan pekerjaan dan sebagainya di Sabah. Hal ini sepatutnya dimaklumkan kepada seluruh jentera kerajaan dan pejabat-pejabat kerajaan atau setidak-tidaknya mesti ada pekelilingan kerajaan supaya jabatan, agensi kerajaan dan juga swasta tidak dicerobohi oleh warga asing/PTI dan warga asing yang berstatus penduduk tetap itu.
Menurut rakan penulis yang juga seorang pegawai/kakitangan kerajaan di Kota Kinabalu, warga asing itu berasal dari Filipina dan sudah berada di Sabah sejak 18 tahun lalu. Apabila ditanya tentang status "penduduk tetap" dalam ICnya, dia menjawab 5 tahun lagi bolehlah mohon menjadi warga negara. Bayangkan kalau ada 200 ribu warga asing mendapat semudah itu status "penduduk tetap" atas faktor desakan amalan politik UMNO/BN di Sabah. Apa akan jadi negeri Sabah 5, 10 dan 20 tahun akan datang, soal keselamatan dan kedaulatan rakyat Malaysia di Sabah.
Pemimpin UMNO dan BN di Sabah, mereka tidak fikir semua ini. Yang mereka fikir bagaimana hendak kekalkan kuasa, bagaimana mahu jadi kaya dan bagaimana mahu menimbun harta. Soal sama ada dia, anak cucu, rakyat, generasi, kampung, daerah, negeri dan negara ini selamat atau tidak, diletakkan N0. 10. Inilah gambarannya hati nurani para pemimpin UMNO/BN Sabah. Mereka tiada jati diri bangsa, kerana kebendaan, RM, pangkat, kedudukan dan kuasa mereka rela menggadaikan keselamatan dan kedaulatan rakyat, negeri dan negara ini untuk ditukarkan dengan kebendaan itu.
Kerajaan BN dan UMNO Sabah, masih buta tentang bahayanya warga asing/PTI di Sabah sekarang ini. Mereka masih dibuai mimpi kemewahan, kebendaan dan kedudukan. Sebenarnya kalau kerajaan BN Sabah serius untuk mengatasi isu warga asing/PTI yang sudah bermaharajalela di Sabah, sudah lama boleh ditangani secara baik. Bukannya melambat-lambatkan tindakan, warga asing/PTI dengan orang tengah dan talibarut-talibarut mereka yang sudah berada di mana-mana di Sabah, di Jabatan Imigresen ada, di JPN ada, di Jabatan Tanah ada, di Pejabat Polis ada, di DBKK ada, di Majlis Daerah ada, di kalangan YB ada, di JPJ ada, di Jabatan agama pun ada, di masjid/surau pun mereka ada orang tengah, malah kaum keluarga mereka sendiri juga sudah menyusup di mana-mana termasuk di Jabatan Pendidikan, Universiti, syarikat dan sebagainya.
Apakah dengan situasi inipun, masih juga kerajaan negeri, pusat dan pihak keselamatan negara mahu tunggu dan lihat, masih mahu melambat-lambatkan tindakan lebih tegas atau masih merasa terlalu awal. Sekarang, kerajaan sudah terlambat, apa lagi dengan zaman IT ini warga asing lebih cepat bergerak mendahului tindakan kerajaan, sebelum kerajaan bertindak ketua mereka sudah awal-awal angkat telefon mudah alih untuk hantar mesej kepada rakan-rakan mereka yang lain. Kenapa pihak keselamatan tidak terhidu gerak kerja berbahaya mereka warga asing/PTI. Tetapi gerak kerja aktivis pembangkang yang cuba mengkritik kerajaan mati-mati pihak polis ambil tindakan, pada hal mereka itu warga negara Malaysia. Maknanya kerajaan BN pimpinan Dr Mahathir al-kutty ini lebih takut kepada rakyat Malaysia sendiri dari bahaya warga asing/PTI yang sudah bertapak lama di Sabah sampai ada yang diberikan IC secara tidak berperlembagaan. Di mana wibawa sebuah kerajaan untuk mempertahankan keselamatan dan kedaulatan rakyat, negeri dan negara Malaysia yang tercinta ini.
Sekian.
Ibn Sabah, 19.7.2001M
Jumlah pembaca:orang