Penyelamatan Korporat: Kepentingan Negara
ataupun Kepentingan Siapa?
(Corporate Bailouts:
National Interest or Vested Interest?)
Bahagian
1
Apabila tawaran awalan hari pertama (IPO: Initial Public Offerings) saham Time
dotCom tidak mendapat sambutan yang baik sehingga terdedah cerita bahawa sebahagian ekuiti
syarikat itu sudahpun dimiliki beberapa institusi awam, muncullah desas-desus bahawa satu
lagi usaha menyelamatkan sebuah syarikat yang tersenarai di BSKL akan dilaksanakan oleh
kerajaan. Namun, Time dotCom adalah sebuah syarikat yang mempunyai banyak potensinya.
Syarikat ini mempunyai satu jaringan talian gentian optik yang menjalar ke seluruh
Semenanjung yang memberikannya segala kemungkinan untuk merangkul satu pangkalan pelanggan
yang besar dalam perkhidmatan komunikasi. Dengan demikian Time dotCom akan menikmati satu
peluang awalan di antara semua pesaingnya apabila generasi ketiga teknologi komunikasi
selular (cellular) diperkenalkan di Malaysia. Time dotCom mempunyai keupayaan untuk
menyediakan talian tetap, selular, telefon berbayar dan perkhidmatan internet. Hanya Time
dotCom dan Telekom dijangkakan mampu kekal sebagai syarikat telekomunikasi berpelbagai
untuk satu jangkamasa yang panjang.
Milik Awam
Kalau Time dotCom
mempunyai banyak potensinya, kenapakah timbul masalah apabila KWSP dan banyak lagi
institusi kerajaan membeli saham syarikat itu? Ketika IPO Time dotCom ditawarkan dulu,
nilainya sebanyak 1.9 bilion ringgit itu menjadi perhatian para pengamat kerana syarikat
itu terlalu sarat dengan hutang. Lagipun ia merupakan satu syarikat yang masih belum
mendapat keuntungan kerana kekurangan pakar pengurusan untuk mencerna syarikat menjadi
satu gergasi dalam industri telekomunikasi. Time dotCom adalah anak syarikat Time
Engineering, sebuah syarikat yang tersenarai di bawah takluk Kumpulan Renong yang dikuasai
oleh Halim Saad.
Time Engineering, Renong dan Halim memang terlalu sarat menanggung
bebanan hutang sehingga mencetuskan banyak masalah untuk membayarnya. Renong memang
berkait rapat dengan UMNO dan Halim pernah menyatakan secara lantang bahawa dia berkhidmat
sebagai seorang proksi kepada aset korporat parti itu. Di sinilah berpuncanya masalah IPO
kepunyaan Time dotCom: pertaliannya antara politik dan perniagaan, dan keperluan Time
Engineering untuk menyenaraikan Time dotCom sebagai satu alat menguruskan bebanan hutang
kumpulan yang sudah mencecah tahap krisis.
IPO kepunyaan Time dotCom merupakan
kunci utama kepada Time Engineering dan struktur pemberesan hutang Time dotCom yang
melibatkan pinjaman berjumlah RM5.37 bilion. Namun hanya 25 persen ekuiti syarikat telah
dibeli ketika tawaran IPO itu dibuat. Ternyata harga tawaran saham Time dotCom yang ketika
itu berharga RM3.30 dianggap terlalu tinggi nilainya.
Para pemegang utama saham
Time dotCom kini termasuklah Time Engineering dan juga beberapa institusi yang berkaitan
dengan kerajaan, seperti KWSP, Khazanah Nasional, Danaharta dan Kumpulan Wang Amanah
Pencen. Para penjamin IPO telah memberikan perakuan bahawa segala ekuiti Time dotCom yang
tidak dibeli akan diambil oleh institusi kerajaan. Inilah sebabnya yang utama kenapa
peristiwa korporat yang besar ini dianggap sebagai satu penyelamatan (bailout) juga.
Politik
Urusniaga
Apakah yang didedahkan oleh pengeluaran saham Time dotCom itu?
Pertama,
ia menunjukkan bagaimana kuasa kerajaan sudah semakin berkisar kepada segelintir manusia
sahaja yang merupakan satu kumpulan politikus tertentu termasuklah Perdana menteri Dr.
Mahathir dan mantan Menteri Kewangan Daim Zainuddin. Dengan lain perkataan, IPO itu
menyerlahkan tanggapan betapa semua bidang jentera kerajaan dan institusi awam sudah
menjadi terlalu bergantung kepada tindak-tanduk pejabat ketua eksekutif negara.
Kedua,
dengan wujudnya pertalian yang rapat antara politik dan urusan perniagaan, yang
dipermudahkan oleh kepadatan kuasa dalam kerajaan itu, adalah menjadi satu tandatanya
apakah segala dasar kerajaan dan tindakannya dilaksanakan dengan memberikan tumpuan kepada
kepentingan negara.
Ketiga, kerajaan semacam tidak pernah belajar daripada
pengalaman sejarah, terutama sekali mengenai pelbagai isu yang memerlukan ketulusan dan
akauntabiliti (kebertanggungjawaban).
Ketika krisis kewangan 1997 melanda negara,
ia menarik perhatian kepada segala hubungan antara para politikus dan para peniaga yang
telah sama-sama memudahkan ketumbuhan beberapa syarikat yang besar-besar. Ketumbuhan ini
telah diransang oleh penggunaan, dan dalam banyak hal, penyalahgunaan sektor kewangan
dalam negara. Krisis itu mendedahkan betapa institusi kewangan yang dikuasai oleh kerajaan
ataupun para peniaga yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak kerajaan telah menyalurkan
pinjaman hanya kepada segelintir manusia pilihan sahaja.
Sebagai contoh, hanya 15
kumpulan korporat terlibat dengan 20 persen jumlah keseluruhan pinjaman bank. Daripada
jumlah RM 39 bilion pinjaman perbankan untuk membeli saham, hampir 45 persen telah
diberikan kepada orang persendirian. Renong sebagai sebuah syarikat telah menapuk hutang
melebihi 5 persen daripada jumlah semua hutang dalam sistem perbankan Malaysia. Mantan
timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim pernah membuat pendakwaan betapa kurang daripada 10
manusia mempunyai hutang terkumpul sekitar RM70 bilion (MasyaAllah...!!!! penterjemah)
Bank-bank
yang mempunyai paling banyak hutang yang tidak berbayar adalah kebanyakannya institusi
yang dimiliki oleh kerajaan, termasuklah Sime Bank dan Bank Bumiputra. Pada kali ketiga ia
diselamatkan dalam sejarah kewujudannya, Bank Bumiputra memerlukan suntikan dana sebanyak
RM 1.1 bilion dan pada waktu yang sama kerajaan telah mengambil alih segala hutang
bertapuk yang tidak berbayar.* Sime Bank yang pada satu ketika dulu dikuasai oleh Mohd.
Noor Yusof sebelum dijual kepada Sime Darby, telah diambil-alih oleh Kumpulan RHB (Rashid
Hussein Berhad)
Krisis Kewangan yang Mencengkam
Apabila krisis
kewangan semakin mencengkam, beberapa peniaga pilihan termasuk Halim Saad dan Tajuddin
Ramli yang merupakan anak-didik Daim dan Mirzan Mahathir anak emas Perdana menteri, telah
mula dihantui oleh timbunan saham yang sudah mengecut nilainya begitu rendah sekali
sehinggakan memberikan mereka bebanan hutang yang menggunung tinggi.
Pada 1997,
saham Renong semakin merudum hingga mencekik KWSP kerana munculnya berita pembelian
saham-saham kepunyaan UEM (United Engineering Malaysia), salah satu daripada syarikat
kepunyaan Renong yang paling menguntungkan. Pembabitan KWSP dengan saham UEM itu menarik
minat kerana institusi ini telah digunakan secara tidak langsung untuk menyangga Renong
daripada menyembah bumi.
Ekoran daripada itu, UEM yang dilumuri hutang pula
terpaksa mendapatkan pinjaman sebanyak RM800 juta daripada Malayan Banking, Bank
Bumiputra, Bank of Commerce dan RHB - semua ini adalah bank kepunyaan kerajaan ataupun
mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan - untuk melaksanakan satu rencana membeli ekuiti
Renong daripada Halim. Pembelian ini telah memeranjatkan pemegang minoriti saham UEM.
Ketika itu muncul dakwaan betapa satu lagi episod penyelamatan sedang dilaksanakan
sehinggakan sektor kewangan tempatan sengaja diliwat untuk kepentingan orang tertentu.
Penyelamatan
dan Kepentingan Negara
Bertentangan dengan beberapa salah tafsiran, memang
tidak banyak projek menyelamatkan syarikat yang tercekik itu. Namun, apabila dilaksanakan,
ia membabitkan kos yang terlalu tinggi. Kebanyakan tindakan penyelamatan ini berdalilkan
‘untuk kepentingan negara’.
Proton, pengeluar kereta swasta terpaksa
diambil-alih oleh Petronas daripada DRB-Hicom yang terlalu besar hutangnya, kerana pembuat
kereta itu telah dijadikan sebagai pemula rencana industri berat Malaysia.
Bank
Bumiputra tidak boleh dicekik tengkuknya supaya mati serta merta kerana ia merupakan asas
kemajuan permodalan Bumiputra.**
Renong dianggap penting kerana ia merupakan satu
kelompok syarikat Bumiputra yang bersaiz besar yang memang mahu dikembangkan oleh
kerajaan.
MAS (Malaysian Airline System) sebuah syarikat penerbangan negara yang
sudah tercekik kerana disengkang bebanan hutang terpaksa diselamatkan daripada kemuflisan.
Oleh
kerana pembikinan Ampangan Bakun telah dimulakan sebelum bermulanya krisis kewangan
negara, pemborongnya Ekran terpaksa diberikan pampasan terhadap kerja-kerja yang
disiapkannya sebelum projek itu diambil alih oleh kerajaan.
….. bersambung ke
Bahagian 2
Artikel ini dibaca oleh:orang