Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang Wira Kebenaran dan Keadilan Negara

Keputusan penghakiman yang meletakkan roh dan semangat undang-undang di atas segala kepentingan, berteraskan kebenaran dan keadilan, adalah suatu keputusan yang dengan sendirinya akan dan pasti mengangkat semula kredibiliti sistem kehakiman negara yang diragui selama beberapa tahun, sejak dari pemecatan Tun Salleh Abas bekas Ketua Hakim negara pada tahun 80an dulu di zaman merajalelanya Mahathirisme dalam politik Malaysia.

Rakyat marhaen, khususnya rakyat majmuk di Sabah pasti mengucapkan jutaan SYABAS DAN TAHNIAH kepada Hakim Datuk Muhammad Kamil. Kerana Yang Arif telah melaksana amanah mendaulatkan undang-undang, memperkasa keadilan yang kelihatan pada satu ketika dihimpit semahunya oleh penguasa yang zalim dan bersikap berani demi sebuah keadilan dan kebenaran. Seluruh rakyat marhaen, hati manusia dan para pemimpin politik yang waras lagi masih berhati tawadhuk dan ikhlas, pasti tersentuh dengan keputusan penghakiman tersebut. Ketika menutup penghakimannya, Yang Arif Hakim Muhammad Kamil berkata: "Satu-satunya panduan kepada manusia ialah gerak hatinya, satu-satunya perisai kepada kenangannya ialah kejujuran dan keikhlasan dalam tindakannya. Pada pendapat saya, kebijaksanaan seseorang itu dipersenda apabila diarah menerusi telefon agar petisyen-petisyen ini ditolak tanpa perbicaraan, dan disebabkan itu, saya mendengar petisyen ini berbekalkan gerak hati. Tuhan telah memberi saya kekuatan dan ketabahan selaku seorang insannya untuk bertindak tanpa takut atau memihak, dan dengan itu, benar-benar bertindak sebagai seorang Hakim dan bukannya "seorang pak turut". (Petikan dari Akhbar tempatan Daily Express, 9.6.2001, m.s. I).

Penghakiman seperti inilah, antara penghakiman menarik dan paling popular bagi seluruh rakyat marhaen, pencinta keadilan dan kebenaran. Tidak kepada ahli politik yang bersikap tamak kuasa, pengecut, dan tidak juga kepada penguasa zalim. Syukur alhamdulillah, dalam suasana negara dihimpit kezaliman, dihiasi penghakiman berpilih dan dikuasai oleh penguasa rakus lagi zalim, akhirnya muncul juga wira keadilan dan kebenaran. Inilah maknanya takdir Allah, bahawa rencana Allah pasti menyebelahi kebaikan, kebenaran dan keadilan untuk hamba-hamba-Nya yang dizalimi oleh penguasa zalim.

Pendek  kata, untuk sebuah bangsa, ummah dan negara merdeka, demokratik lagi bertamadun. Ciri-ciri Hakim sebegini sangat disanjungi dan lebih dihormati, daripada Hakim yang berpihak kepada penguasa, apa lagi penguasa/pemerintah itu ketara kezalimannya ke atas rakyatnya. Mudah-mudahan, sistem kehakiman negara akan kembali pulih, dihormati dan lebih tinggi martabatnya. Melalui ketegasan, keberanian dan ketelusan setiap hakimnya. Syabas sekali lagi kepada Yang Arif Hakim Datuk Muhammad Kamil dan juga Hakim Mahkamah Shah Alam, Yang Arif Hakim Hishamuddin yang telah mengadili secara adil dan tidak memihak, melainkan keadilan itulah yang mereka tegakkan. Mudah-mudah Allah melindungi mereka, menetapkan istiqamah dan perjuangan mendaulat undang-undang tanpa memilih bulu.

Sekian, rakyat marhaen, marilah kita berdoa agar kezaliman akan hancur. Insya-Allah keadilan akan terus tegak di bumi Malaysia yang indah, aman lagi permai ini.

Ibn Sabah, 9.6.2001.

Artikel ini dibaca oleh:orang