.Rakyat Sabah Bantah Penempatan Penduduk Pulau Gaya di Telipok
Di Semenanjung khususnya di Kuala Lumpur sekarang
rakyat berdemo secara aman untuk memprotes akta ISA
yang zalim itu. Di Sabah, rakyat Sabah terutamanya
penduduk pelbagai kaum dan suku di Pekan Telipok
bersatu hati menyuarakan bantahan terhadap cadangan
penempatan setinggan dari Pulau Gaya yang dicadangkan
oleh pihak berkuasa tempatan dan DBKK.
Bantahan penduduk/rakyat Sabah ini, adalah satu suara hati rakyat. Sepatutnya kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan Datuk Bandaraya Kota Kinabalu ambil perhatian, teliti dengan gerak hati seorang rakyat Malaysia di Sabah dan melihat isu ini dengan mata hati yang sedar. Bahawa pengalaman kita dengan penempatan warga asing di Kinarut, Papar sudah cukup memeritkan dan menyukarkan kita menangani penempatan yang tidak diurus secara undang-undang negara.
Laporan akhbar-akhbar tempatan di Sabah hari cukup memberi isyarat, isu ini bukan perkara remeh. Tetapi ia menyangkut soal kedaulatan dan keselamatan rakyat dan negeri Sabah dan Malaysia. Kerana sebagaimana kenyataan Ahli Parlimen Tuaran, Encik Wilfred Madius Tangau yang meminta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu terlebih dulu memeriksa ketulenan penduduk di Pulau Gaya itu, sebelum menempatkan mereka untuk memastikan hanya rakyat Malaysia yang benar-benar tulen menikmati kemudahan itu. SEBARANG KECUAIAN dalam mengesahkan dokumen mereka (PASTI) akan menimbulkan risiko kepada penduduk, kerajaan dan negeri, tegas Encik Wilfred.
Ini kerana, kita tahu majoriti rakyat asing, termasuk pendatang tanpa izin di Sabah memiliki kad pengenalan biru yang dipercayai PALSU, katanya. Encik Wilfred Tangau juga meminta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu agar menimbang semula langkah itu. (Petikan dari Sabah Times 11.6.2001, m.s. 1).
Bahkan dalam satu kenyataan bersama, Ahli Parlimen Gaya, Datuk Yong Teck Lee dan Johnny (ADUN Inanam)mendedahkan bahawa Jawatankuasa Penyelaras BN kawasan Gaya, menolak langkah itu dalam mesyuarat pada April lepas. (Lihat Sabah Times 11.6.2001, m.s. 1).
Selain itu, Jawatankuasa Bertindak Telipok pada bulan lepas telah mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Ketua Menteri Sabah, Datuk Chong Kah Kiat, Menteri Pembangunan Sumber Manusia dan Teknologi Maklumat, Datuk Joseph Kurup dan juga kepada Wakil Rakyat Inanam, Encik Johanny Goh. Bagi maksud bantahan dan meminta penempatan setinggan Pulau Gaya yang diragui kewarganegaraan mereka itu tidak diteruskan atau sekurang-kurangnya perlu kepada kajian lebih teliti.
Pada penulis bantahan ini, adalah suara hati dan hati halus rakyat Sabah terutama penduduk sekitar penempatan yang dicadangkan. Kawasan itu, ialah Kg. Boronuon, kira-kira 2KM dari Pekan Telipok. Mereka diburu kebimbangan, atas beberapa faktor keselamatan, sosial, keharmonian dan kita tahu dan kenali sikap kebanyakan warga asing yang telah menduduki kawasan-kawasan di Sabah. Banyak masalah dan kes timbul seperti kes sosial, jenayah, rompakan, bunuh, rogol, pencabulan, pengedaran dadah, syabu dan termasuklah gangguan terhadap kerukunan rumahtangga rakyat Sabah, keamanan, keselesaan dan sebagainya.
Oleh itu, kita menaruh harapan teramat besar terhadap kewibawaan dan kebijaksaan kerajaan negeri di bawah KM Datuk Chong Kah Kiat, Datuk Bandar Datuk Abdul Ghani Rashid dan ahli-ahli Parlimen Gaya dan Tuaran serta ADUN Likas dan Inanam. Di samping kerjasama pemimpin masyarakat dan seluruh rakyat Sabah, supaya episod yang tidak sihat dan tidak banyak manfaatnya kepada rakyat Sabah dan warganegara Malaysia di Sabah ini ditamatkan saja atau dengan kata lain penempatan yang lebih membawa onar, risiko dan bahaya jangka panjang ini TIDAK DITERUSKAN.
Kita mahu kerajaan UTAMAKANLAH KEPENTINGAN, KESELAMATAN DAN KEDAULATAN RAKYAT DAN NEGERI SERTA NEGARA INI. Membuka penempatan baru kepada penduduk Pulau Gaya yang masih diragui status warganegara mereka, adalah satu tindakan mencabuli undang-undang negeri dan negara. Boleh mendedahkan rakyat tempatan dan warganegara Malaysia di Sabah kepada bahaya yang lebih besar dalam jangka masa panjang. Ini adalah satu jenayah yang akan membawa risiko pertembungan etnik yang lebih dahsyat, apabila antara penduduk tempatan dan warga asing yang diwarganegarakan secara tidak sah melalui pintu belakang ini merajalela merebut peluang dan hak-hak warganegara sudah keperingkat melampau dan diluar batas dan peraturan. Kita mohon kepada Allah SWT dijauhi dari malapetaka itu.
Pemindahan atau penempatan semula sebegini sudah tentu ada pihak-pihak berkepentingan. Mungkin Pulau Gaya akan dimajukan. Tetapi menempatkan penduduk BUKAN warganegara, apa lagi mereka itu pendatang tanpa izin ke tanah besar di Kg Boronuon, Telipok. Sekalipun ianya tapak/kawasan milik kerajaan. Tetapi kerajaan adalah tidak boleh sesuka hati memberikan tanah seluas itu kepada BUKAN warganegara atau warga asing yang memiliki IC palsu. Kita tahu di Sabah warga asing yang memiliki IC palsu memang banyak. Apakah kerajaan tidak memikirkan keselamatan dan kedaulatan rakyat dan negeri ini demi untuk memajukan satu-satu kawasan sahaja, sehingga kerajaan hilang pertimbangan waras.
Akhirnya, rakyat Sabah terutama penduduk yang terlibat di sekitar Kg. Boronuon, Telipok menaruh harapan setinggi gunung Kinabalu, agar kerajaan terutama penguasa tempatan dan Dewan Bandaraya berfikir panjang. Kita tidak mahu mewariskan kepada generasi akan datang iaitu anak cucu kita sebuah malapetaka, kemusnahan bangsa dan warganegara Malaysia di Sabah khasnya. Cukuplah sekarang ini kita dihadapkan isu IC palsu yang belum selesai, PTI yang semakin licik untuk menetap di Sabah dan warga asing yang terus merajalela yang tidak dapat lagi ditangani. Ingatilah, bagaimana kes yang pembatalan kerusi DUN Likas akibat pengundi warga asing yang diwarganegarakan secara tidak sah dan tidak mengikut undang-undang. Apakah kita mahu satu masa nanti warga asing berIC palsu dan anakcucu mereka menjadi wakil rakyat dan menjadi pegawai kerajaan, menjadi tentera, polis dan sebagainya.
Kita tidak membenci sesiapa, tapi kita mesti mempertahankan kedaulatan, maruah, wibawa dan hak kita sebagai warganegara dan rakyat yang berdaulat lagi merdeka. Rakyat Sabah, para politikus Sabah dan profesional, marilah kita tegakkan jati diri bangsa, agama dan kedaulatan rakyat Malaysia, di Sabah tanpa mengira apa jua suku kaum, warna kulit, bahasa, budaya dan pegangan. Kita adalah rakyat Malaysia.
Ibn Sabah
Jumlah pembaca:orang