Mohamed Amin Mahu Balas Dendam Kejadian Memali, Kata Pengikutnya

Nota webmaster: Berita ini sudah memaklumkan kepada kita akan niat jahat Kerajaan BN. Dari awal lagi episod Sauk, memang ianya sudah gagal sama sekali meyakinkan kepada majoriti rakyat bahawa insiden kecurian senjata ini benar-benar berlaku. Usahkan rakyat, anggota yang menjaga senjata berkenaan juga demikian. Ini maklumat yang kita sahkan. Apatah lagi jika kita melawat Sauk atau terus ke Kampong Jenalik, pasti penduduk kampong akan menggelengkan kepala tanda tidak percaya kepada drama Sauk ini.

Namun kita lihat usaha kerajaan berterusan mahu meyakinkan rakyat bahawa ada segolongan rakyat mahu menentang kerajaan BN secara militan. Usaha mencari punca dan maklumat mengenai gerakan militan hampa bila kumpulan 5 KCK (Cawangan Khas) negeri Perak memberitahu tidak boleh dikaitkan isu ini dengan pembangkang kerana nyata bukan sahaja mereka tidak mempunyai bom molotov atau apa sahaja senjata, hatta mahu disabitkan dengan 'lastik' pun tidak ada.

Kerajaan BN tidak hampa nampaknya. Bila ada pihak mendesak hukuman mati dikenakan ke atas semua pelakon drama Sauk yang dinyatakan oleh kerajaan sebagai realiti. Dari situ digambarkan bahawa ketua pasukan pemberontak Al-Ma'unah bercakap seorang diri dalam mahkamah. Kemudian dia dikatakan membaling selipar semasa perbicaraan yang lain pula. Akhirnya nanti beliau akan dirawat di Tanjung Rambutan. Semuanya ini mahu mengelakkan hukuman mati dijatuhkan ke atas anggota kumpulan Al-Ma'unah. Ini menguatkan lagi dakwaan kita bahawa episod Sauk hanyalah satu drama bersiri kerajaan BN.

Dari awal perbicaraan saya kurang berminat mengulas isu perbicaraan kumpulan pemberontak ini kerana kita faham isunya adalah sebuah drama bertulis. Nampaknya minat saya berubah apabila membaca perkembangan selanjutnya kerana dikatakan pemberontakan itu adalah sebagai membalas dendam kepada insiden yang sudah 'basi' dan sejuk. Peristiwa Memali 1985 sudah dilupakan oleh majoriti rakyat, walau pun tidak kepada anggota keluarga dan rakyat yang berjihad dalam negara ini bagi menegakkan Islam di muka bumi Malaysia. Ini menggambarkan kepada kita bahawa kerajaan BN sudah mula memasang niat halus bagi mengaitkan PAS dengan kumpulan pemberontak ini. Kita harap pimpinan PAS akan berbuat sesuatu yang profesional atas dakwaan ini, tetapi jangan melatah bila dicucuk demikian.

Majoriti rakyat cukup faham akan tingkah dan taktik kerajaan BN mahu memerapkan perjuangan Islam di negara ini. Ini bukan kerja baru kerajaan BN semenjak Dr. Mahathir menjadi Pengerusi BN. Beliau memang seorang yang mengamalkan ajaran Freemason dan anti Islam. Nampaknya kita tidak boleh berdiam diri lagi kerana BN akan menggunakan apa sahaja bagi memusnahkan perjuangan Islam. Tingkatkan usaha kita di semua peringkat dengan memastikan bilangan rakyat yang menjadi pengundi akan memastikan BN tersingkir dalam tahun 2004. Itu pun jika PAS tidak diharamkan kerana mahu dikaitkan dengan Al-Ma'unah. Bacalah propaganda palsu di bawah ini untuk makluman anda ~ webmaster

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa perjuangan ketua kumpulan Al-Ma'unah, Mohamed Amin Mohamed Razali, ialah untuk membalas dendam terhadap kejadian Memali yang berlaku pada 1985.

Ahmad Sarkawi Sulong, 30, seorang anggota Al-Ma'unah, berkata perkara itu telah diberitahu kepadanya oleh rakan sekumpulannya Zahit Muslim sewaktu dia dan seorang lagi anggota kumpulan itu, Kamarudin Mustafar pergi menemui Zahit di Bukit Jenalek pada 6 Julai tahun lepas.

(Peristiwa di Kampung Memali, Baling, Kedah pada 19 Nov 1985 telah meragut 18 nyawa, termasuk empat orang anggota polis, berpunca daripada tindakan sekumpulan pelampau agama menghasut orang ramai supaya membenci dan menentang kerajaan.) Ahmad Sarkawi, seorang mekanik, berkata dia dan Kamaruddin berjumpa dengan Zahit selepas dia mendengar seorang anggota polis, ASP Abdul Razak Yusof, bercakap melalui radio kepada pasukan keselamatan bahawa semua anggota Al-Ma'unah akan menyerah diri.

"Zahit kata perjuangan ini adalah tak betul.

Mohamed Amin gunakan untuk balas dendam tentang kejadian Memali," katanya ketika membaca kenyataan bela dirinya setebal 26 muka surat dari kandang tertuduh.

Ahmad Sarkawi, Kamarudin, Mohamed Amin dan Zahit ialah antara 19 anggota Al-Ma'unah yang dituduh melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong di tiga kawasan di Perak dari bulan Jun hingga 6 Julai tahun lepas mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara sepanjang hayat.

Kawasan itu adalah di Pos 2, Km 19, Kuala Rui, Jalan Raya Timur, Barat, Gerik, Hulu Perak, di Batalion 304 Infantri (AW) Kem Gerik, Hulu Perak dan di Bukit Jenalek, Kemajuan Tanah Ngor, Sauk, Mukim Cegar Galah, Daerah Kuala Kangsar.

Pada mulanya, 29 anggota Al-Ma'unah menghadapi tuduhan itu tetapi 10 daripada mereka masing-masing telah dihukum penjara 10 tahun setelah mereka mengaku bersalah terhadap tuduhan alternatif membuat persediaan dengan niat untuk melancarkan peperangan terhadap Yang-di-Pertuan Agong.

Ahmad Sarkawi juga memberitahu mahkamah bahawa perubahan berlaku pada dirinya selepas dia menyertai Al-Ma'unah yang mengajar penggunaan tenaga dalaman sehingga dia berjaya meninggalkan amalan menagih ganja.

Katanya dia pergi ke Bukit Jenalek untuk menjalani kursus kerohanian peringkat tertinggi tetapi telah terpedaya dengan helah Mohamed Amin bagi mencapai niat jahat dan kepentingan diri sendiri.

Ahmad Sarkawi berkata dia kesal membawa dua anggota polis, Det Koperal R.Sagadevan dan Sarjan Mohd Shah Ahmad, berjumpa dengan Mohamed Amin pada 3 Julai tahun lepas setelah menemui dua anggota polis itu ketika menjaga bahagian depan kawasan itu atas arahan Mohamed Amin.

"Kalaulah saya tahu niat sebenar OKT 1 (Mohamed Amin) dan peristiwa ini berakhir dengan tragedi, tentu saya tidak membawa mereka naik ke atas (bukit) serta menyuruh mereka memanggil anggota keselamatan yang lain untukmenolong kami," katanya.

Hari ini, mahkamah juga telah mendengar keterangan bela diri dua anggota Al-Ma'unah lain iaitu Mohamad Faudzi Hamdan dan Nasruddin Jailani yang juga masing-masing membacakan kenyataan bela diri dari kandang tertuduh.

Mohamed Faudzi, 40, seorang penyelia setor, memberitahu mahkamah bahawa dia memilih untuk menyertai Al-Ma'unah kerana ianya mengeratkan persaudaraan Islam di samping mengekal badan yang sihat dan bolehmenjadikan seseorang itu beriman dan soleh.

"Saya bersumpah dengan nama Allah bahawa saya tidak pernah sekelumit pun terdetik ingin memerangi kerajaan Malaysia.

Kalaulah saya fikir hendak berperang dengan Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan Malaysia lebih baiklah saya semasa umur 20-an dulu saya ikut serta dengan komunis.

Masa itu tenaga pun kuat.

"Kalau saya ikut serta dulu tentu sekarang saya hidup senang dapat elaun dan rumah/tanah kerajaan Malaysia beri.

Apa guna sekarang saya berperang baru naik bukit lima langkah dah tersandar, lutut/pinggang dah jam," katanya.

Nasruddin Jailani, 36, seorang buruh ladang kelapa sawit, berkata bahawa dia berasa takut dan ngeri apabila melihat keadaan kepala seorang tawanan yang diikat di sebatang pokok di kawasan itu.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak tahu siapa yang menembak tawanan itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin disambung esok.

-- BERNAMA

Jumlah pembaca:orang