MMM 8

Yang  Naik  Lemak  Dan   Yang  Naik Minyak

Satu  bulan yang lalu Mahathir  Mohammad mengajar kerajaan Jepun bagaimana memperbaiki ekonomi mereka.  Semalam, pada  27 Februari, 2001 dia berucap  di  Beijing mengajar dunia sejagat bagaimana kuasa-kuasa besar  dunia  harus  dikenakan  cukai khas untuk membantu negara-negara miskin  menjadi kaya. Alangkah sewel  punya  kerja  yang dilakukan  oleh insan yang bergelar  Wira Dunia  Ketiga,  hasil  jolokan Dato' Wira Ibrahim Ali.

Tetapi  itulah  hakikatnya  yang  mesti  diterima dengan  hati yang terbuka oleh  semua rakyat  Malaysia, terutama  sekali  orang Melayu  di dalam  UMNO.  Diktator Mahathir tidak  akan berhenti di situ. Dia akan  terus  mengajar dunia  laksana seorang professor yang berfikir hanya dia yang mampu menyelamatkan dunia ini.  Dia fikir taktik ini adalah  sebaik  kaedah   untuk menarik balik  perhatian dunia  untuk mendengar celotehnya.  Tetapi  itulah gelagatnya  mahu berlakon  lagi. Kalau  dia serius dengan saranan itu kenapa tidak  mengucapkannya  di Davos   yang  baru  sahaja  selesai persidangannya? Bukankah  di situ  ramai  pemimpin  negara  yang hadir, termasuk ketua korporat dunia seperti Bill Gates  yang  turut serta?  Ataupun  apakah benar pada  kali ini  Persidangan  Davos  tidak  pun teringat dan teringin  menjemput kehadirannya?

Kita  sedar betapa  Mahathir  perlu berlakon dan  seluruh  negara akan terus berdiam diri. Seperti   ketika   mengisytiharkan  Dasar  Pandang ke Timur (Look East Policy), semua  orang  diam sahaja, sedangkan lokasi  Jepun  adalah  di utara  Malaysia (Semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak)  dan  bukannya  ke Timur.  Itu sebabnya apabila  Mahathir  berkata bahawa  Malaysia maju dan kaya raya  kerana pengurusan mengikut  acuan  sendiri, semua  orang  diam membisu sambil  tergelak  besar  di dalam hati.

Apabila   ekonomi  negara  merudum di  rantau  Asia, kita dapati  pemimpin negara  jiran melaksanakan  pelbagai  kaedah  berjimat sambil  memulakan  program pembangunan ekonomi negara semula. Filipina  dan  Indonesia  bergolak kerana  rakyat terpaksa akur kepada perlembagaan  negara  yang mahukan  berlakunya peralihan kuasa.  Di  Thailand, kerajaan bertukar  dengan  perlantikan  perdana menteri baru  dan  kabinet yang baru. Raja Bhumipol  dan seisi  keluarganya  terus  berusaha  membantu  rakyat  yang menderita. Malahan baginda  mengambil  sikap menetap  di negaranya kerana  mahu menjimatkan belanja negara.

Di Malaysia, apabila  ekonomi negara menghimpit  jiwa   masih  ramai raja-raja Melayu yang bersantai  keluar  negara. Sebaik sahaja YDP Agong bertukar  kuasa,  yang lama (kini  YT Negeri  Sembilan) pergi  bercuti ke  Argentina, yang  baru  (Sultan Selangor) mampu  pula  bercuti  melihat Sukan  Olimpik  di Australia.  Sekembalinya,  YDPA  telah bersetuju  untuk  menjual tanah   rakyat  di Selangor  kepada  kerajaan Persekutuan untuk  ditukar  nama menjadi  Putrajaya. Sultan  Kelantan telah bersantai ke Dubai seolah ramai penduduk Kelantan bermastautin di sana. Sebelum itu, dia telah melaksanakan  majlis ‘buruk-siku-diraja’  dengan menarik gelaran bintang yang pernah diberikan kepada rakyat jelata.

Gelagat   raja-raja   bersantai  ke luar  negara  dengan  iringan  beberapa pegawai istana  adalah  satu  perbelanjaan  besar  yang sepatutnya  tidak  diamalkan lagi ketika   negara  sedang dilanda  krisis ekonomi.  Sekaligus, apabila  raja-raja berucap kepada rakyat  dan bertitah  agar rakyat  berjimat, titahnya  itu hanya layak dibakul-sampahkan sahaja. Begitu  juga  halnya  apabila raja  melakukan  budaya buruk-siku, apakah dia fikir boleh terus  berperangai  biadap  semudah itu? Inilah  yang mesti  difahami oleh rakyat kerana  sudah sampai masanya warga  istana  itu disedarkan bahawa  mereka  tidak boleh bersikap  seperti raja-raja Melayu kuno lagi kerana kini adalah zaman  IT  dan bukan zaman raja mesti  disembah  sehinggalah rakyat sanggup berjuang  sampai mati. Warga istana  berbelanja besar  sehingga sukar difahami oleh rakyat. Begitu juga dengan sikap raja-raja masih menggaji pawang di istana. Untuk apa semua itu sedangkan amalan pawang dan jembalang itu bukannya mainan orang beragama Islam?

Kemudahan raja-raja bersantai   ke  luar  negara  sedangkan ada rakyat  yang kelaparan dan   anak-anak  sekolah  yang tidak mempunyai upaya membayar yuran  peperiksaan mereka, adalah satu gambaran  betapa  pincangnya  ekonomi  negara yang  diurus oleh seorang diktator tua.

Kita  masih ingat  lagi apa yang dilakukan  oleh si diktator tua  ini sebaik sahaja kes Anwar Ibrahim mula  didengar  di mahkamah. Dia   berlagak sakan mengelilingi dunia dengan laungan betapa  dia mampu  memulihkan ekonomi negara. Beberapa persidangan besar ditaja di luar negara  untuk  dia menjadi tukang  ucap  utama. Malaysia  juga menghantar   puluhan  pegawai  tinggi  kerajaan  untuk  menyertai  ratusan   tauke-tauke korporat negara menghadiri persidangan besar-besar itu, sedangkan  perbelanjaan   mereka semua sudah  mampu  membayar  segala kos peperiksaan anak-anak  keluarga miskin  untuk mengambil  peperiksaan mereka.  Tetapi, kehadiran pegawai  tinggi kerajaan  itu dianggap sebagai penting  untuk memberi ‘credibility’  ataupun kesahihan  kepada ketokohan seorang  diktator  tua   yang  memberikan ucapan utamanya. Malahan, ada maklumat yang dikirimkan  kepada  kita  mengatakan salah satu sebab penerbangan  MAS lingkup ialah kerana  terpaksa  menaja  penerbangan  pemimpin dan rombongan  daripada  Afrika untuk menghadiri persidangan  di Langkawi dan juga persidangan lain di mana  si diktator tua memberikan ucapan utamanya.

Apakah tajuk  ucapannya itu kalau bukan  cara Malaysia  bangkit  semula dan ‘Bagaimana mahu memulihkan ekonomi  yang diganyang oleh penyangak matawang asing’.  Kini, semua kata-kata  bongkak  yang diucapkan  mengenai  pemulihan ekonomi  itu ternyata tidak ada satu pun  yang melegakan  rakyat  marhaen  di negara  ini.  Namun,  si diktator tua yang angkuh itu masih lagi cuba  menonjolkan  dirinya  di pentas dunia. Inilah yang dikatakan oleh orang dulu-dulu; “kokok berderai-derai ekor begelumang tahi juo !!!”

Menyedari  betapa  ekonomi negara  merudum seiring jalan dengan merudumnya  nama besar UMNO  dan   nama gah Mahathir Mohamad, kita dapati usaha  gigih  oleh satu ‘badan ghaib’ yang  mahukan  UMNO dan PAS  duduk  semeja  berbincang  mengenai perpaduan orang Melayu. Kita tidak boleh katakan  bahawa  persidangan  itu adalah  berasaskan keinginan keseluruhan  ahli UMNO,  kerana dalam UMNO sendiri  sudah  wujud  Badan Bertindak Melayu yang  telah  mengutuk  dan mencemuh Mahathir  secara terang-terangan.

Tujuan sebenar BBM  secara lahiriahnya  ialah mahukan   Mahathir undur  agar  UMNO dapat  bernafas  semula seperti yang mereka  impikan.  Saya  pernah menulis bahawa  itu semua  adalah lakonan  semata-mata kerana adanya pembabitan  Ibrahim  Ali. Sejarah sudah menunjukkan  kalau Ibrahim Ali terbabit dalam  sesuatu  majlis di negara ini; tidak kiralah kalau majlis itu mengganyang  orang luar ataupun orang  dalam, ia hanya merupakan satu lakonan sahaja. Ibrahim Ali sanggup menggunakan sesiapa sahaja untuk melakonkan  skrip olahannya.  Rakyat marhaen  masih ingat  lagi  betapa Ibrahim mengupah budak-budak sekolah  untuk  berdemo di tepi  jalan memperlekehkan  Amerika. Dia  lupa yang diperlekehkannya ketika  itu  adalah anak-anak sekolah yang tidak  pun mengerti apa-apa.  Rakyat  Marhaen  hanya  perlu   membaca “Dua  Wajah”  tulisan Syed Hussein Ali  (Presiden  PRM)  untuk menyedari betapa  pengecutnya Ibrahim Ali itu sebenarnya. Ibrahim  Ali hanya berani bersuara lantang  di hadapan khalayak  ramai dan di depan corong mikrofon sahaja.

Sikap  Ibrahim  Ali berani  bercakap  lantang itulah  yang  ditiru  oleh Mahathir Mohammad  (Ibrahim tidak meniru  Mahathir  dalam  hal ini). Memang,  Mahathir berani bercakap    apa  saja  mengenai  ekonomi negara dan mengenai sesiapa  yang tidak disukainya. Ketika Anwar  Ibrahim  dibicarakan dulu, hakim (Augustine  Paul dan Ariffin Jaka) telah mengeluarkan arahan  agar kes itu tidak  dibincangkan di  luar mahkamah. Tetapi, Mahathir tidak  ambil  pusing  langsung. Dia  membincangkannya  di  luar mahkamah bukan sahaja di negara ini  malahan  di negara  asing. Bukan  sahaja di hadapan  rakyat  Malaysia  tetapi  juga di hadapan  orang  asing.  Tetapi apabila  dia disapina  dua  kali  untuk  menghadirkan  dirinya  di  mahkamah, Mahathir  telah mengelat kerana dia takut untuk disoal siasat.

Kita  dapat rasakan  Mahathir  kini sudah menjadi  seorang yang ‘gila  isim’, kerana terlalu ghairah  untuk berucap  di hadapan orang ramai. Tidak  kiralah  kalau majlis itu satu  persidangan UMNO ataupun  satu majlis kecil  penyerahan  sijil  kepada murid sekolah  ataupun  sesiapa  sahaja, asalkan  majlis itu dilangsungkan  di satu suasana yang dikira  selamat  bagi  dirinya.  Mahathir  lebih selesa  dengan majlis semacam itu daripada melihat keadaan  hidup orang  Melayu di kampung-kampung  yang  semakin tergugat oleh  dasar  pemerintah  yang tidak pernah  ambil pusing  terhadap  rakyat marhaen yang susah.

UMNO   Yang  Jauh  Menyimpang

Gelagat  Mahathir  yang sudah  lupa  daratan adalah  hasil  kaedah  UMNO ditadbirkan sejak  dua  puluh  tahun  yang  lalu. Mahathir  hanya  akan sedar (atau pura-pura sedar) penderitaan rakyat  setiap kali diadakan  majlis tepuk amai-amai di PWTC di mana para perwakilan  mendengar  ucapan  berdegar-degar para  perwakilan  parti. Ketika itu akan disentuh segala  penderitaan rakyat  secara  gambaran  sahaja, sedangkan gambaran itu hanya  merupakan selingan  kepada segala  ucapan puja-memuja  dan puji-memuji pucuk pimpinan parti  yang diketuai  oleh “presiden seumur  hidup  yang  paling dikasihi”. Apakah  hasil  segala  ucapan  itu akan memperbaharui  cara hidup rakyat marhaen yang miskin? Tidak! Perhimpunan semacam itu digunakan untuk melaksanakan program menindas rakyat  lagi. Apabila  UMNO bertindak  menyuruh  Petronas  mengubah  warna hijau daripada logonya, pembaziran wang rakyat  marhaen berlaku kerana  Petronas adalah hak rakyat. Apabila UMNO  membincangkan  kes pengharaman  HARAKAH, yang rugi  adalah rakyat kerana  mereka dinafikan hak  membaca maklumat  yang  tidak  diputar-belitkan untuk memihak  kepada  UMNO.

Dasar  memuji-muji perjuangan  UMNO  yang dulu, kini dan  selamanya menipu rakyat marhaen  itu menyebabkan ekonomi negara  kini berada di satu tahap  yang akan membebankan rakyat  marhaen  untuk satu waktu yang  panjang.  Tetapi,  kalau perwakilan dibenarkan untuk bersuara dengan bebas di persidangan  tahunan  itu  para  perwakilan  UMNO tentu akan sedar  betapa kehancuran negara  adalah  disebabkan  Mahathir bin Mohamad dengan dasar  kronisme, kolusi,  korupsi  dan  nepotisme. Di sebalik segala  pujian yang dihamburkan  kepada  Mahathir  oleh wakil persidangan  itu selama  ini, negara sedang menggelonsor ke kancah  kemuflisan  gara-gara  seorang pemimpin  Melayu yang bertaraf bedebah  dan menjahanamkan   martabat  bangsanya. Kalaulah  UMNO dan pucuk kepimpinannya benar-benar   ikhlas  dengan penerajuan negara  kenapakah setiap kali mahu diadakan persidangan  tahunan  ada  pula  satu   majlis taklimat khas sehari-dua  sebelum berlangsungnya  persidangan itu?

Apakah  perlunya satu  ‘rehearsal’ (raptai)  untuk persidangan tahunan itu kalau tujuan sebenarnya ialah untuk melakukan satu latihan  bagaimana segelintir pemimpin UMNO  mahu terus  memutar  minda  golongan yang  lebih besar lagi? Dengan lain  perkataan, setiap kali persidangan tahunan  UMNO  itu dilangsungkan, segala  agenda yang  diatur itu sudah dirancang awal-awal lagi untuk menyejukkan suasana  agar  hujah para perwakilan sudah hilang sengat dan bisanya.  Jadilah  persidangan  itu satu  majlis “tepuk-amai-amai” sahaja, akhirnya.

Itu  sebabnya  masalah  kehidupan  orang  Melayu masih lagi ditakuk lama kerana UMNO sebagai tunggakan  ketuanan  Melayu itu sudah jauh menyimpang daripada perjuangan asalnya. Kerana itu, UMNO kini sudah tidak  seperti  dulu dan selamanya  akan hilang kepercayaan orang  Melayu.

Strategi  ini memang  menjadi  satu amalan  yang direstui  oleh hampir semua pemimpin dalam parti kerana mereka  amat takut kalau-kalau ada  perwakilan  yang akan mendedahkan ‘telur tembelang’ yang  mereka  simpan selama  ini. Saya pernah berbincang dengan beberapa  veteran UMNO  Negeri Sembilan mengenai  hal ini dan ingin  merakamkan beberapa maklumat yang mereka minta saya tulis  untuk pengetahuan orang  Melayu yang akan memilih ahli jawatankuasa  baru di peringkat bahagian tidak  lama lagi.

- Pemimpin Yang  menyimpang

Kebanyakan cawangan  UMNO sudah  tidak wujud  lagi. Bagaimana bahagian dapat terus bertahan dan memilih perwakilan akhirnya ke PWTC  merupakan satu muslihat politik yang diatur  oleh wang ringgit  juga. Itu sebabnya  setiap  projek kerajaan yang melibatkan kerja-kerja  kontrak  mesti  dianugerahkan  kepada orang  UMNO sahaja. Tidak kiralah kalau orang  yang “memenangi” kontrak  itu  seorang  bekas  guru besar sekolah ataupun seorang bekas peon  pejabat  kerajaan. Yang menjadi  pasport untuk orang  Melayu mendapat tender kerajaan ialah dia  mesti  menjadi ahli UMNO dulu. Kesannya, apabila kontraktor Melayu itu mendapat  kontrak membina  bangunan (katakanlah sekolah baru) ia akan menyerahkan semua kerja kontrak  itu kepada orang Cina  sambil  memakan keuntungan komisyen sekitar sepuluh  peratus. Kerana itu kos kontrak pembinaan sekolah yang sekitar 1.4 juta (contohnya) akan dilaksanakan  dengan belanja  sekitar  RM900,000 sahaja, kerana  kontrak  berkenaan terpaksa memperuntukkan segala    sogokan  kepada orang-orang tertentu.

Contoh  kerja-kerja kontrak yang ‘hancai-bancai’ boleh dilihat  tersergam  megah di Bukit Jalil dan juga  di Stadium  Malawati di Shah Alam. Cuba  perhatikan stadium itu dan lihatlah bagaimana  rupa  cat yang telah digunakan pada bangunan itu. Belum pun lima tahun  bangunan itu, rupanya  buruk seolah-olah dibina selepas  Perang  Dunia Kedua  dulu lagi.

Beberapa  contoh  perlu ditonjolkan  untuk kita  merakamkan  kenapa  perkara begini boleh terus  berpanjangan dan jarang sangat  diberi perhatian  di persidangan UMNO di PWTC.  Di  daerah  Rembau terdapat  sekitar 78 lesen kontrak yang  dipegang oleh Bumiputra (Kelas  A – Kelas F). Ironisnya, “tidak seorang pun pemborong bumiputera  itu yang mempunyai  alat kelengkapan  pemborong seperti  jentolak, berpadan  dengan lesen pemborong yang dipegangnya”.  Itu sebabnya mereka  akan  melepaskan setiap kontrak   yang mereka  menang itu dan berpuas hati  dengan komisyen sahaja. Mereka  lebih selesa dengan panggilan kontraktor yang ‘mundar-mandir  dengan kereta Mercedez berlampu mata belalang sahaja.’

Itulah  tahap pemborong (kontraktor  pembohong)   bumiputera  tajaan  UMNO. Itulah  juga muka-muka  yang akan mewakili bahagian  UMNO di tempat  mereka ketika  berhimpun di PWTC nanti. Inilah juga  penyangak-penyangak yang   akan cuba mempertahankan ketuanan Melayu mengikut  acuan  UMNO  yang  dilakar oleh sekumpulan Malbari  di sekeliling seorang diktator tua. Inilah penyangak yang tidak sedar apakah sebenarnya  erti perjuangan untuk menaikkan martabat bangsa. Apa  yang  mereka  faham ialah bertepuk ramai-ramai apabila ada  perwakilan  yang  akan melaungkan  seruan  perjuangan  dan bercakap lantang mengenai ketuanan Melayu. Berapa ramaikah  di antara  mereka  itu yang  sanggup menggunakan  kereta  buatan  negara  sendiri?  Berapa ramaikah  di antara mereka  yang mempunyai anak-anak yang  sedang menuntut di negara asing  baik dari kelas rendah sehingga menengah dan apabila pulang semasa  bercuti akan lebih rela bertapa di pab dan kelab  malam, walaupun umur  masih belum dewasa  lagi?

UMNO  di zaman kepimpinan Mahathir sudah membudayakan ketuanan Melayu secara konsep samseng dan bajingan seperti  yang  berlaku di negara  Afrika  dan  juga  Jepun. Di Jepun, tidak ada  pemimpin politik yang dapat naik dan bertahan lama tanpa ada sokongan kumpulan  ‘Yakuza dan Abon’.  Di Afrika, tidak ada pemimpin  yang dapat bertahan lama tanpa  sokongan para Rahib dan ketua padri  institusi Kristian  ataupun  NGO di tempat mereka.

Saya  pernah menulis dulu kepada  beberapa  pemimpin  UMNO  secara emel peribadi bahawa UMNO yang ada kini adalah UMNO yang  membesar mengikut  acuan  yang dibentuk oleh Mahathir bin Mohamad dengan  sokongan padu segelintir manusia  yang menopangnya. (Saya ulang perkataan ‘MENOPANG’ supaya  tidak disalahertikan  dengan perkataan ‘MENUMPANG’). UMNO  kini adalah  hasil  satu sistem raksasa yang dilakar oleh Mahathir pada asalnya kerana dia rakuskan kuasa dan ..........ditatang  ataupun disanggah  oleh  segelintir insan yang mahukan dia terus  berkuasa kerana  melaluinya mereka turut  mendapat kuasa. Contoh yang terbaik ialah melihat bagaimana pekebun meletakkan sebatang kayu (sangga) untuk menyangga sebatang  pisang  yang sedang berbuah.  Kalau pisang itu tidak disangga, batangnya akan tumbang  dan buahnya  akan terbantut.  Tetapi, di waktu  yang sama di keliling pokok itu terdapat banyak anak-anak pokok  pisang  yang semakin berserabut tumbuh di pangkalnya. Mahathir  adalah laksana pisang yang sedang berbuah itu. Dia akan terus  disangga  selagi buahnya belum matang  dan kayu sangga itu akan terus berada di situ sebelum beralih ke pohon pisang  yang lain, yang lebat daunnya dan besar jantungnya menandakan buah-buah yang besar  dan lazat  rasanya.

Untuk menjamin ketuanan Melayu dalam UMNO itu budaya  menopang  dan menyangga pemimpin terpaksa terus diamalkan. Di sinilah  munculnya satu sistem bajingan dalam UMNO kerana setiap ketua  UMNO perlu memelihara satu kumpulan bajingan  yang berlagak laksana samseng agar ketokohan ‘ketua  penyangak’ itu dihormati dan kata-katanya  dipatuhi.  Melalui sistem semacam inilah makanya  kita  lihat  seorang  kerani ‘tally- clerk’ perkapalan boleh menjadi exco,  seorang juru-engsot  get keretapi boleh menjadi wakil rakyat, dan seorang mandor  parit dan tali air boleh menjadi menteri besar.  Semua   ini berlaku kerana  sejarah   kepimpinan UMNO di perkampungan dan pekan-pekan dulu, diasaskan oleh para guru lepasan SIT. Inilah anak-anak Melayu yang lulus  sekolah darjah lima dan dikumpulkan oleh British di sebuah maktab  di Tanjung Malim  untuk  dididik menjadi guru terlatih.  Selepas  negara mencapai kemerdekaan, ramai calon SITC itu merupakan anak-anak Melayu yang  mendapat pangkat ‘C’ dalam peperiksaan LCE (PMR sekarang ini). Ramai  yang tidak dapat masuk maktab harian (Day Training Centre) dibenarkan pula mengajar  dengan  mengambil kursus perguruan  di hujung  minggu. Itulah zamannya di mana sebahagian  besar perkampungan Melayu yang tidak mempunyai bekalan letrik dan lampu. Yang menerangi rumah-rumah adalah lampu minyak yang dipanggil lampu ‘stom’ ataupun lampu ‘sentel’ sahaja.

Inilah bukti  betapa  orang Melayu di kampung-kampung hidup menderita ketika itu sedangkan itulah juga sumber tenaga  yang berkhidmat di pasukan tentera, polis, bomba dan segala perkhidmatan yang tidak diingini oleh kaum asing  di negara ini.  Tanpa lampu yang terang benderang di kampung bagaimanakah anak-anak mampu membuka  buku pengajian di malam hari. Lagipun, anak-anak yang bersekolah jauh di bandar pulang keletihan di waktu maghrib dan perlu tidur awal untuk menunggu bas sebelum subuh keesokan harinya. Memang amat berbeza nasib mereka kalau dibandingkan dengan kaum India  yang dibekalkan letrik di malam hari dan kaum Cina di perkampungan terkumpul (Chinese New Villages) yang mempunyai segala kemudahan mewah untuk hidup  dengan selesa.

Sedikit demi sedikit taraf  akademik calon SITC berubah hinggalah kini ia menjadi sebuah universiti pendidikan. Malangnya konsep  kenaikan martabat SITC  itu tidak pula diseragamkan  oleh UMNO  dalam pemilihan ketua cawangan dan bahagiannya. Budaya itu tidak mudah bertukar  kerana kemewahan menjadi ketua bahagian dan cawangan adalah sesuatu nikmat yang tidak mudah diperolehi oleh insan yang tidak berpelajaran tinggi, di institusi lain.  Kerana itu, kalau boleh jawatan  dalam parti mahu difaraidkan menjadi satu jawatan  yang berbentuk dinasti. Itu sebabnya Mahathir dengan sokongan Paklah sanggup melakukan putaran minda agar jawatan mereka tidak dipertandingkan. Kalau Mahathir mampu melakukan semua putaran minda itu di pucuk kepimpinan  parti apakah pemimpin bawahan  di peringkat  kampung   tidak mempunyai nafsu yang sama? Di sinilah letaknya muslihat  memberi  subsidi  kepada  setiap  ketua  bahagian agar terus taksub kepada pucuk kepimpinan.

Satu contoh  budaya  subsidi dalam UMNO boleh dilihat  di Negeri Sembilan. Kalau kita pergi ke merata  kampung kita akan terdengar  perkataan  “Isa-P”. Pada mulanya saya kurang  arif  dengan perkataan itu memikirkan kalau itu nama manusia tentulah abjad solo itu diletakkan  di hadapan nama seperti yang berlaku kepada ‘P.Ramlee’.  Di Negeri Sembilan “Isa-P’  adalah nama jolokan  kepada  menteri besar  yang  ada. Saya masih mencari makna  ‘P’ itu, tentu sekali bukan bererti ‘putih’ menunjukkan ketelusan kepimpinan beliau.

Kalau kita pergi ke Port Dickson  kita akan ditunjukkan rumah kediaman  ketua UMNO setempat (keseluruhan  daerah Teluk Kemang)  dan sambil ditunjukkan rumah kediaman mereka itu kita akan diberitahu apa pula  pekerjaan sebenar  tuan rumah itu. Ternyata kita akan hairan bagaimana mereka mampu mempunyai rumah kediaman sehebat itu. Rupanya  Isa-P mempunyai satu projek khas untuk mereka. Setiap seorang  ketua  UMNO  itu diberikan projek kerajaan sebagai pemborong. Semua  kerja-kerja kontrak itu akan diambil-alih oleh kontraktor Cina, ada  yang datang  daripada  Singapura. Dengan lain perkataan, semua pemborong Melayu dalam UMNO  itu akan hidup makan komisyen sahaja. Inilah ketuanan Melayu ala  UMNO dan inilah ketuanan UMNO  dalam masyarakat Melayu mengikut  acuan yang dilakar oleh seorang  Malbari tua.

Kemewahan  yang diraih menjadi pemimpin UMNO tidak kiralah di mana pemimpin itu berada menyebabkan berlakunya satu pertembungan dalam UMNO kini hinggakan berlakunya perpecahan dalam parti. Tetapi, perpecahan  dalam UMNO itulah yang dikatakan perpecahan Melayu yang disebabkan  oleh  hasutan parti pembangkang. Kerana itu, makanya Mahathir  dan pucuk kepimpinan UMNO pusat terlalu ghairah mahukan satu perundingan dilaksanakan di antara PAS dengan UMNO.

Apabila adanya suasana cemoh-mencemoh disebabkan  pergolakan dalaman  UMNO itu sendiri, Mahathir dan para penasihatnya cuba  menuduh pihak lain. Suasana sebenar  adalah disebabkan pergolakan mahukan kuasa  yang akan mendatangkan kemewahan tanpa perlu bekerja dan mengeluarkan modal untuk berniaga. Itu sebabnya  budaya tuduh-menuduh, hasut-menghasut, berbomoh-bomoh dan surat layang  sehinggalah bunuh membunuh memang sudah menjadi budaya sebati dalam UMNO. Kerana itu juga  sikap bohong-membohong adalah satu amalan lumrah dalam UMNO.

Ketika  PAS  dan UMNO  mula  berunding di peringkat teknikal dulu, PAS telah mengemukakan syarat  di tahap awalan lagi bahawa  mereka  hanya akan berunding terus  kalau beberapa syarat awalan dipersetujui. Antara pra-syarat itu ialah kerajaan harus memulangkan royalti minyak kepada kerajaan Terengganu (kerana itu hak rakyat Terengganu). HARAKAH harus  diberi semula hak  penerbitannya seperti dulu. Yang   ketiga, kerajaan hendaklah menentukan agar polis menghentikan tindakan  ganas di majlis ceramah parti pembangkang. Inilah sahaja tiga syarat yang amat mudah untuk diperkenankan oleh Maharajah Mahathir.

Di pihak UMNO pula, mereka meminta PAS bersetuju agar  tidak mendedahkan apa juga butir perbincangan  jawatankuasa teknikal itu kepada umum.  Tetapi apakah yang dilakukan oleh UMNO seterusnya?  Mereka berkata  bahawa  PAS telah sengaja .menggagalkan perundingan dengan menimbulkan syarat  pula. Semua orang percaya dan  semua pemimpin UMNO naik melalut mengutuk PAS  dengan bermacam-macam lagi tuduhan  yang  terkeluar daripada pra-syarat  yang dikemukakan oleh PAS itu. Inilah contoh budaya berbohong yang menjadi amalan UMNO  selama ini. Seperti juga sikap Mahathir  yang mengatakan dia mempunyai bukti yang kukuh  mengenai  kelakuan  Anwar   Ibrahim satu ketika  dulu. Buktinya ialah adanya Tivoli Apartment sebelum tarikh   pembangunannya dan sebelum tilam bertompok tiga belas  dibikin lagi. Namun, dengan segala  pembohongan itu mahkamah masih mampu bersidang dan Anwar Ibrahim boleh dihukum  selama lima belas tahun. Bayangkanlah betapa besarnya dosa setiap insan  yang  bersekongkol dengan Mahathir  dalam kes Anwar itu. Hampir  semua mereka itu sanggup bersekongkol dengan Mahathir  kerana takut kehilangan kemewahan dunia. Masa juga akan menentukan kuasa Allah  yang  akan menghukum mereka selagi mereka bernyawa. Sedikit demi sedikit kita nampak dengan jelasnya bagaimana  mereka semakin menghampiri gerbang hidup yang sengsara walaupun pada nama mereka itu berbaris bintang gelaran yang telah dianugerahkan oleh warga istana.

Apabila pemimpin UMNO bercakaran sesama sendiri untuk menjadi ketua bahagian, sekaligus budaya  wang dan sogokan janji-janji pun berkembang  biak. Sekaligus juga sistem samseng tempatan itu akan berkembang biak juga. Itu sebabnya  ramai pemuda kampung yang mampu berfikiran waras  sudah semakin rela meninggalkan UMNO untuk menyokong parti pembangkang. Mereka  semakin sedar  bahawa budaya wang UMNO itu hanya untuk mengekalkan ketuanan UMNO dalam masyarakat kampung sahaja.  Saya pernah menulis betapa tidak ada bezanya di antara pemimpin UMNO di sesuatu bahagian  dengan ‘Ali Baba’  dalam cerita dongeng ‘Ali Baba  dan penyamunnya’. Ali Baba  tidak boleh menjadi ketua  penyamun tanpa adanya  para penyamun yang setia  dengannya. Kalau ada  pengikut yang tidak setia tentulah Ali Baba sudah ditumpaskan dan mereka pula memilih seorang ketua penyamun  yang baru.  Begitu juga dengan Mahathir, dia masih dapat bertahan kerana  ramai lagi pengikut yang setia yang sanggup ‘menupang’ kuasanya.

Kerana itu Mahathir terpaksa memperibadikan setiap institusi kerajaan  agar mereka menjadi jentera  yang mengekalkan kuasanya. Di peringkat  negeri pemerintahan BN, semua ketua menteri dan menteri besar  kerajaan UMNO (seperti Isa-P) terpaksa pula memperibadikan institusi kerajaan mengikut gelagat  maharajah mereka. Itulah sahaja jaminannya untuk mereka terus mengekalkan kuasa. Mengikut sistem Ali Baba Ketua Penyamun,  semua  menteri besar  dan  ketua  pemimpin UMNO terpaksa  mengambil sikap seorang yang mempunyai otak penyamun juga.  Apabila  segala bidang penguatkuasaan itu sudah berada di tangan mereka, rakyat marhaen tidak mempunyai peluang untuk hidup senang-lenang  melainkan mengikut  gelagat  yang dilakar oleh Mahathir dan para pemimpin UMNO peringkat negeri, daerah dan pekan. Terpulanglah kepada  pemimpin Umno itu kalau mahu merelakan parti pembangkang berceramah secara bebas ataupun berkumpul tanpa digangu-gugat oleh pihak polis. Bayangkan sendiri bagaimana semua penyangak ini sanggup menipu rakyat  yang mengundi mereka   dan menggelarkan mereka  ‘Yang Berhormat.’

Inilah demokrasi yang ditonjolkan oleh Mahathir di seluruh dunia. Dia boleh malalak keseluruh dunia cuba membetulkan negara asing; cara mereka harus memerintah. Demokrasi katanya mesti  memberi kemudahan kepada negara miskin membangun  untuk naik setara dengan negara kaya. Tetapi, di negaranya sendiri ramai bangsanya yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan hati. Demokrasi dalam Darulboleh  adalah cara  hidup mengikut hukum-hukum  yang ditentukan oleh pemimpin  UMNO.

Putar belit  Untuk  Terus  Berkuasa

Oleh kerana berbohong sudah menjadi darah daging kebanyakan pemimpin UMNO, mereka  sanggup merelakan sesuatu  pembohongan itu semata-mata untuk mengekalkan kuasa. Astora Jabat menulis  “mengenai Mahathir sebagai Firaun yang baik.” Tidak ada seorang pun pemimpin UMNO; baik yang masih berkuasa ataupun yang veteran yang gilakan kuasa, yang sanggup menyanggah pendapat Astora bedebah itu. Di manakah Hamid Othman penasihat agama Mahathir? Di manakah Abdul Hamid menteri agama UMNO yang  tidak suka  lif yang dinaikkinya dikongsi oleh orang lain? Di manakah pula  menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang sepatutnya bertindak terhadap  orang-orang yang memutarkan minda orang Melayu? Cuba bandingkan saranan Astora  Jabat selama ini dengan apa yang dikatakan   putar belit  Al Arqam  satu hari dulu, mana satu yang lebih berbahaya?

Di sinilah  letaknya standard ataupun piawaian sosio-ekonomi ala UMNO dalam usahanya mengekalkan ketuanan UMNO-Mahathir di kalangan masyarakat Melayu di negara ini. Setiap sesuatu yang mahu diucapkan ataupun  mahu dilaksanakan  yang membabitkan orang Melayu mesti mengikut piawaian yang ditentukan oleh UMNO. Tidak kiralah kalau perkara itu menyangkuti dan menyanggah  ajaran  Islam yang benar.  Orang Melayu dalam UMNO termasuk Mahathir lebih rela mencemuh Tuanguru  Nik Aziz dan Tuanguru Abdul Hadi dan juga Professor  Datok Harun Din daripada menyanggah  penulis kelas bedebah  seperti Astora Jabat dan Zainuddin Maidin.  Para pemimpin Melayu UMNO lebih rela mendengar  dan mempercayai tulisan Zam, Kassim Ahmad dan Dolah Komunis daripada tulisan dan pandangan Prof Syed  Husin PRM  dan  Rustam Sani.  Masih ramai pemimpin UMNO yang sanggup menidakkan suara-suara kebenaran yang keluar daripada mulut insan-insan yang berjihad ini kerana mereka sayangkan kemewahan  yang mereka  nikmati  hasil bersekongkol dengan Mahathir  Mohamad.  Sekaligus mereka menidakkan  hak rakyat marhaen untuk hidup dengan lebih selesa daripada  yang mereka  tanggungi  sekarang ini. Mereka  lebih rela bersekongkol dengan manusia yang sudah lama  berhati syaitan, tanpa  menyedari bahawa mereka juga  hidup bergelumang dengan segala dosa dan  terpaksa terus berbohong  untuk memperakukan segala  pembohongan  yang diucapkan  oleh si diktator  tua.

Setiap  pemimpin politik harus  sedar bahawa seorang ahli politik yang  sedang berjaya sebenarnya memainkan peranan  laksana seorang  imam naik mimbar.  Setiap   imam yang naik mimbar  akan naik ke tempat paling teratas  untuk  berkhutbah. Selepas berkhutbah dia akan turun mengikut anak tangga yang sama  ketika  naik. Tidak ada  jalan lain untuk keluar daripada  mimbar  itu.   Begitulah juga  yang perlu dihadapi oleh Mahathir  dan semua pemimpin  UMNO. Apabila  mereka naik ke atas, mereka  akan turun mengikut  jalan yang  sama. Itu sebabnya  dalam politik  kita jangan mudah leka  kalau naik secara mendadak. Kalau kita naik melompat, kita turun akan terjun pula.  Dalam politik segalanya boleh terjadi, apatah lagi dalam politik Melayu  mengikut acuan Mahathir.  Orang Melayu semakin kebingungan kerana budaya rasuah dan politik wang tidak dapat dihakiskan lagi. Mahathir akan  melalak selagi dia  mampu bersuara, tidak kiralah kalau dia masih menjadi pemimpin UMNO atau tidak pun lagi.

Hakikatnya budaya Melayu itu secara keseluruhannya telah terungkai  oleh budaya wang dan budaya membohong  yang dibiarkan subur dalam UMNO. Kerana itu ramai pemimpin UMNO yang naik laksana  semut boleh jatuh dan turun seperti ribut.  Kalau kita lihat pergolakan negara sejak  kemenangan  UMNO di pemilu ke-10  dulu, apakah UMNO sudah mengorak langkah untuk memenuhi janji-janji seperti  yang tertulis dalam manifesto politiknya dulu?  Di manakah janji-janji ala ‘sama rata-sama rasa’  yang dilaungkan oleh semua pemimpin UMNO ketika  berkempen itu?

Semua janji-janji itu lenyap  kerana  digantikan dengan pelbagai sandiwara untuk memutarkan minda.  Tidak ada satu pun projek kerajaan ke arah pembangunan insan yang berjaya dilaksanakan. Tetapi, pelbagai lakonan yang merupakan ‘perasa-minggu-ini’ untuk rakyat terutama sekali orang Melayu beromong kosong di warung-warung (di coffee house sudah berkurangan sekarang ini) dan di berandah  masjid  dan surau membincangkan kisah yang sengaja  di kemukakan  untuk membuang masa. Di waktu yang  sama, harga barang makan dan segala kos perkhidmatan dinaikkan melambung tingginya tanpa memikirkan penderitaan rakyat  jelata.

Sayang,  sambil Mahathir  dan Rafidah dan juga Paklah kerap  mundar-mandir mengelilingi dunia, ekonomi negara semakin merudum  dan menjadi teruk. Orang-orang Cina dan golongan kaya raya sudah lama mengalihkan simpanan mereka  ke luar negara menunggukan masa  dan ketika  untuk lari terus  dari negara ini. Mereka  sudah lama merancangnya sejak lebih sepuluh tahun lagi.   Kalau ditakdirkan Mahathir  masuk  hospital kerana sakit esok  hari kita boleh menjangkakan semua tempahan  tiket kapal terbang di semua  lapangan terbang Malaysia dan juga Singapura, Bangkok  dan Hong Kong akan penuh kerana ramai ahli KEJAM yang mahu melarikan diri. Tinggallah rakyat marhaen  menunggu negara  ini sambil terus bekerja dan terus membayar segala hutang  piutang  yang disebabkan segala projek mega yang dibina untuk memuaskan ego seorang diktator yang sudah lama naik lemak dan kumpulan bajingannya  yang  sudah lama naik minyak.

Sesungguhnya, Mahathir  dan kumpulan penyangak  yang berpaut kepadanya masih lagi tidak sedar betapa mereka telah memusnahkan keceriaan di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.  Sesungguhnya  para pemimpin Melayu yang naik kaya raya dalam UMNO sudah hilang  pedoman selagi  mereka sanggup bersekongkol dengan si Raja Penyangak ini tanpa memikirkan untuk bersatu menuntut dia undur daripada   arena politik Melayu.

marrhaintua- 28.2.2001.