MMM9

Melayu  Sudah  Menjadi Hamba Abdi  UMNO

Apabila sesuatu  bangsa itu, tidak kiralah betapa gah dan besar sejarah  keperwiraannya, diputar belit mindanya secara bertubi-tubi; semangat  keperwiraannya  itu akan lesap  untuk menjadikan bangsa  itu jatuh tersungkur - layak dijadikan kelas hamba  abdi.  Inilah yang terjadi  kepada bangsaku  BANGSA MELAYU  hasil   pemerintahan seorang  warisan  pendatang  yang  sanggup melakukan segala putar belit yang hanya termampu dilakukan oleh penyangak yang pandai  membelit. Itulah  juga kejayaan  seorang  pemimpin Melayu yang bergelar  Wira Dunia Ketiga hasil  jolokan  yang dicadangkan oleh seorang  Melayu juga.

Melayu pada  hari ini bukan lagi   berada  di persimpangan kerana  simpang yang  mencelarukan minda itu hanya ada di khayalan sahaja. Melayu hari  ini adalah satu bangsa  yang lama sudah bercelaru mindanya  kerana putar belit  segelintir  masyarakat bangsanya yang lahapkan kuasa. Inilah masyarakat  Melayu yang berselindung  di sebalik   UMNO dengan segala  kekuatan  palsu yang berjaya menjadikan hanya seorang bajingan  menjadi ‘maharajah’ di antara satu kumpulan raja  rasmi yang mewarisi takhta  secara tradisi. Raja  yang disembah dan dihamba-patikkan itu pun turut terbungkus  dalam kelas  ‘hamba bertaraf  mulia  dan berdaulat sahaja.’

Kenyataan  fenomena  ini  menjadi terserlah dengan tindakan polis  menangkap Ezam  Mohd  Nor  pada malam umat  Islam  sepatutnya bertakbir  memuji  kebesaran Allah, pencipta-Nya. Itulah malam yang  memancarkan Lebaran Korban di mana setiap insan Islam harus  berada  dengan keluarga  dan sahabat handainya. Itulah malam yang  paling syahdu di antara  malam yang perlu ditiduri oleh setiap insan bersama keluarga  tersayangnya dan bukannya  diserkap  untuk tidur  merengkok di sebuah lokap polis  yang tidak membawa  sebarang makna.

Tetapi itulah hakikatnya. Ezam bin Mohd Nor  yang dijangka  satu hari nanti  mempunyai segala  kebolehan menjadi seorang perdana  menteri terpaksa meniti  keperitan hidup hasil kerakusan beberapa  bajingan yang layak dianggap laksana  manusia  berhati  syaitan sahaja. Ezam  ditangkap selepas  waktu Isyak di hadapan rumah Datin Wan Azizah  Ismail  oleh  sekumpulan  polis  yang  mengekori  pergerakannya. Dia  ditahan dan kunci keretanya dicampakkan seolah-olah kunci kereta itu adalah satu senjata  berbisa  yang akan meletup laksana  bom jangka. Dia  ditangkap sepuluh  jam  sebelum  dia  mampu menjejakkan kaki bersama ahli keluarganya untuk bersolat  Eid-ul-Adha. Dia ditangkap atas  Akta  Hasutan  kerana Utusan  Melayu dan akhbar utama UMNO menuduhnya mahu melancarkan pergerakan  menjatuhkan kerajaan. Dia  ditangkap kerana Pergerakan Pemuda  UMNO membuat laporan  polis kerana “pemuda  UMNO berhak  dan berkepentingan  untuk memastikan Malaysia terus  terpelihara  daripada  sebarang  ancaman yang  akan memusnahkan kejayaan rakyat dan negara ini.” Inilah juga  pergerakan  di mana Timbalan ketuanya pernah berdiri di atas tembok Dewan  Perhimpunan Cina  dan  mengugut  mahu membakarnya.  Kenapakah polis  tidak menangkapnya kerana menghasut dan melancarkan  huru-hara?

Politik  Mahathir Acuan  Kueh  Semperit

Ezam  ditangkap  ketika orang Melayu bersiap  menyambut   hari lebaran. Di zaman dulu-dulu hari lebaran disambut  dengan  menghidangkan kueh semperit. Inilah kueh termoden  yang mudah dibuat  kerana bentuknya cantik dan  belanjanya murah. Adun sahaja tepung  bersama majerin ataupun mentega dan  campurkan sedikit  telur, gula  serta  pewarna. Masukkan adunan tepung itu ke dalam tabung  untuk ditekan dan agar keluar  mengikut bunga acuannya. Adunan  yang  sama boleh ditekan lagi dengan bunga acuan yang lain pula dan warna  yang berbeza. Rupanya lain tetapi rasanya apabila dihidangkan tetap sama juga. Ezam kini adalah mangsa  politik Melayu ala acuan kueh semperit. Dia ditangkap  untuk menunjukkan kepada  seluruh dunia  bahawa  itulah taktik  UMNO  yang diketuai oleh seorang diktator bajingan  yang  memegang kuasa  secara tipu muslihat  juga.

Hanya beberapa minggu  yang  lalu ada   satu majlis khas  di PWTC  di mana  Ibrahim Ali bersama  selebriti  UMNO melancarkan kempen “Takkan  Melayu Hilang  di Dunia”. Mereka mahu menjelajah   serata  negara  untuk  memberi penerangan  kepada  rakyat  jelata  akan keadaan  negara  yang  mesti  diperbetulkan  oleh diktator jahanam  dan juga timbalannya. Apakah itu bukan  berbentuk  hasutan?  Apakah yang  mereka  cakapkan itu tidak dirakamkan  oleh dunia  sejagat? Adakah sesiapa  di kalangan mereka  yang ditangkap  untuk disoal, walaupun tidak dikenakan  Akta  Hasutan?  Perkara  semacam  ini memang  telah kita ramalkan dengan jelas. Ibrahim  Ali, Shahrir Samad dan siapa  sahaja  dalam UMNO boleh mengutuk  UMNO dan Mahathir dan mereka akan terlepas begitu sahaja walaupun kutukan itu dibuat  secara terbuka. Orang lain seperti Ezam  tidak boleh melakukannya. Tindakan laporan itu dikira  salah dan boleh dikenakan Akta  Hasutan.

Ezam  tidak pernah mengatakan dia  mahu menjatuhkan kerajaan dan dia tidak pernah mengatakan mahu melancarkan  demonstrasi jalanan  seluruh negara setiap hari. Yang  berkata  begitu ialah Utusan Melayu. Kalau  Ezam  boleh  ditangkap untuk disoal siasat kenapakah  ketua  pengarang  Utusan Melayu tidak ditangkap sama  untuk disoal siasat?  Semasa  Ezam sibuk  melancarkan kempen mengutuk pemerintahan Mahathir ramai pemimpin muda parti pembangkang yang menyertainya. Masih ramai lagi para pemidato yang  berkeliaran seluruh negara  mengutuk Mahathir  dan pemerintahannya. Kenapakah Ezam   sahaja  yang  ditangkap dengan tuduhan Akta  Hasutan?  Kenapakah Mahfuz Omar  tidak ditangkap kerana  dia pun giat  berkempen mengutuk  kerajaan? Kenapa  Mat Sabu tidak tertangkap? Bagaimana pula  dengan Tian Chua, Ismail Kamus, Saifuddin  Nasution, Gobalakrishna dan banyak lagi nama-nama pejuang muda yang sama hebat  dan sama bersemangat  seperti Ezam?

Tetapi itulah hakikatnya. Ezam akan menjadi satu lagi katalis  di kalangan rakyat marhaen yang cintakan keharmonian negaranya dan keunggulan martabat bangsanya. Ezam mengikuti  jejak langkah ketuanya Anwar Ibrahim yang  kini menjadi satu ikon dan katalis bangsanya. Ironisnya, penangkapan Ezam dilakukan selepas  beberapa  pegawai pergerakan pemuda  UMNO  membuat laporan  polis  terhadap bekas rakan perjuangan mereka.

Sejak Anwar  ditangkap, diseksa, dibicarakan dan dihukum untuk terus mengaibkan ahli keluarganya, Ezam telah berjaya  menarik sokongan ratusan ribu anak muda tidak kira apa kaumnya, pegangan agamanya  dan falsafah hidupnya. Mereka  menganggap Ezam  sebagai ikon terbaru  yang mampu menyambung  semangat  yang ditunjukkan oleh Anwar Ibrahim. Menepati  nasihat  Anwar  Ibrahim dan  harapan bangsanya Ezam  telah meneruskan perjuangan rakyat  marhaen mahukan Mahathir  undur dan mahukan  beberapa  bajingan politik  dalam UMNO disiasat kerana  kelakuan  mereka  yang amat  gemar  kepada  rasuah dan kepada  konsep  kolusi, kronisme  dan nepotisme. Tidak ada  seorang  pun di antara  bajingan  ini yang pernah dipanggil untuk disoal siasat. Hanya Ezam  yang terpaksa keluar masuk balai polis “untuk memberikan butir lanjut mengenai  laporannya.”  Sebaliknya, apabila  empat exco  pemuda  UMNO  membuat laporan  terhadap Ezam, pihak polis bertindak menangkapnya. Kenapakah polis  tidak melaksanakan program menyiasat  dengan memanggil setiap  exco pemuda UMNO itu, agar mereka  berulang-alik dulu sebelum  membuat keputusan untuk  mengenakan tuduhan  ke atas Ezam?

Apakah  laporan  polis  yang dibuat oleh Ezam itu terdapat banyak cacat celanya sehinggakan tidak ada pun seorang   bajingan unggulan  yang dituduhnya pernah dipanggil oleh polis?  Apakah lapuran  pergerakan pemuda  UMNO  itu begitu lengkap sehinggakan pihak polis  tidak ada lagi sebarang  syak wasangka  dan curiga  untuk melambatkan penangkapan mereka  terhadap Ezam?

Semalam, Utusan   Melayu  menyiarkan penafian Ezam mengenai   kempen jalanan hariannya. Tetapi, pada keesokan harinya ( Hari Raya Aidiladha Selasa  Mac 6, 2001) Utusan  mencatatkan kata pojok yang berbunyi “Polis Tahan Ezam – untuk siasatan setelah mengaku merancang  demonstrasi jalanan). Bukan pelik perkara ini, polis bertindak berdasarkan  laporan akhbar sahaja?

Pergerakan  Pemuda  UMNO  Yang  Menipu  Perjuangannya

Di muka surat 4 akhbar  yang sama ada  dirakamkan “Hishammuddin Bidas Penafian Ezam”. Beliau berkata:

“Keadilan sememangnya  sejak diwujudkan tidak pernah  senang  melihat negara  ini aman, harmoni  dan  damai.  Parti  Keadilan  sanggup mengheret  dan meracuni  pemikiran  rakyat  ke kancah politik sempit mereka  hanya  untuk menggugat  kestabilan dan keamanan  yang  telah lama  kita  bina.” Utusan   melaporkan  kenyataan Hishammudin  betapa demonstrasi  jalanan yang dianjurkan oleh keadilan sering  bercampur baur  dengan  emosi, rasa marah  dan benci sehingga menjurus kepada keganasan dan rusuhan.  “Keadaan  seperti itulah yang ingin  mereka lihat  wujud  di negara ini,” ujarnya.

Hanya lebih satu bulan  yang lalu menteri besar  terbaru di negara ini telah menyebutkan ikrar sanggup bermandi darah   mempertahankan kedaulatan negara. Rakyat  marhaen  mentertawakannya dan begitulah juga  sambutan  rakyat  marhaen  terhadap  kata-kata  Hishammuddin Hussein kali ini.

Oleh kerana  Ezam  ditangkap sebaik sahaja Pergerakan Pemuda  UMNO membuat laporan  polis, kebangkitan kemarahan rakyat akan terfokus  terus  kepada pergerakan pemuda  UMNO. Cuma,  seluruh negara  masih belum sedar  siapakah sebenarnya  yang membuat laporan polis itu. Kali ini ia tidak dilakukan  oleh Hishammuddin ataupun  timbalannya  Aziz Sikh Fadzir yang lebih selesa  berdiri berkokok di atas tembok pagar.  Yang  membuat laporan polis kali ini ialah Zulkifli Alwi (Setiausaha  pergerakan Pemuda  UMNO), Mohammad Norza Zakaria, Affendi  Zahari dan Zein  Isma. Mereka ditemani oleh  Haidar Sikh Fadzir (Ketua  Pemuda  Kepong)  dan Mustapha Kamal Mohd. Yusuf (Ketua   Pemuda  Seputeh). Yang  tidak turut serta  dalam episod ini ialah Bendahari  Pemuda UMNO yang  kini bergelar ‘datuk’ dan merupakan salah satu klon  seorang  diktator jahanam.

Kita  harus  merakamkan di sini satu fenomena  terbaru  dalam taktik acuan politik kueh semperit  UMNO ini.  Sebelum  Pergerakan Pemuda  UMNO  membuat laporan  terhadap Ezam ada satu lagi laporan  yang dibuat  sehari  sebelumnya. Pada  kali itu laporan  tersebut dibuat oleh Ketua Siasatan  Jenayah Ibu pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, Deputi Supritendan Yusuf  Shafie di IPD Dang Wangi.

Kenapa  Ezam  Diaibkan?

Oleh kerana kesuntukan ruang, kita akan bincangkan terus  kenapa Ezam  ditangkap sedangkan semua orang  bercuti untuk hari lebaran dan beliau sepatutnya  dibiarkan merayakan hari lebaran bersama keluarga  dan teman-temannya. Pada  hari Raya dulu Ezam ditangkap  di lapangan terbang  KLIA sekembalinya  daripada lawatan  umrah  dan pulang  untuk  merayakan lebaran Hari Raya Puasa. Apakah pihak polis  tidak sedar, tindakan menangkapnya   itu memperlekehkan martabat  Pasukan Polis Malaysia  bukan sahaja di mata rakyat marhaen tetapi di seluruh dunia? 

Rakyat  marhaen tentu tidak lupa  bagaimana ada  menteri UMNO yang dibiarkan bebas  berminggu lamanya walaupun polis sudah mengetahui dia telah menembak mati seorang speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan. Rakyat marhaen  masih ingat  bagaimana  Abdullah Ang  yang ditangkap dan dihukum  penjara  boleh diberikan kebebasan  untuk keluar malam menikmati ‘bakut teh’ di malam hari. Begitu juga  dengan layanan Mahathir  terhadap seorang ketua  pemuda UMNO  yang dituduh melakukan hubungan zina dengan gadis  sunti sehingga menghasilkan zuriat. Dia tidak terpenjara tetapi  seorang  ahli parlimen Cina  yang  dipenjarakan pula.  Apakah salahnya kalau Ezam diberitahu secara lisan agar melapurkan dirinya di balai polis sehari selepas menyambut hari raya untuk siasatan dan kemudian menahannya  ketika  itu?

i)          Saya baru sahaja menterjemahkan satu artikel tulisan MGG Pillai mengenai puak Taleban. Dia menulis betapa “lumrahnya untuk  pemimpin revolusi rakyat  yang  ditelan oleh semangat  revolusi itu.”  Penangkapan terhadap Ezam  amat  bertepatan sekali dengan pendapat MGG Pillai itu.

Saya berpendapat, Ezam sebagai ikon yang disenangi rakyat marhaen sengaja  diaibkan  seperti mana  Mahathir Mohammad  mengaibkan  Anwar Ibrahim. Tugas  mengaibkan Ezam diserahkan kini kepada  pergerakan  Pemuda  UMNO. Untuk memperkuatkan  muslihat  UMNO  itu, pihak  polis   sudah  dipakati  untuk  membuat laporan polis  juga. Alangkah lucunya perkara  ini.

Sememangnya, setiap perjalanan revolusi rakyat itu memang  banyak bahan lucunya. Lelucon adalah anak-anak tangga  yang membawa rakyat marhaen ke kancah keganasan kerana kelucuan adalah bertentangan (opposite to) sesuatu  yang  serius  dan mungkin  memuncak  ke tahap kelam kabut  yang  berbahaya. 

Episod  yang lucu adalah laksana  lakonan kelakar  yang  dilakukan oleh badut  sarkas. Tetapi tidak ramai  yang sedar hanya  pemain dan pelakon  yang benar-benar pakar  yang  boleh memainkan peranan yang  melucukan itu. Tetapi dalam politik, aksi dan tindakan yang melucukan terjadi secara sepontan dan kerap  berlaku kerana  tidak  disedari. Apabila   aksi lucu itu hasil  daripada satu perancangan yang jahat, ia akan berakhir dengan episod  serius  yang akan mencetuskan air mata; samada oleh kerana  kehibaan ataupun kemarahan yang amat memuncak suhunya. 

ii)         Sebagai ikon  kepada  perjuangan rakyat marhaen, Ezam Mohd Nor  dilihat sebagai proksi kepada semangat perjuangan Anwar Ibrahim.  April  14  adalah satu tarikh  yang amat  bermakna  kepada  rakyat marhaen. Penangkapan Ezam  adalah satu  cara menumpulkan  sengat  perayaan April  itu nanti. Dari  tarikh sekarang  sehingga  April 14 itu, mungkin akan diisi padat  dengan pelbagai peristiwa. Salah satunya ialah kesan  pembedahan  yang akan dilaksanakan  oleh doktor Jarman ke atas Anwar. Kini, ramai  rakyat marhaen yang mengkaji benda yang buruk-buruk kemungkinan  pembedahan itu menghadapi kesulitan yang sengaja diada-adakan. Tetapi tempoh yang  hanya  sekitar  satu bulan sahaja itu adalah satu tempoh yang banyak lagi peristiwanya. Bagaimana kalau perundingan perpaduan Melayu di antara  PAS-UMNO itu tidak menjadi?  Apa pula halnya dengan pergolakan di akar umbi  yang perlu membuat keputusan memilih  jawatankuasa  baru di pihak cawangan dan  bahagian? Bagaimana  pula  dengan  segala  lapuran negatif  terhadap  pemimpin UMNO dan kerajaan negeri-negeri UMNO? Bagaimana  pula kisahnya dengan skandal  yang membabitkan beberapa  warga istana?

Semua ini adalah peristiwa  yang menghantui  Mahathir  kerana  dia tahu Ezam dan pemimpin  muda  parti pembangkang  sedang  mempelopori kebangkitan  rakyat  marhaen  untuk  menjaga  wang  rakyat  agar tidak terus  dibazirkan oleh Mahathir  dan  para sahabat  bajingannya. Sebenarnya, di sinilah  terserlahnya  kelemahan hampir semua  akhbar dan risalah  parti pembangkang  dan juga  NGO  yang  mahukan   rakyat marhaen  menyokong  mereka. Rakyat  marhaen  terlalu galak disogokkan  dengan  cerita  ekonomi  yang  merudum. Apakah  Mahathir  menunjukkan sebarang  ‘keinsafan’  terhadap  tuduhan Ezam  dan pemimpin pembangkang?  Masih banyak lagi pembaziran  dan projek mega  yang  dilaksanakan tanpa  rakyat  memahaminya kerana tidak ada  pendedahan  mengenainya.

Pada  dasarnya rakyat marhaen  sudah menjadi keliru  dan bercelaru kerana  mereka  sendiri tidak tahu betapa  negara  beransur  muflis  kerana projek mega yang membazirkan  khazanah rakyat.  Kebanyakan projek mega  ini dilaksanakan  di  Bandar Air Mata Rakyat  (Putrajaya)  dan  Selangor  Darul Ihsan. Kelmarin  Menteri  Besar  Selangor  mengisytiharkan projek pelihara  buaya  di  Banting. Berapa  juta agaknya?  Adakah dia sedar  betapa  projek pemeliharaan buaya  di Thailand  yang merupakan antara  projek terbesar  di dunia  sedang  mengerang kerana kekurangan perniagaan?  Berapakah kos tenaga  pekerja  di Thailand  kalau dibandingkan dengan kos tenaga  kerja  di Malaysia? Pernahkah dia buat  kajian akan projek pengekspotan  daging  buaya  di Australia dan Afrika yang  diusahakan oleh  usahawan Barat?  Adakah dia kaji projek yang sama yang dilaksanakan di beberapa  negara  membangun seperti  di Cambodia, China, Filipina  dan  New  Caledonia?  

Kini, Mohamed Khir Toyo mahu membelanjakan sekitar 20 juta  membina  bangunan yang boleh digunakan untuk memasarkan hasil kerja orang kampung seluruh Selangor. Inilah  yang  saya katakan benda-benda  yang melucukan. Mohd. Khir sudah menjadi  terlebih ‘bijak’ seolah-olah  menyambung  ‘kerja-kerja  Mat Jenin’ seorang  menteri besar yang  menanam  padi  di atas bumbung. Tetapi kalau dua puluh juta itu ditaruhnya dalam satu tabung khas di mana setiap daerah dalam negeri Selangor  diperuntukkan satu juta untuk mengeluarkan  makanan untuk dieksport, dia akan mampu menjadikan peruntukan dua puluh juta itu menjadi berlipat ganda  dalam masa dua tahun. Selangor  mempunyai kawasan bekas lombong bijih yang  banyak. Dia hanya perlu menggalakkan ternakan ikan yang sesuai  untuk dijadikan ‘fish fillet’ dan kontrakkan penjualannya  untuk pasaran dunia. Inilah  yang  dilakukan oleh kerajaan Israel  di Afrika. Inilah juga sebabnya PBB mempunyai satu jabatan khas yang disebut UNEP (United Nation Environmental Programme) di Nairobi, Kenya, Tujuan sebenar  penubuhan jabatan PBB ini ialah untuk memberikan perlindungan diplomatik kepada pegawai  Israel dan pro Israel  yang mengendalikan perniagaan  ternakan ‘Talapia  Nilotica’  di beberapa tasik di Afrika. Ikan  Talapia  Nilotica  ini sungguh besar dan amat sesuai  dipelihara  di lombong bijih lama ataupun tempat  seperti  Tasik Cini, Temenggur, Banding dan sebagainya. Ikan yang besar adalah sebesar meja guru sekolah, kulitnya boleh dijadikan kulit perhiasan  wanita yang lebih tinggi nilainya daripada kulit buaya (kerana kos  mewarnakannya yang lebih  rendah). Israel  memelihara  ikan jenis ini di Afrika  dan menjadikannya  bahan  ‘fish and chips’ di kedai-kedai makan di Amerika  dan Eropah.

Sekarang  ini kita tidak pernah mendengar sebarang  berita  berkaitan   dengan kerajaan negeri yang mengeluarkan bahan makanan untuk digunakan oleh Tabung Haji  di Arab Saudi.  Yang  kita dengar ialah pelaburan Tabung Haji dalam industri membotolkan whiskey dan brandi di India  dan menjual  tanah ladang  kepunyaan suku-sakat Suharto-Mahathir  di Indonesia.

Industri pemakanan terutama sekali bekalan ikan segar  di Tanah Arab adalah dimonopoli  oleh  rakyat Pakistan. Inilah  sindiket  yang sama  mengendalikan  industri  ikan   di  Pakistan sehingga Afghanistan  dan Utara Iran. Malahan  FAO (badan PBB dalam bidang makanan)  menganjurkan  Persidangan tahunan  perikanan melalui ‘Infosamak’  di Bahrain setiap tahun. FAO ada wakilnya di Malaysia  yang  bergelar  Infofish yang boleh membantu  Malaysia  dalam hal ini. Kenapakah kita tidak pernah mendengar  usaha  kerajaan negeri  dalam industri pembekalan ikan di peringkat global?  Bukankah ini industri  yang  paling mudah dan murah untuk setiap perkampungan orang  Melayu? Kini,  teknologi  ternakan ikan tidak perlu kolam dan tasik lagi. Sudah ada teknologi ternakan dalam tangki simen dan  gentian sahaja. Kenapakah ini tidak  dilakukan, sedangkan Ibrahim Ali pernah menjadi Pengerusi FAMA  satu ketika dulu?

Projek  ternakan ikan untuk eksport apabila  dijadikan projek  taraf desa dan kampung tidak memerlukan belanja  beratus ribu ringgit. Ia adalah satu projek murahan sahaja yang tidak mendatangkan komisyen kepada   sesiapa   yang  menajanya. Ia bukannya projek mega  yang boleh dimegahkan, walaupun hasilnya  akan menghakiskan  setiap rakyat marhaen yang berada  di tahap kemiskinan mengikut taksiran  dunia (world  poverty level). Ia tidak akan dilaksanakan oleh kerajaan Mahathir  kerana tidak ada suku-sakat yang boleh menjadi jutawan baru segera melalui projek itu. Tidak pedulilah kalau orang Melayu akan menjadi terus tertekan hidupnya. 

Kalau  projek ternakan ikan untuk eksport dibuat di setiap desa di seluruh negara  ia mampu menghakiskan kumpulan termiskin di negara ini. Modal tidak menjadi soal lagi kerana daripada  zakat tabung haji sahaja sudah cukup dijadikan modal awal dan modal pusingan.  Projek ikan ini boleh dilaksanakan dalam empat bahagian: a) ikan segar dihantar terus  setiap hari, (b) ikan masin yang amat tinggi nilainya di tanah Arab  dan negara  yang jauh daripada  laut  di Afrika (c) ‘fillet fish’ ataupun jejari ikan  yang diperlukan oleh pasaran  makanan segera, (d)  ikan setengah masak (precooked fish) untuk restoran dan hotel  di luar negara. Semua  teknik ini bukannya benda  yang baru. Teknik ‘vacuum packing’ yang dipelopori  di Utara  Peranchis (Nantes) membolehkan  bekalan masakan disediakan dua tiga bulan terlebih awal untuk  dibekalkan  di semua hotel besar  di Eropah. Itu sebabnya  hidangan makanan disediakan dalam masa  lima minit  selepas membuat pesanan. Inilah teknik yang digunakan untuk menyediakan makanan syarikat  penerbangan. Kenapakah teknik ini tidak dilaksanakan di seluruh desa  melalui KEMAS  dan FAMA selama ini?  Jawapannya terletak kepada  ketiadaan  komisyen  yang  besar  untuk melancarkan projek yang tidak MEGA ini.  Lagi pun, kalau bekalan  ikan terhad; ia  memudahkan masyarakat  orang  tengah di Kuala  Lumpur   berniaga  bebas sambil menikmati  untung yang  besar. Mereka  lebih selesa mengawal  pasaran  ikan dengan  mengimpotnya  daripada  negara luar (Vietnam, Cambodia,  India, Pakistan dan Eropah). Kuasa  monopoli inilah  yang  membuatkan  masyarakat nelayan  Melayu masih merempat  di  kampung  halaman  sendiri. Ini juga  sebabnya Mahathir tidak  mewujudkan  Kementerian Perikanan, sedangkan kita  mempunyai  pesisiran  pantai  yang lebih panjang  daripada  Thailand  dan Taiwan.

Kelemahan  Tabung Haji dan Semua Institusi  Kerajaan

Rakyat  marhaen  sudah semakin sedar betapa  Mahathir dan orang-orang kesayangannya  menyalahgunakan wang rakyat di Tabung Haji, KWSP dan pelbagai dana  Amanah Saham. Bila  Ezam  menonjolkan agenda  ‘mengawasi  wang rakyat’ dia sebenarnya menjolok  sarang tebuan di mana segala bajingan Mahathir  sedang  bersarang. Bayangkan apa yang berlaku di Tabung  Haji.

Kerajaan India  sanggup mengeluarkan subsidi kepada sekitar 75000 (tujuh puluh lima ribu) jemaah haji di kalangan rakyatnya yang beragama  Islam. Tetapi, kerajaan India adalah kerajaan  Hindu. Di Singapura, pelbagai potongan (rebat) sedang  diberiakan kepada  rakyatnya. Tetapi, apabila orang Islam Malaysia  pergi mengerjakan  haji dan umrah setiap tahun kosnya dinaikkan lagi. Soalnya sekarang bagaimanakah MAS setiap tahun kalah tender  untuk mengangkut jemaah haji ke tanah suci. Bagaimanakah syarikat perkhidmatan udara yang dikuasai oleh seorang lagi klon diktator tua  boleh memenagni tender itu? Apakah rakyat marhaen tidak boleh berfikir bahawa MAS kalah  tender kerana disuruh menaikkan sebut-harga tendernya ?  Bukankah ‘Air-Asia’ pada asalnya satu syarikat perkhidmatan udara yang diasaskan  oleh Tan Sri Ting? Satu ketika dulu saya pernah mengungkit kenapa Tabung Haji tidak mampu membeli pesawat sendiri untuk mengangkut jemaah haji. Kalau klon Mahathir boleh menyewa pesawat untuk mengangkut jemaah haji kenapakah Tabung Haji tidak mampu melakukannya? Kenapakah perkara itu sukar untuk difikirkan oleh pentadbir  Tabung haji dan Lembaga Pengarahnya? Sehingga sekarang, Tabung Haji tidak pun mampu membuka  satu laman web yang berkesan untuk kemudahan umat Islam. Alangkah lucu perkara in? Tetapi inilah lelucon yang membuatkan kita marah kerana pengurusan  Tabung  Haji seolah-olah  mempersendakan  para  penjimat Islam. Kalau Tabung Haji ada mempunyai laman web sendiri yang berkesan, bukankah mudah untuk keluarga para jemaah mengikut pergerakan saudara mara mereka  di tanah suci itu?

Kita juga  ghairah mahu mengetahui bagaimana Tabung  Haji tidak mampu memberikan dividen yang lebih tinggi daripada  yang baru disitiharkannya. Jawapannya seperti  yang saya nyatakan dulu ialah dengan mengetahui apakah jenis saham yang dipegang oleh Tabung Haji secara  terkini.  Hasil tulisan saya dulu, saya telah menerima maklumat pegangan saham yang dibeli oleh beberapa  Dana Amanah bank di negara ini. MasyaAllah, terkejut saya kerana kebanyakan pegangan tabung dana ini adalah saham-saham kepunyaan para kroni sahaja.  Inilah sebabnya  Ezam  disokong  oleh rakyat marhaen kerana pihak  yang arif mengenai pasaran saham sudah lama tahu bahawa salah satu sebab kenapa  pasaran BSKL menjadi lemah ialah kerana terlalu banyak saham para kroni yang dibeli oleh Dana Amanah ini, sedangkan hampir semua Tabung Dana Amanah ini menjual sahamnya kepada  orang  Melayu kelas pekerja. Hampir semuanya pembeli saham amanah meminjam daripada  bank. Cuba bayangkan nasib rakyat marhaen yang meminjam duit bank membeli saham ASJ dengan harga par RM1.00 (satu ringgit) sedangkan harganya sekarang sekitar dua puluh sen (purata)  sahaja. Bayangkan azab dan sengsara  rakyat marhaen yang mengikut nasihat  para penyangak  dalam UMNO  untuk meminjam duit bank untuk melabur  dalam dana amanah ini.  Bagaimana pula  keadaan  mereka  yang kini sudah pun diberhentikan kerana proses pembuangan pekerja  kerana kilang ditutup ataupun perniagaan  yang lingkup?

Ezam  Yang  Mesti  Diaibkan

Ezam akan menjadi ‘kambing hitam’ bikinan sekumpulan penyangak  dalam UMNO yang diketuai oleh seorang presiden yang naik melalui putar belit juga. Cuba  perhatikan pergerakan pemuda UMNO itu. Lihat keadaan  semua exco UMNO  dari segi kehidupan mereka  dan bandingkan dengan kepandaian  dan kelulusan  mereka. Tanpa pembabitan  dengan UMNO, mereka tidak mungkin menjadi pemimpin dan hidup  senang-lenang.

Beberapa minggu yang lalu Ali Rustam ketua menteri Melaka ada menyebut betapa perlunya mendapatkan khidmat seorang bekas panglima tentera untuk menjadi ketua penguatkuasa mesin judi haram.  Saya ingin menasihatkan Ali Rustam agar beristigfar panjang-panjang. .Tanggapannya itu bukan sahaja menghina golongan  tentera malahan ia memperlekehkan kelas ketua menteri dan menteri besar di negara ini. Ali Rustam tidak tahu ataupun tidak mahu tahu apakah kualiti menjadi seorang panglima tentera. Saya fikir kalau Ali Rustam  masuk angkatan tentera beliau hanya layak menjadi ‘quartermaster’ menjaga bekalan makanan sahaja ataupun lebih rendah daripada itu. Ali Rustam dan juga pergerakan pemuda UMNO tidak sedar kualiti seorang panglima tentera kerana  tidak ada panglima tentera setakat ini yang rakuskan kuasa. Kalau panglima tentera  di Malaysia  ini setaraf dengan panglima  tentera yang mungkin dikenali oleh Ali Rustam di Afrika, Malaysia sudah lama mengalami rampasan kuasa di mana pemimpin UMNO sudah lama terpenjara kerana  kebajingan mereka. Bukankah ini yang telah berlaku di Myanmar, Thailand, Indonesia dan Filipina?

Kalau kita lihat rampasan kuasa  yang pernah berlaku di Afrika, kebanyakan rampasan kuasa itu dilakukan oleh pegawai NCO (Non-Commissioned Officers -  pegawai tidak  bertauliah). Contoh yang terbaik ialah di Liberia  yang menonjolkan Sarjan Samuel Doe yang mati dibunuh akhirnya oleh seorang sarjan yang kini menjadi presiden pula. Samuel  Doe  dan  pegawai tentera lain merampas kuasa kerana mengambil iktibar daripada Napoleon Bonaparte dan juga  Hitler. Mereka berdua adalah berpangkat koperal sahaja pada asalnya.  Salah satu sebab kenapa Ezam mesti diaibkan ialah untuk menonjolkan kekuatan  polis sehingga menakutkan angkatan tentera Malaysia. Kalau inilah yang difikirkan oleh Mahathir dan pemikir bajingannya, biarlah saya katakan bahawa Mahathir  sedang  menjolok sarang tebuan juga. Mahathir  mungkin merasa selesa  dengan sikap  dingin panglima tentera Melayu hasil pengaruh yang mungkin ada  di tangan Hashim Ali adik iparnya. Tetapi, Mahathir dan semua  pemimpin UMNO mesti sedar bahawa “askar tentera dan rakyat jelata berpisah tiada....!!!!”  (Kita akan tulis mengenai rampasan kuasa  tentera  dalam MMM 10 Insya Allah.)

Ezam terpaksa  diaibkan untuk memesongkan kisah  seorang sultan yang mempunyai banyak skandal membabitkan kisah anak perempuannya yang sudah berumur  19 tahun. Sebenarnya kisah yang didedahkan oleh Malaysiakini  adalah cerita basi. Hampir  semua pengendali web Melayu dan penulis laman internet sudah lama tahu hal ini. Cuma kami tidak mendedahkannya dulu, cukup setakat  menyindirnya sahaja. Warga istana tahu kalau kisah Sultan ini membesar dan menular ia akan menampar imej UMNO dan Mahathir kerana ia berlaku sejak Mahathir  bergelar  ‘Maharajah’.

Ezam mesti diaibkan sebagai amaran jelas kepada PAS. Mahathir tidak berminat  menangkap Mahfuz Omar Mat Sabu ataupun Ismail Kamus. Dari segi kelantangan bercakap Mahfuz Omar memang lebih celupar daripada  Ezam. Tetapi, Mahfuz tidak boleh ditangkap kerana Mahathir amat ghairah mahukan PAS terus  berunding dengan UMNO. Tujuan sebenar perundingan hanya  untuk  melecehkan  proses keaiban kejatuhan Mahathir dan kumpulan bajingannya.

Mahathir  Mengajar  Melayu Berjihad

Penangkapan Ezam di bawah Akta Hasutan akan meledak menjadi satu kebangkitan rakyat yang tidak dapat dibendung oleh UMNO, Polis dan juga Mahathir. Orang Melayu bencikan Mahathir kerana dia mengaibkan Anwar Ibrahim dengan pelbagai tuduhan yang sehingga kini tidak pun dapat dibuktikan di mahkamah. Mahathir sendiri takut menghadirkan dirinya ke mahkamah sebanyak dua kali setelah arahan dikeluarkan kepadanya.  Di waktu yang sama, dia terus menjelajah dunia menghabiskan wang rakyat memberikan syarahan kenapa dia memecat Anwar.

Kini, Ezam ditangkap untuk dihadapkan ke mahkamah atas Akta Hasutan. Apakah akan jadi kalau peguam Ezam mendapatkan mahkamah mengeluarkan sapina kepada Mahathir? Bukankah tuduhan bahawa Ezam cuba menjatuhkan kerajaan mula-mula  sekali dituturkan oleh Mahathir sebelum Utusan Melayu terus mengapi-apikan isu itu? Kalau kes Ezam dihadapkan ke mahkamah kali ini kita menjangkakan beberapa peguamnya akan meminta semua exco pemuda UMNO  turut  disapina termasuk pegawai polis yang membuat laporan polis. Kes Ezam di mahkamah mungkin memakan masa yang panjang.  Apakah akan jadi kalau Ezam tidak diberikan ikat jamin? Perlembagaan Malaysia tidak melarang sesiapa  berdemo secara aman, dan inilah  yang ditekankan oleh Ezam tetapi diputar belit  oleh Mahathir, UMNO dan Utusan  Melayu.

Penangkapan Ezam atas tuduhan ini boleh dilihat sebagai ekoran akhir  setelah pihak musuhnya gagal dengan tohmahan betapa dia pernah memanjat tembok rumah Anwar Ibrahim untuk bertemu dengan anak wira  rakyat marhaen itu. Orang yang membuat tuduhan ini dulunya adalah seorang pemandu kereta Ezam yang diperkenalkannya sebagai seorang ‘sahabat’. Tetapi begitulah ragamnya politik Melayu. Sahabat dan kawan boleh bertukar menjadi lawan. Ini semua  jarang berlaku dalam politik kaum lain. Itu sebabnya UMNO bikinan Mahathir  merupakan  sebuah parti Melayu di mana  segala kelakuan negatif  Melayu itu hidup subur.

Oleh sebab Mahathir  menggalakkan  pemimpin UMNO  hidup bergelumang  dengan  segala penipuan, perangai ini menular  dengan bebas  di kalangan pemimpin Pemuda  UMNO. Saya pernah menulis  dalam siri ‘Suasana  Lebaran Pencetus  Minda’  mengenai  pergerakan pemuda  UMNO ini. Sudah dua tahun agaknya tulisan itu dibuat. Nampak sangat banyak kebenaran  dalam ramalan saya itu. Malahan, apa yang berlaku sekarang menunjukkan perkara yang lebih serius  akan berlaku di luar jangkaan para veteran UMNO.

Secara tidak disedari Mahathir dengan sokongan Pemuda UMNO yang nyata tidak matang lagi berpolitik telah mencetuskan satu semangat kebangkitan rakyat. Orang  Melayu kelas marhaen akan bangkit  disebabkan Ezam bin Mohd. Nor. adalah satu ikon yang akan menjadi satu katalis yang akan membuatkan orang melayu bersatu padu menentukan Mahathir undur daripada arena politik.

Sama  ada  Mahathir dan para penasihatnya akan percaya ataupun tidak, rakyat marhaen sedar bahawa  Ezam dan sahabatnya selama ini mahukan Mahathir undur dan bukannya mahu jatuhkan kerajaan.  Majoriti rakyat marhaen sedar  kerajaan pimpinan UMNO boleh dijatuhkan melalui pilihanraya umum 2004. Yang mereka mahu berlaku sekarang ialah pengunduran Mahathir dan  para jongosnya. Itu sahaja............dulu!!!!

Mahathir  dan para juaknya terutama  sekali kumpulan KEJAM mahu terus bertahan sambil mereka  terus merencana  melarikan simpanan harta yang ada. Rakyat Marhaen sedar apa juga yang Mahathir lakukan sekarang  adalah proses membalun wang ringgit  yang  masih ada lagi di dalam institusi kerajaan. Cuma, setiap dilakukan rancangan itu ada sahaja halangan yang ditentukan oleh Allah. Contohnya ialah pembinaan Empangan Bakun dulu yang terpaksa dihentikan apabila  Ting (tauke  batang penyapu) diserang  angin ahmar. Begitu juga dengan beberapa projek Vincent Tan yang terganggu apabila  tersiar beberapa gambar yang menunjukkan dia bersantai dengan Ketua Hakim Negara dan Ketua Peguam Negara. Episod itu semakin menekan apabila akhbar Australia mendedahkan Vincent Tan mempunyai perniagaan cuci kereta  dan  menyewa video  di sana. Alangkah aibnya cerita itu apabila dibandingkan dengan segala projek mega yang diberikan kepada bekas penjual insuran itu. Tetapi, itulah caranya Mahathir diaibkan di seluruh dunia oleh Allah apabila terdedah segala kejijikan  orang-orang pilihannya di luar negara.

Mahathir semakin  menyedarkan  orang Melayu apa ertinya berjihad  ke jalan Allah. Dia terpaksa  menjadikan Ezam sebagai mangsa untuk menutup malu terhadap apa yang sedang berlaku di Kubang Pasu. Majlis yang ditaja oleh PAS selama satu minggu dan membabitkan orang Melayu adalah satu pengaiban kepada Mahathir dalam sejarah politiknya. Dulu dia kerap menuduh Soros  sebagai penyangak matawang  yang menjahanamkan ekonomi negara. Tetapi apabila rakyat marhaen membuka Laman Web George Soros rakyat faham betapa Soros  banyak membantu negara miskin. Pembabitannya di Malaysia  tidak mungkin  terjalin tanpa pemimpin UMNO juga ataupun  para pemimpin korporat yang rapat dengan UMNO.  

Apabila Mahathir ketandusan idea untuk mencari orang asing dijadikan kambing hitam program bajingannya, Ezam menjadi mangsa sekali lagi. Mahathir mahu rakyat marhaen percaya bahawa Ezam adalah musuh rakyat. dan penyebab kenapa pelabur melarikan diri.  Dakyah ini disokong  oleh Baharum  Razak, presiden penjaja Melayu wilayah persekutuan. Cuma Baharum Razak  tidak  terfikir bahawa  keselamatan  negara  sudah lama  tergugat  kerana terdapat  lebih lima puluh peratus  orang  asing  yang  menjaja  dengan  menggunakan  lesen orang  Melayu. Cuba lihat  di kedai R&R  ‘Plus’  dan ‘Elit’  siapakah  yang berniaga dan  bekerja   sekarang kalau bukan orang  asing sedangkan lesen  adalah atas  nama  orang UMNO.  Begitu  juga di kebanyakan gerai  di Chow Kit dan  bandar besar seperti Johor Bahru, Ipoh, Penang, Alor Star dan sebagainya.  Apakah yang Bahrum Razak   sudah lakukan apabila  tercetus  kisah pengarah bandaraya  yang  mempunyai dan mengendalikan  80 (lapan puluh) lesen  gerai   makan  di Kuala  Lumpur?

Tetapi itulah juga taktik Mahathir.  Dia  terus  menipu dan berbohong  kerana  mahu terus  berkuasa.  Rakyat marhaen terutama sekali veteran UMNO masih ingat apa yang pernah Mahathir ucapkan di parlimen  pada 11 Ogos  1965.  Kita petik rakaman Hansard parlimen akan kata-katanya itu;

“.....Saya bangun  hendak cakap untuk menentang usul dibawa oleh Encik Abdul Samad Gul, iaitu  bahawa Majlis ini mengambil keputusan meminda  Perlembagaan Malaysia dengan maksud supaya terjamin hak-hak bumiputera  di dalam lapangan politik, ekonomi, pelajaran dan kebudayaan.  Sebabnya saya menentang usul ini ialah:

“Saya tidak percaya, saya sebutkan lagi – TIDAK  PERCAYA - dengan diadakan, dengan dicatatkan di dalam perlembagaan hak-hak bumiputera maka ni akan membawa kepada kesenangan bagi orang-orang Melayu. Dan pada satu masa, kita AKAN BUANG  SAMA SEKALI hak-hak istimewa orang-orang Melayu......”

Rakyat marhaen sudah lama memendam kata-kata, seperti  mana  mereka masih ingat bagaimana  Putrajaya  diserahkan oleh Kerajaan Selangor tanpa mengambil kira  bangkangan rakyat. Seperti juga cadangan Mahathir  di BAOA Beijing  yang mahukan kuasa besar  dicukai untuk membantu negara membangun naik. Tetapi, apakah rakyat marhaen akan lupa bagaimana wang rakyat digunakan untuk memulihkan segala  kerugian yang dialami oleh klon-klonnya  dan para kroninya? Mahathir  fikir semua  penipuan ini dapat ditutup dengan menangkap Ezam dan menderanya. Kalau Ezam tidak dibebaskan dan segala tuduhan ditarik balik ia akan bererti bahawa kejatuhan Mahathir hanya menunggu saat  terakhirnya.

Inilah saatnya Mahathir mungkin menghadapi segala  kutukan  dan proses diganyang  oleh pelbagai kelompok dalaman yang  masih berada  dalam UMNO. Inilah bermulanya saat genting bagi Mahathir.  Sekaligus, Pemuda UMNO pun akan diperlekehkan oleh orang Melayu. Laksana  ‘hyena’ yang kelaparan, golongan dalaman ini dijangka bangkit mengganyang Mahathir secara terang-terangan.

Kebenaran akan tetap menjadi kebenaran. Apakah dosa sebenar Ezam yang dia dituduh di bawah Akta Hasutan?  Mahathir tidak punyai pilihan lagi selain mengundurkan dirinya dan lari ke negara yang tidak ada perjanjian ekstradisi dengan Malaysia. Saya ingin beri pesanan kepada Mahathir, eloklah undur dengan segera sebelum terlambat dan sebelum semangat jihad orang Melayu membara seluruh negara. Bukalah lembaran sejarah dan lihat apa yang akan jadi kalau orang Melayu mengamuk, dan sebelum lagu “Selamat Tinggal Romeo” menjadi popular semula. Memang buruk padahnya. Mahathir  melalui pergerakan Pemuda UMNO sudah membuatkan orang  Melayu merasakan  diri mereka  terhina. UMNO tajaan  Mahathir  sudah  menunjukkan betapa orang Melayu sudah menjadi hamba abdi  kepada kerakusan  mereka. Apabila  polis turut  dengan telatah ini, ia sudah membuatkan orang  Melayu itu menjadi satu bangsa  yang sungguh terhina.    

-marhaintua-
7.3.2001.

Hits: