TAG057

Penswastaan Yang Menyimpang
(Short-changed by privatisation)

Oleh:  Radzuan Halim

Artikel asal pernah terbit di ‘The Sun On Sunday’ - Februari 11.2001.  

Ada satu  bidalan yang berbunyi; ‘jalan menuju kancah kemusnahan selalu diwarnai cita-cita  yang baik-baik. Memang, di sebalik cita-cita program penswastaan  itu  berbentuk pelbagai rancangan yang tidak kelihatan  cacat-celanya. Termasuklah keinginan  menurunkan perbelanjaan kerajaan yang  selalu meluncur ke depan  dengan lajunya, dengan  tujuan mengurangkan  beban para  pembayar cukai. Kemudian,  ada  pula  satu  tanggapan  betapa unggulnya  keupayaan  mengurus  di  kalangan  sektor persendirian berbanding dengan keculasan dan sikap birokrasi pengurusan awam.

Penswastaan  menjanjikan  penjimatan yang besar, kecekapan dan ‘dinamisme’.  Lagipun ia merupakan  satu  fesyen  yang  telah  diperkenalkan  oleh  Wanita Besi  Margaret Thatcher  dan  ketika  itu dianggap  amat  seiras  dengan  kecenderungan  dunia  yang  mengamalkan  konsep  membebaskan  diri   daripada  banyak peraturan lama dan  liberalisasi (kerana  globalisasi hanya  muncul  kemundiannya).

Proses penswastaan selama  satu  dekad (1900-2000) kini sudah  menunjukkan   satu  kad  laporan  yang  memang  tidak  menyenangkan.  Lapuran   keseluruhannya   memang amat  menghampakan, walaupun  ada  juga   markah  yang baik   di  sana-sini.

Dalam  banyak  hal  memang  telah  berlaku  kemusnahan  sehinggakan  difikirkan  betapa  perlunya  diperbetulkan  ataupun dilakukan kembalikan proses  penswastaan  itu  yang  sudah  semestinya  membebankan  para  pembayar  cukai. Mungkin  ada   yang  berkata bahawa  program penswastaan  itu   telah  menjadi  mangsa  kepada krisis ekonomi  Asia  Timur yang  turut   melanda  negara  pada  Julai  1987  hingga  Disember 1998  (dan  berterusan lagi, kini).   Tetapi, kita juga  boleh   berkata  bahawa  penswastaan  itu  telah  menyulitkan  lagi  kepedihan  sistem ekonomi  kita  disebabkan hutang yang  bertapuk  tingginya  dan  pulangan  modal  yang amat rendah.  

Di  waktu  yang  sama, pelbagai usaha   dilaksanakan  untuk  menjulang kejayaan rencana penswastaan itu, terutama sekali  terhadap   Telekom Malaysia  dan Tenaga  Nasional.  Pada  hal  inilah  institusi  yang  pada  satu  ketika  dulu  memang  mempunyai  rekod kejayaan yang  sungguh  lama  sebelum diswastakan. Malahan, kedua-dua  institusi  ini  terus  dikuasai  oleh  sektor  awam  dalam hal perlantikan pegawai-pegawai tinggi dan  dalam kegiatan  membuat  perolehan  yang  besar-besar  (kontrak).

Kejayaan   penswastaan  diwar-warkan  jua  dari  aspek  penjimatan  belanja  kerajaan, penurunan angka  kakitangan  kerajaan   dan  sebagainya. Namun,  tidak ada  siasatan perakaunan  yang  menyeluruh yang  telah   dilaksanakan. Kita  perlu mengetahui  apa yang  telah dilaksanakan  dengan  pembayaran   cukai  kita  berkaitan   dengan   aset  dan sumber  pendapatan  di masa  hadapan. Apa  jadinya  dengan  pemberian   geran,  pinjaman  dan  jaminan  ke atas  pinjaman  yang  telah  dilambakkan  kepada  institusi yang  dibiarkan untuk  proses  penswastaan itu.

Lagipun, unsur-unsur  jaminan-yang-dimungkinkan  masih  wujud  lagi. Dalam  hal  ini para  peminjam (bank)  mempunyai  anggapan  bahawa  mereka boleh  merujukkan  kepada  kerajaan  seandainya  berlaku masalah  melunaskan  hutang yang mereka berikan. Dalam  kes  projek  pengangkutan  aliran  ringan  di  Lembah  Kelang, pihak  bank telah diberikan  bantuan penyelamatan yang walaupun tidak  wujud  sebarang  surat jaminan yang  pernah  dikeluarkan  oleh  kerajaan.

Izinkan  saya  mencatatkan pengamatan  saya  mengenai  beberapa  program  penswastaan, dengan  diikuti  oleh  beberapa iktibar  dan  apa  yang boleh  kita  pelajari  darinya.

Program  penswastaan  telah  memberikan ruang  yang  luas  kepada   peniaga  baru mengambil  peranan penting, malahan  memikul  tugas  berat  dalam projek   mega infrastruktur dan juga  projek awam   yang  besar-besar. Peniaga-peniaga  ini tidak  pernah diawasi ketokohan  mereka  melalui pengalaman dengan    sektor  awam sedangkan  prestasi dan  keputusan  eksekutif mereka  akan  mencorakkan  cara  hidup  rakyat  negara  ini.

Banyak  projek penswastaan  yang  terbengkalai di tahap  awalannya  lagi kerana  konsep kewujudannya  tidak didahului  kajian  yang  menyeluruh. Satu  contoh  ialah  penswastaan air-najis. Kerja-kerja  mengutip  dan  memproses najis  manusia   tidak  dibuat  secara menyeluruh sebagai  satu  projek  nasional.  Kerja-kerja  itu  dibiarkan  menjadi  urusan  majlis  tempatan  dan  bandaraya, tanpa koordinasi pusat  dan  penyeliaan  oleh  JKR ataupun  pun  badan  khas terhadapnya.  Cukai  urusan  najis  tidak  dimasukkan  dalam perkiraan  cukai pintu.  Oleh  itu  kuasa  untuk  menguatkuasakan  pembayaran  (dengan cara  menyita  harta  yang ingkar) tidak   dapat  dikuatkuasakan.

Penswastaan   sesungguhnya  telah  menyebabkan  ramai  peniaga  yang mempunyai  hutang yang bertapuk tingginya.  Hutang yang  banyak  sudah  tentu  mencetuskan  risiko yang besar dan ini  sudah  tentu  dialihkan kepada   pembayar  cukai   untuk  mengelakkan  bank peminjam  menjadi  muflis disebabkan   pinjaman  yang tidak berbayar (Non Performing Loans- NPLs).    Banyak  juga  yang  meminjam  daripada peminjam  asing dalam  bentuk  matawang asing.  Semua  pinjaman  ini   ada  hubung kait  yang  negatif  dengan  matawang  negara. Setiap  kali pinjaman luar  ini  tidak  terlunas ia  menjejaskan  martabat  negara  dalam  bidang  kewangan  antarabangsa.

Penswastaan   mengendurkan kuasa  dan  hak  Perbendaharaan   Persekutuan dan  jabatan  teknikal  seperti   JKR tidak  lagi  memeriksa dan  memberikan pengesahan  kepada  pemberian  kontrak  dan  tender. Perkara ini  menyentuh  suasana   awalan lagi  yang  membabitkan  projek infrastruktur  di mana  geran  dan  pinjaman  kerajaan  diberikan  kepada  badan  yang diswastakan  itu. Dengan  hal  demikian, wang rakyat  dibelanjakan  tanpa  penelitian  pembayar  cukai dan   kerajaan.

Inilah  yang  selalu  menyebabkan  perbelanjaan  yang berlebihan kerana  sistem tender  yang   sudah pun  dihapuskan. Perbelanjaan  yang  berlebihan  ini akhirnya  menjadi  bebanan para  pembayar cukai  yang  terpaksa membebaninya  lagi  apabila  projek  tersebut kantul  dan  gagal.

Penswastaan  membabitkan  kerja-kerja  pemusatan  dan longgokan  semua  projek-projek  kecil, kerja-kerja kontrak  dan perolehan. Kalau   dulu, lubang penyeliaan  jalan,  pembaikan jalan, dan pencucian cadar  dan kain-kain  hospital  dilaksanakan  oleh  ratusan  peniaga kecilan di seluruh negara, penswastaan  semua  kerja-kerja  ini  telah menjadikan kerja-kerja  ini  diberikan hanya  kepada  segelintir  kontraktor besar sahaja.  Sudah  tentu  kaedah  ini  menghenyak  masyarakat hingga mencetuskan  implikasi sosial dan politik.

Salah  satu   punca  kegusaran   rakyat  ialah  cara  tol jalan raya  dilaksanakan.  Inilah  yang  telah  mencetuskan  sindrom ‘Tembok  Berlin’ dan  dalam  banyak  hal  telah  menjadikan   aliran  lalu lintas  semakin  buruk lagi.   Cara  cukai  tol  dilaksanakan  secara rambang  memang  boleh  mencetuskan  implikasi  yang  pelik-pelik.

Penduduk  Shah Alam  dikenakan  tol, tetapi  penduduk Subang Jaya  dikecualikan. Orang di Cheras  dikenakan membayarnya  tetapi tidak pula  penghuni di  Damansara  Heights. Saya   pernah  memberikan  beberapa  cadangan   mengenai hal  ini  di  tulisan yang lain.

Apakah  iktibar  dan  rumusan  yang  dapat  kita  jadikan  pelajaran  dalam hal penswastaan  ini?

Pertama,  Kita  tidak  boleh bergantung harap  kepada orang  bisnes  untuk menyelesaikan  masalah  infrastruktur  dan  perkhidmatan  awam. Orang bisnes  mempunyai prioriti  mereka tersendiri. Selalunya,  pengalaman  dan   latihan (kelulusan akademik?)  mereka  jauh  lebih  rendah  daripada  yang  disediakan  dalam  perkhidmatan awam. Kita tidak  boleh  .berpelok tubuh menunggukan orang  bisnes  memberikan  ideabagaimana menyelesaikan masalah  awam.  Pegawai  kerajaan  mesti  membuat  kajian  dan  mengemukakan  jawapannya. Projek pengangkutan aliran  ringan  Lembah  Kelang  memang satu  contoh  yang  jelas dalam perkara ini (yang difaradikan kepada  penjual  insuran  dan pengekspot  batang penyapu oleh wira  dunia  ketiga  jolokan pemimpin  haprak  juga -  penterjemah).  Para  peniaga  telah  mengemukakan  cadangan  mengenaninya, melaksanakannya  dan  setelah  gagal dengan  projek  itu  ia terpaksa diselamatkan dengan  wang  rakyat  marhaen  juga. 

Kedua,  setiap projek  yang  membabitkan  wang  rakyat  ataupun  membabitkan rakyat  akhirnya,  mestilah  direka  dan uruskan  secaratender  dan tidak  boleh  diserahkan bulat-bulat  kepada  orang bisnes. Pengawalan  kerajaan  yang  terperinci  dan  penguasaannya  memang diperlukan  untuk  menentukan  wang rakyat dibelanjakan   dengan  betul  dan segala  lakaran  dan  konsep  dilaksanakan  menepati  kehendak  rakyat.  Kalau  perbelanjaan  itu tidak  dikawal  dengan  betul, ia  membawa erti  wujudnya “pencukaian  tanpa  pnelitian’ satu amalan  songsang di dalam sebuah  negara yang  mengamalkan   sistem  demokrasi.

Ketiga,  Penswastaan  tidak  bererti  kita  tidak  perlu  membuat  keputusan  yang besar-besar.Contohnya  ialah keperluan  menyelesaikan masalah  pengangkutan  Lembah  Kelang yang  berserabut  dengan pencemaran udaranya. Masalah ini bukan  memadai  diselesaikan  dengan   pembikinan jalan yang  lebih baik tetapi dengan  pengangkutan  awam yang  lebih lagi  dan  pengurangan  kereta persendirian  di jalan raya.

Malahan, ada pihak   yang  beranggapan  kita  tidak  seharusnya  memperbanyakkan jalan raya  kerana ini akan  membuat  lebih banyak kereta sewa. Namun,  keghairahan  kita  terhadap  penswastaan,   menyebabkan  kita tertumpu  kepada  pembinaan jalan  bertol, dan mengenepikan  cukai   masuk kepada  kenderaan  yang  mahu ke gerbang  kota, kenaikan  cukai  minyak  dan   penguatkuasaan yang  lebih  berkesan  terhadap  pencemaran eksos kenderaan.

Keempat, sesuatu  pengurusan  yang baik tetap  berupa  itu  juga  tidak kira  sama  ada di sektor kerajaan ataupun  swasta.    Sektor  persendirian  bukannya bererti pengurusan  yang  baik-baik  belaka dan tidak  juga  setiap   sektor  awam itu  dimendungi  oleh  perkhidmatan   yang  leceh dan culas.   Ramai   pengurus  kita  yang  baik-baik  terdapat  di dalam  perkhidmatan  kerajaan (tadbiran  awam negara).

Beberapa  institusi  Singapura – Singapore  Airlines,  Development  Bank of  Singapore, Jurong Town  Board,  pelabuhannya -  semuanya  diterajui oleh   pegawai perkhidmatan  awam.  Kita  mesti  memancing   calon  yang baik-baik  untuk  perkhidmatan  awam  yang  unggul  dan  melatih  mereka  dengan  jujur.  Kalau kita  mahu dapatkan khidmat orang  bisnes, adalah  sukar  untuk menyelidik kepintaran  mereka  dalam  mengurus dan  menerajui prasarana  awam dan   perkhidmatannya.

Sebagai  rumusan,  kita  perlu merencana  dengan   bijak  apabila  mahu membuat keputusan  terhadap   setiap  projek  penswastaan. Niat   yang   baik   sahaja  memang belum mencukupi.

Khidmat  dan  projek  itu  mesti   bersesuaian  untuk  penswastaan. Semua   implikasi penting  seperti  jumlah   hutang yang  mungkin  berbangkit dan keupayaan  pengurusan   pengusaha   projek  itu  perlu  dipertimbangkan   dengan  teliti. Apabila  wang rakyat dibabitkan, mesti  ada peraturan  penguasaannya  yang mantap. Kerajaan  sendiri   mesti  bertindak  terhadap  keperluan  rakyat  dan  menentukan   apakah  jenis  projek   yang   perlu  dilaksanakan.   Tugas  terpenting  ini  tidak   seharusnya  dibiarkan  kepada  orang  bisnes  sahaja.

-Radzuan  Halim-
11hb Februari, 2001.

 

Catatan  Penterjemah:

Sdr. Radzuan   Halim  merupakan  seorang  insan yang  banyak  jasanya  kepada  negara  ini baik dalam bidang pemikiran,  pembangunan  dan  juga  pendidikan. Dalam  menterjemah  tulisannya  ini saya  terimbau  zaman silam dan merasa sedih  kerana  tidak  mendapatkan  keizinan rasmi  darinya  sebelum menterjemahkan  tulisan  yang  sungguh  baik  ini. –MT-11 Mach, 2001