MGG6501

Hasutan Tolong Hentikan  Hasutan, 
Bukankah Kita  Warga Malaysia? 
(Chiaroscuro:  No Sedition  Please, We  Are  Malaysians)

-Artikel asal di  Malaysiakini  bertarikh  15 Mach, 2001. 

Polis mengugut rakyat  Malaysia dengan  Akta Hasutan. Satu ketika  dulu ugutan dibuat dengan  menggunakan ISA (Internal  Security  Act - Akta  Keselamatan Dalam negeri).  Anda mudah  ditangkap  dengan  akta  hasutan itu  kalau anda  mengeluarkan berita dongeng. Kalau  anda membuat kenyataan seperti  yang dilakukan  oleh ahli  parti pembangkang seperti membayangkan betapa  kerajaan yang tidak layak  memerintah harus ditumbangkan. Tetapi kalau  anda adalah  seorang penyokong UMNO anda boleh berkata  apa sahaja. Kalau anda tidak  mempercayai  kenyataan  polis mengenai   sesuatu   peristiwa dan menyuarakan tidak-kepuasan  dengan  berita  itu,  itu pun  merupakan satu  kesalahan  juga. Itu  pun untuk  segelintir manusia  sahaja. 

Kini,  Malaysiakini, PAS  dan  Keadilan telah melakukan  kesalahan  kerana memberikan angka  kematian  yang mengikut polis  adalah  angka  yang  berlebihan.   Angka sebenar orang  yang  mati  adalah angka yang  polis kasi. Tiga institusi ini  mengikut takrifan kerajaan  yang  melampaui  batasan logik adalah anti-nasional. Kerana  itu polis membuat laporan terhadap  mereka. 

Inilah  satu sandiwara.  Sejak  bilakah  polis diperlukan membuat  ‘lapuran polis’ apabila  berlakunya  sesuatu  jenayah? Bukankah  mereka mempunyai kuasa  untuk menangkap sesiapa sahaja tanpa  ‘laporan polis’ itu?  Apakah  ini satu  cara menunjukkan kalau mereka  tidak  mengikuti  arahan ada saja  deraan  yang  akan  menimpa  mereka? Kalau jenayah  telah dilakukan  polis  harus  pergi  membuat tangkapan. 

Terdahulu,  ketua  pemuda  Keadilan, Ezam  Mohamad  Nor telah dikenakan tuduhan kerana menghasut.  Tetapi tidak  pula  tuduhan  itu  dikenakan  kepada  Utusan Malaysia, yang melaporkan perkataan  yang dikatakan dituturkan  oleh Ezam.  Oleh  kerana terlalu ghairah  untuk membuktikan  polis  bertindak pantas sebaik  menerima laporan terhadap parti  BN, makanya  Ezam ditangkap  dan dikenakan tuduhan itu. Tetapi, polis tidak pun bertindak untuk  mendakwa  seorang wakil rakyat  wanita  BN kerana kata-kata hasutannya, yang sungguh  bisa  menghasut dan  tidak patut  dituturkannya malahan  lebih serius daripada  kata-kata  Ezam  mengenai  menjatuhkan kerajaan. Kenapa  tidak? 

Akta  Hasutan  sepatutnya  tidak digunakan untuk  menakut-nakutkan. Rakyat semakin ragu, terutama sekali setelah  melihatkan betapa  tidak   berkesannya  pihak polis menangani perkelahian  kaum yang terjadi  di  Petaling Jaya sehinggakan  ia membesar kerana  kelemahan  kerajaan bertindak  laksana  ayam yang dipenggal kepalanya. Itulah kawasan yang   diabai oleh  kerajaan berdekad  lamanya, tetapi  kini itulah juga kawasan di   mana  kerajaan  meluru  untuk  membina rumah  kos  rendah. Keadaan kehidupan  yang ditanggung  oleh  160,000  penduduk  di  situ  sungguh  teruk  dan  memalukan sehinggakan timbul  soalan bagaimanakah kerajaan mahu  memulakan  projeknya  itu. 

Apakah ini reaksi kepada  apa  yang  terjadi?  Saya   mahu  mempercayainya.  Apabila timbalan  perdana menteri  Abdullah  Ahmad Badawi melawat kawasan  itu  pada hari Isnin yang lalu,  tidak  pula  dia  menyatakannya begitu. Sejak  bilakah  kajian dilaksanakan? Kenapa kajian itu  tidak  diumumkan, sebagai  contohnya  pada pemilu  1999 dulu? Ataupun  ketika  menteri  besar  Khir Toyo  diejek, disindir dan  diperli? 

Cara  mentadbir seperti inilah  yang  membuatkan rakyat marhaen naik marah. Sekolah Cina di  Damansara mendapat layanan  istimewa kerana  ia  menjadi  bahan  politik. Keadaan kawasan  setinggan  yang  meloyakan itu  diberikan perhatian  rapi kerana orang Melayu yang merupakan  tiang  dan  teras  yang  menyokong  kerajaan telah  pun  beralih arah. Kalau pilihanraya  umum  diadakan  esok hari  kerajaan  yang sedang  memerintah akan kalah majoritinya  dengan  mudah. Kerana  itu, rumah  harga murah  yang dijanjikan berdekad   dulu tetapi  tidak pernah dilunaskan janjinya  itu, akan  dibina juga akhirnya. 

Apakah ini sahaja  kawasan setinggan yang  memerlukan  bantuan? Tentu  tidak! Jadi, isyaratnya  yang telah diberikan  ialah  kalau anda   tidak meraung  tidak ada sesiapa yang   datang  menolong. Ada  dua  contoh  di  sini:  Kampung Medan  dan Sekolah  Cina Damansara.  Bunyi  penduduk  Kampung  Medan  meraung itu  telah  mencuit ketenangan penduduk  Putrajaya  yang  sedang  keseronokan  dengan  segala  kemudahan untuk hidup mewah dan  berlagak  sakan. Kampung Medan  terpaksa   dikawal  dengan ketat dulu  oleh pasukan  bersenjata sebelum  menteri kabinet  dan  pemimpin  Barisan  Nasional berani menjejakkan  kaki. 

Inikah  caranya  kerajaan  menunaikan  keperluan rakyat marhaen?  Apakah  mereka terpaksa meraung dulu   menarik perhatian kerajaan untuk  datang  membantu? Yang menakutkan,  kita  Kampung  Medan bukan merupakan hanya  satu kampung  setinggan yang bersedia  meledak  sepertinya.  Memang  banyak  lagi  kawasan  setinggan  yang  dibina di  celah-celah  segala lambang pembangunan  termoden  yang dihuni oleh warga negara yang  mencari  kerja sambil  balik  ke tempat istirahat  yang  dipanggil sebagai rumah mereka. 

Pihak polis  boleh  mengugut  sesiapa  sahaja dengan akta  hasutan kalau kenyataan kehidupan  begini  tidak  dipercayainya.  Semua  ini tidak  membawa  sebarang makna kepada pihak yang  mengawal undang-undang negara  sedangkan  ketamadunan dan kecanggihan Petaling  Jaya  itu  merupakan kawasan  yang  dipinggiri  satu  perkampungan setinggan yang  sungguh  berbahaya dan  boleh meledak dalam  sekelip  mata   tetapi  tidak ada sesiapa yang  memperdulikannya. 

Sepatutnya  polis mendapatkan kerjasama  pihak  media  seperti  yang  dilakukannya  pada 1969   dulu. Ketika itu  para  wartawan  sedar  peranan  mereka untuk    membuat laporan yang sebetulnya  untuk  meredakan  keadaan.  Kini, hasutan  merupakan senjata terbaru kepada pihak  polis  itu. Tidak   hairanlah  kalau ada  sesiapa  yang  terjebak olehnya. Tetapi, apakah ia mampu  menyelesaikan  segala masalah yang bersarang di Kampung Medan  yang  sudah pun  menghantui rakyat  marhaen?

-MGG Pillai-
pillai@mgg.pc.my

Jumaat  16 Mac, 2001.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>MT 16/3/2001<<<<<<<<<<<<<<<<<<<