Teka-teki Time dotCom

Para  pengkritik  telah  bersuara  lantang  menyanggah cara kerajaan  Malaysia menangani penawaran  jualan  hari awalan  Time dotCom. Penjualan  awalan (IPO = Initial Public  Offering) saham  itu  kantul ketika ditutup pada  bulan  yang  lalu. Tawaran sebanyak 572 juta saham   tidak dilanggan setakat  75 persen.  Seperti  yang  dijangkakan  agensi  kerajaan  muncul sebagai  pemilik saham yang tidak  diingini  itu.  Mereka  adalah  Kumpulan  Wang  Amanah  Pencen (10.82 persen),  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja  (KWSP)  3.32  persen  dan  Pengurusan Danharta Nasional  3.26 persen.

Para  pengkritik memang  mempunyai  hak untuk  mengambil-tahu, kerana  adanya isyarat harga saham  akan  menjunam di  hari  pertama jualan  saham itu. Ramalan itu ternyata benar. Harga saham menjunam kepada   RM2.20  daripada  harga  tawaran hari pertama sebanyak  RM 3.30, menghakiskan  hampir  RM 3  bilion  daripada  modal  Time dotCom dalam masa  satu  minggu  sahaja.

Tetapi, para pengkritik harus  melihat dasar  yang  digunakan  oleh  kerajaan dalam membuat pelaburannya dan juga  sejarah  peranan IPO yang   merugikan itu.  Harus dicatatkan  bahawa  KWSP  dan  Danaharta tidak   pun  melabur untuk mendapatkan saham Time dotCom yang  tidak diingini  oleh  para  pelabur  itu. Kedua-dua  agensi kerajaan itu  tadi  adalah  pemberi hutang  kepada  Time  Engineering,  syarikat  induk Time dotCom. Kerana itu  hutang  yang diberikan  itu sudah  ditukarkan  dengan pegangan saham  Time  dotCom, tentunya ini  merupakan cara  terbaik  selain  mendapatkan kembali wang  tunai.

Dalam perjanjian dengan  pemiutangnya, Time  Engineering sepatutnya  membayar balik segala  hutangnya  daripada wang yang diterima dalam  penjualan  saham IPO itu. Nampaknya perkara  ini  tidak  menjadi  kenyataan sambil memberikan masalah besar kepada para penjamin (underwriters).

Time dotCom sepatutnya  telah  disenaraikan tahun  yang lalu  ketika  sentimen pasaran terhadap  ‘telcos’ (telephone companies)  dan  dotComs (syarikat  IT)  nampak lebih cerah  lagi,  apatah  lagi  kalau  ia dapat  bergabung dengan Singapore Telecommunications.  Ketika  itu  Singapore Telco sudah   pun  bersedia  untuk menyuntik RM2.4 bilion  (S$1.42 billion) ke  dalam  syarikat   yang mempunyai satu jaringan gentian optik  yang  melingkari seluruh  Semenanjung  Malaysia.

Sebaliknya, pihak kerajaan  telah  mengenakan  ‘veto’ terhadap perundingan  itu untuk menyekat  kemasukan  syarikat  Telco milik kerajaan  Singapura.  Usahasama dengan Singtel sudah  tentu   dapat  menjana sinergi  yang hebat dan menghangatkan kemunculan IPO syarikat   ‘usahasama’  itu.  Lagipun, Singapura  telah  bersedia membayar IPO sebanyak RM3.30 sesaham untuk  mendapatkan  20% hak perkongsian dalam  Time dotCom.

Kegagalan  bergabung  dengan  SingTel  membuatkan  para  penaja  saham  IPO Time dotCom terpaksa  mengubah  perancangan mereka  semula. Satu  lagi  agensi  kerajaan Malaysia, Khazanah  nasional, telah  mengambil  tempat  SingTel, tetapi  harga  tawarannya  adalah lebih  rendah  daripada tawaran SingTel. Lagipun, Khazanah  tidak   pun mempunyai kepakaran  dalam  bidang perniagaan  Telekom yang  sentiasa bergerak pantas itu.

Kesannya  menyebabkan  para  analis  menurunkan  taksiran nilai saham  Time dotCom secara berpada.  Namun,  memang  tidak  ada  ruang untuk menyentuh  harga IPO  saham syarikat itu.

Berbeza dengan  syarikat  lain  yang baru  mahu  disenaraikan,  saham IPO kepunyaan Time dotCom  merupakan  sebahagian  kepada  satu  rencana menyusun  kembali hutang bertapuk  yang  membabitkan syarikat dengan  para pemiutang seperti  KWSP, Danaharta dan hampir setiap  bank di  ibukota.  Setiap  pemiutang mahukan balik hutang yang diberikannya  itu  dengan sempurna.  Tetapi, penolakan  tawaran secara  menyeluruh  dan penurunan harga saham secara merudum  membuatkan  usaha  itu  sesuatu  yang amat menyulitkan  para  penjamin cagaran  saham-saham itu dalam  usaha menjualnya kepada pelabur  lain  untuk  mendapatkan  wang mereka.

Dengan demikian adalah bukan  satu  perkara yang  ganjil  untuk  KWSP  dan Danaharta memikul ‘biawak hidup’  dengan  menukarkan hutang bertapuk  itu  kepada  ekuiti. Walaupun  mereka  tidak lagi  tertenggek di atas busut  hutang  yang bertapuk, kini mereka terkangkang pula  di atas kertas  hutang yang  tidak lagu.

KWSP  dan  Danaharta  memang  mempunyai  alasan  wajar  untuk  bertindak demikian. Tetapi, apa pula kisahnya dengan  KWAP yang tidak dilanda musibah  seperti KWSP dan Danaharta  itu?  Kenapa  pula  KWAP mahu  melibatkan diri  dengan Time  dotCom?  KWAP berperanan  menguruskan simpanan dana  para  warga pencen negara. KWAp tidak pernah memberi  hutang  kepada Time  Engineering.  Tetapi, ia  telah  memuntahkan RM904 juta wangtunai simpanannya  untuk  membeli sebahagian  saham  Time dotCom sehingga menjadi pemegang ketiga  terbesar saham  syarikat  itu. Kini, KWAP duduk  terkangkang dengan kerugian  RM323  juta  kerana  harga  saham  yang sudah  merudum nilainya.  KWAP harus memberikan penjelasan kenapa  dan bagaimana ia boleh menjadi  begitu  bodoh memiliki begitu  banyak  saham yang tidak pun ada  nilainya  itu.

-Artikel asal  kiriman  MGG  Pillai- 

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>MT 24/3/2001<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<