KWAP Menyinar  Setelah  Membeli  TimedotCom 
(KWAP in the spotlight with  purchase of TimedotCom) 

Oleh:  Shahriman  Johari  19Mach, 2001.

(Artikel  kiriman MGG  Pillai)

Sejak lebih  sepuluh  tahun Kumpulan  Wang Amanah  Pencen telah  berperanan secara senyap tanpa  menonjolkan  identiti  sebagai  pelabur institusi  berbanding dengan agensi lainnya  seperti  Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan  Wang Simpanan  Pekerja.

Kerana  itu   ramai yang  telah  memperlekehkan kewujudannya  walaupun  badan ini mempunyai simpanan bernilai  RM15 bilion mengikut  taksiran  Jun  tahun yang lalu. Mengikut  laporan  Ekonomi 2000, jumlah  ini  adalah  bersamaan dengan separuh daripada khazanah   Permodalan  Nasional Berhad (PNB).

Perubahan akan  berlaku juga selepas ia menghamburkan  hampir  RM1bilion  untuk membeli sekitar 247 juta saham TimedotCom yang  tidak pun  diingini   oleh orang lain. Kadar pembelian  mengejutkan  pasaran dan berbeza dengan  Danaharta  dan juga KWSP yang memberikan  penjelasan  kenapa  mereka membeli saham  IPO  itu, KWAP pula bersikap diam membatu  dalam tindakannya  itu.

Pembabitan  KWAP dalam  perkara ini  mengejutkan banyak  pihak  yang semakin sangsi dengan tindakan kerajaan menggunakan  cukai  pendapatan   rakyat  negara  ini. Berdasarkan  harga terakhir  saham TimedotCom  pada  harga  RM2.12,  KWAP  kini sudah kerugian  sebanyak  RM323  juta.  Lagipun, tindakan  KWAP  itu  menarik perhatian kerana  selama  ini  pertumbuhannya selama tujuh  tahun  yang  lalu berkisar kepada pelaburan dalam  instrumen  yang tidak  berisiko  tinggi.

Apakah  ini   satu  petanda  betapa  banyak perkara akan berubah  juga? Jumlah dana KWAP pada tahun  lalu  meningkat  sebanyak  12 persen  kepada RM15.3 bilion berbanding RM13.56 bilion  pada  1999.

Lapuran  Ekonomi  2000  mencatatkan  betapa  separuh pelaburan  KWAP adalah dalam bentuk simpanan dan  pembelian  instrumen kewangan di  pasaran. Sebanyak  29 persen adalah dalam  bentuk  ekuiti  dan dana  amanah saham. Sebanyak  17 persen pula  dalam bentuk pinjaman dan bon  syarikat.

Para   pedagang  dan pengurus  dana  berkata KWAP memang tidak aktif dalam pasaran  saham berbanding agensi  lain  seperti  KWSP dan  PNB. Sebelum  Disember tahun  lalu ada juga  KWAP membeli  9 persen saham MAS menggambarkan  pembabitannya berbentuk jangka panjang dan  bersikap  pelaburan sahaja. Inilah  gambaran mengenai  cara KWAP menangani risiko  pelaburannya.

Kini  muncul   satu soalan  yang  perlu  dijawab: kenapakah  KWAP  mengambil sikap putar-balik dan  melabur  dalam  TimedotCom?

KWAP telah ditubuhkan  pada  1991, di  bawah Akta  Dana  Amanah Pencen (Pensions Trust Fund  Act). Matlamatnya  ialah  untuk  meraih  pendapatan  berpadanan daripada pelaburannya untuk membiayai bayaran  pencen kepada  warga  pencen negara  yang  ditaksirkan berjumlah 863,000 orang setiap  tahun.

Kerajaan  telah  memperuntukkan  sebahagian  dana daripada  pembayaran gaji bulanan kakitangan  kerajaan  kepada  tabung  pencen  setiap  tahun. Terpulanglah  kepada KWAp melabur  wang  itu supaya  pendapatan  daripada  pelaburan  digunakan  untuk membayar pencen kepada bekas kakitangan  kerajaan. Tahun  lalu,  bayaran  kepada pencen dan gratuiti  berjumlah RM4.4  bilion.

Akta Dana  Amanah  Pencen  mensyaratkan  KWAp ditadbir oleh satu  majlis  yang dipengerusikan oleh  ketua  setiausaha  kementerian  kewangan  Datuk Dr. Samsudin Hitam.   Akauntan Negara  Siti  Maslamah  Osman  bertanggungjawab  dengan pentadbiran harian  dana  pencen  itu. Berbeza  dengan  KWSP, maklumat   pelaburan KWAP dan kaedah pelaburannya  memang  susah  untuk diketahui  oleh orang luar. Tidak  pula diketahui berapa banyakkah  dana  yang  boleh  dilabur   dalam  saham, bon ataupun instrumen kewangan  di  pasaran.

Pada 1993, Business Times  ada  melaporkan betapa  30 persen dana  agensi  itu boleh digunakan  untuk  memberi  pinjaman, pembelian  stok  dan  pendepositan. Ini adalah kisah  lapan  tahun  dulu  yang  mungkin sudah  berubah  kini.

Akta  yang ada  hanya  menghadkan pinjaman  yang  boleh dilibatkan  kepada badan berkanun dan  juga syarikat, dan   juga  terhadap  galian  berharga. KWAP hanya  boleh mengeluarkan   setakat 20 persen daripada asetnya  kepada  peruntukan  pinjaman di mana   kerajaan persekutuan  juga  turut  terbabit.

Pelaburan dalam  galian berharga seperti emas, perak, platinum dan  palladium tidak boleh  melebihi 5 persen daripada asetnya`.   Akta  itu  juga  menentukan bahawa dana pencen boleh dilaburkan  dalam apa cara pun dengan  kelulusan menteri  kewangan.

Adalah sukar  untuk  KWAP memencilkan  dirinya lagi  setelah membeli saham  Time dotcom kerana  ia  akan  diamati  dengan teliti oleh  para  pelabur  terhadap pelaburannya. Sebarang  kesangsian  terhadap  cara  pengurusan  dana  simpanannya  sudah tentu   tidak mudah  luput  dengan  begitu sahaja.

Sekali  lagi, tuduhan berlakunya penyelamatan telah  muncul semula.  Berhadapan dengan keadaan ini, KWAP harus  bertindak bijak menunjukkan  ketelusannya dengan memberikan penjelasan  kenapa  saham  haprak  itu telah  dibelinya.

Sebagai  permulaan eloklah para  pelabur  diberitahu apakah  parameter pelaburannya dan apakah  bentuk pulangan  yang diimpikannya.

-Shahriman  Johari- 
19Mach, 2001. 

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>MT 24/3/2001<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<