Ada  Asap  Adalah  Apinya
(No  Smoke  Without  fire)

(Artikel  asal ada  di  malaysiakini  19 Mac, 2001.

3:02, Isnin:  Pada  pertengahan Ogos 1989, berita angin  mengenai   persengketaan antara  perdana  menteri  dan  timbalannya  merebak laksana api dalam sekam. Namun, berita angin  itu  sengaja didiamkan oleh akhbar perdana. Tidak  juga  mereka sanggup  mengkiaskan  betapa  adanya  perbalahan  di  antara mereka berdua.

Ketika perdana menteri disoal  perkara  ini dia  telah menyoal balik:  “Apakah  saya  mesti peluk  cium dia  di khalayak  ramai untuk menunjukkan kami  tidak bermusuhan?”  Namun,  dua  minggu   kemudiannya pada  September 2,  Anwar  Ibrahim   telah disingkir daripada  UMNO  sedangkan dia  adalah  timbalan  presiden parti. Dia disingkirkan  juga daripada  kerajaan  dalam  satu  usaha  mencuba  kekuatan yang berlarutan  berbulan  lamanya.  

Selalunya rakyat  marhaen mengetahui  pembangunan utama negara  daripada berita angin, dulu.  Berita itu  akan dinafikan sehingga menaikkan keberangan  rakyat   kalau  kebenaran  terserlah  juga  akhirnya. Di peringkat akhir, perkara  itu diperakukan dengan muka selamba sahaja.  Begitulah  halnya  dengan dasar negara, perubahan dalam kabinet ataupun  mengenai  perundangan terbaru.

Apakah  benar presiden  MCA sedang bertelagah  dengan   timbalannya? Penafian  berita  angin  itu  akan muncul dengan cepat dan   secara  marah pula  nadanya  sebelum berita angin  itu   diperakukan.  Sudah menjadi satu  petua  kini bahawa  apabila berita angin itu   dinafikan bererti  berita  itu  ada kebenarannya. Ahli politik dan  menteri kabinet  sengaja  melengahkan berita angin itu  sehingga mereka tidak mampu  mempertahankannya  lagi. 

Kini, berita angin  sedang bertiup  kencang  betapa  perdana  menteri  dan menteri  kewangan sedang bersengketa. Dulu mereka kerap  bertemu sapa  beberapa kali dalam sehari, kini sudah  tidak lagi. Namun, secara rasminya, berita angin  ini adalah satu  desas-desus sahaja.

Begitulah juga  dengan  kisah pergaduhan kaum di Kampung  Medan. Berita angin  lebih  kencang daripada  kenyataan  rasmi kerajaan. Malahan, akhbar pun  tidak mahu menerima kenyataan  rasmi kerajaan bahawa apa  yang   berlaku itu bukannya  bersifat perkauman. Perkara   itu  dirujukkan sebagai  pergaduhan  kaum.

Kalau kerajaan  bertegas   mendedahkan  jenis  kaum  pihak  yang  terbabit, sebagai  Melayu  dan  India, bagaimanakah  kerajaan  bertegas   pula  bahawa  itu bukannya  pergaduhan kaum?  Berita  akhbar tidak  akan  dibaca kalau ia tidak  memberikan   berita yang  sebenarnya.

Keadaan  Bercelaru

Dalam  satu sorotannya, ‘The Star’ mengatakan bahawa akhbar asing menulis  fiksyen dan bukannya  fakta. Memang sesuatu  yang  lumrah, apabila berlakunya  sesuatu di tempat  yang  terpinggir di  Petaling Jaya,  ada pihak  yang  menghuni  di ibukota  menganggap  bahawa  pekan  itu  yang  sedang  terbakar.  Apatah  lagi  yang  termampu dibayangkan  oleh penulis  di  negara asing.

Sudah  menjadi tugas  para  wartawan  memberitahu  para  pembacanya di  negara  sendiri ataupun  di  luar  negara, apa   yang sebenarnya  berlaku  sebaik mungkin. Pembaca  di  Argentina  memang tidak  kisah untuk mengetahui  di  mana Kampung  Medan  ataupun  Jalan  Klang lama. Tetapi  dia mahu  diberitahu  bahawa perkara  itu  berlaku  di Kuala  Lumpur dan di  Malaysia. Cerita itu  ditulis  untuk  dia  membacanya.

Saya  pernah  tinggal  selama satu  tahun  di Boston  pada  pertengahan  1970-an. Daripada  tiga  akhbar tempatan  yang saya  baca sepanjang tahun itu  mengenai  Malaysia ialah kisah beberapa  rakyat  Malaysia  yang  ditangkap  di  bawah Akta  ISA ( Akta Keselamatan  Dalam  negeri).  Akhbar dan majalah  semacam  ini  mempunyai  pengarang yang tidak berminat dengan dunia  luar, dan mereka inilah  yang  perlukan didikan. Tetapi bagaimanakah  mahu  meneruskan  usaha  ini  selagi  dunia luar  tidak kisah  dengan  suasana penyebab  tercetusnya  pergaduhan di Kampung Medan.

Perkara  ini akan  lenyap juga. Bukan  oleh  akhbar  tempatan malahan oleh para  pegawai  juga. Wisma Putra  telah  memberikan  sedikit   penerangan  kepada  duta yang  berada  di  Kuala  Lumpur. Penjelasan mereka itu lebih  memeningkan. Seorang duta  memberitahu   bahawa  dia menjadi lebih  keliru  mendengar  penjelasan  itu  berbanding  membacanya di akhbar tempatan.

Apakah  gerangannya  yang akan dilapurkan  oleh  duta-duta  itu  kepada negara  asal  mereka? Ada  duta  yang  melapurkan bahawa  lapuran  kerajaan itu sungguh  mengelirukan dan   menunjukkan  betapa  kerajaan  telah  tersilap  congak dan  langkah sehingga  memperkukuhkan kepercayaan bahawa  kerajaan  dan  juga perdana menteri yang  ada sedang dihenyak  kerunsingan.  Versi lapuran  beginilah  yang akhirnya menyusup  kepada para  pelabur  asing dan  bukannya laporan  daripada  Reuters ataupun  AP.

‘The  Star’  telah  melaporkan  betapa  para  wartawannya  telah  memeriksa laporan kematian rasmi di  hospital  untuk  menentukan kesahihan jumlah  yang  disebutkan. Apakah  ini  satu  fakta  ataupun  fiksyen? Selama  ini  tidak  ada  satu  pun  akhbar  perdana  di negara  ini  yang sanggup  menyanggah  setiap  angka  yang disebutkan  oleh  kerajaan. Kalau pun  akhbar  itu  terserempak  dengan butiran kerajaan yang palsu, sanggupkah  akhbar itu  menyanggah  kerajaan?   Tidak. Mampukah  akhbar    memperbetulkan  angka  kerajaan yang tersilap itu?  Sudah tentu  tidak  juga.

Alangkah anih,   akhbar asing diperlekehkan kerana menggunakan  angka  yang  salah. Akhbar  negara luar  melapurkan  10  kematian sedangkan angka sebenar sepatutnya  menjadi  3 sahaja. Kerana  kesilapan  itu apa  juga  yang  mereka  tulis  mesti  dianggap  fiksyen?  Inilah  kempen yang dijalankan  kini  untuk  menutup beberapa  keretakan yang  wujud  dalam pentadbiran   negara. Inilah  kempen untuk melencongkan pemikiran daripada  menyoal apakah  sebabnya  berlaku  semua  itu.

Peristiwa Kampung Medan bukanlah satu  peristiwa yang  terlalu  ganjil. Memang wujud pelbagai bentuk  penyakit social yang   berwabak dalam setiap   sudut bandar yang kaya  raya. Semua  itu tidak  memerlukan banyak  jentikan  untuk  meledak. Perkara  ini tidak boleh dibendung dengan mengenakan  ugutan  bahawa  setiap  penyebar berita angin  ditahan di bawah  Akta Keselamatan Dalam Negara.  Penahanan mereka bukannya  dapat menyelesaikan segala isu  besar yang sengaja  telah diabaikan.

Berita  angin memang tiada boleh  dihentikan. Di Malaysia, berita angin adalah berita alternatif untuk mendapatkan  maklumat. Bukan kerana ia satu pembohongan tetapi  kerana ia kerap merupakan berita  yang  sahih. Jika tidak  bagaimanakah  kita dapat tahu  apa  yang sebenarnya  berlaku di bilik  yang  bertutup  rapat  dengan  berita angin yang  mempunyai unsur-unsur kebenaran yang  begitu  tepat  sekali,  kalau  berita itu  tidak dibocorkan oleh salah seorang  peserta  majlis rahsia itu ?

Kalau  berita  angin  disekat  rapat dengan tangan yang ganas, seperti  sekarang,  berita  itu  akan meledak  kepada pecahan  berita angin menyebabkan  sesuatu berita itu lebih dahsyat  bunyinya  daripada  berita  angin   yang sebelumnya.  Ada  satu tindakan  yang boleh  dilaksanakan  oleh  kerajaan, walaupun  ini bertentangan  dengan  pendiriannya: Beritahu cerita sebenarnya;   sebenar mungkin tanpa mencemarkan  keselamatan  negara.

-MGG Pillai-
pillai@mgg.pc.my

 

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>MT24/3/2001<<<<<<<<<<<<<<<<<<