Pemulihan  IPO Time  dotCOM -  Apa  yang  Patut  Dilakukan?
(TIME dotCOM  IPO  BAILOUT:  What Can The  People  Do?)

Oleh: Kim  Quek


23.03.2001



Pelbagai  penjelasan pihak kerajaan untuk  memberikan perakuan  kepada  pembabitan  pelbagai agensi  kewangan   kerajaan dalam  pemulihan  IPO  (keluaran  hari utama) saham  Time  dotCom, telah  menyerlahkan  penyelesaian   kepada   satu  teka-teki.  Pada  pelancaran  IPO  itu  ada  satu  teka-teki yang  mengelirukan:  Kenapakah semua  sepuluh  bank  penjamin dan  syarikat  Sekuriti  begitu  bingung  sekali  sanggup  menerima  risiko  menjamin cagaran saham IPO, sedangkan  harga  tawaran  RM3.30 sesaham  dianggap  tidak munasabah  dan  sengaja digelembongkan?

Kini,  kebenaran  teka-teki itu  sudah  pun  menonjol. Semua  kerja-kerja  mencagar  dan  menjamin  cagaran  itu  adalah  satu  kelentongan  belaka. Penanggung risiko sebenar  adalah KWSP (Kumpulan  Wang Simpanan Pekerja),  Dana Amanah  Pencen  (KWAP) dan  Danaharta. Agensi  kerajaan ini telah  memainkan   peranan  sebagai  sub-underwriters (kumpulan kedua  yang  menyokong  peranan  penjamin  utama  itu). Malahan, terma  ‘penanggung risiko’  adalah  satu  kesilapan. Adalah  lebih  tepat  untuk   menggelarkan  mereka  sebagai  ‘penanggung kerugian’.  Memang sudah dijangkakan,   sebelum  pelancaran  IPO  (yang bernilai RM1.89 bilion) tawaran  hari  utama  itu  akan  ditolak oleh  para  pelabur;  dan sesiapa yang  menjamin  pelancaran  jualan saham itu  akan  menanggung kerugian  yang bukan  kepalang besarnya. Ini  terbukti  apabila  saham  itu  diperlekehkan  oleh  masyarakat  saham dan  harganya merudum sebanyak satu  pertiga  sebaik  sahaja  dia dilancarkan  untuk penyenaraian.


Sekali  lagi  kita  menyaksikan  satu projek  pemulihan  kerajaan    yang  bernilai  berbilion ringgit  untuk  menyelamatkan  seorang  usahawan  kroni  dengan  harga  yang  sengaja digelembongkan, dalam  satu  tipu  muslihat   yang  bertopengkan   IPO.  Pengecualian dalam program kali  ini  terletak  kepada cara  sumber  dana diperolehi  untuk  menyerap kerugian  besar para kroni  itu.  Kali   ini  dana itu  tidak  datang daripada   tabung  kerajaan  tetapi  disungkit daripada  simpanan  rakyat  marhaen   yang berjumlah  9.7  juta  di KWSP dan 850,000 pegawai kerajaan (KWAP).  (Jumlah  penduduk  negara ini ialah  22  juta.)

KWSP  dan  Danaharta  menjelaskan  betapa  mereka Cuma menukarkan hutang  lapuk  menjadi ekuiti.  Tetapi, kenapakah  mereka bersetuju  dengan penukaran itu  pada   kadar  yang tidak  sanggup  diterima oleh   orang  lain? KWAP  yang  telah  menyerap  sebahagian  besar  saham  IPO  itu  masih  lagi   belum  membuat sebarang  penjelasan   mengenai  tindakan  mereka.

Peranan  semua  agensi  kerajaan  ini ternyata  amat  bersalahan dan  memerlukan  penjelasan  kenapakah  mereka  sanggup  melakukan  penyelewengan yang berupa  kerja-kerja  jenayah dengan menyalahgunakan     hasil titik peluh rakyat marhaen  negara  ini.  Soal  utamanya  sekarang  kenapakah  pihak  pengurusan tergamak melakukan  jenayah  ini?

Apakah ini  satu  kesilapan pengurusan? Sudah  tentu   tidak, kerana  orang  biasa  jalanan pun  dapat   menelah  bahawa  harga  saham yang  ditawarkan itu sudah  tidak laku lagi.

Apakah  ada  unsur   kepentingan  peribadi yang  merangsang  penyalahgunaan kuasa  itu?  Pembabitan dalam pembelian  IPO  ini adalah  begitu  berat  dan amat sukar  untuk  dipertahankan  yang  boleh   memberi  ruang  kepada  sesiapa  dalam  pengurusan  untuk mengambil  risiko  yang  sungguh  tinggi  tanpa ada sebarang arahan  daripada  pihak  atasan.


Tanpa  kemungkinan di atas,  apakah yang  mungkin  menyebabkan  berlakunya pencerobohan  kepada  dana  rakyat marhaen itu  selain  gerak  laku tangan  ajaib  yang mempunyai  kuasa  politik?  Dalam  hal  ini  eloklah  dirakamkan bahawa Time  dotCom adalah milik  Time Engineering,  yang  dimiliki oleh  Halim Saad  melalui  Kumpulan  Renong,  yang  memang  mempunyai kaitan rapat  dengan mereka  yang  sedang  berkuasa.

Time Engineering  perlu melunaskan hutang  sebanyak  RM 5 bilion. Sebelum itu  syarikat sudah pun  menerima suntikan  wang  tunai  sekitar  RM 2 bilion  daripada  Kementerian  Kewangan Inc.. Kini  ia  memang  amat  terdesak  untuk  mendapatkan RM 1.89 bilion  dalam bentuk  tunai daripada  hasil  penjualan IPO  itu  untuk  melunaskan  hutangnya.   Tetapi, tidak  ada sesiapa  pun  yang  sanggup  membayar  mengikut   harga  yang ditetapkan oleh  Halim. Kerana itu  tidak ada  jalan   lain  melainkan menyeluk  tong  pekasam  dana  kepunyaan  KWSP, KWAP dan lain-lain  lagi.

Rakyat  marhaen tentu tidak menyenangi  cara  pemulihan  ini, walaupun  perasaan itu  tidak dikongsi bersama oleh  Halim, yang  semakin ketara  terlalu  lahap  kepada  proses  penyelematan  yang kerap disudikan   oleh  kerajaan  kepadanya. Halim baru  sahaja  disogokkan  dengan  RM 3 bilion ketika  kerajaan menyelamatkan  masalah  hutangnya  di  Filipina. Begitu  juga  dengan  masalah hutang  dua  syarikat transit ringan yang  dikuasai   oleh  Renung di  mana kerajaan  telah menyuntik  6 bilion  ringgit lagi. Kalau  dicampurkan  semua  jumlah  penyelamatan  kerajaan, kita akan dapati  nilainya bersamaan  dengan satu  per lima  daripada  peruntukan  negara. Seandainya  jumlah  ini  diagihkan  kepada  setiap  rakyat  di  negara  ini, setiap rakyat  akan  menerima  sebanyak RM 3,000. Bayangkan semua  pemulihan ini dilaksanakan  dalam masa  6 bulan hanya  kepada  seorang  kroni!


Apa  pula   pendapat  menteri  kewangan yang bertanggungjawab dengan segala  bentuk  penyelamatan  dan juga skandal IPO  Time dotcom itu?

Kepada  para  pengkritik  KWSP, Daim telah   menasihatkan  agar  mereka  “bersikap  serius  dan  lebih  bertanggungjawab daripada membuat   tuduhan   liar”.  Dia telah  memberi amaran:  “kerajaan  tidak akan  berdiam  diri kalau  ada  usaha  untuk  mencemar  imej dan kredibilitinya” (Star 21hb  Mach).  Nampaknya   dia  tidak  bersedia  memberikan  alasan  yang munasabah  mengenai  peranan  KWSP itu dan  sebagai  menteri kewangan dia lebih  bersedia  bergelumang  dengan  retorik semata-mata.


Apabila  Daim ditanya  mengenai  peranan KWAP dalam IPO itu,  dia  telah   memperakukan  bahawa  KWAP  telah  membeli  10.82 persen  saham Time dotCom dengan  nilai  RM 910  juta sebagai ‘sub-underwriter’. Namun  dia  menambah lagi:  “Saya  tidak  tahu bagaimana KWAP menjadi  ‘sub-underwriter’.  Anda harus   tanya    pengurusan  KWAP” (Sin Chew  Jit  Poh, 21 hb).  Gelagat menteri  kewangan ini  memang  mengejutkan kita  kerana sebuah  agensi  kerajaan  di  bawah  kawalannya telah  kerugian  beberapa  ratus  juta  wang kepunyaan  warga  pencen  dalam  masa  beberapa  hari  sahaja   melalui  kerja-kerja  pecah  amanah,  sedangkan menteri  yang  berkuasa dengan  kegiatan  agensi  itu hanya  mampu menggoyangkan  bahunya  sahaja.  Sebagai  seorang  menteri bukankah beliau  yang  bertanggungjawab akhirnya? Apakah sudah tidak  ada lagi   secebis  pun  perasaan  bertanggungjawab  di lubuk hatinya?


Ketika skandal ini hangat  dibincangkan, dan  ketika tidak ada seorang  pun  pemimpin  kerajaan Barisan Nasional  yang mampu  memberikan  jawapan yang  melegakan, Perdana  Menteri  pula  masih lagi  berlagak sakan  menghamburkan  ucapannya  dalam  satu  seminar bertajuk  “Integriti  In Business: The  Way  Forward”. Dia  telah  mencabar para  pengkritik  kerajaan  Malaysia  agar  melaksanakan  satu  kajian  perbandingan  dengan  negara asing. Dia menepuk  dada  dengan  pendapatnya  betapa  pengurusan korporat  di  negara in  adalah   lebih  baik  lagi daripada negara  lain yang  sanggup  melaungkan  kecekapan  mereka.


Apabila kita  menghadapi sikap  membisu   kerajaan  BN dalam  skandal penyelewengan  dan  pecah  amanah itu, apakah  yang  patut kita lakukan sebagai  rakyat  negara  ini? Melaporkannya  kepada  polis?  Itu sudah dilaksanakan  oleh  parti   DAP. Tetapi, janganlah harapkan apa-apa  daripada  tindakan  itu  kerana  terlalu banyak  laporan polis seperti itu  masih  tersadai  mengumpul  habuk. Laporkan kepada   Biro  Pencegah Rasuah?  Belum ada  sesiapa  yang  melakukannya mungkin  kerana mahu   menjimatkan tenaga setelah   menyedari  betapa  BPR  memang tidak  bertaring apabila  menangani  kes  membabitkan  jerung yang  besar-besar.

Inilah  yang  perlu  difikirkan, apakah  yang  sepatutnya  rakyat lakukan?

-Kim  Quek-