Alasan  Mantap  Pembelian   MAS?
(Sound Reasons To Buy MAS?)


Dalam  ruangan  ‘lidah  pengarang’  pada 24 Mach  01,  The  New  Straits  Times  telah  memperakukan kenyataan  rasmi  kerajaan  yang  dianggap  haprak mengenai  pembayaran  RM8  bagi  setiap  saham  MAS yang   dibeli oleh  kerajaan  daripada Tajuddin Ramli. Apa  yang  sengaja dilupakan  oleh  lidah pengarang   ialah  pembelian  itu  adalah dua  kali  ganda  daripada harga  pasaran  di  Bursa Saham  Kuala  Lumpur. Malahan  kenapa  tidak  dipertikaikan  kegagalan kerajaan  membeli Naluri Berhad (milik Tajuddin) yang  memegang saham  MAS  itu,  kerana  harganya  yang   lebih  rendah lagi.  Kenapakah  tidak   ada  sesiapa  yang  merungut  cara  kerajaan  membeli saham itu untuk  kepentingan  menguasainya terutama   sekali  sikapnya  mengenepikan  kepentingan  pemegang  saham  yang  lain seperti   Sultan  Brunei  (kerajaan    membeli saham pegangan Sultan  Brunei  dengan  kadar RM4  sahaja -  penterjemah)

Persepsi strategi lidah  pengarang NST itu  mungkin ada  kebenarannya, tetapi itu  bukannya  penyebab  kenapa  ramai orang  mempertikaikan  urusan  jual-beli  saham itu. Ia  tidak  ada  kena   mengena  dengan  alasan  kenapa  MAS   diselamatkan. Ia  sebenarnya ada  sangkut-paut  dengan usaha   menyelamatkan  seorang kroni  kepada  menteri  kewangan. Kini, Tajuddin  berbangga  dengan  laungan  bahawa dia mempunyai  dana  dan wang  tunai  yang  selesa (selepas  penjualan   sahamnya  kepada  kerajaan)  dan  sudah   bersedia melabur  dalam perusahaan lain. Gelagatnya  itu  menunjukkan  adanya  satu  gerakan   penyelamatan  yang sungguh  rakus  dilaksanakan  oleh kerajaan  bukan  disebabkan kepentingan  negara, tetapi  untuk  menentukan  para kroni tidak  akan  rugi, walaupun ini  bererti kerugian  perlu  ditanggung  oleh  negara sendiri.

Sikap kerajaan  mempertahankan  tindakannya   telah  mengenepikan  satu  kenyataan yang  nyata. Kerajaan  mempunyai  apa  yang  dikatakan  ‘saham kencana’ yang bersamaan  dengan 51 persen   nilainya dalam  suara pengundian untuk  menjamin  kepentingan  negara  tidak  diperlekehkan  dan boleh  dikuatkuasakan bila  perlu   dalam mempertahankan  kepentingan kerajaan. Kenapakah  hak istimewa   ini tidak  digunakan?  Di  tahap  awal  penswastaan  MAS  dulu,  kerajaan pernah  menyuarakan kepentingan  saham emas  ini untuk melindungi  MAS daripada  kelahapan dan  putar belit orang  korporat. Sebaliknya, kerajaan  mengambil  pendirian  sebagai  tukang tengok  sahaja  ketika  Tajuddin berlagak  sakan  menghancurkan maruah  perkhidmatan  penerbangan   itu. Dia telah dibiarkan  untuk  mengalihkan  semua  pesawat   menjadi  harta  MAS  Capital yang berpusat  di  Labuan dan  menyebabkan MAS  memajak  semua  pesawat yang digunakannya daripada  syarikat  yang  baru  ditubuhkan  itu.  Dia  telah dibiarkan  mencerai-beraikan  perkhidmatan syarikat  induk MAS  menjadi  beberapa syarikat kecil  yang  dikuasainya. Kesannya  kini, walaupun  MAS sudah  pun  dijualnya  balik  kepada  kerajaan, dia  masih  membalun duit  lagi daripada kontrak jangka panjang  yang  dijalin oleh  MAS  dengan   syarikat-syarikat   serpihan  itu. Ini  menunjukkan  MAS  yang dibeli oleh  kerajaan  baru-baru  ini  adalah  bukannya  MAS yang sama  yang pernah dijual oleh  kerajaan  kepada  Tajuddin  dulu.  Inilah  sebabnya pegawai MAS dan juga  pegawai kerajaan  terpaksa berhati-hati  dengan  pertuturan mereka  mengenai urusan jual beli  ini.


Menteri  Kewangan Daim Zainuddin, mesti membuat  kenyataan  di Parlimen dengan segala butiran  apa  sebenarnya  yang dibeli  daripada   Tajuddin dan  kenapakah  beliau  dibiarkan  menghimpunkan  hutang  bertapuk  sehingga RM 10 bilion.  Sepatutnya  ketika  dia  membeli MAS  dia mesti  telah  sedar   apakah  yang  dibelinya  dan apakah  yang  perlu dihadapinya. Menyalahkan  penurunan tukaran  matawang  dan keadaan ekonomi  yang  merudum  sebagai  tunjang  masalahnya   sepatutnya  tidak  boleh  diterima-pakai. Lagipun dia telah  melakukan pembogelan asset  (asset stripping) MAS tanpa  ditegur  oleh  kerajaan  sedangkan  kerajaan  memiliki kuasanya  melalui hak saham emas  untuk  menyekat  kelahapannya  itu. Padahal kerajaan kerap sangat  menyatakan, setiap  kali ia mengswastakan  asset kerajaan,  adalah  bukan  tugas  kerajaan  untuk  menguruskan syarikat dan institusi  untuk bersaing dengan sektor swasta.

Secara  tidak  langsung kerajaan   menafikan tanggungjawab  sosial  dalam  menyediakan  pengangkutan  yang berharga murah  kepada  rakyat marhaen apabila  institusi yang  diswastakan itu bertindak  menghentikan laluan  yang  merugikannya  sedangkan ia  merupakan  satu  perkhidmatan  penting  yang patut  disumbangkannya. Kerajaan  memang  tidak  mahu  mendengar  rintihan  rakyat  marhaen seperti dalam tindakannya  mengswastakan  perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada para  kroni dan anak-anak (klon). Kini,  semua  harga  meloncat naik secara   menggila  dalam setiap urusan  niaga   yang bermula daripada  proses  penswastaan  kerajaan. Contohnya  ialah  pembedahan ‘cardiac bypass’ (penyakit jantung) memerlukan belanja  sebanyak RM100,000 di  unit swasta di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Sudah  nyata  kini setiap institusi yang diswastakan telah gagal segagalnya,  sehinggakan  Renong sebagai  satu  syarikat  telah  menimbun hutang bertapuk  yang bernilai  bersamaan  dengan 25 persen Peruntukan Belanjawan  Negara.  Inilah tanggungan beban hutang yang  diambil-alih oleh  kerajaan. Yang meloyakan lagi,  setiap  gerakan penyelamatan itu dilakukan terhadap  syarikat yang   mempunyai  hubungan rapat dengan tukang  ampu dan  kroni  Tun Daim. Di  waktu  yang  sama  adik-beradik yang  sama klon itu  masih  lagi  diagihkan pelbagai  projek  untuk  mereka  menimbun hutang  lagi.

Kerajaan  memang  sudah  jauh  tersasar. Kenapakah  Danamodal diarahkan  mengambilalih  semua  hutang  bertapuk Vincent Tan  yang dihimpunkannya  kepada Sun Media  Group, untuk  membolehkannya  menjual syarikat   itu kepada orang    lain  dengan  keuntungan  besar?  Danaharta dan  Danamodal  diwujudkan  untuk  menyelamatkan  semua  manusia jenis  ini  dan  bukannya  para  peniaga  tulen yang  kini hidup  sengsara   bukan  disebabkan  ekonomi  yang  merudum ataupun  kegetiran keadaan kewangan tetapi kerana mereka ketandusan  bantuan  rasmi kerajaan yang  amat  mereka  harapkan. Ataupun kerana  mereka kerap  diganggu  oleh  para  kroni, tukang ampu  dan  adik-beradik-satu-klon  sehinggakan   peniaga tulen  itu sudah  tersadai  di dinding kemuflisan  dan kehampaan.

Sikap  pilih kasih  yang  berlebihan dan  meloyakan  ini, dulunya  merupakan satu  budaya  niaga  yang  diterima-pakai oleh kebanyakan peniaga kerana  mengimpikan  untuk  menikmatinya apabila tiba  gelaran  mereka. Itu   sudah  menjadi cerita  lama yang   kini memerlukan  penjelasan  kerajaan pula. Inilah  yang  tidak dapat dilaksanakan  oleh  kerajaan.  Kerana  itu  ia  terpaksa berdolak dalik seperti  yang  ditunjukkan  oleh  Daim di  Parlimen  pada  hari Khamis  dulu. Inilah  yang  mengundang  lebih  banyak  soalan lagi. Semua  itu  dilihat  oleh  rakyat marhaen, terutama  sekali  oleh orang  Melayu  sebagai satu  rompakan  besar (mega)  di siang hari. Apa  pun  yang  akan diterangkan oleh  kerajaan ataupun  dilakukannya untuk meredakan keadaan  tidak dapat merobah  anggapan  rakyat marhaen  ini. Inilah  dilemma kerajaan. Tanyalah  Perdana  Menteri  kerana  dia  memang  arif  mengenainya. Soalnya  sekarang apakah  dia peduli  dengan hal ini?


-MGG  Pillai-
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan MT