Hingar-bangar  Di  Peringkat Bahagian
(All abuzz  at the  division  level)

-Sa’odah  Elias  (The  Star –nation ms.12, Monday  26 March, 2001)

Tidak pun  sampai seminggu lagi semua  165 bahagian UMNO  akan bermesyuarat untuk memilih ahli jawatankuasa baru. Dalam  banyak hal ada  pula  yang  akan memperakukan kembali  barisan  kepimpinan yang ada  untuk satu penggal  lagi.

Ramalan  kemendungan  ekonomi tidak  pun  melemahkan  pemegang  jawatan  yang sedia ada dan  para  pencabar jawatan  mereka itu   daripada  berbelanja sakan untuk meraih sokongan. Gelagat  ini  diserlah oleh  pelbagai  aktiviti, yang  mereka anjurkan ataupun mereka taja tetapi   dibuat  dengan  segala  muslihat  untuk  menyungkup pembabitan mereka yang     mungkin  dianggap melanggar peraturan kod etika  parti.

Mereka  yang bukan ahli  parti  mungkin  tercengang-cengang   memikirkan   apa gahnya semua  itu  tetapi  kepada  ramai  yang  di dalam  parti, pengundian  di peringkat bahagian  itu adalah  tidak kurang pentingnya dengan  pertarungan  untuk  kerusi di majlis  tertinggi  parti.

Ada   pihak yang berpendapat  bahawa  pemilihan di  peringkat bahagian  adalah lebih penting  kerana  ia memperakukan kekuatan  seseorang  pemimpin. Inilah  yang memperteguhkan  keyakinan  dalam UMNO  betapa seseorang pemimpin  itu  tidak kiralah apa  jawatan  dan  pangkatnya  dalam parti ataupun  kerajaan,  dilihat mempunyai sokongan  akar umbi  kalau  dia  menjadi  ketua  bahagiannya.

Secara  rasminya  ramai  pemimpin  parti  yang memperkecilkan sahaja  anggapan ini. Tetapi kalau  dibandingkan  senarai ahli majlis yang dipilih tahun  lalu  dengan senarai pemimpin  UMNO  yang memegang jawatan  dalam kerajaan sama  ada  di  peringkat pusat ataupun  di  peringkat  negeri,  memberikan  gambaran betapa  unsur-unsur  ini merupakan persepsi yang sudah  diterima-pakai.

Di kalangan 45  ahli majlis tertinggi  UMNO, sebahagian besar mereka  itu termasuklah presiden  parti  Dr.  Mahathir  Mohamad, timbalannya Abdullah Ahmad   Badawi dan  dua daripada tiga  orang naib  presiden parti   adalah  penyandang jawatan  ketua bahagian ataupun ketua pergerakan wanita   ataupun  ketua pemuda  bahagian.

Begitu  juga  halnya  dengan  majority  menteri, timbalan menteri, dan  ahli exco negeri daripada  UMNO. Kalau ada pun  antara  mereka yang  tidak  memegang jawatan begini, nama-nama  mereka  kini tersenarai sebagai  pencabar  kepada  jawatan  utama bahagian mereka. Ada  juga beberapa  nama seperti Mohamad Nazri  Aziz (Menteri Pembangunan Usahawan)  dan  Dr. Shafiee Mohd Salleh (Timbalan Menteri  Kewangan) yang tidak tersenarai  kerana  mereka  berjaya   berunding  dengan  pemimpin  lain dalam bahagian masing-masing  untuk  mengelakkan  suasana pertandingan.

Satu  pengecualian  berlaku  apabila  Dr. Yusuf  Nor yang  mempunyai  kedudukan nombor 13  dalam  majlis  tertinggi  parti  mengikut   jumlah undi yang  diterimanya dulu mengumumkan hasratnya untuk berundur. Beliau  adalah penyandang  jawatan   ketua bahagian Besut dan bekas  ketua penerangan UMNO.

Dr. Mahathir  pernah berkata  bahawa  bukanlah  satu  tradisi dalam  UMNO  untuk pemimpin yang  memegang  jawatan  dalam kerajaan  mesti  bertanding jawatan  bahagian parti.  Presiden itu  mungkin telah menuturkan satu  fakta, tetapi  hakikatnya semua urusan  UMNO  selalunya ditepung-tawar    oleh   amalan  yang  sudah berakar-umbi.  Salah satu  daripada  amalan  itu  ialah  menentukan agar  setiap  pemimpin itu bermula daripada  peringkat  bahagian  parti.

Kalau  ada  pun  segelintir  insan yang  memintas amalan ini  mereka selalunya digelar sebagai pemimpin paracut sahaja.

Sejak beberapa  tahun  kebelakangan  ini,  semakin  ramai  golongan muda UMNO yang  mula mempersoalkan amalan-amalan yang mereka amati  sebagai  penghalang kepada peneguhan parti. Ahli  exco  Pemuda  UMNO  Azimi  Daim adalah  di antara beberapa pemimpin  muda yang  berpendapat tidak  perlunya para  pemimpin  memegang  pelbagai   jawatan terutama sekali jawatan  yang   membebankan   tanggungjawabnya  seperti  jawatan seorang ketua bahagian.   Dia berpendapat  tidak ada sebab  untuk ahli  majlis ataupun pemimpin peringkat nasional yang  sudah  tegap dengan   jawatannya  tanpa  memenangi jawatan  di peringkat bahagian  untuk   menukarkan  sesuatu  suasana dengan  bertanding pada tahun ini.

“Berilah  peluang  kepada  orang  lain  untuk  menyerlahkan  kualiti kepimpinan mereka,” katanya.  Tetapi,  Azmi  enggan  menuturkan  pendiriannya  apabila  ditonjolkan kisah pemimpin  nasional  yang  kini  menjadi  ketua bahagian  dan cuba mempertahankan jawatan  mereka.

Ada  seorang  ahli parlimen  UMNO yang tidak mahu   namanya  disebut di sini, berpendapat bahawa amalan  itu  adalah  bercanggah  dengan  proses demokrasi  dan menyerlahkan politik  naungan. Dia mencadangkan   agar amalan ini  dimansuhkan seandainya parti  mahu mengembalikan  kegemilangannya.  Ahli  parlimen  yang berusia sekitar  empat puluhan itu merupakan ahli  parlimen yang  baru   dan  merasa tersinggung  apabila ada pemimpin parti  yang  melaungkan  usaha  untuk  mengelakkan  pertandingan. Dia berpendapat bahawa  pertandingan terbuka adalah  satu amalan  politik  yang sihat dan kalau betul peraturannya  boleh   memperteguhkan parti.

“Masalah  yang  menghantui  UMNO  sekarang  ialah kebanyakan  pemimpin  di peringkat tengah sama ada tidak  memahami ataupun  tidak menghormati  semangat demokrasi. Itu sebabnya  apabila diadakan pertandingan,  keputusannya  berakhir  dengan perpecahan.

“Memberi  nasihat  kepada  ahli  agar elakkan  pertandingan  bukanlah caranya untuk menyelesaikan  masalah  ini. Itu  adalah  satu  isyarat  yang  salah  yang  kini semakin digunakan  oleh penyandang  jawatan  untuk  menepong tawar  jawatan yang dipegangnya  sedangkan itu  adalah  amalan  songsang  dalam usaha meneguhkan parti,” kata beliau  lagi.

Dalam mempertahankan  usaha  mengelakkan  pertandingan itu, Ketua  Wanita UMNO Rafidah Aziz memberi  nasihat  agar usaha  itu  diterima  dengan hati yang  jujur. “Kita bukannya menahan ahli-ahli  mengamalkan  hak  mereka. Apa yang  kita  katakan  ialah, kalau tidak  ada sebab  yang  munasabah, kenapakah dicabar  penyandang jawatan itu? Tetapi kalau  ia  tidak boleh  dielakkan,  eloklah  berusaha  untuk berunding dulu agar satu bentuk  kompromi  dapat  dipersetujui  untuk  mengelakkan  pertandingan,”  kata beliau lagi.

Rafidah  berkata bahawa demokrasi  mesti  ditafsirkan  secara  pragmatic. Pertandingan dalam  UMNO harus dilaksanakan  selari  dengan semangat  perundingan  dan persidangan. “Jika  tidak, kita  akan  menghadapi  kumpulan  ‘maverics’ (Rafidah  lupa bahawa  Raja Maverick ialah presiden partinya sekarang –penterjemah)  yang  masuk campur semata-mata untuk  melaksanakan hak  mereka ataupun  manusia  yang  bertanding  untuk suka-suka dan cuba  menguji popularity  mereka.”

“Untuk  kepentingan  parti  secara  keseluruhannya  apakah  salah  kalau  kita ketepikan hak ini?”  Tanya  beliau  pula.

Rafidah  mengingatkan  ahli-ahli bahawa  menonjolkan  kepentingan  diri bukannya  syarat yang  mantap untuk  mencabar  penyandang jawatan. Dia  berpendapat, salah satu kelemahan UMNO  ialah  kayu  pengukur  yang  digunakan oleh  akar  umbi  untuk  menentukan keberkesanan  seseorang ketua pemimpin  bahagian. Sepatutnya orang  itu dinilai berdasarkan  rekod kerjayanya. Tetapi,  kayu pengukur  yang  digunakan  ialah dengan menilai  betapa  berjayanya  beliau mendapatkan  peluang   perniagaan  ataupun projek untuk  para  penyokongnya ataupun  jumlah  wang yang dibelanjakan untuk  mereka.

Pendapat  yang sama  telah  diungkit  oleh  seorang  ahli  parlimen  yang menganggapnya sebagai  “kereputan  dalam  UMNO   yang mesti dipotong-bedah sebelum  ia memusnahkan UMNO sama sekali.”

“Itu  sebabnya  saya  menganjurkan  pertandingan  bebas  di  semua  tahap dan peringkat dalam  parti.  Kalau kita  biarkan  majority memilihnya, tanpa meletakkan sebarang syarat yang akan dicemari  oleh  mereka yang sudah  lama berkuasa, saya  tidak fikir  kita mampu  melakukan  yang lebih  terburuk  daripada  yang  berlaku  masa kini.

“Tetapi,  UMNO  mesti meluputkan syarat peratusan (%)  untuk  pencalonan yang sebenarnya,  amat  bertentangan  dengan amalan  demokrasi. Apakah  gunanya dikekalkan semua  itu  sedangkan  parti  boleh  menghapuskan halangan  yang  lain?” tanya beliau pula.

Di pihaknya  pula, Azimi mempersoalkan  ketua  bahagian  yang  terlalu lama memegang jawatan  sehingga  terlupa  diri  mereka. Ada  yang  sudah  berpaut  kepada jawatan mereka itu  lebih daripada  30 tahun, dan terus  kekal kerana  tipu  muslihat  dan menekan  sesiapa  yang  berbakat  daripada  menonjol  ke atas. “Kalau  kita lihat pertandingan  di peringkat  bahagian  saya  tidak  percaya  ia akan mencetuskan huru hara. Malahan, ia adalah  satu  aktiviti sihat untuk  memperkenalkan  muka-muka baru,” katanya.

Namun, Azimi cepat  menjelaskan  betapa muka-muka  baru  tidak seharusnya bererti muka-muka muda, tetapi mereka  yang  berdarah muda  tidak kiralah umur  mereka. Darah muda  inilah  yang  boleh  membawa pandangan baru  yang mampu mencampuri tradisi UMNO yang   sudah  lama.

Ahli  Parlimen yang  tidak mahu namanya  diperkenalkan  itu   turut  setuju dengan pendapat  Azmi. Dia  menambah  betapa  sudah  sampai  masanya  untuk parti menilai semula kriteria  untuk kepimpinan  ataupun  untuk  menjadi  calon  pilihanraya umum agar  peluang   seperti  itu  tidak lagi dimonopoli  oleh  pemimpin di peringkat bahagian.

Ahli  Parlimen  itu  berkata, pucuk pimpinan  mesti  menyatakan  dengan jelasnya kepada ahli parti  bahawa  dalam  pemilihan  seseorang pemimpin itu,  merit dan keupayaan adalah   faktor  pilihan  dan bukannya  pengaruh yang ada padanya  ke atas  akar umbi.

“Dr.  Mahathir  sudah  menunjukkan  betapa  tradisi  bukannya sesuatu amalan keramat apabila  dia memilih  Dr. Khir  Toyo yang  bukan  memimpin mana-mana bahagian untuk menjadi  menteri  besar Selangor, sambil  mengenepikan ramai  pemimpin  yang lebih berpengaruh lagi.

“Tidak  ada  satu  penghalang pun  yang  boleh  menahan  pucuk  kepimpinan menggunakan kaedah yang serupa  apabila  memilih  pemimpin  politik.  Semua orang  sedar bahawa  dalam UMNO  corak pengundian  adalah  tertakluk kepada nasihat yang diberikan oleh pucuk kepimpinan  parti.

“Saya  percaya  belum  terlambat  lagi  untuk  pucuk  kepimpinan  memberikan peraturan yang jelas  bagaimana caranya memilih  pemimpin bahagian  yang baik agar para perwakilan dapat pedoman  dan kebijaksanaan  dan  tidak tersungkit  oleh  kepentingan diri ataupun termakan  umpan  habuan kewangan apabila  mereka memangkah undi bulan  depan,” katanya.

Sebagai rumusannya, di  sebalik  semua  cakap-cakap   mengenai pengstrukturan, pemulihan dan amalan  demokrasi  dalam UMNO, sebahagian  besar  ahli  UMNO tidak    akan ambil pusing  kalau  hampir  semua  penyandang jawatan yang ada  memenangi  semula jawatan mereka tanpa  dicabar  ataupun setelah  dipilih  semula.

Buat  setakat  ini hanya  seorang penyandang  jawatan, Ibrahim   Ali  daripada Pasir Mas yang  menang  tanpa  bertanding setelah  semua 145  cawangan memilih  beliau.

-Sa’odah  Elias-

Catatan:

Kita  menterjemahkan artikel ini kerana  mahu   menyedarkan  orang  Melayu betapa  sudah bermulanya  satu  usaha  untuk  mencucuk  jarum ke dalam  minda  orang  Melayu secara halus  sekali. Lihat,  apa  pula tulisan  seterusnya   mengenai  pertandingan UMNO  ini. Namun,  majority  orang  Melayu  sudah  tidak  kisah  lagi  dengan  aktiviti UMNO kerana menyedari  segala kelentongan  yang  menyelimuti  keadaan  cawangan  yang hanya tinggal beberapa  kerat  sahaja lagi. Artikel di atas  dilihat sebagai  menyuntik semangat  gah dan  kebesaran yang  seolah-olah  masih  wujud  dalam  pergerakan  UMNO  di peringkat akar  umbi, sedangkan keadaan sebenarnya  adalah  jauh  panggang  dari  api. Dalam keadaan  begini   pun  masih ramai  pemimpin  yang  takut  bertanding secara terbuka.

-MT-

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>MT26/3/2001<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<