MMM 10

Kathelika Niramile 

Sejak Episod Kg. Medan  meletus, banyak  emel telah dikirimkan  ke kantung ‘marhaintua’   sehinggakan saya  menerima  amaran  daripada  tuan punya URL  agar saya bertindak  secepat  mungkin. Saya  sebenarnya tidak terdaya menyekat  ledakan emel  itu  kerana paling  banyak  yang termampu  saya baca di  bahagian awalannya  untuk  disimpan ke  dalam disket ataupun diketepikan  ialah  hanya  sekitar  55 kiriman sahaja, setiap hari.  Kalau  lebih  dari  itu  yang diterima,  tentu  berlaku  kesesakan yang  sukar dielakkan.

Ramai pengirim yang mahukan  pendapat  saya, sambil ada juga yang  memikirkan  saya sudah-kecut  perut untuk  menulis   mengenainya. Saya  ingin   mengambil kesempatan  kali ini  memberikan  penjelasan  mengenai isu  Kg.  Medan,  yang saya  anggap  satu isu  yang sengaja  dibesar-besarkan kerana  kepentingan  politik ‘orang  tertentu’ (pinjam istilah  Mahathir kerana dia amat  suka menggunakan frasa ini  sekarang). Saya harapkan  tulisan  saya  mengenai episod  Kg. Medan (di sini bermaksud seluruh kawasan dan perkampungan persekitarannya) akan  menghentikan lambakan kiriman emel kepada   saya, selepas  ini.

Yang Kecil Dibesar-besarkan

a)  Pendapat Saya  Mengenai Kg. Medan

Saya  ulang untuk  dirakamkan  di  sini, episod Kg. Medan  adalah  satu  kisah  pergaduhan  kecil yang dapat  dilihat  di  mana-mana  terutama  sekali  di satu penempatan  manusia  yang padat. Sepatutnya  ia sudah  selesai  dengan  tindakan  pantas pemimpin masyarakat   setempat.  Kalau  episod  bermula  pada Mach 3,  kenapakah  ia  meledak  mulai  Mach 6?

Semua agensi kerajaan berkata  episod Kg. Medan bukannya  pergaduhan  perkauman.  Tetapi, kenapakah mangsa  daripada  kaum  India dihantar ke  Hospital Universiti  dan mangsa  Melayu  ke  Hospital  Besar?

Kalau  kerajaan  serius  untuk  mengawal  keadaan kenapakah  tidak  diadakan  sekatan terhad (restrictive curfew) di  malam  hari  di kawasan  yang hangat  sebaik meledaknya  isu itu? Kenapa pula akhbar  perdana  dibiarkan menulis  mengenai  berita pergaduhan  di  tempat  lain dengan menggunakan perkataan ‘pergaduhan kaum’ sedangkan  ternyata kebanyakan episod  ‘tambahan’  itu  adalah  kes samseng  dan  kegiatan bajingan  yang kerap  berlaku di  negara  ini?

Kerajaan pimpinan   Mahathir  mempunyai  banyak pengalaman  mengenai  rusuhan kaum  ataupun pergaduhan kaum.  Bila ia tercetus (ataupun apakah benar ia sengaja dicetuskan?)  di Kelantan, kesannya ialah penubuhan  MAGERAN   yang kini  disedari  oleh rakyat  Kelantan, sebagai usaha  menidakkan PAS untuk memerintah negeri itu. Selama  21 bulan MAGERAN berkuasa di negara  ini dengan  Hashim Amnn dilantik khas  untuk  mentadbir  Kelantan. Kerajaan  BN yang hampir  kecundang  pada  pemilu  1969  itu  telah menggunakan  kuasa putar-belit  untuk  mengisytiharkan darurat ekoran apa  yang  dikatakan  Peristiwa Berdarah  13 hb  Mei 1969.  Hanya  pada   hari  Sabtu 20hb  Februari 1971,  berakhirnya  tugas  dan tanggung jawab MAGERAN.  Pada  hari  itu  14 orang ahli Dewan Negara  yang baru dan143oranganggota Dewan Rakyat telah  mengangkat  sumpah sebagai  anggota Dewan masing-masing (sila  rujuk  ms 74-75  “Tun  Dr. Ismail – Negarawan  Berjasa”   karangan  Mohd. Tajuddin  b. Hj.  Abdul  Rahman)

Rusuhan  kaum pernah  meledak  di  Pulau  Pinang hingga  membabitkan kerahan tentera  untuk  membantu polis  menanganinya. ‘Curfew’  dilaksanakan untuk seketika  dan  sekatan  berita  buruk  dikenakan terhadap  akhbar  perdana. Keadaan  menjadi reda dengan cepat  kerana pemimpin  kaum  ikut  serta meredakan  keadaan.  Dalam kes Kg. Medan hingga ke hari ini ada  saja  berita  susulan disiarkan  mengenai pergaduhan  kaum  di tempat lain selain  sekitar Kg. Medan.  Kenapakah  perkara   ini  dibiarkan?

Kerajaan  Selangor  pimpinan  Khir  Toyo bertindak cepat  cuba  menyelesaikan  perkara  ini  dengan melaksanakan makan ‘berdamai’di  kediaman rasmi beliau.  Apakah itu tindakan  bijak?  Bagi  saya  itu tindakan bahlol  kerana  ia  serupa  dengan  mengubat di tempat  yang  tidak sakit.

Ketika episod 13 Mei  dicetuskan oleh  ‘orang tertentu’  jamuan  makan  damai  diadakan  di  Jalan Chow Kit  yang  dihadiri   oleh  penduduk  setempat dengan disertai pasukan  Askar  Melayu  dan  polis. Ketika  itu  orang  melayu tidak lagi  membeli-belah di pasar Chow Kit. Mereka sudah menempatkan satu pasar  baru  di Kg. Baru (bekas tapak pasar minggu yang  kini  dibina  rumah  pangsa). Di  waktu  itu beberapa  kedai popular  kepunyaan tauke cina  sudah musnah  dimakan api.  Contohnya  ialah  kedai jahitan Wing Kwong  (nama  asalnya  sebelum  dibakar ialah Sing Kwong). Taukehnya  tidak  menyesal dengan kebakaran  itu dan  dia  pernah  berkata:  “Saya  jadi kaya  kerana  99% pelanggan  adalah  orang  Melayu. Saya  tetap buka lagi  kedai   saya.” Diperbetulkannya  kedai  itu kerana  dia  tahu  yang membakar  kedainya  bukannya  orang  Melayu Kg. Baru. Selepas itu dia bersama dengan  beberapa  orang taukeh Cina  lain  menubuhkan  Mun  Loong.  Di  Kg. Medan, ramai penghuni India  yang berkata bahawa yang datang membuat kacau  bukannya  orang  tempatan. Siapakah   mereka?  Inikah mereka  yang termasuk dalam golongan ‘orang tertentu’?

Rakyat  Marhaen  Yang Dimangsakan

Katakanlah apa yang berlaku di  Kg. Medan  itu sesuatu  yang ‘real’ kenapakah   kerajaan bertindak sehingga mahu  menggunakan  Akta ISA kepada sesiapa yang  menabur  cerita karut. Mampukah kerajaan  terus bersikap  mengugut  rakyatnya  setiap  kali ada kesangsian rakyat  marhaen  terhadap  sesuatu peristiwa?

Kampung  Medan  dan  persekitarannya  yang  dikatakan bergelora  itu adalah satu penempatan  yang  terawal selepas kemerdekaan dicapai. Kepadatannya   pada tahap  awal  tidak  sepadat  Kg. Kerinci tetapi ia merupakan  satu  penempatan untuk  manusia  yang terpinggir. Kg. Medan dan  persekitarannya  adalah lambang kepincangan BN yang  paling  besar  dalam menangani  kehidupan  satu  kumpulan  pengundi  yang taat setia  selama  lebih  40 tahun.

Saya   mempunyai  ramai saudara  dan  kenalan  di Kg. Medan. Saya  pernah  menulis secara kiasan bagaimanakah  wakil  rakyat  UMNO sanggup  berkhidmat di kawasan  seperti itu  sedangkan  kebanyakan rumah yang  dihuni   amat menyedihkan. Sebagai  perbandingan banyak  reban ayam  wakil rakyat  di luar bandar yang berkeadaan  lebih selesa daripada  rumah yang dihuni oleh  setinggan  Kg.  Medan. Banyak sangkar  kucing peliharaan  (dan anjing  di  mana ada  kaitannya) wakil rakyat  dan  pemimpin  UMNO di  seluruh  negara ini yang  lebih mahal daripada  beberapa rumah penduduk  setinggan  di  Kg.   Medan. Banyak jalan dan  lorong  ke  dusun buah-buahan  pemimpin  UMNO yang  jauh  lebih  baik daripada jalan  dan  lorong ke rumah penduduk setinggan  di Kg. Medan dan persekitarannya.

Kalau kita ambil setiap  satu  set perabut  impot yang terdapat  di ruang  tamu  setiap   pemimpin  UMNO dan BN  di  seluruh  negara  ini, kita akan  dapati kos setiap  set perabut itu  adalah  lebih  mahal harganya daripada kebanyakan rumah  yang  dibina di Kg. Medan.

Apabila  cerita ledakan  Kg. Medan  meletup,  tidak ada  pemimpin  BN  yang berani  masuk melihat keadaan sebenar. Apakah  mereka takutkan  keselamatan mereka terancam? Ataupun  mereka sudah  diberitahu keadaan yang  sungguh  menjijikkan  di  situ  memang  tidak sesuai untuk pandangan wakil  rakyat?  Cuba  bayangkan setiap longkang monsun di  perkampungan  setinggan  di situ  yang  diletakkan  jambatan titi  untuk diseberangi  setiap  hari.  Di  situlah  segalanya kejijikan  kehidupan  manusia  yang  merempat. Itulah gambaran betapa dahsyatnya  keadaan hidup  manusia kelas  pekerja  yang  taat  setia selama ini   kepada kerajaan yang  memerintah. Di  situlah  terletaknya satu  kumpulan  masyarakat  yang kais pagi  makan pagi  dan kais petang makan  hati.  Ada yang  terpaksa menetap di  situ  sejak 25 tahun  dulu  kerana  telah dijanjikan  rumah  murah  kerajaan. Ketika  janji awal diberikan tiga puluh tahun dulu   harga kos bikinan rumah  murah  hanya  Tujuh Ribu Ringgit sahaja dan dijual kepada  golongan  marhaen dengan   harga dua puluh    lima  ribu.

Tikus  yang berkeliaran  di  Kg. Medan  adalah  sama besarnya dengan tikus  di beberapa  tempat di Petaling Jaya  seperti  di Damansara  Utama, Damansara  Jaya, SS2, Kampung  Melayu di  Petaling Jaya , malahan  juga di Putra Jaya.  Ada saiz  tikus  yang lebih  besar daripada saiz kucing Parsi  peliharaan   pemimpin UMNO. Kalau keadaan Kg. Medan tidak diperbaiki kita akan  berkemungkinan  diserang wabak hawar-tikus ‘plague’  yang disebabkan oleh  tikus-tikus  ini. Kalau  khinzir  dan  babi  yang  dipelihara  dan diberikan suntikan  pelbagai hormon  boleh dijangkiti oleh  wabak JE  apakah  tikus liar  tidak  boleh membawa virus yang  membunuh  manusia?

Kalau   kita  lihat  keadaan  penghuni rumah  panjang di situ  sebahagian  besar  penghuninya  sudah menetap  lama  sehinggakan  ada yang   mempunyai anak-anak  yang sudah  berkahwin dan  menghuni  di tempat lain. Pada  satu  ketika  dulu  mereka ini adalah penyokong  setia  BN. Kini, sebilangan  besar sudah   tidak berparti lagi walaupun ramai yang menjadi penyokong parti  Barisan Alternatif. Satu  ketika dulu mereka yakin  menetap  di rumah panjang dan pondok buruk kerana telah dijanjikan  rumah  murah. “Nama anda sudah ada  dalam bancian UMNO  ataupun MIC…sabar sedikit  masa  lagi….!!!”  Itulah  janji sejak zaman Datuk  Harun  yang  diulang-ulang  ketika zaman Hormat Rafai, Ahmad Razali Ali,  Mohammad Tyson dan kini Khir  Toyo.  Semua orang  yang mendahului Khir Toyo  pernah  menjanjikan  rumah  murah  kepada setinggan  di  Kg. Medan. Mereka masih  hidup lagi. Tanyalah mereka kenapa rumah yang  dijanjikan  itu masih belum diberikan lagi.  Kalau kita menyorot ke belakang hanya  dua  puluh tahun,  ramai  anak setinggan  Kg. Medan  sudah  pun  bekerja dan  mereka kenal hanya  seorang perdana menteri  sahaja. Di kalangan  mereka  yang cerdik pandai mungkin sudah kenal 18 nama  perdana  menteri  Jepun, dan sedar betapa  yang memegang jawatan sekarang akan meletakkan  jawatannya  minggu depan. Kalau ada  di kalangan anak Kg. Medan  yang  berbakat  seperti Yusuf  Chong  mengejek  suara orang, tentu  ramai yang pandai  meniru cakap dan suara  Mahathir. Tentu ramai yang boleh  menyebut: “Kalau anda sayangkan negara ini, anda mesti sanggup  berkorban  untuk bekerja kuat. Malaysia Boleh…..!!!”  Tentu  ramai di kalangan mereka yang  mampu  berfikir dan  menyoal: Bekerja kuat  untuk  Mahathir?  Malaysia  Boleh  untuk siapa?”

Mungkin jua ada  anak-anak  muda berbakat di Kg. Medan yang  dapat  mengejek suara  Mahathir ketika dia bercakap di sidang  akhbar  pada  awal April tahun lalu. Ketika itu dia  berucap sebelum  pergi  terbang ke Cuba. Apakah yang dikatakannya:  “Pihak pembangkang dan orang tertentu mahu merusuh….mahu  baling bom Molotov untuk buat  huru  hara…!!!” Utusan  Melayu telah  membesarkan cakap Mahathir itu  dengan menggunakan tajuk utama di muka depan akhbar  yang berbunyi “RANCANG RUSUHAN GANAS”.  Saya  ada  rakamkan segala  peristiwa  sebelum tercetusnya episod ‘Gelita 14’  dalam siri ‘Mencarai Geliga Dalam Gelita”.  Di bawah  tajuk  itu Utusan Melayu ada  menulis:

“Dr. Mahathir Mohammad  melahirkan kebimbangannya terhadap trend terbaru parti pembangkang yang kian ghairah mahu mencetuskan huru-hara  termasuk ingin melihat  berlakunya  pertumpahan  darah  dalam negara. Beliau mempunyai maklumat  bahawa penyokong-penyokong Parti Keadilan (Keadilan) merancang untuk  melakukan  rusuhan  ganas di  ibu negara, 15 April ini…”

Orang  Utusan yang  membuat  laporan  itu  menulis lagi:  “Difahamkan pihak  tertentu  mahu  melakukan tindakan  agresif itu  bertujuan mendapatkan  semula perhatian  rakyat setelah merasakan pergerakan mereka semakin  tidak  mendapat  sokongan.”

Kalau   boleh  saya  minta jasa baik RTM  Malaysia dan juga  TV3 menyiarkan klip rakaman sidang akhbar Mahathir di mana  dia  ada  berkata:

“Saya dengar  Keadilan  hendak ada  demonstrasi  pada 15 April ini  dengan  tujuan  nak  memperingati tentang sesuatu  dan  mereka  sedia  nak pukul polis, nak bawa  senjata….kayu  dan ‘Molotov-cockatil’ (bom botol). Oleh  itu  kalau  nak  buat  apa-apa pun kenalah  buat  sekarang, sebelum  melarat.

Kemudian di New  York dia  bercakap di PBB di mana dia memperlekehkan orang  Melayu beragama Islam kerana terlalu  taksub  kepada  agama sehingga sanggup membuang TV dan radio  ke sungai. Tetapi, berapa ramaikah pendengar  di  New  York  yang sedar bahawa inilah penyangak yang serupa  yang menuduh Tunku Abdul Rahman  Putra pad  Mei 1969 dulu, kerana  keadaan dhaif orang Melayu disebabkan  memberi kepentingan  kepada peniaga  Cina?  Apakah  dasarnya  mengenai keadaan Melayu dhaif  kalau  bukan  merujuk  kepada  keadaan hidup orang  Melayu di Kg. Medan?

Mungkin juga ramai yang bertanya kenapakah  Mahathir tidak berani melawat Kg. Medan?  Betulkah   Mahathir sudah  melawat  mangsa  pergaduhan  Kg. Medan?  Mana gambarnya beliau  melawat orang  Melayu  di Hospital Besar?  Siapakah  yang  dilawatinya  di  Hospital Universiti?

Kalau  kita  naik LRT  dan  berhenti  di  stesen Datuk Haron  kita akan  lihat  banyak  rumah  setinggan yang  satu  ketika  dulu tapaknya dijual dengan  harga antara RM hingga RM1500.  Kepada siapakah  harga tapak  itu dibayar   kalau bukan  kepada  ketua kampong. Siapakah ketua  kampung  perkampungan setinggan  di situ  kalau  bukan  pemimpin  UMNO?

Begitulah  caranya  perkampungan  setinggan  itu membiak. Baik  di Kg.  Medan  dan  persekitarannya, Kg. Kayu Ara, Kampung  Air Panas  di  Setapak, Kg. Setinggan  di Jalan Tun  Sambanthan berdekatan Bangunan  MAB dan banyak  lagi   kampung setinggan  di sekitar Lembah  Kelang. Hampir semua  perkampungan ini adalah  bekas  lombong yang dipetak-petakkan  oleh ‘orang  tertentu’  dan dijual  oleh  ketua  kampung kerana  Ketua  kampung   itu  adalah  proksi  dan ‘pemegang  amanah’ di  kalangan ‘orang  tertentu’.

Orang-orang Datuk Keramat tentu  masih  ingat  kisah perkampungan setinggan  yang terbakar  di kawasan yang kini  menjadi  tapak LRT Stesen Datuk  Keramat. Apakah  secara  kebetulan  perkampungan  itu  terbakar hangus  sebaik sahaja  stesyen LRT mahu dibangunkan? Begitu  juga  perkampungan setinggan  yang  paling tua  di  Kuala  Lumpur  satu  ketika  dulu.  Saya pernah  menulisnya  dalam  Siri Suasana Lebaran Pencetus  Minda. Itulah perkampungan  “Belakang Mati” di Chow  Kit  yang  tidak pun  terjejas ketika tercetusnya  Mei  13, tetapi musnah  kerana  kebakaran ketika  era  MAGERAN.

Projek Sang Kancil

Ketika jawatan Datuk  Bandar  Kuala  Lumpur  dipegang oleh  Tan Sri Elias Omar  (ketika itu dia lebih dikenali sebagai Dr. Eliyas Omar sahaja), ada  satu rancangan  yang  disebut Program Sang  Kancil khas untuk  penempatan  setinggan. Program  ini menyediakan paip-air, bekalan  api letrik  dan  tandas serta  sedikit  perparitan  dan  jalan bertar.  Sejak itulah  perkampungan  setinggan  membesar kerana  ia diusahakan oleh  ‘orang  tertentu’ seperti bersindiket. Di  siang  hari  kita lihat kawasan perumahan  dipancang.  Keesokan  harinya, rumah  papan sudah  terbina siap dengan  program pasang siap  yang canggih.

Program pasang siap  inilah  yang  menjadi  tempat tinggal  warga kota raya  di Kuala Lumpur  yang bekerja sebagai anggota polis, tentera,  pasukan keselamatan, kerani, pekerja  kilang, pegawai  kastam, pegawai imigresen, peniaga pasar malam, pasar  borong, pengurus  gerai  makan dan kedai-kedai barangan, pengawal keselamatan  pemimpin  BN,  sekuriti bank dan pejabat dan banyak lagi termasuk peguam muda, doctor muda , dan apa juga bidang  professional  yang ada melainkan  menjadi  pemimpin  UMNO dan BN  yang berpangkat besar.   Keadaan  persekitaran  yang menjijikkan  di Kg.  Medan itu adalah pandangan  yang sudah  lama  terpahat di lubuk   hati  setiap  para pemimpin  dan  professional  yang  mempunyai hubungan sejarah  dengan Kg. Medan kerana ramai mahasiswa dan mahasiswi  Melayu dan India  yang  pernah  menghuni di perkampungan  itu  sejak empat  puluh  tahun  dulu lagi.

Sejarah  akan memperakukan  betapa  Projek  Sang Kancil telah  membuatkan  ramai   pemimpin  UMNO  dan MIC  serta  MCA  menjadi kaya raya. Kebanyakan  tanah tapak  rumah  yang  dibeli ataupun disewa bulanan oleh penghuni  setinggan  adalah  kepunyaan  parti  BN, terutama sekali  UMNO.  Pergilah kesemua  perkampungan setinggan, anda akan diberitahu  rumah  pemimpin tempatan  UMNO  dan  juga  MIC yang  mengutip  sewa bulanan  tapak rumah yang melambak-lambak  itu sehinggakan  ada orang  tertentu  yang mengutip pendapatan sekitar RM30,000  setiap  bulan.  Kalau seorang pengarah  bandar raya Kuala  Lumpur  boleh memegang lessen haram  gerai sebanyak  85  unit  dan memajaknya kepada  kaum  mendatang, bagaimana pula agaknya rumah  setinggan yang  dipajakkan  kepada orang  luar  yang  amat memerlukannya?

Setiap  kali seorang tuan punya  rumah setinggan membawa masuk  peralatan  untuk membetulkan rumahnya dia  akan  didatangi beberapa pegawai penguatkuasa bandar raya  yang  lengkap dengan kamera  dan  lori pengangkut  untuk  mengangkut papan, simen,  pasir dan  zinc yang  baru dibelinya. Alasannya penguatkuasa KL  (termasuk Shah Alam, PJ, Ampang, Hulu Langat  Kelang dsbg) berhak menahan kerja-kerja pembaikan  terhadap  rumah  setinggan. Tetapi pengecualian  boleh diberikan  dengan  menyogok setiap penguatkuasa  yang  datang.  Cukai  yang tidak berjadual  ini  adalah  amalan biasa kerana itu  kita lihat  penguatkuasa yang berpakaian segak berkeliaran merata tempat  dengan mata terbeliak melihatkan setiap projek rakyat marhaen untuk  dicukai. Tetapi di waktu yang  sama, orang-orang  ini juga  mempunyai  banyak rumah  sewa  ataupun tapak  perumahan  untuk dijual. Di waktu  yang  sama juga  kebanyakan mereka ini adalah anggota  pasukan gerak gempur pemuda UMNO dan MIC.

Dari  sini  kita  tentu  faham bahawa banyak  pihak yang  tidak  mahu  menyelesaikan masalah  setinggan di Kuala  Lumpur  dan  bandar-bandar  besar  kerana perkampungan  setinggan itu  adalah  perniagaan  yang besar  kepada  banyak pihak,  terutama  sekali  para pemimpin  UMNO.   Malahan ada  cerita  yang mengatakan bagaimana penghuni setinggan  telah menjadi tenaga  pengundi  hantu  yang  bergerak daripada  satu   kawasan  mengundi  ke satu  kawasan yang  lain  ketika  pemilu 1999  dulu, di Teluk Kemang dan  juga  di  Sanggang. Cuma  mereka tidak  berjaya melaksanakan taktik yang  serupa  ketika berlakunya pilihanraya  kecil  di  Lunas.

Masalah  Kampung   Medan bukanlah masalah  tidak  ada rumah. Ia adalah masalah perumahan  kepada  yang memerlukannya.  Di  samping  itu  disebabkan  keadaan pekerjaan  yang  memberikan  pendapatan  yang  rendah berbanding dengan  harga  barangan asas  yang  semakin meninggi, ia mencetuskan satu  suasana   kekecewaan dalam kehidupan seharian   penghuni  setiap perkampungan  setinggan.  Suasana yang  serba kekurangan inilah  yang  membuatkan  ramai  penghuni kampung  setinggan  yang terjebak dengan dadah,  arak dan segala  bentuk  maksiat yang  menjerumuskan kehidupan  seseorang  insan  yang   melarat  itu. Apabila  perut sentiasa lapar, tidak  ada  apa nasihat  dan ajaran  social yang boleh diendahkan. Inilah  yang   membuat sesuatu  masyarakat  itu memberontak  terhadap  pihak atasan kerana  mereka terlalu lama menanggung  kekecewaan. Apakah unsur-unsur  ini  tidak difahami  oleh  Mahathir Mohammad, Samy  Vellu, Ling Liong Sik  dan  semua pemimpin  Barisan  Nasional?

….bersambung:

Catatan Sejarah  Melayu  Yang  Pincang

Kegelisahan  rakyat  Malaysia  masa kini  berpunca daripada  ketegangan  hidup  yang  berlaku  sejak empat tahun  yang  lalu. Mahathir dan  semua  pemimpin Barisan Nasional  sebenarnya  sedang  menghadapi segala kesan-kesan penyalahgunaan kuasa  yang  mereka laksanakan sebagai  pemimpin  negara  dan  juga pemimpin parti-parti komponen  Barisan Nasional. Kesan penyalahgunaan  kuasa  mereka  ini  boleh dilihat  di  mana-mana  kerana  semuanya  sudah menjadi  catatan  sejarah  yang tidak   boleh  mereka ubah. Adalah  satu  kesalahan  yang  besar kalau Mahathir  mahu  terus  berbohong menyalahkan orang lain kalau  ekonomi  negara  merudum  dengan  teruknya kali  ini kerana  walaupun  ekonomi  negara  memang sedang turun,  banyak  negara  lain  di  negara ini sedang hidup  tenteram sambil  mempunyai  kemampuan menangani cabaran  pergolakan  ekonomi  dunia. Malaysia  sebagai sebuah  negara yang  kaya  raya dengan  hasil  buminya  dan  sepatutnya  mempunyai banyak  wang simpanan hasil  daripada  keluaran minyak  yang  bermutu  tinggi  dan  gas  asli  yang melambak banyaknya  sepatutnya  tidak  menerima tekanan  daripada pergolakan  yang  terbaru  ini.

Sejarah  telah  menunjukkan  betapa rakyat  Malaysia adalah  satu  bangsa (bangsa  Malaysia )  yang  pandai hidup  tenteram dan  kerana  itu  Malaysia sejak mencapai  kemerdekaannya  dianggap  oleh  orang  barat sebagai “the God sent country” (negara  yang direstui  Allah). Tanggapan  begini berdasarkan  sikap dan  kelakuan  orang  Melayu itu pada  dulu-dulu lagi  sebelum Melaka  di jajah  oleh pedagang daripada  barat sehinggalah  Jepun  menaklukinya  dan China hampir  berjaya  menguasainya  secara  proksi melalui pergerakan ‘Bintang Tiga’  dan  parti  Komunis Malaya  pimpinan Chin  Peng.

Sejarah  juga  menunjukkan  kemerdekaan  Malaya  dan kemudiannya  Malaysia  adalah berputik daripada perjuangan orang  Melayu dalam mengharungi  segala peristiwa getir mempertahankan negara  ini  dengan darah  dan  jiwa  mereka.  Walaupun  kini  orang-orang UMNO  dan  juga  pemimpin  politik BN kerap mendabik dada  mengungkit  perjuangan  UMNO  dalam merundingkan  kemerdekaan, British  telah  bersetuju memberikan  kemerdekaan  itu  berdasarkan perjuangan askar  Melayu dalam Perang Dunia  Kedua  dan  cara askar dan anggota  polis  Melayu yang  bertugas  di Singapura  yang   melanggar  arahan  pegawai  British ketika  tercetusnya  ‘episod  Natrah’  (sila  baca The  Nadra Tragedy -  The  Maria  Hertogh  Controversy oleh  Haja Maideen).  Dua  peristiwa  besar  ini mengajar  British  betapa  orang  Melayu  adalah  satu bangsa  yang lemah lembut, penyabar dan taat  setia HANYA  selagi maruah  mereka tidak tercabar.

Terdapat  banyak  nilai-nilai  murni dalam tamaddun orang Melayu  itu yang ditulis dan digambarkan  oleh banyak  pencatat  sejarah  bangsa asing. Cuma,  sejak kita mencapai kemerdekaan sehingga  kini, belum ada lagi  catatan  cendikiawan bangsa  Melayu yang mahu menyingkap  tulisan  sejarah  ini  untuk  menyedarkan bangsanya.  Sehingga  hari  ini  orang  Melayu  pada keseluruhannya  mengetahui  sejarah  bangsanya dan kegemilangan nenek moyangnya  melalui  tulisan  yang lebih  banyak  dihasilkan  oleh orang bukan  Melayu daripada  oleh  bangsanya  sendiri.

Selepas  kemerdekaan,  sejarah  pembangunan Semenanjung Tanah  Melayu  sejak  zaman  kesultanan Melayu lagi,  banyak dikaji  dan ditulis semula  oleh orang  bukan  Melayu. Cerdik pandai  Melayu  yang mampu  menulis  sejarah  itu  lebih  memberi penekanan  kepada  Cerita Hang  Tuah  dan  empat sahabatnya ataupun  kisah pantun  dan  bidalan Melayu. Tidak  banyak  tulisan  yang  menyingkap kegemilangan Melayu  dalam bidang keusahawanan  sejak kerajaan  Melayu  Melaka  dulu dan  kisah  pelayaran anak  melayu  mengelilingi dunia. Malahan, tidak banyak kajian  untuk  menjejak dan penganalisis pelayaran  Munsyi  Abdullah  yang menulis buku catatannya. Trend  ini berterusan sehingga  kini  di mana ramai golongan arif Melayu   lebih  selesa menulis  untuk  menjilat  tapak tangan  tuan-tuan politik  mereka.  Kalaulah  mereka  luangkan  sedikit masa  dan  analisis  keperitan hidup  dan kejijikan layanan  yang diberikan kepada  penghuni  Kg. Medan saya  percaya masalah setinggan  sudah  lama  lenyap di bumi Malaysia.

Antara  penulisan  buku  Melayu  oleh  seorang  anak Melayu (tidak kiralah  yang  mempunyai  darah campuran dengan  sesudu dua  sahaja  darah  Melayunya) yang  laris  dan  masyhur (bukan  laris  disebab buku itu  digunakan   sebagai  bahan bacaan wajib di sekolah-sekolah)  ialah buku  “Dilema Melayu” tulisan perdana  menteri  Malaysia  sekarang.  Cuba  perhatikan isi  kandungannya,  apakah  ada  sebarang  pengajaran menaikkan  semangat  bangsa untuk  maju  bersaing dengan   kaum  lain?  Apakah  ada   cadangan  positif untuk  menyedarkan  bangsa  Melayu bahawa  untuk menjadi  satu  bangsa yang besar itu  bukannya  dengan menilai kandungan darah  kromosom dalam  badan, tetapi melalui  usaha  dan  kongsi sama secara  jujur  dan ikhlas  untuk  bersaing dengan  kaum lain  dan  negara lain  di   dunia  ini, sambil  memantapkan  pendirian agar  tetap   bertaqwa  kepada  Allah.

Oleh  kerana  orang Melayu  tidak  ada  satu  pemimpin yang  berkelas negarawan  yang   berkuasa dan menjadi pemimpin  unggul  UMNO sejak  kematian  Tun  Abdul Razak dan  Tun Ismail, makanya  bangsa melayu  itu kini  berada  dalam  satu  keadaan  terumbang-ambing kerana  mindanya  yang  telah  terpusing. Keadaan ini menjadi  semakin  ketara  sejak lima  belas  tahun yang  lalu, kerana  ketika  itulah  Mahathir  sudah berani  merancang untuk berbelanja  besar menggunakan segala khazanah  negara  untuk  memenuhi nafsu kerakusannya.

Kelentongan  Mahathir  Terhadap  Bangsa   Melayu

Salah  satu  usaha  mengabui  minda  orang  Melayu sekarang ini  ialah  tulisan-tulisan  dan  rencana TV dan  radio  mengenai  kejayaan  Mahathir dalam membangunkan  negara. Tetapi, kebanyakan   artikel dan rencana  itu  seolah-olah  lupa  akan  catatan sejarah. Sebagai perbandingan   saya  turunkan  satu catatan  diari seorang  wartawan  mengenai  penglibatan Mahathir  (dan timbalannya  Musa  Hitam)  sebaik sahaja  mereka  menubuhkan  kabinet  baru:

Julai  16: Mahathir  menjadi  Perdana  Menteri (1981) Julai  18:  Satu  kabinet  baru  ditubuhkan di  mana Musa  menjadi  TPM.

Julai 23 :  Majlis  Tindakan  Negara  dihidupkan kembali  untuk  memantau Kerja-kerja  kementerian  dan  agensi kerajaan;

Julai 30:    Musa  mengumumkan  pembebasan  21 tahanan  ISA;

Ogos  1:    Datuk  Harun  Idris, (bekas  menteri besar  Selangor) dibebaskan   Selepas  dipenjara  selama 13  bulan (hukuman  asal 6 tahun).

Ogos  3:    Amaran kepada  pegawai  kerajaan  agar berubah  sikap untuk  Bekerja  kuat  oleh  Mahathir. Beliau  perkenalkan  sistem   ‘punch-card’ di  semua   pejabat kerajaan.

Ogos 8:     Musa  mengarahkan  dua  anak  syarikat Lembaga Pembangunan Johor  ditutup  dan memberi amaran kepada 2 Agensi  lain  untuk  memperbetulkan keadaan  ataupun  ditutup  dalam  enam bulan.

Sep.2:        Mahathir  mengumumkan pembentangan undang-undang  Yang menyekat   manipulasi  di pasaran saham.

                 Mengumumkan  dia  tidak akan menghadiri Persidangan  Ketua Negara  Komanwel di   Melbourne kerana  kesibukan  kerja.

Sept.7:     Permodalan Nasional  Berhad mengambilalih Guthrie.

Okt.  10:   Dasar  ‘Buy  British  Last’  mengenepikan barang buatan British.

Okt. 26     Mahathir  mengumumkan  penubuhan  satu jabatan  khas  untuk  memerangi rasuah.

Nov.12      Kerajaan menggubal  ‘Universities and Universities  College Act”   AUKU.

Dis.  4         Penyeragaman  waktu   antara Semenanjung   dan  Sabah  dan Sarawak.

Dis.  15        Mahathir  mengumumkan  “Look  East Policy”  yakni  dasar  Pandang ke Timur (Jepun dan Korea ).   Sila baca  “The Musa Dilemma” ms. 44-47  tulisan K. Das.

Mahathir  Dulu  Dan  Mahathir  Sekarang

Catatan  K. Das  itu  menunjukkan betapa  dalam masa empat   bulan  selepas  memegang  kuasa  banyak perkara  yang  tegas dirancang oleh  Mahathir  untuk meyakinkan rakyat marhaen  betapa  dia  boleh dipercayai untuk  membawa  Malaysia  menjadi  satu negara  yang  kaya  raya. Orang  Melayu  pun  ketika itu  menjadi  bersemangat untuk  memberikan kesetiaan kepadanya  tanpa  berbelah bagi.  Sayang,  Mahathir mudah  lupakan  sejarah.  Dalam  masa empat  bulan dia merancang  dan  melaksanakan  pelbagai  usaha untuk  menunjukkan ketokohannya  seolah-olah  dialah orangnya  yang  akan  memperkayakan Malaysia. Semua itu  berkecai  akhirnya.

Sejarah  menunjukkan kini,  Mahathir  telah  meludah ke langit  dan  sedang menampung  mukanya  untuk menadah  segala  ludah  yang  dilontarkannya  dulu. Dia  ternyata  telah  mungkir  janji dan hanya mementingkan  dirinya  dan  tembolok  anak-anaknya. Segala kerja-kerja  molek-molek  yang dirancangnya jatuh terperusuk kerana  kegagalan.

Dia  cuba  menakutkan rakyat  Malaysia  kerana mahu terus  berkuasa seolah-olah  hanya  dia  yang  boleh menyatupadukan rakyat  Malaysia. Tetapi, kalau  di ladang-ladang  dulu  di  mana orang  India  lebih ramai  daripada orang  Melayu, bagaimanakah  mereka boleh  hidup aman damai. Sebaliknya, bagaimanakah di perkampungan  setinggan  orang  India  boleh mencetuskan huru  hara?  Sejak  bilakah  rakyat Malaysia  menggunakan bom molotov  menghancurkan harta benda?

Mahathir  cuba meraih sokongan  orang Melayu dengan memburukkan  PAS dan kini  melancarkan  kempen “Amanat Hadi”  sebagai satu  alat  tipu  muslihatnya.  Tetapi, apakah  orang   Melayu  menganggap  “Amanat  Hadi” itu sebagai  menyelewengkan  aqidah mereka? Jawapannya tidak, dan  kini  masyarakat  Melayu berbangga  kerana Pas   menangguhkan persidangan  perpaduan Melayu  itu. Sepatutnya  PAS  membatalkannya sahaja  kerana kalau UMNO  terus  mempertikaikan  PAS  dan  keIslamannya, eloklah    PAS  menjauhkan  diri  daripada UMNO. Biarlah  orang  Melayu itu menjadi  hakim yang sebenar  untuk  menilai  siapakah yang  lebih  layak memimpin  orang  Melayu: UMNO  ataupun  PAS.

Usaha  Terakhir  Mahathir  Untuk Terus  berkuasa

Mahathir  sudah  tersepit. Kini, dia  menambahkan belanjawan  negara  kerana  mahu  menyuntik  aktiviti rakyat  berbelanja  sebagai  satu  pakej rangsang ekonomi.  Inilah  “langkah mengekang  kesan kelembapan  ekonomi  AS” Bukankah  pelik  dan bodohnya kelentongan  itu.  Hanya beberapa   bulan  yang  lalu Mahathir  dan  Daim  mengatakan  ekonomi  negara sudah pulih. Sejak  itu, Rafidah  Aziz  telah mengelilingi  dunia  untuk  mengajak  pelabur luar datang  melabur.  Di waktu  yang  sama kita sudah melihat  pengisytiharan  Putrajaya dan e-Village. Kenapa  pula  kini kita  gelabah  dengan kelembapan  ekonomi  AS?  Apakah yang  sebenarnya menyebabkan ekonomi  negara  lembap?  Bukankah  kerana para  pelabur asing  sudah  mula  cabut lari?  Kalau ekonomi  lembap  kenapakah  dilancarkan  program agar rakyat  berbelanja? Bukankah  langkah bijak ialah untuk  berjimat?  Kenapakah  Mahathir  mengeluarkan peraturan  memberi tambahan  elaun  kepada  wakil rakyat  sebanyak RM500 setiap  bulan  untuk  digunakan di  majlis  jamuan?  Apakah  sebenarnya tujuan berbuat  demikian?

Ekonomi  negara  ini  lembap  kerana  salah  urusan. Mahathir dan Daim  adalah  bertanggung jawab  dengan masalah ini. Terlalu banyak  kelentongan  dan terlalu kerap menipu  dan  menyamun  harta  rakyat marhaen yang g menyebabkan  ekonomi  merudum. Adakah rakyat  marhaen  melihatkan  sebarang  rancangan Mahathir membela  nasib dan kehidupan golongan yang menderita?   Mahathir,  Daim dan  Rafidah  harus  baca segala maklumat  mengenai   Grameen  Bank  yang ditubuhkan di  Bangladesh pada  tahun  1976 dan mampu menaikkan taraf hidup  rakyat  miskin. Inilah sebuah bank yang  memberikan pinjaman kepada  rakyat  marhaen tanpa  cagaran  dan  sehingga  kini  tidak ada seorang  pun  peminjam  yang   ingkar  membayar hutang  mereka. Insya Allah  kita  akan  terjemahkan semua  artikel mengenai  Grameen bank ini. (Webmasters  sila siarkan  kepilan  artikel  mengenai Grameen  Bank ini secara berasingan)

Saya  sengaja  menggunakan  ‘Kathalike  Niramilei” sebagai  tajuk  tulisan ini sebagai satu  penghormatan kepada golongan pekerja  tidak kira apa jenis kaumnya  di  negara  ini. Inilah  masyarakat yang masih   merempat  sebagai  kesan salah urus   negara. Tajuk  ini  datangnya  daripada  tiga  perkataan Tamil:  Kathalike  (Kasih-saying),  Niram (masa) dan illei (tiada) bererti  “Tidak  ada  masa  untuk berkasih  saying.” Inilah  episod  sebenar  sepanjang pemerintahan  Mahathir yang  dibantu  oleh  Daim dan Rafidah Aziz dan  disokong oleh  hampir  semua pemimpin  UMNO  dan  BN.  Mereka  lupa  akan keperluan  rakyat  marhaen sehinggakan  terwujudnya beberapa  perkampungan setinggan di dalam  kawasan bandar raya  Kuala  Lumpur. Contoh  yang terbaik  ialah satu  perkampungan  setinggan yang   berada di Jalan Tun Sambanthan  4.

Apa  yang  berlaku di Kampung  Medan adalah  satu catatan sejarah  betapa  negara  ini sudah  diputarkan mindanya oleh system raksasa  yang rakus  yang  kini sudah turut  menghantui  Mahathir  dan  para  pemimpin UMNO dan  BN. Mereka  sudah terjebak  dalam perangkap yang dipasang  oleh keadaan  yang  mereka rencana  sendiri.

Kampung  Medan  dan keadaannya  ada  di  mana-mana. Luas  kawasan  Kampung  Medan  hanya  sekitar 2,500 Hektar  sahaja. Tetapi  sebagai perbandingannya, Selangor  telah  membina e-Village untuk  kemudahan Bollywood seluas  4,800  hektar.  Mahathir  telah membelanjakan lebih RM 2 bilion  di situ.  Siapakah yang  menikmati projek itu?

Keadaan  hidup  yang  menekan rakyat  marhaen kini sudah menunjukkan  keburukannya  di mana  rakyat negara  ini sudah  tidak  merasa  selamat  berjalan sendirian di malam hari. Banyak laporan polis menceritakan rompakan  dan kecurian serta kes  mendera seksual  yang  berlaku. Apakah semua  ini  difikirkan oleh Mahathir? Dalam projek   merangsang  ekonomi negara  siapakah  nanti  yang  menjadi  sasarannya untuk  terus  membalun khazanah  negara dan  kaya raya?  Jelas Mahathir  dan Daim  sedang gila  menipu rakyat  marhaen  seolah-olah rakyat  marhaen tidak lagi mampu  berfikir. Mereka  mampu melakukan apa sahaja untuk  membalun  wang rakyat  marhaen  dalam kes Perwaja, kes  Empangan Bakun, pemulihan National Steel di  Filipina,  Renong, MAS,  projek aliran ringan, time Dotcom,  F-1, KLIA   dan banyak  lagi. Semua  penipuan  yang  berlaku ini  adalah  rencah persiapan  yang  akan  membuatkan rakyat  bangkit menentang  mereka. Apakah  serba  mungkin  terwujudnya satu  pasukan Gerila  Bandar  (urban  gurillae) disebabkan segala  penyelewengan  yang  mendera rakyat  marhaen  itu?

Muslihat   Sebenar Episod  Kg. Medan

Oleh  kerana  akhbar  perdana  disekat   untuk menulis  kenyataan  yang  benar  mengenai  episod  Kg. Medan, rakyat  menjadi  keliru  dan  berfikiran bercelaru. Setiap  hari  ada  berita  pergaduhan, tetapi  apabila  ditanya  pembawa berita  apakah  dia melihat  pergaduhan  itu  dengan matanya  sendiri, jawapannya  TIDAK.  Di Kg.  Medan pada  malam  hari masih  terdengar  siren (semboyan)  polis  kerana ambulan  hospital  tidak  berani  masuk ke  tempat itu.  Tetapi, semboyan  seperti  itu  boleh dijadualkan.

Oleh  sebab  segala  sekatan  inilah  makanya  kini timbul  pelbagai teori  mengenai  Episod Kampung Medan. Memang  tidak  dinafikan bahawa  sudah  berlaku pergaduhan  di  Kampung  Medan  disebabkan orang mabuk yang  berani kerana botol yang  ditogok. Tetapi, itu  adalah  keadaan normal  yang  boleh berlaku di  mana-mana.   Ada  satu  teori  mengatakan bahawa  episod  Kampung  Medan  adalah  satu perangkap  yang   dipasang untuk Paklah. Musa Hitam disingkirkan  kerana  tidak bijak  menangani  kes Ibrahim  Libya  di  Memali.  Apakah  besar kemungkinan   Kg. Medan  dijadikan  satu  bahan  untuk memerangkap  Paklah  kerana ‘tidak  cekap’ menangani masalah melibatkan  ketenteraman awam?

Ketika  ekonomi  negara merudum  dulu, semua  negara jiran  dalam Asean  turut  merudum  sama, malahan lebih  teruk  lagi.  Kini, Filipina  sedang  naik rancak dan Thailand  sudah  semakin  terkenal  sebagai negara  yang  mampu  bangkit  daripada  ekonomi  yang   paling  teruk  di Asian. Seluruh  dunia  sudah mengiktiraf  Thailand kini  sebagai  sebuah  negara yang  memberikan  khidmat  perubatan  yang  paling termurah  di  dunia.  Kos rawatan  di Thailand kini hanya  merupakan  50  persen lebih murah  daripada kos  di  Singapura  dan  hanya  10  persen  daripada kos  di  Amerika  Syarikat.  Jumlah pelancong di Thailand berlipat  kali  ganda  tanpa  perlu mempromosikan “The Whole  of  Thailand Is For  Sale” ataupun  mewujudkan  satu  litar F-1  ataupun  satu lapangan terbang  yang tercanggih  di dunia. Malahan, perdana menteri  Thailand  dan  isteri  mereka (sudah banyak kali bertukar sejak 20 tahun   dulu lagi) bukan pun  berkelulusan  kedoktoran dan  perubatan.

Kalau Thailand yang lebih  teruk  daripada  Malaysia kerana diserang “oleh  penyangak matawang dunia” boleh bangkit  kini  tidak gentar  dengan kejatuhan  ekonomi  Amerika, kenapakah Malaysia  yang dipelopori  oleh Wira  Dunia  Ketiga” menggelabah sakan?

Mana  satu  yang  betul dan  sampai bila  orang Malaysia  mesti diugut  dan bersabar kerana  kerakusan segelintir  Melayu  yang  tidak sedarkan  diri?

-marhaintua- 
29.3.2001,