Penyakit  Belakang   Yang  Merangsang Doktor Politik 
(Back  Surgery  gets  political doctors operating)

Memang  sudah menjadi  amalan kerajaan  Malaysia memberikan  layanan  perubatan  yang paling  asas kepada  para banduannya, sebagai  mencukupkan syarat ketentuan  protocol  antarabangsa.  Lainlah  kalau si banduan bertaraf  sedikit  tinggi  daripada  si Muthu, Ah  Chong  ataupun  si  Ahmad. Kalau  seseorang itu  mempunyai kuasa  dalam  perniagaan  ataupun politik, layanan  istimewa  adalah  perkara  biasa walaupun  ia  menyalahi  undang-undang.

Itu  sebabnya  tercetus kisah  seorang  banduan  yang disediakan  katil-aqua dan  mendapat  masa  keluar untuk  menguruskan  perniagaannya. Seorang  lagi menjalani  hukuman  dengan berada lebih  lama di Hospital  Besar. Seorang menteri kabinet yang dihukum kerana tuduhan  membunuh menjadi  seorang  pustakawan, satu  kerja  yang memang  amat  diminati dan diberikan  kepadanya apabila  si  penjawat yang sedang menunggu  hukuman  mati  diberikan  pengampunan untuk  menjalani hukuman penjara  seumur  hidup pula. Seorang  menteri  besar  yang dipenjarakan kerana  korupsi  diberikan  peluang  bertemu sapa dengan  para pelawat di pejabat  ketua  warder  sambil seorang  warder  disediakan untuk  menjadi  pelayan.

Tetapi, apabila  layanan  itu berkaitan  dengan  bekas timbalan  perdana  menteri,  Anwar  Ibrahim, segala berita yang  kita dengar  adalah  bertujuan   untuk mengaibkannya  agar  dia akan terus  mengaku  kalah. Kini, dia diberitahu betapa dia  menerima layanan terbaik  berbanding  orang  lain. Namun, setiap permintaan yang  dibuat  melalui peguamnya  ditolak dan diperlekehkan  sahaja. Dia  diberitahu  betapa layanan yang  diberikan  adalah  lebih baik daripada yang diterima  orang lain, tetapi tidak pula dia diberitahu  kenapa dan bagaimana  pula.

Kesakitan  Yang  Memilukan 

Dia sedang  kesakitan. Satu  kecederaan  di belikatnya menjadi lebih teruk lagi  apabila seorang  bekas ketua polis  negara  menghenyaknya setelah  tangannya digari di bahagian   belakang  dan matanya ditutup sebaik  sahaja  dia ditangkap. Kemudian  dia  menjadi sasaran pukulan maut  ala karate yang  begitu  dahsyat kesannya  sehingga ditubuhkan n satu  suruhanjaya di raja  untuk  menyelidik  kisahnya. Kemudian  masih ada  lagi  satu  dakwaan  yang dia telah diracuni dengan arsenik  ketika  dipenjarakan  dulu.

Kalaulah  dia seorang  banduan biasa seperti  yang ditegaskan  oleh  kerajaan, kenapakah para  pembantu khas bekas  perdana menteri  itu  dipanggil  untuk membuat  pilihan bilik  tahanan  yang sesuai digunakan  untuk  mengurung beliau  di penjara  Sungai Buluh  dulu sebaik sahaja dia  keluar  daripada hospital? Kenapa pula  kabinet  perlu  membuat keputusan  apakah  jenis   layanan perubatan  yang layak  diberikan   kepadanya?  Kenapakah  kerajaan tidak  berpendirian  tegas dan  memberitahu  beliau secara lantang bahawa dia  adalah seorang banduan biasa  dan  akan diberikan layanan  perubatan  seperti yang diterima  oleh  banduan lain?

Kerajaan  tidak   memberikan jawapan  yang  cepat kepada  permohonannya  untuk mendapatkan  rawatan endoscopic di seberang  laut.  Gelagat  hambatan politik dan  birokrasi telah  sengaja melecehkan perkara itu sehingga memburukkan keadaan yang memalukan.  Beberapa  perkara  yang  remeh-temeh sengaja  dicetuskan untuk  digembar-gemburkan. Apabila Dr. Thomas  Hoogland tiba   untuk  membantu, beberapa kerenah  birokrasi  dicetuskan lagi untuk melengahkan  keadaan.

Pembedahan  itu  mesti  dilaksanakan  di  Malaysia. Menteri  Kesihatan, Chua  Jui  Meng  telah  celupar menuduh  Anwar  sebagai anti-nasional kerana  mahukan pembedahan dibuat  di luar  negara dan sengaja memperlekehkan  bakat  pakar perubatan  tempatan. Pengarah Kuala  Lumpur  Hospital  telah  berkata semua kemudahan boleh dibawa daripada  semua  hospital  di negara ini  melainkan  alat  endoskop. Bagaimana pula operasi itu  boleh  dilaksanakan di  negara  ini?

Peralatan Yang Sensitif

Apakah  ini caranya:  sebuah  klinik yang dibuat khas untuk  pembedahan itu  dan  diubah  balik setelah selesai  pembedahan?

Apakah  mudah sangat  pembedahan  itu mengikut pendapat  pakar  perubatan  Malaysia, agar Dr. hoogland membawa  masuk  alat  kelengkapan  pembedahan itu  dan  kemudiannya  bawa  balik  alat  itu  ke Germany   sebaik sahaja  selesai  pembedahan?  Tetapi, sesiapa  yang  pakar akan  memberitahu  bahawa segala peralatan  yang sensitif perlu  dipasang  dan diuji dulu yang  memakan  masa  berbulan  lamanya  sebelum peralatan itu dapat  diperakukan oleh  pakar perubatan endoscopic  tersebut.

Syarat  ini  memang amat  diketahui  oleh  pihak kerajaan. Kerana  itu satu  jenis  serangan  baru dibuka pula. Menteri  Luar telah bercakap  di persidangan  di Geneva bahawa Anwar  sudah   pun bersetuju  tidak pergi  ke  luar  negara untuk perubatannya. Sepatutnya  pendedahan berita  ini diumumkan  ketika Dr. Hoogland  dibenarkan  masuk ke negara  ini.

Kenapakah perkara ini tidak didedahkan?  Timbalan perdana  menteri Abdullah Ahmad  Badawi telah memberikan  pendapat  kebijaksanaannya  bahawa  Anwar tidak  perlu  pergi  ke luar negara  untuk  rawatan perubatan  itu.

Mungkin  juga  kerajaan  membenarkan  Anwar  pergi mendapatkan rawatan perubatan  di luar  negara seandainya  beliau  bersetuju  untuk  tidak pulang kembali.  Tetapi,  dia  memang  mahu pulang secepat mungkin   selepas pembedahan  itu. Sudah  tentu itu akan mencetuskan  konfrontasi secara  terbuka kembali yang  akan menyenakkan  kedudukan  kerajaan lagi.

Tawaran Pemergian  Yang Selamat

Ketika dia  ditahan di bawah ISA pada  pertengahan 1970-an  dulu, ada   satu   kumpulan   kawannya  yang mendapatkan restu  kerajaan  untuk  menawarkan biasiswa  agar  dia  pergi  melanjutkan pelajaran mendapatkan Sarjana  di  Oxford. Dia  menolak  tawaran itu  kerana  dia  sedang ditahan  ketika  itu. Demikian jawapannya  kepada  mereka.

Anwar  telah  menyesuaikan  dirinya  sebagai  insan yang  tidak relevan dalam konfrontasi  politik Melayu. Dengan berbuat  demikian,  dia  menjadi seorang  tokoh  yang perlu  diperhatikan. Apa juga kemungkinan  yang  perlu diambil kira  dalam percaturan  masa depan  Malaysia, ketokohannya akan terus  membesar.  Sama ada  ia  menyangkuti perundingan  perpaduan  Melayu, kesinambungan  UMNO ataupun  keupayaan  Dr. Mahathir  untuk  terus  kekal sebagai  seorang  perdana  menteri, sekali pun.

Bagaimana pun dilihat perkara  ini, keadaan kesihatannya  yang  membuatkan  kerajaan  sentiasa keresahan. Kerajaan  sudah pasti tidak  mampu menanggung kesan bencana  seandainya sesuatu  yang mudharat terjadi ke atasnya. Dr.  Mahathir  memang  amat arif  mengenai ini. Begitu  juga  Anwar  dan  juga masyarakat  Melayu  itu  sendiri.   Itu  sebabnya keperluan  mendapatkan pembedahan endoscopic  bukan lagi   berbentuk  perubatan. Ia sudah  menjadi masalah  besar  politik. Dia boleh  pergi  ke  luar negara  kalau dia sanggup mengaku tidak akan pulang kembali. Tetapi,  syarat  itu adalah serupa  dengan meminta  seekor harimau kumbang mengnyahkan tompok-tompok  hitam  pada  kulitnya.

M.G.G.  Pillai 
pillai@mgg.pc.my

Terjemahan MT