Akal Budi, Komando dan  Tanggungan  Awam
(Common Sense, Commandos  And  Civil Liability)

Oleh: Harun  Rashid

(Nota webmaster: Laman Worldview Harun Rashid penulis artikel ini ada dilinkkan di bahagian bawah laman ini. Artikel asal tulisan beliau boleh didapati dengan mengunjungi laman tersebut~Webmaster)

Perdana  Menteri  berkata  dia  masih  tidak  faham  dengan sifat  pasaran  saham. Perkara  ini  memang bukan  sesuatu  yang  menyulitkan  ramai  orang kerana  ramai yang  bersetuju  bahawa bukan ramai  sangat orang yang  memahaminya. Cakapan  perdana  menteri  menarik  minat  kerana bukan  selalu  sangat  beliau  bercakap  secara  merendahkan diri.  Mungkin  juga  ada  unsur-unsur  sindiran  tajam yang  terselindung  di  sebalik  kata-katanya  itu. Dia  memang pintar mengemis sokongan   setiap  kali  dihantui pertentangan.

Cakap-cakap perdana  menteri membayangkan   dia  lebih  ghairah melihatkan harga  purata   saham  di paras  lebih tinggi dari  harga  pasaran semasa, seolah-olah  dia  adalah  ‘seekor lembu  sindi’  yang,  mengikut  istilah pasaran saham,  bererti   dia  berupaya   membeli sakan. Inilah yang mencetuskan kerunsingan di  kalangan pelabur  Malaysia kerana  mempunyai seorang  perdana  menteri  yang bermain  besar-besaran. Memanglah  bukan  satu kesalahan  jenayah  untuk  bermain besaran  di pasaran saham. Soalnya perdana  menteri  menggunakan  wang  rakyat  untuk bermain saham.  Inilah  dana  pencen dan  segala  simpanan  persendirian  rakyat  marhaen. Memang   amat  mudah menggunakan wang yang banyak  untuk bermain, dengan  menggunakan  wang orang  lain.

Semalam, ketua bank negara sudah   pun  membuat  pengumuman mengenai lapuran  tahunan tahun  sudah,  sambil  memberikan  gambaran yang molok-molok akan  masa  depan yang cerah. Tetapi, usaha  itu  gagal segagalnya. Apa  yang  ditonjolkan ialah  cadangan  mengawal inflasi dengan menggunakan  piawaian  konsep  bekalan dan  kehendak. Tidak  pula  disebut perkara  yang  berkaitan  dengan kenaikan  gaji pegawai  kerajaan, harga  tol, petrol,  tambang   bas dan kesan semua  ini terhadap   konsumer  biasa.  Bertambahnya  secara  mendadak  surat janji  perbendaharaan  seperti  T-Bills (dulu  cuma setakat  RM300  juta kini sudah  melonjak  melebihi   RM 7 bilion ) tidak  pula  disentuh. Begitu  juga  halnya  dengan  KWSP  dan dana  tempatan  yang lain  yang  digunakan  untuk  menyerap  segala  hutang negara  yang bertimbun-timbun.

Jadual pembayaran  hutang  negara  sekitar 16% daripada KKN  dianggap  rendah, tanpa  mengambil  kira  jumlah keseluruhan hutang  negara yang  semakin  parah. Apabila  kadar  inflasi   diatur  secara  rasminya  agar berada di tahap  rendah, kadar  faedah  kepada  pinjaman menjadi  rendah  juga. Kerana  itu  kos  perkhidmatan melunaskan hutang  negara turut  menjadi  rendah.  Inilah  yang menghenyak semua dana itu  kerana  akan  menerima faedah  yang  rendah. Sekaligus  rakyat  yang  menabung pun akan  menerima kadar  dividen   yang  rendah  juga.  Rahsia  muslihat  ini terletak kepada  penggunaan  kadar  inflasi   yang  rendah mengikut  perkiraan  rasmi. Nampaknya  para  pegawai  di  jabatan statistik tidak berupaya   menukarnya lagi.

Lapuran tahunan  itu  tidak  memberikan  jumlah  sebenar yang  membabitkan  pembayaran  hutang  negara,  hanya  setakat  memberikan  peratusan  kepada  KKN  sahaja. Ramai  yang  menganggap taktik  ini  sebagai  tidak  telus,  kerana  kadar tahunan  hutang  negara  dibayar  daripada  pendapatan  tahunan  kerajaan  pusat. Kalau  berdasarkan  beban  hutang  yang ada  tentu  sekali  keadaan  sebenar  lebih  mencurigakan daripada  setakat  pengistiharan  “cuma 16% KKN” sahaja.    Keseluruhan dokumen itu  menggunakan  stail akrobatik  yang sama  untuk  mengelirukan.

Satu rancangan baru  untuk  merangsang ekonomi negara dan menampan  kemerosotan ekonomi  Amerika telah diumumkan  dengan  penuh  gah dan suasana  ceria. Rancangan ini  mengsyorkan  agar pendapatan negara  dibelanjakan  tanpa  hadnya. Tetapi  rakyat  marhaen, baik  yang berkhidmat  di  sektor awam ataupun  swasta yang membayar  cukai  dan  lesen tidak pun  merasakan  apa-apa.  Mereka  sedar  betapa  Malaysia  semakin  terjerat di  lubuk hutang yang dalam. Semua   ini  difikirkan  selepas  mengambil  kira pembayaran faedah kepada  jumlah hutang awam yang semakin  mendapat  penelitian  ramai.

Lapuran  tahunan  itu  menyebut  perihal  kecairan yang  mudah  dicapai sambil menyentuh  dana  yang dikatakan berada di  mana-mana menunggu masa   untuk  dipinjam  dan dibelanjakan. Namun, keadaan mencungap  untuk  mendapatkan  pinjaman  luar sudah  semakin  ketara. Satu  pinjaman bernilai  US1 bilion yang  amat  diperlukan sedang  diusahakan secara tergesa-gesa. Kita  diberitahu betapa kadar  penetapan   matawang   adalah   satu  amalan yang  baik kerana  sistem  itu  sedang   berjalan dengan  baik dan  akan terus  dilanjutkan.  Tetapi,  nilai  ringgit  itu  adalah mengikut  selera  yang  diingini  oleh  seseorang  dan  bukannya  berdasarkan  apa  yang ditentukan  oleh  kerajaan. Ringgit itu  hanya  sah  diperlakukan  di  Malaysia dan ia  tidak  boleh dibawa keluar negara.  Ia  tidak laku  di  tempat lain dan  kuasa  beliannya sudah  semakin  menurun.

Para   pelancong menggunakan ringgit seperti  juga  mereka  yang mahu  membeli barangan  Malaysia. Inilah   punca utama wang asing yang  semakin  berkurangan  sekarang  ini. Bank  Negara  terpaksa  merencana sesuatu  untuk  mendapatkan  bekalan  wang asing lagi.  Pada  tahap  awalannya  ia  terpaksa  dilaksanakan  dengan  bergantung harap  kepada kehendak  tempatan. Tetapi,  di  pasaran  tempatan  bukannya  ada  sumber  wang asing. Kerana  itu  keselamatan  ekonomi  Malaysia  terpaksa bergantung  kepada  pertunjukan  kupu-kupu,  ekspo  perdagangan  dan  perlumbaan  kereta  lumba untuk  memancing pelancung asing yang  membawa masuk  matawang  negara  mereka  dan  membeli  matawang   tempatan  pada kadar   pertukaran  yang  ditetapkan.


Pentadbiran negara yang  diketuai oleh  perdana  menteri  memegang kuasa  yang  mempengaruhi    dunia  korporat  di  negara  ini secara  terus  ataupun  sebagainya. Berjuta-juta  unit saham  sudah  pun  dijadikan  cagaran  untuk  berhutang  di  mana  nilai saham itu perlu dikekalkan pada paras tinggi untuk  mengelakkan  tuntutan  panggilan margin. Kerana  itu  pasaran terpaksa  bergelumang  dengan  segala tipu muslihat. Inilah juga  sebabnya  diwujudkan suasana  yang ada yang dimaksudkan   oleh  perdana  menteri  ketika dia   mengatakan bahawa “pasaran saham  kita  akan terus  dianggap  sebagai  satu  pasaran  saham  ala Mickey  Mouse sahaja”.

Semua  syarikat  yang  dikuasai oleh kerajaan adalah  merupakan  komponen  penting  dalam  ekonomi  nasional  negara.  Mereka terbabit dalam perdagangan   seperti juga  para  konsumer  yang  berdagang dengan  barangan mereka. Tentunya   keuntungan  menjadi  sasaran mereka  sambil  bersaing  dengan  syarikat biasa; sedangkan   syarikat biasa  itu tidak   mempunyai  kemudahan  ditaja  oleh  kerajaan. Ini bukannya  satu  saingan  yang sihat kerana  tidak  ada  sebarang  deraan  kalau berlaku  salah urusan  dan  penipuan  dalam  perusahaan  yang  ditaja  oleh   kerajaan itu.  Seorang  peniaga  yang  jujur  tidak  mampu  meraih sedikit   peluang  yang  baik dalam pasaran  yang  tidak  sihat  itu. Lebih-lebih  lagi  kalau  keadaan  perniagaan  dikuasai  oleh   pasukan  yang  ditaja oleh perdana  menteri.

Para  pengunjung  lakonan  pentas  mudah  faham apabila  sesuatu  babak  itu  berakhir  maka tamatlah ilusi  yang dilakonkan  di pentas  itu. Kini, babak kepada lakonan  yang penuh  kepalsuan   itu  sudah  pun berakhir.  Tirai  pentas sudah pun  diturunkan untuk menutup  segala kejijikan  yang  ada.


Apabila  para  komando mula  berkhemah


Pihak pentadbiran telah  mengumumkan satu  keputusan  untuk  mengubah suai satu  markas  komando di  utara.  Satu   perbelanjaan yang  besar telah  diperuntukkan   mengubah suai  markas tentera  itu  agar  menjadi  satu  kelab bersantai  yang dikhaskan  kepada   komando  yang sudah  pun bersara.  Di   Malaysia, para  komando  adalah  satu  unit gerak khas  di antara tentera  biasa  yang  digunakan  oleh  para  panglima  tentera  laksana  unit  gerak  khas  pasukan  polis  negara.   Pada  7  April  nanti, sudah  dijadualkan  satu   perjumpaan dengan  perdana  menteri.  Kalau kadet  polis  boleh diarahkan  agar   mengikuti arahan parti  yang sedang berkuasa,  perdana  menteri  dijangka  memberi  ingatan kepada  para  komando  itu betapa  taat setia  mereka  adalah  kepada  kerajaan, yang  bermakna  kepada  beliau  juga.

Ada  dua  anggota bekas  komando yang   tidak   akan  hadir.   Sebaik  sahaja  menerima   jemputan itu,  Raja  Kamaruddin   telah  memberitahu  semua  rakan-rakannya betapa  dia  tidak  akan  hadir. Dia  mengulang  kembali  sikapnya  ketika  memberi keterangan dalam  kes  pengadilan Anwar  Ibrahim  dulu.  Ketika  itu  dia  memberitahu  Hakim  segala  butir konspirasi   yang  memusnahkan  kerjaya  Anwar  Ibrahim. Dia juga  telah  menjelaskan  peranan  utamanya dan  juga  pembabitan menteri  kewangan  dan  ramai  lagi  pegawai  atasan di  pihak  pentadbiran negara. Hakim telah  memperlekehkan  segala  perakuan  beliau, mungkin kerana lebih  rela  akur  kepada   kehendak  nafsu-nafsi  penghuni  agung  di  Putrajaya.

Seorang  lagi  komando  yang  tidak  akan  hadir ialah Matthew  yang juga  dikenali dengan nama Medan,  seorang  pemuda  kelahiran Sarawak. Beliau  mati  terkorban ketika berkhidmat  kepada  negaranya  di  medan pertempuran  Bukit Jenalik. Pihak media  melapurkan  betapa  dia  telah  diseksa dan  kakinya  telah dibaham oleh  tembakan peluru.  Pada  hari pengadilan, satu  kenyataan telah  dibaca mengatakan  Medan  telah ditembak di  bahagian belakang. Malangnya, saksi  yang membuat kenyataan  itu,  Jaafar Putih,  telah turut mati  juga, setelah dia meraung  kerana kesakitan  perutnya  sebaik  sahaja  keluar  (selepas makan) daripada  balai  polis  Lenggong. Dia  keluar  itu  selepas  diperam  selama  sepuluh  hari setelah dibebaskan daripada  kes penculikan  (Al  Ma'unah  - penterjemah).  Kenyataannya  itu  dirakamkan  bertepatan dengan  waktunya.  Keadaan  yang menyebabkan  kematian  Jaafar  Putih  itu  adalah satu  misteri  yang sama  peliknya  dengan  kematian  komando  Medan.

Seorang pegawai khas  (SB)  polis  yang telah  ditahan  selama  empat hari  sebagai  tebusan  yang terikat di sebatang pokok durian,  bernasib  baik  tidak   diapa-apakan. Pada  mulanya  dia  berkata  tidak melihat apa-apa. Kemudian  dia mengaku  pula mampu  melihat  keadaan sekelilingnya yang   menyeluruh kawasan berbukit-bukau sehinggalah  bahagian  gaung di mana  dia  telah  melihat seseorang  yang  telah ditembak.  Apabila dibenarkan  keluar  di  sebelah  petang,  dia  gagal  menyebut  betapa dua  orang  yang  hilang  itu  telah  ditanam  beberapa  kaki jaraknya daripada tempat  dia  diikat. Dia  telah  dianugerahkan pangkat   kerana keberaniannya.  Kubur  si mati  telah dijumpai  secara  tidak  sengaja oleh seorang polis di waktu  gelap  di  malam  hari.  Polis itu  juga  telah terjumpa  senapang raifel  yang telah tidak  dapat dikesan  oleh  satu  regimen  askar  yang  mencarinya  di  siang hari. Yang  lebih  pelik  lagi, di khemah  bertahan yang dihuni  oleh  satu  pasukan pengamal agama yang kuat  pegangannya,  tidak  ada  terjumpa  sebarang tikar  sembahyang, kain  sarong dan  juga  songkok. (Di  malam  hari  mereka  memasang unggun  api  untuk  bersalai  sedangkan  kawasan sekeliling  dikepung  oleh ribuan  tentera kerajaan – penterjemah).


Apabila mayat  Medan  digali  daripada kuburnya  di  Bukit  Jenalik, mayat  itu telah  dibawa  ke sebuah  hospital  untuk pemeriksaan  bedah-mayat. Pakar  pathologi tidak  pun  terjumpa sebarang  kesan  di  bahagian  kaki, begitu  juga  kesan  tembakan  di  bahagian  belakang badan  si  mati. Tidak juga  sebarang  kesan mayat  itu  disiksa. Beberapa  gambar  yang diambil terhadap  mayat  itu  menunjukkan Medan  mati  kerana  tembakan peluru  yang  mengena  di antara  dua  matanya.   Kebanyakan pegawai  yang memeriksa mayat  itu  telah dipindahkan   untuk bertukar  ke  tempat lain  yang  jauh-jauh.   Tidak   lama  selepas  peristiwa  itu, ibubapa  Medan  di Sarawak telah  menerima banyak  hadiah kerana  pengorbanan anak  mereka. Begitulah  juga  layanan yang  diterima oleh  balu kepada  pegawai khas  SB Sagadevan  yang  juga  telah  mati di  tembak  di antara  dua  matanya.


Tidak  lama kemudian, satu  majlis  khas    telah diadakan  di  Ipoh untuk Unit B  UTK Polis di  mana  ketua  unit  B  itu  telah  dianugerahkan pangkat  di hadapan satu  perbarisan khas  sebagai  mengenang jasa  dan  keberaniannya  di  Bukit  Jenalik.  Setelah  dinaikkan  pangkat  dia ditukarkan  ke  Melaka  di  mana  dia diharapkan  terus  berkhidmat  taat setia  kepada  pegawai  tinggi  parti  yang   berkuasa.

Tanggungan  Awam

Setiap  kesalahan jenayah selalunya  dirujukkan  kepada  hukuman yang ditentukan dan apabila  seorang  penjenayah itu mengaku  salah, jatuhlah hukuman dan dia  pun dimestikan  menjalani  hukumannya  itu. Beginilah  hukumannya  kepada  semua. Pihak polis ataupun  ahli  politik  kepada  parti  yang  berkuasa  tidak  dikecualikan  daripada   hukuman  ini. Seandainya  berlaku  kecederaan  dalam perlakuan jenayah  itu, seperti satu penderaan, maka  tuntutan sivil  boleh  dikenakan  terhadap  pihak  ataupun  beberapa  pihak  yang  bertanggungjawab.  Jikalau  pesalah  itu  adalah seorang pegawai kerajaan  yang menjalankan tugasnya, maka  semua ketuanya  dan  juga  kerajaan   pun  turut terlibat  untuk  dikenakan tindakan sivil dalam tuntutan  ganti rugi. Kalau si  pesalah itu  seorang  pegawai  polis  ia  patut  dicela  kerana  mereka  yang menguatkuasakan undang-undang memang tidak dijangka melanggar  undang-undang itu.


Kerajaan  Malaysia  sedang memenjarakan Anwar  Ibrahim  sebagai  seorang  tokoh  banduan  dalam penjara,  secara  bersendirian.  Dia telah  dibaham sehingga teruk ketika dalam  tahanan ibu pejabat polis gara-gara  gelagat ketua  polis  negara. Pegawai  ini  bertindak  dengan  kekuasaan yang  ada  padanya  ketika  itu.  Akhirnya  dia  telah dipaksa oleh  Suruhanjaya  Siasatan Diraja untuk  mengaku  membuat  kelakuan  biadap   itu dan  telah dikenakan  hukuman  selama  dua bulan.   Sehingga  kini, setelah  dua tahun  berlalu,  dia belum lagi  merasakan pengalaman  dipenjarakan  waima  sehari  lamanya. Banduan  yang  terpenjara itu  belum dibenarkan  keluar lagi. Dia telah dinafikan  sebarang jaminan, walaupun dia  berhak kepada  kemudahan  itu  mengikut peraturan  perundangan  negara. Orang yang dituduh  kerana   membunuh  sengaja  memperlekehkan  undang-undang  Malaysia, mereka diberikan jaminan  polis secara mudah  sekali  kerana  dibenarkan  oleh  seorang  pegawai  kanan  di  jabatan  Ketua Peguam Negara. Inilah pegawai  pendakwaraya  yang  sama  merencana kedua-dua  kes  yang membabitkan Anwar  Ibrahim.  Tujuannya  yang sebenar  memang  boleh dipertikaikan.


Kini, Anwar  Ibrahim   memerlukan  satu  pembedahan  tulang belakang yang  sungguh menyulitkan  kerana  kecederaan yang  ditanggungnya. Pengakuan bersalah (ketua polis negara -penterjemah)  mendedahkan adanya  tanggungan awam  yang  perlu  ditanggung oleh  polis penjenayah itu  dan  juga  kerajaan  Malaysia. Kerajaan   enggan  membenarkan layanan  perubatan  yang  diperlukan  dan ini merumitkan lagi  tanggungan  tugas para pegawai  yang  menidakkan  rawatan  itu.   Seandainya menteri hal ehwal  dalam  negeri  didapati  orang  yang utama bertanggungjawab dengan membuat keputusan  itu, makanya dia  bersama  kerajaan  terpaksa  menanggung  beban  kesan perundangan  sekiranya keadaan  Anwar  Ibrahim  menjadi  lebih  teruk lagi.   Keadaan semasa  menunjukkan  adanya  kegagalan  di  pihak  penasihat  yang sepatutnya  memberikan  pandangan  yang  lebih  arif kepada pemimpin  kerajaan yang  ada.



Diterjemah oleh MT
30.3.2001