Kuota Universiti:
Kepentingan Negara Ataupun Keegoan Bangsa ?
(University
Quota: National Interests Or Racial Ego ?)
Kontroversi yang
menyelimuti soal kuota kemasukan universiti mendapat liputan hangat
apabila Perdana Menteri dan Presiden UMNO Mahathir Mohammad
membuat pengumuman (selepas bersidangnya Majlis Tertinggi Umno) bahawa
UMNO akan melaksanakan satu penyelidikan
baru untuk menentukan kadar sebenar nisbah bumiputera: bukan
bumiputera dengan mengambil kira bukan sahaja universiti
tempatan tetapi juga semua universiti dan kolej di negara
ini dan juga di luar negara.
Banyak pihak tidak
berapa faham apakah tujuan sebenar tindakan terkini UMNO itu. Tetapi,
ia semakin menyerlah apabila Menteri Pendidikan Musa Mohamad
membuat pengumuman beberapa hari kemudiannya bahawa aplikasi
konsep kuota perkauman itu tidak lagi mengambil kira
kemasukan pelajar di institusi pengajian tinggi tempatan sahaja.
Ia akan mengambil kira juga kemasukan pelajar di luar
negara. Dengan lain perkataan, UMNO akan membuat perkiraan terhadap
semua pelajar Malaysia yang belajar di semua
pusat pengajian tinggi, ( tidak kiralah di luar negara ataupun dalam
negeri, samada di institusi Awam ataupun Swasta) dan mencatatkan
asas perkauman mereka. Tujuannya ialah untuk memudahkan
perlaksanaan satu dasar di mana untuk setiap ‘X’ jumlah
pelajar kaum ‘A’ , mesti ada tidak lebih jumlah
‘Y’ pelajar daripada suku kaum ‘B’. Dengan lain
perkataan, ini membawa erti pelajar bukan-bumiputera tidak boleh melebihi
peratusan tertentu (yang ditentukan oleh UMNO) pelajar bumiputera,
tidak kiralah mana di dunia ini mereka berada dan
apa juga institusi pengajian tinggi yang mereka masuki.
Daripada
aliran fikiran yang dicetuskan oleh Mahathir dan dikembangkan oleh
Musa Mohamad itu, membuatkan para pemimpin dan UMNO menjadi kurang
berminat kepada keadaan kemajuan akademik pelajar-pelajar Melayu
berbanding jumlah pelajar bukan-Melayu yang belajar di pusat pengajian
tinggi yang perangkaannya melepasi anggaran yang dibenarkan
berbanding dengan jumlah keseluruhan pelajar Melayu
semuanya. Mereka juga semacam tidak peduli dengan kelembaban usaha
kita dalam menyaingi dan berlumba dengan dunia luar untuk
melahirkan kumpulan cendikiawan dari kalangan kumpulan
pelajar kita yang pintar (terutama sekali pelajar
Cina) dengan menyekat peluang mereka belajar di universiti tempatan
disebabkan salah guna sistem kuota perkauman dalam
kemasukan pelajar universiti.
Aliran pembangunan yang menyedihkan
ini menunjukkan betapa Kerajaan telah menyimpang jauh
dalam menangani beberapa isu utama negara.:
Pertama:
Apakah tujuan sebenar sistem kuota itu?
Jawapan yang ketara
ialah untuk membantu golongan bumiputera, yang secara
kebetulan mempunyai masalah kewangan dan keupayaan
akademik, untuk memasuki universiti. Dalam hal ini, sistem kuota telah mencapai
sasarannya, seperti yang pernah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan satu
ketika dulu mengenai pengambilan tahun ini untuk pusat
pengajian tempatan. Sasaran kerajaan untuk mendapatkan 38,000 pelajar
itu menghadapi kekurangan sasaran sebanyak 7,000 calon, disebabkan
kekurangan calon pelajar bumiputera yang berkelayakan. (penafian kementerian
akan kenyataan ini yang dikeluarkan beberapa hari
kemudiannya adalah sesuatu yang tidak boleh diambil kira
kerana alasannya yang tidak berwibawa).
Jadi, apakah kesannya apabila
lebih ramai pelajar bukan-bumiputera berbanding pelajar bumiputera
yang memasuki kolej swasta tempatan boleh menafikan
peluang pendidikan untuk pelajar bumiputera ataupun membawa kesan
terhadap kemajuan akademik mereka? Jika tidak, kenapakah Menteri
Pendidikan naik berang sehingga membuat ikrar mahu membetulkan ketidak-seimbangan
ini dengan menyatakan ‘panduan dasar’ mewujudkan
satu nisbah di kolej swasta agar mematuhi kuota
rasmi 55:45 memihak kepada pelajar bumiputera dan “seiring
dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa kuota itu tidak
seharusnya terhad kepada universiti awam sahaja”?
Begitulah
juga, bagaimanakah kewujudan jumlah bukan bumiputera yang besar yang
belajar di luar negara boleh membawa kesan terhadap pembelajaran
pelajar bumiputera? Jika tidak, kenapakah UMNO begitu
ghairah melancarkan penyelidikan untuk membanci jumlah pelajar .Malaysia
di luar negara mengikut pecahan kaumnya?
Apakah sebenarnya
muslihat tindakan UMNO itu? Adakah ia bertujuan
menaikkan tahap pendidikan akademia orang melayu? Ataupun apakah
ia berutjuan memuaskan egonya dengan tujuan meraih
sokongan politik daripada orang Melayu? Jawapan kepada
semua soalan ini memang amat jelas sekali.
Adalah penting
dirakamkan di sini, wujudnya peningkatan jumlah pelajar
bukan bumiputera yang menuntut di pusat pengajian tinggi
swasta tempatan dan juga luar negara adalah disebabkan
mereka terpaksa berbuat demikian setelah dinafikan peluang
untuk belajar di pusat pelajaran tinggi awam tempatan. Walaupun
kuota rasmi ialah 55:45 memihak kepada pelajar bumiputera, kuota
pengambilan sebenarnya untuk universiti tempatan adalah melebihi nisbah
75:25 seperti yang dilaporkan dalam Laporan MAPEN2
terbitan kerajaan. Dalam lapuran itu ada disebut pada 1999,
daripada jumlah kemasukan pelajar seramai 203,675 orang, nisbah
bumiputera dengan bukan bumiputera ialah 77.27%:27.3% (sedangkan
nisbah siswa-siswa pada tahun itu ialah 62:38).
Kuota
kecil yang diperuntukkan kepada bukan-bumiputera telah memaksa
penghijrahan ramai pelajar Cina ke seberang laut melalui program
berkembar yang dilaksanakan oleh universiti tempatan. Ramai pelajar ini
seterusnya mendapat peluang pelajaran di luar negara yang
menjadi sumber aliran penghijrahan minda ke luar negara untuk
beberapa tahun kebelakangan ini lamanya. Seandainya UMNO bertindak
menggunakan bancian besar itu untuk meneruskan usaha
mempertingkatkan nisbah pengambilan bumiputera dalam universiti
tempatan, besar kemungkinannya berlaku lebih banyak lagi
penghijrahan kepakaran bukan Melayu ke luar negara.
Malahan akan berlaku banyak kerugian lagi kerana
semakin ramai pelajar bukan-bumiputera yang
gagal menerima pelajaran tinggi mereka disebabkan kesempitan
kewangan (nisbah biasiswa kerajaan yang diberikan kepada bukan-bumiputera
adalah lebih kecil daripada jumlah kemasukan mereka ke
universiti tempatan).
Adakah UMNO mengambil berat dengan
kehilangan kepakaran dan penghijrahan minda ini ? Kalau dilihat
gerak-gerinya yang terkini, kita boleh nampak bahawa UMNO lebih berminat
untuk mendapatkan perangkaan yang menyoroti perkauman
daripada kehilangan kepakaran daripada negara ini
ataupun kemajuan tahap pendidikan golongan pelajar bumiputera.
Isu
Kedua: Dalam masalah kuota kemasukan universiti, tugas
kerajaan ialah menentukan pengagihan sumber negara, dan bukannya
campur tangan dalam usaha swasta. Kerana keghairahan UMNO memainkan isu perkauman,
ia sudah terlupa bahawa peranan utama kerajaan ialah
untuk menentukan pengagihan kemudahan secara berkesan dan
saksama dan bukannya sebagai memihak-mihak dalam pergeseran remeh-temeh
yang menyangkuti usaha individu dan perseorangan seperti
cara mengendalikan maktab swasta ataupun kaedah kumpulan
individu yang belajar di luar negara untuk
pendidikan mereka). Dalam hal menyangkuti sistem kuota itu,
tugas kerajaan hanyalah menentukan agar kuota yang
dipersetujui itu dilaksanakan secara saksama, sambil
menyedari bahawa kuota itu adalah satu dasar sementara untuk
membolehkan golongan pelajar bumiputera maju bersaing ke tahap
pelajaran yang sama. Dengan hal demikian keutamaan harus
diberikan untuk menaikkan kualiti pengajian bumiputera itu
(terutama sekali dalam bidang sains dan matematik) selain
dari memantau statistik kemasukan mereka. Apakah
Kementerian Pendidikan pernah mengenal pasti penyebab utama
kenapa pelajar Melayu lembab dalam bidang matematik
dan sains? Apakah yang sudah dilaksanakan untuk memperbaiki
keadaan ini? Manakah dia perangkaan tahunan kementerian
yang memantau kemajuan ataupun kelembapan kemajuan
pelajar Melayu dalam bidang ini dan juga
kelakonan mereka dalam bidang pendidikan yang lainnya? Saya
amat skeptikal bahawa Kementerian telah melaksanakan
sebarang usaha untuk membetulkan kepincangan yang terdapat
dalam sejarah pendidikan orang melayu itu selama ini.
Dalam
usaha merobah kemerosotan kualiti yang dicapai
itu, Kementerian telah sengaja bertindak menaikkan
bilangan kemasukan bumiputera ke universiti melebihi kuota
yang dipersetujui dulu secara berahsia dan tanpa
kuasa yang istimewa. Apabila isu ini didedahkan
disebabkan kegagalan sekitar 500 pelajar bukan-bumiputera yang pintar mendapat
tempat di universiti tempatan, sedangkan masih terdapat 7000
kekosongan yang tidak ditampung disebabkan ketiadaan
pelajar bumiputera yang layak, kementerian pun menjadi
gelabah dan mula memutarbelitkan perangkaan untuk menafikan
wujudnya kekosongan itu. Walaupun muncul permintaan
bertalu-talu mahukan perangkaan sebenar kemasukan pelajar itu
lengkap dengan pecahan terperincinya, kementerian gagal menunaikan
permintaan itu. Kementerian seolah-olah bernekad mahu menyorokkan
kebenaran yang ada.
Di tengah-tengah kemelut ini muncul pula UMNO
dengan usaha kelentongan terbarunya mahu mendera golongan bukan-bumiputera
dengan mendapatkan perangkaan bilangan mereka di kolej tempatan dan
universiti luar negara. Apakah sebenarnya tujuan UMNO dengan perangkaan
terbaru itu? Apakah menyekat kemasukan bukan-bumiputera daripada
mendaftar di kolej swasta tempatan sehingga kuota 55:45 itu disenaraikan
dalam setiap kolej itu seperti yang disarankan oleh
Menteri Pendidikan? Mengadakan sekatan bilangan pelajar bukan-bumiputera
untuk memasuki pusat pengajian tinggi (tempatan dan juga luar
negara) supaya tidak melebihi 45% jumlahnya? Menaikkan lagi
kemasukan pelajar bumiputera di universiti tempatan sehingga
melebihi tahap ‘de facto’ 75:25 sebagai mengimbangi kekurangan
pelajar bumiputera di universiti awam bukan tempatan? Ataupun
sengaja menggunakan perangkaan yang baru itu untuk memberi
justifikasi kepada pengambilan mengikut nisbah yang ada; 75:25
di universiti tempatan?
Disebabkan banyaknya kolej tempatan dan
institusi seberang-laut, sebarang usaha kerajaan untuk
menyekat mana-mana pelajar berasaskan perkauman
daripada memasuki institusi itu yang tidak dibiayai oleh kerajaan
akan merupakan sesuatu yang tidak berasas. Tindakan seperti
itu (a) melampaui kuasa kerajaan yang sepatutnya menguruskan
harta awam, (b) melanggar hak asasi individu seperti yang
termaktub dalam perlembagaan negara, (c) tidak mempermudahkan
peluang bumiputera untuk mendapatkan pendidikan. Di waktu
yang sama, kerajaan tidak punyai sebarang alasan untuk
menggunakan perangkaan perkauman di kolej swasta tempatan
ataupun institusi seberang-laut untuk mengurangkan peluang
kemasukan bukan-bumiputera di universiti awam tempatan. Kalau ada
pun hak kerajaan campur tangan dalam kemasukan pelajar di
institusi swasta itu ialah kalau-kalau institusi
semacam itu mengamalkan diskriminasi perkauman.
Isu Ketiga:
Sasaran berlebihan Dasar Pendidikan Negara untuk
mempercepatkan pembangunan kuasa pemikiran negara.
Dalam semua
rancangan induk yang dibentangkan oleh Perdana menteri baru-baru
ini, termasuklah RP3 dan Rancangan Malaysia Kedelapan, kerajaan
telah mempastikan dengan tepatnya bahawa peningkatan pencarian ilmu
pengetahuan adalah kunci kepada usaha menandingi revolusi IT
dan kemungkinan membebaskan pasaran melalui AFTA dan WTO. Menyedari
bahawa tahap penyetaaan pendidikan tinggi rakyat negara
ini amat tertinggal di belakang para pesaing kita yang
lain, kerajaan telah berikrar untuk memberikan keutamaan dan
kepentingan kepada pertumbuhan dan peningkatan pelajaran
tinggi. Kalau perkembangan boleh dicapai melalui
perbelanjaan yang diperuntukkan, peningkatan hanya boleh
dicapai dengan menambahkan bilangan pelajar yang lebih
pintar di kalangan masyarakat pelajar itu. Dalam hal
ini, tindakan kementerian menolak peluang sebilangan besar pelajar bukan-bumiputera
yang pintar berasaskan masalah kuota perkauman, merupakan
satu tanggapan yang bersalahan dengan ikrar kerajaan
untuk memberikan keutamaan kepada pembangunan pendidikan ini.
Tindakan
UMNO yang negatif dalam kontroversi kuota universiti
ini adalah satu alamat yang jelas betapa UMNO telah
berubah daripada pemikiran lamanya yang direncana berdekad
dulu, ketika pertimbangan perkauman adalah satu fesyen berpolitik yang
unggul. Apabila UMNO membawa terus warisan pemikiran
usang itu untuk memasuki era IT di alaf baru ini
dan gelombang sejagat, tanpa sebarang pertanda ia
akan mula menyisihkannya, tentu sekali kita boleh
membuat andaian betapa Malaysia akan menghadapi zaman yang
mencabar tidak berapa lama lagi.
Namun, daripada kaca mata tanggapan
UMNO itu, keupayaannya untuk terus gagah mungkin tidak
menjadi keutamaannya dan isu kuota universiti sekarang
ini mungkin dianggap sebagai satu peluang keemasan
untuk meraih sokongan Melayu yang sudah lama
menendangnya. Mungkin juga UMNO sengaja mahu memesongkan
perhatian rakyat yang semakin marah kerana gelagat
jenayahnya terhadap negara sekarang ini, terutama sekali
mengenai penangkapan dan penderaan pemimpin pembangkang
dengan menyalahgunakan ISA, tindakan mendera Anwar Ibrahim dengan
menafikan haknya menerima rawatan di luar negara, yang berkemungkinan membuatkan
beliau lumpuh. Begitu juga dengan segala gelagat menyelamatkan para
kroni dan mengapongkan semula beberapa syarikat para kroni
dengan menggunakan dana awam, sedangkan segala usaha menyelamatkan itu adalah kerja
jijik yang bersamaan dengan menyalah gunakan amanah rakyat kepada
mereka.
Kim Quek .
Diterjemahkan oleh SPAR
Artikel ini dibaca oleh:orang