Tazkirah ( 4 ) : Petikan Dari Tulisan Dr. Yusuf Al-Qardhawi
Alhamdulillah. Segala Puji dan Syukur hanyasanya layak untuk Allah s.w.t sahaja. Salam dan Selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.
Tazkirah kali ini kita masih dalam perbincangan dalam bab Keikhlasan. Kita akan merujuk dalam buku yang sama hasil tulisan Dr. Yusuf Al-Qardhawi iaitu IKHLAS DALAM IBADAH & PERJUANGAN. Tajuk kali ini akan berkisar mengenai NIAT iaitu seawal-awal memulakan perbuatan dan gerak-kerja. Kita akan mengambil tajuk Niat Asas Keikhlasan dari muka surat 9-15.
Keperluan Berniat dan Pengkhususannya Untuk Allah:
Dalam beramal, keikhlasan hanya dapat dicapai apabila dua perkara penting ini
dipatuhi, iaitu:
Pertama: Memasang atau menghadirkan niat ketika memulakan kerja atau amal. Ini
adalah kerana amalan akan dinilai berdasarkan niat. Barang siapa yang melakukan
sesuatu amalan secara spontan tanpa niat, baik atau buruk tidak dapat
dijumlahkan dalam lingkungan orang-orang yang ikhlas.
Kedua : Penjernihan niat dari segala perkara yang merosakkan kebeningannya,
baik perkara yang berkait dengan kepentingan diri, mahupun yang berkaitan dengan
kepentingan duniawi.
Keperluan Niat Menurut Al-Qur'an:
Dalam Al-Qur'an, persyaratan niat selalu disebutkan atau diungkapkan dengan
berbagai frasa. Kadang-kadang disebut " Iradatu al-Akhirah " atau " Iradatu
Wajhi al-Allah " atau " Ibtigha' Wajhih " atau " Ibtigha' al-Mardhaatih"
Allah s.w.t berfirman ( Terjemahan )
" Ada di antara kalian yang mengharap habuan duniawi, ada pula yang mengharap
akhirat ".
( Al-Imran:152)
Firman-Nya lagi. (Terjemahan )
"Barang siapa yang amat mengharapkan habuan dunia akan Kami berikan, sedang
barang siapa yang mengharapkan habuan akhirat juga akan Kami berikan ". (
Al-Imran : 145 )
Firman-Nya lagi . ( Terjemahan )
" Barang siapa yang keprihatinannya lebih untuk mencari kehidupan duniawi dan
perhiasannya, maka Kami pasti menunaikan hajat mereka dengan usaha tersebut.
Mereka tidak akan dirugikan walau sedikit pun. Akan tetapi habuan ( ganjaran )
untuk orang-orang seperti itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah api neraka.
Pahala amalan mereka menjadi hancur dan tidak berguna sama sekali ".
( Hud:15-16)
Golongan berkenaan adalah hamba dunia. Mereka merelakan diri dan menjuruskan
kemahuan serta usaha mereka untuk menjadi perkakas orang lain semata-mata untuk
meraih dan merangkul habuan duniawi yang fana.
Allah s.w.t. berfirman : ( Terjemahan )
"Barang siapa yang amat mengharapkan habuan dunia yang segera, maka Kami akan
segerakan habuan dunia kepadanya menurut kehendak Kami. Akan tetapi kemudian
Kami siapkan neraka jahanam untuk mereka masuk dengan penuh kenistaan dan
kehinaan. Akan tetapi barang siapa yang amat mengharapkan ganjaran akhirat serta
bersungguh-sungguh berusaha untuk mencapainya sedangkan dia Mukmin maka itulah
golongan yang usaha mereka dihargai oleh Allah swt." ( Al-Isra' : 18-19 )
Ayat ini mengklasifikasikan manusia kepada dua golongan: Pertama, golongan pencari dunia ( yang mengharap habuan segera ), iaitu mereka yang tidak ada tujuan lain kecuali kekayaan dunia, maka nasib mereka ialah ke neraka. Manakala golongan kedua ialah pencari akhirat, yakni orang yang menjadikan akhirat sasaran utama mereka: di mana mereka bersungguh-sungguh berusaha untuk meraihnya, maka mereka akan menempati syurga seperti mana yang diterangkan oleh ayat di atas.
Ternyata bahawa ganjaran dan balasan terhadap amalan seseorang bergantung kepada iradah atau kemahuan atau juga disebut dalam bahasa Arab " al-Murad". Oleh itu, katakan kepada saya apa maksud dan tujuan anda ( dalam melakukan sesuatu pekerjaan ), saya pula boleh menyatakan kepada anda apa nasib anda dan ke mana anda akan berakhir.
Penegasan ini acap kali diulang-ulang dalam Al-Quran. Umpamanya firman Allah
swt. ( Terjemahan )
"Barangsiapa yang memasang hajat untuk akhirat, Kami akan gandakan untuk mereka.
Akan tetapi barangsiapa yang sekadar memasang hajat untuk meraih habuan dunia,
Kami juga akan memberikannya, namun di akhirat ia tidak akan memperolehi
apa-apa". ( Al-Sura : 20 )
Allah swt berfirman lagi : ( Terjemahan )
"Jangan engkau usir orang-orang yang ( ikhlas ) menyeru kepada Tuhan: pagi dan
petang yang (semata-mata) mengharapkan keredhaan Tuhan mereka ". ( Al-An'am :
52 )
Allah swt berfirman: ( Terjemahan )
"Dan apa jua yang kalian hulurkan sebagai zakat ( usaha yang mengembangkan harta
) demi mencari keredhaan Allah maka itulah usaha yang menyebabkan kalian menjadi
golongan yang memperolehi keuntungan berlipat kali ganda ". ( Al-Rum : 39 )
"Neraka itu akan dihindari oleh orang yang sangat bertaqwa, iaitu orang yang mengeluarkan sebahagian hartanya kerana berzakat ( untuk pembersihan harta berkenaaan). Baginya tiada yang lain lagi yang lebih wajar dibalas budi baiknya, selain dari ( Allah dan ) mencari keredhaanNya yang Maha Mulia". ( Al-Lail : 17-20)
"Apa jua yang kamu nafkahkan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah". ( Al-Baqarah : 272)
"Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah ". ( Al-Baqarah : 265 )
"Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali ( bisik-bisikan ) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar". ( Al-Nisa : 114)
Di sini, saya suka menarik perhatian pembaca sekalian, sebenarnya tidak wujud
percanggahan antara mencari akhirat dan mencari kerelaan Allah. Oleh itu
tidaklah bertempat orang yang mempersoal ayat : ( Terjemahan )
"Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan diantara
kamu ada yang menghendaki akhirat ". (( Al-Imran : 152)
Ayat ini tidak menyebut golongan " Man Yuridillah", kata mereka. Sebenarnya golongan pencari akhirat itu adalah golongan yang juga mencari kerelaan Allah. " Iradatu al-Akhirat" bermaksud mengharapkan pembalasan dan kerelaan Allah swt di akhirat kelak.
Orang yang ikhlas mengharapkan syurga Allah, manakala rasa takut kepada neraka Allah tidaklah pula direndah-rendahkan atau diperkecilkan oleh mereka. Justeru Al-Quran sendiri menceritakan bahawa para Nabi dan orang-orang yang salih terdahulu adalah orang-orang yang penuh raja', khauf, raghb dan rahb terhadap syurga dan neraka. Justeru Al-Quran sendiri mengungkapkannya dalam konteks pujian dan positif maka sudah tentu ia bukan soal yang perlu dipertikaikan.
Apatah lagi syurga bukan sekadar tempat kenikmatan fizikal semata-,mata. Malah
ia adalah tempat memperoleh kerelaan yang tuntas dari Allah. Tempat manusia
dapat menyaksikan Wajhullah swt.
Allah swt berfirman : ( Terjemahan )
"( Di Syutga nanti ) terdapat wajah-wajah yang riang ceria sambil memandang
kepada Allah"
(Al-Qiamah : 22-23 )
Akan tetapi nasib orang kafir pada hari itu amat malang sekali. Mereka tidak dapat melihat Tuhan. Manakala tidak dapat melihat wajah Tuhan inipun merupakan siksaan batin yang tidak terhingga.
Sumbangan : H.M. SUBUH
Jumlah pembaca:orang