Persoalan 'nikah gantung'

From: "has hanim" <*******@hotmail.com>
To: alimuda@hotmail.com
Subject: Cinta teruna dara
Date: Thu, 30 Aug 2001 12:23:42 +0800



Assalamualaikum ustaz..

Saya ada terbaca mengenai artikel seperti yang bertajuk diatas di dalam website.  Saya amat tertarik dengan persoalan yang dikemukan oleh saudari herma wati kerana saya dapat merasakan saya berada di dalam situasi yang sama.. walaupun saya mungkin tidak sebaik saudari herma wati.

Cuma apa yang saya ingin soalkan disini adalah apakah pendapat ustaz mengenai 'nikah gantung' walaupun sebenarnya tiada istilah tersebut di dalam islam jika saya tidak tersilap.

Untuk pengetahuan ustaz, kami memang merancang untuk berkahwin tetapi keadaan tidak mengizinkan kami untuk berbuat demikian memandangkan kewangan beliau masih tidak mencukupi. Pernah terdetik di hati saya untuk berbuat demikian untuk mengelakkan maksiat kerana semakin hari kami semakin rapat. Bukan saya tidak terfikir mengenai dosa.. walaupun kami tidak bermesra dari segi fizikal secara berlebih-lebihan tetapi kami selalu berhubung melalui telefon. Ini menyebabkan kami tidak dapat mengelak dari membuat maksiat hati.

Saya harap ustaz dapat memberi pandangan mengenai hal ini ataupun memberi penyelesaian yang lebih baik daripadanya. Untuk tidak berhubung dengannya adalah sesuatu yang payah untuk dilakukan, baik bagi diri saya mahupun diri dia. Cuma apa yang mampu kami lakukan adalah berdoa agar dipermudahkan jodoh kami. Halangan terbesar bagi kami adalah masa memandangkan lambat lagi untuk kami berkahwin dan bimbang jika berlaku sesuatu yang tidak elok dalam tempoh tersebut.

Diharap ustaz dapat membantu. Terima kasih.

Wassalam.


Jawapan Ustaz Ali Muda

Wa`alaikumussalam warahmatuLlah.

Terima kasih atas kepercayaan saudari untuk saya cadangkan penyelesaian masalah saudari, w/pun mungkin saya bukanlah orang yang terbaik untuk tujuan itu. Semoga Allah s.w.t. menunjukkan untuk saudari dan pasangan saudari jalan taufik dan hidayat-Nya.

Sebelum saya mencadangkan penyelesaian untuk  saudari, sukalah saya 'khutbah'kan sedikit mengenai hubungan lelaki wanita dalam Islam.

Tiada siapa yang menjadikan manusia ini lelaki dan wanita melainkan Allah s.w.t. Juga tiada siapa yang menjadikan lelaki terlalu minat terhadap wanita dan sebaliknya, melainkan Dia s.w.t. Dialah Allah s.w.t. yang menjadikan pandangan dan perasaan lelaki terhadap wanita tidak seperti pandangan dan perasaannya terhadap dinding, tiang dan seumpamanya. Kalaulah perasaan lelaki wanita itu hanya seumpama bila kita melihat dinding atau tiang, bukankah mudah untuk kita kawal diri kita daripada fitnah hubungan lelaki wanita ini? Maksudnya, Allah s.w.t. jugalah yang menjadikan lelaki terlalu  tertarik dengan wanita dan wanita suka memikat lelaki. (Lihat al-Quran, al-Ruum 30: 21, Ali `Imran 3:14)

Ya, Allah s.w.t. menjadikan pandangan dan perasaan khusus antara lelaki wanita dengan hikmat yang terlalu besar. Kalaulah tujuan ciptaan jin dan manusia itu ialah untuk tujuan pengabdian diri kepada Allah s.w.t. dengan melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya (al-Dzariyaat 51:56), dengan segala kemudahan percuma di bumi dan di langit (al-Hajj 22:65, Luqman 31:20, al-Jaathiyah 45:13) untuk manusia hidup sebg khalifah yang mengetuai alam dan boleh memperguna segala makhluk di dunia ini (al-Baqarah 2:30), maka tujuan manusia dijadikan lelaki wanita dengan tarikan yang amat kuat antara satu sama lain, BUKANlah untuk mereka berseronok sesuka hati sehingga melupakan tujuan asal Tuhan mereka mengadakan mereka yang sebelumnya tiada.

Siapa yang memberikannya nyawa dan orangan pernafasan untuk hidup, siapa yang memberikan akal yang menyebabkan dia terselamat daripada penyakit gila atau sewel, siapa yang memberikannya penglihatan yang menyebabkan dia tidak buta, siapa yang memberikannya pendengaran yang menyebabkan dia tidak pekak, siapa yang mengeluarkannya daripada perut ibu dengan selamat dan sempurna fizikal dan mental kalau tidak ALLAH S.W.T.? (Lihat Surah al-Tiin 95:4). Sedangkan ramai manusia lain yang dijadikan terencat berakal, buta, pekak, tempang dsbnya. Adakah orang2 yang terencat akal, buta, pekak, bisu, tempang dsbnya itu mampu dibaikpulih dan diganti akal, penglihatan, pendengaran, daya percakapan dan kesempurnaan fizikal oleh orang yang paling menyayangi mereka, iaitu ibu bapa mereka? Adakah ibu bapa mereka boleh membeli spare parts nikmat2 Allah s.w.t. di mana-mana untuk menggantikan kecacatan anak2 mereka itu? Jawabnya TIDAK, kerana semuanya itu adalah pemberian istimewa Allah s.w.t. tanpa sebarang pilihan lain.

Jadi Allah s.w.t. menjadikan lelaki dan wanita serta tarikan yang amat kuat antara keduanya ialah supaya mereka boleh hidup rukun damai secara kekal sebg suami isteri yang sah untuk melahirkan zuriat yang meneruskan generasi manusia yang mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Sekiranya manusia lelaki wanita itu tiada perasaan minat dan tertarik antara satu sama lain, maka spesis manusia akan pupus dan tamatlah dunia. Tetapi minat yang kuat antara satu sama lain itu BUKAN untuk tujuan berseronok sesuka hati tanpa ikatan perkahwinan yang sah yang disyaratkan oleh Allah s.w.t..

Supaya hubungan manusia lelaki wanita tidak menyeleweng dan menurunkan taraf mereka seperti binatang yang tidak mempunyai peraturan dalam perhubungan jantan betina atau lebih hina daripada binatang (lihat al-Tiin 95:5), maka Allah s.w.t. telah menurunkan  makhluk manusia ke bumi dengan satu pakej undang2 dan peraturan yang wajib dipatuhi. Siapa patuh dia dapat pahala dan layak ke syurga dan siapa ingkar dia berdosa dan layak masuk neraka. Itu saja pesannya, dan itulah kebenaran daripada Allah s.w.t., siapa yang hendak, dia boleh percaya (iman), dan siapa yang hendak, dia boleh tak percaya (kufur) -(lihat Surah al-Kahfi 18:29). Apa yang pasti, antara manusia yang percaya dan tak percaya itu, tiada apa2 perbezaan dari segi akan dikembalikan kepada Allah s.w.t. Yang percaya akan mati dan yang tak percaya pun akan mati juga (lihat Ali `Imran 3:55, al-Maidah 5:48, al-An`am 6:60, 164, Yunus 10:4, 23, dan banyak lagi).

Seperti yang selalu saya pesan kepada para remaja dan anak2 murid saya, tidak salah untuk kita meminati dan menyukai mana2 lelaki dan wanita kerana perasaan itu adalah anugerah Allah s.w.t. Manusia mempunyai minat dan cita rasa yang berbeza, s/ada terhadap sesama manusia, atau pakaian, atau kenderaan dan sebagainya. Tetapi minat dan cita rasa tidak menghalalkan kita memilikinya melalui cara yang menyalahi undang2 dan peraturan. Atas dasar minat dan suka, kita tak harus merampas, mencuri, menipu milik orang lain untuk memenuhi minat dan cita rasa kita. Bila kita menuruti minat dan cita rasa itu sehingga melanggar peraturan, maka kita sendiri telah menempah masalah.

Begitu juga, tidak salah untuk saudari meminati atau menyintai pasangan lelaki saudari itu, dan juga sebaliknya, dia terhadap saudari. Tetapi minat dan cinta itu tidak harus ditunaikan menurut perasaan sehingga melanggar peraturan, apatah lagi peraturan Allah s.w.t. tuhan yang mengadakan saudari yang asalnya tidak wujud di dunia ini. Sepatutnya kalau saudari sudah tahu keadaan belum mengizinkan untuk saudari dan pasangan saudari itu berumah tangga secara halal, mengapa saudari (dan juga dia) melanjurkan diri untuk bercinta secara serius? Tak mungkin saudari dan dia tiba2 saja berfantasi di alam percintaan, tanpa pertemuan demi pertemuan dan perbualan demi perbualan sebelum ini. Saudari dan dia tidak akan berada dalam masalah seperti sekarang ini jika perasaan minat dan suka terhadap dia dan sebaliknya itu dihentikan setakat itu sahaja serta tidak melangkah lebih daripada itu. Tapi nampaknya saudari dan dia telah melangkah banyak tapak melepasi sempadan yang patut (ini tidak saya kata salah jika saudari dan dia telah mampu berkahwin sejak mula cinta saudari berputik).

Tapi 'khutbah' ini tidak akan menolak saudari dan dia ke belakang semula untuk berada di titik asal sebelum percintaan serius seperti sekarang. Tujuan saya khutbahkan ini ialah untuk pengajaran kepada orang2 lain, khususnya para remaja dan muda mudi Islam yang belum melepasi usia belajar yang asas. Ini saya tujukan kepada mereka yang rata2 menjadi peminat filem2 cinta Hollywood, filem2 cinta murahan lakonan artis2 Melayu dan perkembangan artis2 yang hangat berpasangan dan bertukar-tukar pasangan, lalu cuba sedaya upaya untuk mempraktikkan pd diri2 mereka. Saudari dan dia adalah sepasang mangsa suasana yang mengasyikkan, w/pun saudari dan dia tahu kemampuan belum ada.

'Khutbah' selesai……

Saudari menyatakan sebab yang menghalang saudari dan dia berkahwin sekarang ia kerana faktor kewangan dia yang tidak mencukupi. Saudari juga menyatakan masa sebg 'halangan terbesar'. Mungkin ini bermaksud bahawa masa untuk dia mengumpul duit untuk perkahwinan itu agak lama dan tidak boleh bersabar lagi.

Lalu saudari bertanyakan pandangan saya terhadap cadangan 'nikah gantung'. Seperti yang saudari faham, sebenarnya tiada istilah nikah gantung dalam Islam. Kalau sudah nikah dengan syarat dan rukunnya yang cukup, maka ia adalah nikah secara Islam yang sah. Cuma saya faham maksud saudari dengan istilah 'nikah gantung' ialah suatu perkahwinan yang tidak diserikan dengan majlis kenduri-kendara dan belanja hantaran yang besar seperti yang selalu dibuat oleh orang ramai.

Kalau itulah maksudnya, maka 'nikah gantung' itu harus dilakukan kerana kenduri dan hantaran yang besar itu bukan rukun dan bukan syarat nikah. Kenduri sebg walimah untuk menjemput sanak saudara dan kenalan untuk meraikan pasangan mempelai hanya sunat sahaja. Kenduri secara kecil-kecilan pun memadai. Manakala hantaran adalah hadiah pihak lelaki kepada wanita. Hadiah ialah pemberian ikhlas, tidak wajib. Tetapi masyarakat kita hari ini seolah-olah mewajibkan hantaran ini dan menjadikannya sebg kebanggaan. Bila kebanggaan dijadikan matlamat, maka ia bukan lagi ibadat, sebaliknya maksiat yang membawa dosa kerana bermegah-megah, riak serta sum`ah (harapan supaya orang lain dengar dan memuji).

W/pun ia dikatakan harus, sebaik-baiknya berbincanglah dengan ibu bapa dan keluarga kedua-dua pihak supaya tidak timbul masalah di kemudian hari. Ingat, perkahwinan bukan sekadar berkawan, tetapi hubungan keramat yang menyatukan dua jasad dan dua jiwa. Jika ini tidak dapat disatukan, maka kehancuranlah akhirnya. Kalau dipersetujui dan semua pihak menyambut baik, maka teruskanlah hasrat saudari itu.

Tetapi jika yang dimaksudkan dengan 'nikah gantung' ialah nikah untuk memuaskan nafsu seks semata-mata tanpa membebankan suami dengan sebarang tanggung jawab nafkah zahir (kerana mungkin belum ada sebarang pendapatan), maka ia tidak harus. Ini kerana perkahwinan adalah hak dan tanggung jawab antara suami isteri zahir dan batin. Jika saudari merelakannya juga, saudari menceburkan diri ke lembah berisiko.

Melainkan jika pasangan saudari itu mempunyai prospek masa depan dan dalam masa sekarang telah memiliki kemampuan untuk memberi nafkah asas untuk saudari. Yang dia tidak mampu cuma belanja kenduri dan hantaran yang beribu-ribu itu saja. Jika ini keadaannya, iaitu pasangan saudari itu telah mampu memberi nafkah asas sementara dia memperolehi pekerjaan tetap nanti, maka perbuatan menangguh perkahwinan kerana menuggu perbelanjaan besar boleh membawa dosa yang lebih banyak. Bukankah Allah s.w.t. memerintahkan para wali dan pihak berkuasa supaya mengikhtiarkan supaya orang2 bujang dikahwinkan jika perkahwinan itu memberi kebaikan kepada mereka dan Allah s.w.t. menjanjikan kesenangan dan limpah kurnia daripada.-Nya jika kebetulan orang bujang itu masih fakir (Surah al-Nuur 24:32).

Jadi kesimpulannya, sesuatu perkahwinan yang cukup syarat dan rukunnya w/pun dinamakan 'nikah gantung' kerana tidak dikendurikan dengan majlis besar2an dan seolah-olah tiada 'rumah tangga' perkahwinan, hukumnya harus dan boleh dilaksanakan. Hubungan suami isteri 'nikah gantung' ini adalah seperti suami isteri perkahwinan yang biasa yang boleh menjalankan hak dan tanggungjawabnya. Tetapi jika yang dimaksudkan dengan 'nikah gantung' itu ialah perkahwinan 'rahsia' yang diakadkan antara sesama kawan (seperti al-zawaj al-`urfi di negara2 Timur Tengah), maka kesahihannya boleh dipertikaikan dan pihak berkuasa agama boleh mengambil tindakan w/pun pasangan itu tidak boleh dituduh berzina.

Cara yang lebih baik, tak perlu 'nikah gantung', berkahwinlah secara biasa w/pun dengan majlis yang serba ringkas. Dan tak perlu takut kedatangan 'orang baru' dalam kandungan kerana setiap yang bernyawa telah ditetapkan rezekinya oleh Allah s.w.t. Rezeki tetap ada, cuma mungkin tidak kaya atau mewah sahaja.

Semoga Allah s.w.t. memberi taufik untuk saudari dan pasangan serta pemuda pemudi Islam ke jalan selamat dunia dan akhirat. Sekian wassalamu `alaikum warahmatuLlah.

Hits: