Majlis Perkahwinan: Menyelami Minda Rakyat, Sukan SEA Dan Berita Fitnah Mainan UMNO/BN...
Musim cuti sekolah menjadi kelaziman rakyat Malaysia di kalangan pasangan yang hendak mengakhiri zaman bujang mereka, musim cuti persekolahan inilah menjadi pilihan pasangan yang mengadakan majlis perkahwinan. Banyak faktornya, bagi guru-guru ini saat sesuai, keluarga terdekat, anak buah boleh datang beramai-ramai bagi bergotong-royong menjayakan majlis besar ini. Di kampung-kampung masyarakatnya memang cukup perihatin dengan amalan bantu-membantu dan bergotong-royong. Penulis sempat menghadiri satu majlis perkahwinan anak sepupu di Papar, Sabah pada 9.9.2001M hari Ahad kelmarin. Dan sejak dua hari sebelum itupun penulis sudah menjengukkan muka dan membantu mana yang patut.
Seronoknya berada di majlis perkahwinan ini, kerana dapat bertemu sanak saudara yang jarang-jarang berjumpa disebabkan berjauhan tempat menetap atau tempat kerja. Kemudian dapatlah bersembang-sembang banyak hal yang boleh dilontarkan atau dibincang bersama, sama ada bab politik bagi kumpulan taik politik, bisnes bagi kaki bisnes, agama bagi yang cenderung agama, memburu bagi mereka yang suka berburu, sukan bagi kumpulan taik sukan dan macam-macam lagi. Bagi penulis mana-mana yang boleh ditumpang sekaki akan cuba mencelah sedikit-sedikit sambil menilai mental orang kampung kita. Bukan bermaksud menjadi SB atau spy siapa-siapa. Cuma sebagai seorang penulis itulah asam garam hidup kita mencari bahan untuk ditulis dan kemudian untuk dikongsi dengan semua pembaca bagi mencambahkan pemikiran dan maklumat baik.
Sukan SEA 2001
Di majlis perkahwinan pun bahang sukan SEA menjadi topik menarik, bagi membasahkan mulut atau merancakkan perbualan dan sudah masuk hari ke 3 termasuk hari sukan SEA Kuala Lumpur 2001 berlangsung, setakat ini penganjur, kem pasukan Malaysia, rakyat Malaysia yang taik sukan, anak-anak muda remaja dan orang dewasa pun berasa bangga dengan 16 pingat emas yang diperolehi Malaysia baru 2 hari berapa saat. Pengulas-pengulas RTM, TV 3 dan media cetak bukan main lagi cakap besar mereka, terkadang terlajak...mungkin kerana semangat 'Malaysia Boleh' barangkalilah tu...
Tengok saja Menteri Belia...u dan Sukan, Datuk Hishamudin Tun Hussein dengan membawa mulut lebarnya kata seorang rakan penulis. Senyumnya pun sampai ke telinga. Bangga konon, entah patriotik atau sekadar bangga untuk ditayang pada boss dia kat Puterajaya sana yang meneropong dari celah tingkap mahligai itu...
Tapi, baik juga diingat-ingatkan agar jangan terlampau menyanjung sehingga tidak sedar diri, main cakap mulut saja. Kata orang 'kerana mulut badan binasa'. Memang bagus kita menambahkan semangat kepada atlit Malaysia, tapi biarlah atas sikap 'tawadhuk' jangan terlebih berbangga, nanti kita jadi orang syok sendiri. Tetapi penonton naik meluat sikap melebih-lebih kita kat TV itu.
Kita tetap berharap dan berdoa agar Malaysia terus meraih emas demi emas atas semangat kesukanan. Bukan semangat ketakburan atau bangga diri yang tidak berpijak di bumi nyata, sudahlah.
Minda dan Mental Rakyat Belum Terbuka
Itulah kesimpulan penulis dari sembang-sembang penulis bersama sanak saudara, sahabat dan rakan di majlis kenduri kahwin anak sepupu itu. Ini cerita rakyat di kampung kat Sabah. Mungkin di Semenanjung dan Sarawak hari ini lain suasananya. Yang pasti rakyat di Semenanjung sudah maju ke hadapan dalam hal kesedaran berpolitik. Mereka tidak lagi ditempurungkan oleh pemikiran politik cara UMNO/BN. Di Sarawak menurut anak sepupu yang baru juga kembali dari Sarawak, sinar baru politik Sarawak melihatkan sedikit perubahan itu. Katanya, pensyarahnya semua cenderung kepada 'keADILan'.
Kembali cerita dalam majlis perkahwinan itu, seorang pak cik bercakap di TV katanya diberitakan pensyarah pun jadi militan, terlibat gerakan bawah tanah. Itulah yang menyesatkan pelajar-pelajar universiti. Sambung seorang lagi abang sepupu penulis, katanya sama saja di bawah UMNO/BN atau di bawah BA. Maksudnya barangkali dalam zaman UMNO/BN berkuasa yang terjadi macam-macam hal rasuah, pensyarah terlibat dengan militan, gerakan bawah tanah, amalan rasuah, penyelewengan dan...juga akan berlaku nanti di bawah pemerintahan BA (PAS, DAP, KeADILan dan PRM) nanti. Pakcik tadi mencelah lagi, silap-silap lebih lagi, maksudnya teruk lagi daripada UMNO/BN barangkali begitulah yang dibayangkannya.
Inilah gambaran pemikiran rakyat Sabah yang masih terkurung dalam kepompong fahaman politik yang ditanamkan oleh UMNO/BN selama beberapa tahun mereka berkuasa di Sabah. Dan lebih 40 tahun menguasai politik Malaysia itu. Otak rakyat Sabah terus ditempurungkan dan payah mahu dibuka dengan seluas-luasnya bagi melihat sinar politik baru yang dibawa oleh gabungan pembangkang kuat Malaysia, parti-parti BA sekarang. Rakyat Sabah yang sejuta lebih itu, yang sedar dan terbuka minda hanya berapa peratus sahaja untuk merubah pemikiran politik. Contoh di Likas, baru-baru ini yang mengundi dua orang calon pembangkang dari KeADILan dan PBS pun tidak sampai 4 ribu, berbanding pengundi yang disahkan oleh SPR ada 26 ribu lebih (termasuk warga asing yang diICkan melalui IC projek sejak zaman Berjaya).
Sebelum inipun, penulis pernah bersembang dengan beberapa kawan yang ditemui ada yang berkerja dalam agensi kerajaan, swasta, guru, pelajar universiti dan rakyat biasa. Masih ada yang benar-benar belum terbuka langsung minda akal mereka. Mereka tidak boleh berfikir lebih rasional dan matang tentang apa sebenarnya erti politik, kuasa, pentadbiran negeri atau negara. Apakah sekadar mengisi perut, dapat duit 20, 30 atau 50 ringgit setiap kali pilihan raya atau dapat sebuah tangki air, beberapa lori batu, papan, zink dan sebagainya. Namun, masih ramai yang boleh berfikir lebih terbuka dan berpandangan jauh. Dengan mencontohkan beberapa tipu helah, fitnah, kelemahan, penyelewengan dan juga kemungkaran politik yang diamalkan oleh UMNO/BN pimpinan Mahathir, kemungkaran ekonomi, sosial, keselamatan rakyat, negeri dan negara. Boleh dibuktikan di mana-mana.
Disebab rakyat tidak mahu bersusah payah untuk membongkar semua itu. Di samping sudah terbiasa dengan budaya dan amalan yang berlaku selama lebih 40 tahun UMNO/BN menguasai politik negara ini, sehingga salah UMNO/BN pun tidak lagi dianggap salah. Begitulah minda dan pemikiran rakyat khususnya rakyat Sabah yang benar-benar tidak terbuka. Mereka malas untuk berfikir, pemikiran mereka tidak didorong atau dilatih untuk berfikir secara terbuka itu. Kerana itu, mereka lebih menjadi penerima buta tuli apa saja yang dimainkan oleh UMNO/BN dan pemimpinnya semuanya benar belaka. Mereka tidak akan menilai semula, apakah itu berita benar atau fitnah atau helah politik.
Fitnah, Sandiwara dan Helah Politikpun Dianggap Benar
Fitnah UMNO/BN dan para pemimpinnya terhadap parti-parti BA berkaitan beberapa isu mutakhir ini seperti militan, gerakan bawah tanah dan lain-lain, semacam sudah meresap ke dalam jiwa segelintir rakyat yang tidak terbuka mata, hati dan akal minda mereka.
Para pemimpin UMNO/BN mengheboh-hebohkan apa jua berita yang boleh menguntungkan politik mereka sekalipun cerita bohong, fitnah dan sandiwara di akhbar-akhbar pengampu mereka sama ada dalam media cetak atau elektronik TV dan radio itupun. Tanpa sebarang tapisan mereka (rakyat yang tertutup mata dan otak) akan terima bulat-bulat apa juga yang dikatakan oleh Dr Mahathir, Pak Lah, Najib, Rais, Aziz, Isa Samad, Syed Hamid dan lain-lain pemimpin UMNO/BN. Hatta yang bernilai berita fitnah, sandiwara atau pembohongan pasal militan, mujahidin, al-Ma'unah, gerakan bawah tanah, guling kerajaan secara militan, BA pecah belah rakyat, jadi agensi asing dan berjela-jela lagi senarai buruk itu untuk dimasukkan ke dalam karung parti-parti BA. Rakyat seperti itu, tidak akan melihat bahawa itu adalah fitnah atau helah politik jahat UMNO/BN terhadap parti-parti BA, yang sengaja digembar-gemburkan supaya rakyat mempercayainya. Akhirnya yang mereka (rakyat) nampak, ialah apa saja cakap UMNO/BN betul belaka, walaupun banyak salah, bohong atau fitnah yang berselindung dilidah para pemimpin UMNO/BN itu.
Inilah akibat media yang juga dikongkong oleh penguasa atau parti yang memerintah di Malaysia sekarang. Kalau sudah hari-hari cerita bohong, fitnah dan tuduhan itu diulang-ulangi, pasti jenis rakyat berminda malas berfikir, tidak peka isu-isu semasa dan lemah akal fikiran mereka, adalah cukup mudah UMNO/BN menanamkan fitnah ke dalam pemikiran mereka. Kemudian disumbat dengan kebendaan berupa subsidi yang sudah sebati dalam jiwa dan minda mereka sejak begitu lama. Begitulah, apabila rakyat hidup matinya dalam suasana 'subsidi' turun-temurun hidup dengan subsidi atau minda mereka minda 'subsidi'. Memang mereka akan berpegang kepada tradisi khurafat bahawa 'hanya UMNO/BN mampu beri subsidi', hanya UMNO/BN boleh bina balai raya, sekolah, jalan raya dan meramaikan hantu raya di Malaysia.
Amat berbahaya apabila 'fitnah', sandiwara politik dan cerita bohong orang politik sudah dianggap benar. Lebih-lebih lagi dahsyatnya tukang sebar 'fitnah' itu sendiri adalah pemimpin yang memegang kuasa politik. Ini amat sulit untuk dipatahkan oleh penegak kebenaran yang tidak berkerajaan. Dan parti-parti BA terpaksa berkerja lebih kuat untuk mematahkan tohmahan, fitnah dan pembohongan para pemimpin UMNO/BN dalam beberapa isu politik mutakhir ini.
Kesimpulannya, di majlis perkahwinan pun kita boleh menilai pemikiran rakyat, mengukuhkan ukhuwah, persahabatan, persefahaman dan perpaduan. Lagipun yang datang berkunjung itu bukan setakat keluarga terdekat, malah keluarga jauh, rakan, sahabat dan keluarga tidak seagama pun menjadi tetamu kita. Rajin-rajinlah ke majlis seperti ini. Di sini, kita boleh bertukar pandangan, mendapat maklumat baru, sambil berziarah dan menilai minda rakyat. Hatta cerita sukan SEA pun boleh diulas bersama tentang prestasi atlit negara.
Ibn Sabah,
10.9.2001M